Showing posts with label ORKID. Show all posts
Showing posts with label ORKID. Show all posts

Friday, August 16, 2013

ORKID TAHAN PANAS


Tertarik penulis melihat brosur tersusun kemas di atas meja yang mengandungi pelbagai gambar orkid hasil kajian Program Pembaikbakaan Pusat Penyelidikan Hortikultur, MARDI.
Usaha yang dimulakan pada 1979 itu banyak menghasilkan hibrid orkid baru yang diberi nama golongan kenamaan (VIP).
Antaranya Renantanda Datuk Dr Abdul Shukor, Rhyncholaeliocattleya Datin Seri Rosmah, Rhyncholaeliocattleya Toh Puan Norkiah, Dendrobium Datin Seri Jeanne, Dendrobium Abdullah Badawi, Mokara Puan Seri Noorainee, Aranda Doctor Siti Hasmah, Ascocenda Puan Sri Suslita dan Mokara Datin Seri Endon.

Terdapat juga hibrid MARDI menggunakan nama diraja seperti Dendrobium Tuanku Najihah, Dendrobium Tuanku Fauziah, Mokara Tuanku Siti Aishah dan Mokara Tengku Anis.
Foto
DR Rozlaily memantau projek dilaksanakannya.

Kumpulan penyelidik Pusat Penyelidikan Hortikultur turut mengabadikan nama MARDI menerusi hibrid Trichovanda MARDI yang menjadi antara produk terawal dibangunkan mereka pada 1991.

Ia memiliki ciri berbau wangi, selain digunakan sebagai induk untuk menghasilkan hibrid lain yang baru.

Kini, penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pembiakbakaan orkid dilaksanakan di bawah Timbalan Pengarah Pembiakbakaan Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Dr Rozlaily Zainol sejak berkhidmat dengan institusi itu pada 1990.

Dr Rozlaily turut dibantu dua pegawai penyelidiknya, Farah Zaidat Mohd Nazri dan Wan Rozita Wan Engah untuk melaksanakan penyelidikan di makmal dan di ladang plot penyelidikan seluas tiga hektar.

Penyelidikan yang menjangkau usia 34 tahun itu turut menghasilkan lebih 30 hibrid baru untuk pengeluaran bunga keratan atau pokok berpasu.

Dua daripadanya iaitu Dendrobrium Tuanku Fauziah dan Dendrobrium Abdullah Badawi dalam proses pengkomersialan.

Dr Rozlaily yang mempunyai kemahiran dalam pembiakbakaan tanaman secara konvensional dan molekul menyatakan, penyelidikan terhadap orkid di MARDI mempunyai dua aktiviti utama iaitu Koleksi Janaplasma Orkid Spesies dan Program Pembaikbakaan Orkid.

“Janaplasma orkid spesies sebagai sumber genetik untuk Program Pembaikbakaan bagi menghasilkan hibrid orkid baru melalui proses kacukan atau penghibridan,” katanya.

Menurutnya, koleksi itu mempunyai orkid liar atau spesies unik untuk digunakan bagi membangunkan hibrid orkid lebih baik.

“Biasanya orkid liar ini bersaiz kecil, unik dan menarik, tetapi kelemahannya ialah bunga tidak tahan lama, malah ada yang mampu bertahan dua jam saja.

“Justeru, pembaikbakaan diperlukan bagi mengatasi kekurangan itu melalui proses penghibridan yang menjadi kajian utama dalam Program Pembaikbakaan ini,” katanya.

Beliau yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) di University of Wales Aberystwyth, United Kingdom berkata, pada awalnya terdapat kira-kira 1,500 aksesi koleksi janaplasma spesies orkid yang membabitkan 100 genera.

“Namun, jumlah itu berkurangan dan kini hanya ada 340 spesies berbeza merangkumi 70 genera,” katanya.

Orkid yang terdapat di pusat berkenaan dikumpul daripada pelbagai lokasi berbeza termasuk kepulauan sekitar Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Borneo.

“Terdapat spesies jenis sama dijumpai di tempat yang berbeza.

“Pengenalpastian spesies biasanya akan dibuat apabila pokok terbabit menghasilkan bunga,” katanya.

Mengulas mengenai genera, katanya, ia adalah kumpulan orkid dan di bawahnya terdapat pelbagai spesies berlainan.

