Berlian, kristal paling berharga
Oleh Hazirah Che Sab
Hope - kini dipamerkan di Amerika Syarikat. |
Koh-i-noor, berlian paling popular di dunia seberat 186 karat
JIKA disebut barangan kemas, pasti ramai yang dapat membayangkan gemerlapan emas, selain berlian yang disifatkan pasangan secocok.
Ramai yang memuji berlian dan terpesona dengan kilauan memukaunya. Seri berlian tidak pernah suram dan kilauannya sentiasa mampu membuatkan sesiapa saja ingin memilikinya, khususnya wanita.
Mungkin kerana inilah, seperti lirik lagu nyanyian aktres Hollywood, Marilyn Monroe bahawa ‘Diamonds Are The Girl’s Best Friend’ (Berlian Teman Baik Wanita). Tetapi awas, yang memuja dan memburunya bukan saja wanita dan pedagang intan berlian, sebaliknya kumpulan mafia serta penjenayah di seluruh dunia yang mengetahui betapa tingginya nilai berlian ini.
Apakah istimewanya berlian ini sehingga mendominasi dunia perhiasan barang kemas?
Penolong Pengurus Komunikasi Pemasaran Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels), Yasheedah Yashaiya, berkata ramai yang tidak tahu, keunikan berlian itu terletak kepada kewujudan dan ciri-ciri istimewa kristal berharga ini.
“Berlian amat sukar diperoleh. Ia mengambil masa beribu-ribu tahun untuk terbentuk dan terletak terlalu jauh dalam perut bumi. Ia cuma naik ke permukaan jika berlaku letusan gunung berapi.
“Malah, dalam tanah seberat 2.5 tan, hakikatnya cuma satu hingga dua karat berlian saja yang ditemui. Ia satu-satunya perhiasan yang mempunyai warna pelangi. Oleh itu, tidak betul sama sekali jika ada yang beranggapan berlian tiada harga di pasaran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, bukan semua berlian sama dan mengikut Yasheedah, berlian dinilai dengan empat C iaitu colour (warna), clarity (kejelasan), cut (potongan) dan carat (karat - berat berlian). Lebih berat bermakna lebih tinggilah nilai berlian berkenaan.
Katanya, perkara paling dititikberatkan yang menyerlahkan keunikan berlian ialah cara potongan.
“Potongan paling sempurna ialah Hearts on Fire kerana ukuran setiap penjuru sama. Memandangkan berlian adalah bahan paling keras, yang digunakan untuk memotong berlian ialah berlian juga.
“Satu perkara mengenai berlian yang kerap disalah sangka, ialah ia tidak retak. Ia boleh retak dan berlian kalis calar,” katanya.
Yasheedah berkata, setiap berlian perlu melalui proses ‘Kimberley’ untuk memastikan ia bukan diperoleh secara haram - selalunya daripada keringat penduduk di benua Afrika yang dijadikan hamba untuk melombong berlian.
Berlian paling terkenal dunia ialah Koh-i-noor, yang pada asalnya seberat 186 karat tetapi kini dikatakan sekitar 106 karat. Ia diperoleh daripada sebuah keluarga India pada 1304 dan diwarisi beberapa generasi. Ia bagaimanapun dicuri pada 1739.
Selain itu, berlian lain yang turut terkenal - Hope, seberat 45.52 karat yang kini dipamerkan di Muzium Smithsonian di Washington, Amerika Syarikat. Ia mula muncul dalam perdagangan berlian pada 1830. Ia dibeli oleh seorang ahli perbankan, H Ph Hope, dan dipercayai berlian itu dipotong daripada batu permata yang lebih besar.
Dresden, seberat 41 karat yang berkemungkinan besar berasal dari India. Ia dipotong dalam bentuk buah pir dan mempunyai warna hijau zamrud yang cantik. Berlian terkenal lain ialah The Cullinan I, Star of Africa - berlian putih bentuk buah pir dengan berat 520.02 karat; Sancy - berlian seberat 55 karat yang juga dipotong dalam bentuk buah pir dan Tiffany yang diperoleh daripada Lombong Kimberley yang terkenal di Afrika Selatan.
