Friday, December 11, 2009

EPAL BA'KELALAN

AGROBIZ

ARKIB : 05/06/2009

Rahsia epal Ba'Kelalan


EPAL Manalagi antara jenis epal Ba'Kelalan terbesar setakat ini.


MEMILIH sesuatu yang unik bukanlah laluan mudah untuk ditempuhi. Namun seorang warga emas di pedalaman Sarawak membuktikan setiap keazaman yang disulam usaha gigih pastinya membuahkan hasil.

Ketika penduduk lain gigih mengusahakan tanaman padi bukit, Tagal Paran atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal memilih epal sebagai tanaman di tanah ladangnya di Ba' Kelalan, Miri.

Kini populariti ladang epal seluas tiga hektar yang diusahakannya sejak lebih 20 tahun lalu itu 'mengatasi' populariti beras Adan, beras berkualiti tinggi yang juga ikon produk dari penempatan suku kaum Lun Bawang itu.

Kejayaan tersebut menjadikan lelaki berusia 75 tahun itu sebagai individu 'terpenting' dan paling popular setiap kali masyarakat Ba' Kelalan menerima kunjungan pelawat.

"Tiada orang lain yang akan dicari, mereka semua mahu mendengar cerita epal daripada Pak Tagal," ujar salah seorang penduduk.

Setiap tahun, ribuan pelancong berkunjung ke Ba' Kelalan. Masa paling sibuk adalah ketika Festival Menuai Epal yang diadakan pada bulan Jun dan Disember setiap tahun.

Ba' Kelalan yang berada pada ketinggian kira-kira 1,000 meter dari aras laut itu mempunyai suhu rendah sepanjang tahun yang membolehkan epal dan tanaman seperti strawberi, anggur dan tomato hidup di situ.

Umum menyedari kewujudan epal di Ba' Kelalan tetapi tidak ramai yang mengetahui keistimewaan epal tempatan itu. Tidak kurang juga yang mengkritik dan mengatakannya tidak cukup saiz, tidak manis dan rupanya kurang menarik.

Tetapi bukan itu yang dipersetujui oleh 20 wakil media pada lawatan ke Rata Farm Sdn. Bhd. milik Pak Tagal semasa ekspedisi Isuzu Dura-Mission, baru-baru ini.

Pengalaman memetik dan menikmati kerangupan epal segar di ladang yang terletak bersebelahan dengan lapangan terbang kecil itu meninggalkan kenangan manis buat kami semua.

Hasil kaedah pertanian yang dipertingkatkan, empat jenis epal iaitu Manalagi, Tropikal, Anna dan Rome Beauty yang ditanam di situ hampir menyamai kualiti epal yang diimport.

Menurut Pak Tagal, sebanyak 1.5 tan epal dituai daripada 3,000 pokok epal pada setiap musim. Namun, jumlah itu hanya cukup untuk pasaran di sekitar Miri, Lawas dan Brunei.

''Permintaan sangat tinggi dan antara yang paling mendapat sambutan adalah epal jenis Manalagi kerana rasanya yang manis dan bau yang harum. Ia dijual pada harga RM10 sekilogram.

'Dari segi saiz epal di sini tidaklah terlalu kecil. Berat lebih kurang 200 gram sebiji dan yang paling berat pernah dituai adalah 500 gram,'' jelas Pak Tagal lagi.

Selain rasa yang sedap, keistimewaan epal Ba'Kelalan juga adalah kerana mempunyai dua musim sedangkan di negara-negara beriklim sejuk lain epal hanya berbuah sekali setahun.

Rahsianya melalui teknik 'musim sejuk tiruan' yang dilakukan dengan menanggalkan daun-daun pokok secara manual. Selepas daun 'digugurkan', pokok epal biasanya akan berbunga dan berbuah semula.

"Teknik ini hanya boleh dilakukan beberapa minggu selepas musim menuai,'' jelas beliau.

Selain itu, kelebihan epal Ba'Kelalan juga adalah kerana penggunaan racun serangga yang minimum, malah langsung tidak menggunakan pengilat lilin seperti kebanyakan buah -epal yang diimport.

Cuma cabaran utama pada masa kini adalah kerja-kerja pemasaran kerana kawasan itu bergantung kepada pengangkutan udara tiga kali seminggu (MASWings) manakala jalan darat hanya boleh dimasuki dengan pacuan empat roda.

Namun Pak Tagal percaya kedudukan Ba' Kelalan yang terletak bersebelahan dengan Sabah, berhampiran sempadan Brunei dan Indonesia menjadikan kawasan di sekitar tiga buah kampung di situ berpotensi untuk dikembangkan sebagai pusat tanaman epal.

''Sebenarnya kami masih menantikan jalan raya yang dapat menghubungkan kami dengan pekan terdekat iaitu Lawas atau Miri.

''Laluan darat yang dibina akan membantu merubah masa depan epal di Ba' Kelalan,"ujarnya penuh harapan.