“Kami mengumpul koleksi untuk mendapatkan induk yang sesuai bagi program pembaikbakaan.

“Orkid itu perlu ditanam di tempat yang sesuai seperti habitat semula jadi orkid itu dijumpai.

“Selepas ditanam dan pokok tumbuh dan membesar dengan baik, barulah penilaian dilakukan termasuk dari aspek morfologi, kekerapan dan ketahanan bunga,” katanya.

Beliau berkata, pada masa kini permintaan terhadap orkid bagi tujuan landskap taman dan kediaman adalah tinggi.

“Jika dulu, pengeluaran hanya tertumpu kepada bunga keratan, kini orkid amat popular untuk landskap.

“Disebabkan itu, penghasilan hibrid 'orkid tahan-panas' amat perlu dan menjadi salah satu objektif utama dalam Projek Mega Pembaikbakaan Orkid di MARDI,” katanya.

Secara global, terdapat antara 25,000 hingga 35,000 spesies orkid berlainan di seluruh dunia dengan 2,000 hingga 3,000 spesies berasal di negara ini.

Kebanyakan spesies orkid terbabit dijumpai di kawasan tropika dan Asia Tenggara seperti Thailand, Vietnam dan Filipina.

“Sejak dari awal penyelidikan, kami memang banyak menggunakan orkid dari negara jiran kerana sebahagian daripadanya sesuai ditanam di negara ini.

“Negara ini juga sesuai untuk kebanyakan orkid terutama jenis tropika seperti dendrobium,” katanya.

Menurutnya, orkid juga boleh disamakan dengan 'fesyen' dan penyelidikan berterusan terhadap pembangunan orkid baru amat perlu.

“Orkid memerlukan hibrid baru sepanjang masa, malah kegilaan terhadap warnanya bertukar-tukar.

“Pada awal 70-an dan 80-an, banyak orkid 'ungu' dikeluarkan ketika itu dan amat kurang yang berwarna kuning atau putih.

“Apabila memasuki era 90-an, kami sasarkan untuk mengeluarkan orkid kuning dan sekitar tahun 2000 banyak orkid warna kuning di pasaran,” katanya.

Dari aspek industri, prospek perniagaan orkid amat baik, malah tanaman itu menyumbang 36% nilai pengeluaran dalam industri florikultur negara.

Orkid secara umum terbahagi kepada dua jenis iaitu orkid simpodium iaitu cara pertumbuhan pokoknya berakhir dengan pengeluaran bunga dan boleh ditanam pada dahan atau batang pokok.

Di antara genus orkid jenis simpodium ialah oncidium, cattleya dan dendrobium.

Kumpulan orkid kedua pula adalah monopodium iaitu cara pertumbuhan pokoknya sehala di mana ia tidak berakhir dengan pengeluaran bunga.

Batangnya kecil dan diliputi upih daun, tidak bercabang dan hanya akan mengeluarkan anak atau tunas baru apabila batangnya dipotong.

Genus orkid kumpulan monopodium ialah vanda, arachnis, renanthera, aranda dan mokara.

Melalui proses kacukan terpilih buah orkid yang berbentuk seperti 'kantung' dihasilkan. Buah berkenaan mengandungi beribu-ribu benih halus yang perlu disemai dalam keadaan terkawal melalui kaedah kultur tisu di dalam makmal.

"Biji benih orkid disemai dalam medium agar-agar yang sesuai yang dibekalkan dengan bahan nutrien," katanya.

Menurutnya, penilaian dilakukan terhadap orkid pula bergantung kepada objektif kajian sama ada ia untuk tujuan penghasilan hibrid untuk pengeluaran bunga keratan, pokok berpasu atau pokok landskap.

Pokok yang terpilih seterusnya akan dibiakkan melalui teknikkan kultur tisu untuk meningkat jumlahnya bagi tujuan komersial.

Friday, May 7, 2010

ORKID 100 TAHUN

DUNIA

Polis, CCTV pantau bunga orkid


SEORANG anggota polis melIihat pokok bunga anggerik di sebuah kelab golf di Silverdale, Carforth, Britain.


LANCASTER, England - Pokok bunga anggerik di sebuah padang golf di Britain terpaksa diberi kawalan keselamatan paling ketat apabila ia dijangka mengeluarkan bunga pada bulan ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Spesies anggerik The Lady's Slipper berusia 100 tahun itu dikawal di sebuah kelab golf di Silverdale, Carforth di sini dan ia dipantau 24 jam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan beberapa anggota polis peronda.