INFO:
- Berlian ialah kristal yang terbentuk daripada karbon
- Dianggap cincin pertunangan tradisi di kebanyakan negara dunia dan hadiah ulang tahun perkahwinan ke-60 dan ke-75.
- Sebahagian berlian bercahaya biru atau jingga apabila didedahkan kepada sinaran lampau ungu.
- Berlian tertua berasal dari India
- Berlian merah jambu mudah ditemui di lombong berlian di Australia.
- Kira-kira 80 peratus perdagangan berlian di dunia dikawal oleh syarikat DeBeers yang memastikan nilainya pada paras konsisten.
Bayi pelik di Russia
Lakaran Ayat suci di kaki Ali. |
Badan Ali Yakubov dipenuhi lakaran ayat suci al-Quran
SEORANG bayi sembilan bulan di pedalaman Kizlyar, Dagestan di selatan Russia, menjadi tumpuan ramai berikutan kemunculan lakaran petikan ayat suci al-Quran pada beberapa bahagian tubuhnya.
Kemunculan petikan ayat suci al-Quran berwarna merah jambu pada badan Ali Yakubov, bersilih ganti setiap dua kali seminggu iaitu Isnin dan malam Jumaat, yang berlaku seawal kelahirannya tetapi menjadi semakin kerap sejak beberapa minggu lalu.
Ia timbul pada beberapa bahagian badan Ali seperti di belakang, kaki, perut dan tangannya sebelum pudar, lenyap dan muncul di bahagian lain.
Antara maksud lakaran itu termasuk ‘Allah Maha Besar’ dan ‘Allah yang menciptakan semua ini.’
Kejadian pelik yang turut disiarkan di internet itu bukan hanya mencetuskan tanda tanya ramai sehinggakan ada yang sanggup bertandang ke rumahnya setiap hari, tetapi juga misteri kepada pakar perubatan Russia yang sehingga kini belum dapat merungkai fenomena berkenaan.
Ali bersama ibunya Madina dan bapa, Shamil. |
Keluarganya dan orang ramai menganggapnya satu keajaiban membuktikan kebesaran Allah SWT, apalagi di wilayah yang sudah lama bergelut dengan konflik berdarah antara pihak berkuasa Russia dan pemisah Islamnya, termasuk kejadian serangan bunuh diri yang mengorbankan ramai.
Pakar perubatan juga menafikan lakaran itu mampu menjelma sendiri atau ditulis seseorang, ketika pihak lain yang meraguinya menganggapnya satu masalah alahan kulit. Tidak kurang pula yang menuduh ia angkara ibu bapa Ali, Shamil dan Madina yang menggunakan cecair campuran lada dan garam bagi menjadikan Ali ‘bayi ajaib.’
Apa yang pasti, setakat ini, sekurang-kurangnya 2,000 orang sehari, berpusu-pusu mengunjungi rumah Ali setiap sejak berita kejadian pelik itu tersebar, termasuklah pakar perubatan dan wartawan pertubuhan media asing yang menyaksikan sendiri lakaran ayat suci pada kulit bayi comel berkenaan.
Berikutan itu, pihak berkuasa terpaksa mengawal rumah Ali bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Ali menjadi tumpuan ramai di Dagestan. |
Bagi ibunya, Madina, beliau mempunyai kisah tersendiri di sebalik fenomena yang dialami anak keduanya itu.
“Ali lahir tidak cukup bulan dan disahkan pula menghidap penyakit jantung serta kulitnya yang terlalu nipis sehingga menampakkan bahagian ususnya. Doktor ketika itu meramalkan dia hanya mampu hidup dua atau tiga hari selepas dilahirkan.