Tambah beliau, sistem perhubungan yang baik juga dapat membantu memudahkan kajian dan penyelidikan dilakukan di situ. Buat masa ini, tugas menguruskan ladang bergantung kepada pengalaman dua pekerja Indonesia yang dibawa masuk dari Jawa Timur.

"Saya percaya banyak pihak di luar sana yang berminat untuk datang membuat kajian pertanian di sini," jelasnya sambil menuding jari ke arah sekumpulan pelajar yang berada di tengah ladang.

Bioindustri

Mereka adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Bioindustri, Universiti Putra Malaysia (UPM-Kampus Bintulu) yang sedang menjalani latihan praktikal selama dua bulan di Ba' Kelalan.

Salah seorang pelajar, G. Sivarajan M. Ganesan ketika ditemui berkata, projek perintis UPM itu bertujuan mengkaji aspek-aspek penting berkaitan penanaman epal di kawasan itu.

Kajian yang dilakukan termasuk pemeriksaan kesesuaian tanah, keamatan cahaya, kandungan klorofil daun dan mengenal pasti baka-baka yang terbaik.

Ujarnya, setiap anggota kumpulan dibahagikan tugasan tersendiri dan sebarang penemuan, perkembangan dan hasil kajian yang diperolehi dalam tempoh itu akan dibawa pulang ke makmal universiti untuk dianalisis pensyarah.

"Selain itu kami juga merekodkan jenis-jenis penyakit yang menyebabkan kecacatan dan kemerosotan pada pokok-pokok epal," jelasnya lagi.

Bagi Nur Atikah Mohd. Azman, 22, epal Ba' Kelalan mempunyai potensi untuk dikomersialkan secara meluas sekiranya mendapat suntikan teknologi pertanian yang berterusan.

Ujarnya, proses kacukan baka-baka yang sedia ada dengan baka liar atau baka dari luar negara pasti membawa kepada penghasilan baka yang lebih baik.

"Buat masa ini kacukan hanya dilakukan antara anak-anak pokok epal liar dengan empat baka sedia ada. Buah berkualiti terbaik biasanya hasil kacukan tiga jenis baka," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, proses itu tidak akan tercapai dalam jangka masa yang singkat. Sebaliknya memerlukan penyelidikan dan kajian pertanian yang mendalam.

Walaupun terpisah jauh dari dunia luar, Nur Atikah dan rakan-rakan yang masih mempunyai masa sebulan di Ba' Kelalan mengakui kesempatan 'mengenali' pokok-pokok epal di situ sebagai pengalaman yang sangat berharga.

"Kami menghabiskan masa sepanjang hari di kebun epal Pak Tagal. Walaupun ladang ini tidaklah terlalu luas, tetapi banyak perkara yang boleh kami pelajari," akuinya.

Asal-usul epal di Ba' Kelalan

Menyelusuri sejarah epal di Ba' Kelalan menemukan Mega dengan Andrew Balang Paran atau lebih dikenali sebagai Pak Balang. Nama beliau terpahat sebagai individu yang bertanggungjawab membawa masuk epal ke tengah-tengah Kepulauan Borneo itu.

Menurut Pak Balang, segalanya bermula pada tahun 1974 semasa beliau melawat Batu Malang, Indonesia.

"Ketika berada di sana saya lihat pokok-pokok epal tumbuh segar dengan buah-buah yang ranum. Terlintas di fikiran untuk membawa pulang dan menanamnya di kebun saya.

"Kira-kira 10 pohon 'diseludup' melalui lapangan terbang Miri ketika itu. Puas juga saya memujuk pegawai kastam di lapangan terbang untuk 'melepaskan' pokok-pokok berkenaan ketika diperiksa," ujarnya.

Selepas beberapa tahun, epal yang ditanam dan dibaja dengan tahi lembu itu mula membuahkan hasil. Tetapi ketika itu buahnya agak kecil, masam dan pohonnya mudah diserang penyakit.

Bekas kakitangan kerajaan pertama di Ba' Kelalan itu sempat membiak kira-kira 300 pokok epal sebelum menyerahkan ladang berkenaan kepada abangnya sendiri, Pak Tagal, yang menguruskan ladang sehingga ke hari ini.

Menurut Pak Balang, tugas yang dipikul abangnya tidak mudah kerana pokok-pokok epal berada dalam keadaan tenat akibat diserang penyakit. Malangnya juga pada ketika itu, jabatan pertanian tidak dapat membantu kerana mereka tidak tahu apa-apa pasal epal.

Menyedari pokok-pokok epalnya berada dalam keadaan tenat, Pak Tagal kemudian berangkat ke Batu Malang untuk mempelajari kaedah penanaman epal secara lebih lanjut.

Kini, Pak Tagal tersenyum bangga di atas setiap keringat yang dititiskan ke tanah ladangnya. Harapan beliau adalah untuk melihat lebih banyak ladang epal dibuka di bumi Ba' Kelalan.

No comments:

Post a Comment