“Di celah kesedihan dan kebimbangan itu, kami perasan lakaran Allah pada dagunya tetapi menganggapnya satu tanda lahir. Tidak disangka pula, berkat doa kami kepada Allah SWT dan dengan kemunculan ayat suci itu, kami dikejutkan berita Ali pulih daripada semua penyakit itu.
“Malah, doktor yang merawatnya juga kehairanan bagaimana penyakit yang boleh meragut nyawanya itu, mampu lenyap begitu saja. Buktinya, Ali mampu hidup sehingga ke hari ini,” kata Madina yang dipetik media tempatan dan antarabangsa.
Menurut Madina, Ali lazimnya mengalami demam panas sebelum dan ketika kemunculan petikan ayat suci berkenaan. Anak kecil itu juga sering menangis selain lebam pada bahagian tertentu badan yang disusuli dengan kemunculan petikan ayat suci.
Anehnya, biarpun diberi ubat, demam dialami Ali itu tidak kebah dan lazimnya hilang sendiri selepas kemunculan ayat suci berkenaan.
“Kami menganggapnya satu keajaiban serta peringatan daripada Allah,” kata Madina.
Pemimpin Kizlyar, Sagid Murtazaliyev, pula menyifatkan kejadian itu satu pesanan Allah SWT kepada penduduk supaya kembali mengamalkan tuntutan agama dan mengingati konflik berdarah di kawasan itu.
Bonsai 500 tahun di Jeju
Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
rencanabh@bharian.com.my
POKOK Juniper yang berusia 500 tahun di Taman Bonsai Bunjae Artpia. |
Spesies flora tarikan Taman Bunjae Artpia di Korea Selatan
KEGIGIHAN Bum-young Sung membangunkan tanah terbiar di Pulau Jeju, Korea Selatan pada tahun 1960-an sehingga kini menjadikannya taman terkenal, The Spirited Garden (Bunjae Artpia) yang dikunjungi ramai, cukup mengagumkan.
Pengabdiannya kepada satu keyakinan untuk menghasilkan taman bonsai dan batu yang tercantik di Korea Selatan, membuatkan sesiapa yang berkunjung ke taman ini, akan terpesona dengan seni bonsai dan taman yang dihasilkan selepas berpuluh tahun mengusahakannya. Bunjae Artpia Garden, terletak kira-kira 80 kilometer dari pantai Jeju kini dipenuhi lebih 2,000 pokok bonsai dari lebih 100 spesies yang berusia sehingga 500 tahun, koleksi batu selain reka seni taman menarik.
Dengan berpakaian petani dan bertopi, Sung sentiasa tersenyum dan menyapa sesiapa saja yang berkunjung ke tamannya yang tersusun rapi, daripada reka letak pokok, batu malah pagar batu yang dibangunkan sendiri dengan mengutip batu gunung berapi bagi menghalang angin kuat pada musim sejuk.
Pokok quince (Cydonia), Christmas berry (Heteromelee arbutifolia) berusia 120 tahun, pokok elm berusia 150 tahun, Lonicera japonica (250 tahun) dan Juniper yang berusia 500 tahun yang dibonzaikan, antara tumbuhan bonsai yang menjadi daya tarikan pengunjung ke taman ini.
IKAN emas dan koi di Taman Bonsai Bunjae Artpia di Jeju, Korea Selatan. |
Sebelum Bunjae Artpia menempah nama, dunia bonsai dikuasai Jepun walaupun ia sebenarnya berasal dari China. Kira-kira 1,300 tahun lalu, seni bonsai bermula di China dan sampai ke Korea ketika pemerintahan Dinasti Koryo sebelum berkembang di Jepun yang kemudiannya menjadikannya budaya dan industri yang terkenal di seluruh dunia. Dengan kewujudan Bunjae Artpia, Sung berjaya memberi nafas baru kepada industri bonsai di Korea Selatan, malah menjadikannya tumpuan pelancong di seluruh dunia.
Penulis yang berkunjung ke taman itu, atas tajaan kerajaan Korea Selatan sempena Perayaan Ke-20 dan Persidangan Asean-Korea Selatan di Jeju, baru-baru ini, cukup terpesona dengan etika kerja Sung yang begitu tekun dan sabar sehingga mampu menghasilkan taman yang kini menerima lebih kira-kira 300,000 pengunjung setahun.
Reka taman yang cantik dengan dipenuhi pokok bonsai, air terjun buatan dan kolam ikan koi dan ikan emas berwarna warni, akan memakukan mata pengunjung terutama pada musim bunga dan panas. Cuaca dingin pada musim bunga membolehkan pelawat berjalan sambil menghayati keindahan pokok yang dibentuk mengikut kehendak dan cita rasa manusia dan kecantikan seni taman di kawasan seluas 24 hektar itu.
Malah hasil kerja Sung itu, turut dihargai pemimpin dunia mengambil kesempatan berkunjung ke Bunjae Artpia termasuk bekas Presiden China, Jiang Zemin; Presiden China, Hu Jintao; bekas Perdana Menteri Jepun, Yasuhiro Nakasone dan pengunjung kehormat lain dari seluruh dunia.
AIR terjun buatan di Taman Bonsai Bunjae Artpia di Pulau Jeju, Korea Selatan. |
Tidak hairanlah ramai yang menganggap taman bonsai milik Sung, adalah taman tercantik di dunia. Malah pandangan Sung diterima pakai oleh kerajaan China bagi pembaharuan ekonomi dan kebudayaan dan dijemput memberi syarahan di negara jiran itu mengenai kaedah taman bonsai dan seni taman.
Sung turut memberi falsafah baru mengenai bonzai yang selama ini dianggap sesetengah pihak sebagai menyeksa atau mendera pokok bagi menghasilkan keindahan . Kalau sebelum ini, Bagi Sung, seni bonsai sama seperti perjalanan kehidupan, yang terpaksa melalui cabaran dan penderitaan bagi menghasilkan keindahan atau kekayaan.
“Menanam pokok bonzai, perlu mengambil kira keadaan fizikal dan semula jadi pokok, umpama memberi karektor kepada manusia. Sama seperti mendidik dan membesarkan anak-anak, yang memerlukan kesabaran dan disiplin bagi menjadikan mereka orang berguna,” katanya.
Bagi Sung, untuk mencapai kejayaan, ia bukan sesuatu yang mudah, ia perlu usaha gigih. Keyakinan dan matlamat, bagi mencapai cita-citanya, ia terpaksa meninggalkan kedai jahit miliknya yang berkembang pesat dan keluarga di Seoul semata-mata untuk ke Pulau Jeju di Semenanjung Korea.
Dengan membeli tanah terbiar yang tidak subur dan tidak mempunyai kemudahan asas elektrik dan bekalan air pada 1968, Sung mengusahakan ternakan babi dan lembu sebelum beralih kepada seni taman bonsai .
Selepas 24 tahun gigih berusaha, pada tahun 1992, Bunjae Artpia dibuka kepada umum, namun krisis ekonomi yang melanda Asia pada 1997 hampir melenyapkan impian Sung untuk menjadikan tamannya kebanggaan Jeju. Tamannya dilelong pada 1998, Sung yang cukup sedih dengan nasib yang menimpa bagaimanapun dengan bantuan dan sokongan peminatnya, dana dihulurkan untuk membolehkan Sung terus menguruskan tamannya.
Bagi penulis, semangat dan cita-cita yang membara di dalam jiwa Sung , seorang petani kerdil adalah satu seni yang akhirnya boleh mengubah kawasan terbiar di kawasan gunung berapi melalui proses jatuh bangun kehidupan kepada satu taman yang indah, harmoni dan membuatkan semua yang berkunjung mengagumi kekuatan jiwa, petani bernama Bum-young Sung.
No comments:
Post a Comment