Setiap kelopak bunga anggerik itu jika dijual boleh mencecah harga setinggi £5,000 (RM24,027) dan pokok tersebut dianggap sebagai amat bernilai kerana sebahagian besar tumbuhan lain yang berusia 100 tahun sudah pun pupus. - Agensi

Tuesday, January 12, 2010

PENGELUAR ORKID TERBESAR

JOHOR

ARKIB : 08/12/2009

Johor pengeluar orkid terbesar


Antara spesies orkid terbaik yang ditanam oleh pengusaha tanaman bunga di Ayer Hitam, Kluang, Johor. - utusan/Nasirruddin Yazid


KLUANG 7 Dis. - Johor merupakan pengeluar orkid terbesar negara dengan jumlah keluasan tanaman 150 hektar yang diusahakan oleh 28 pengusaha komersial.

Ketua Seksyen Padi, Taman Industri dan Bunga-Bungaan (PTIF) Johor, Mintar Palal, 53, berkata, tanaman orkid diusahakan secara komersial dan berjaya memenuhi bukan sahaja keperluan tempatan, malah memasuki pasaran antarabangsa.

Katanya, 80 peratus daripada pusat tanaman orkid berpusat di Johor Bahru.

"Walaupun tiada pertambahan dari segi keluasan tanah, namun adalah membanggakan hampir semua kebun orkid berkenaan diusaha secara komersial dengan menambah jenis orkid terbaik, di samping menjaga mutu tumbuh-tumbuhan tersebut.

"Dari segi keluasan tanaman orkid berbanding dengan bunga-bungaan lain juga menunjukkan perkembangan baik. Sehingga kini mencapai sejumlah 50 hektar daripada 725.6 hektar kawasan bunga-bungaan lain di Johor atau 21 peratus," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Mintar, dari segi nilai pengeluaran orkid pada tahun lalu dianggarkan sebanyak RM9 juta dengan anggaran nilai eksport sekitar RM8.1 juta.

Beliau berkata, manakala nilai pengeluaran bunga-bunga keseluruhannya adalah RM20.5 juta setahun.

"Negara pengimport utama orkid dan bunga-bungaan kita adalah Singapura, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat,'' katanya.

Beliau berkata, antara orkid jenis komersial dan popular yang diusahakan oleh penanam orkid seperti dendrobium, mokara, vanda dan renanthera.

Katanya, secara keseluruhannya, pihak kerajaan masih menggalakkan para pekebun untuk mengusahakan tanaman tersebut kerana ia mampu memberikan pulangan lumayan.

Katanya, orang ramai yang berminat untuk mendalami penanaman orkid boleh menghubunginya di talian 019-7777804.

Saturday, January 9, 2010

ORKID

AGROBIZ

ARKIB : 03/10/2008

Orkid Phalaenopsis semakin diminati


Bunga orkid Phalaenopsis yang telah dikacukkan.


AKTIVITI penanaman bungan untuk hiasan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai golongan terutamanya kaum wanita.

Selain bertujuan mencantikkan kawasan sekitar, aktiviti tersebut juga telah dijadikan sebagai hobi untuk memberi kepuasan kepada penggemarnya.

Untuk tujuan itu, tumbuhan-tumbuhan yang sering menjadi pilihan adalah dari jenis daun, bunga-bungaan dan juga pokok renek.

Orkid merupakan antara jenis tumbuhan bunga yang semakin digemari dan di tanam secara meluas di kawasan-kawasan perumahan serta premis seperti bangunan pejabat dan kedai-kedai.

Pokok orkid sebenarnya dikategorikan sebagai tumbuhan liar yang mempunyai habitat asal di kawasan hutan.

Komersial

Namun, disebabkan sifatnya yang cantik dan mudah dijaga, usaha penanamannya kini telah diperluaskan secara komersial.

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis pokok orkid ditanam secara meluas namun antara yang popular di kalangan penggemar orkid adalah dari baka Phalaenopsis.

Untuk memperluaskan penanaman orkid jenis tersebut, sebuah syarikat Waltex Biotec telah mengambil inisiatif menjalankan proses pembiakan dan kacukan secara komersial.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Y. K. Yap, usaha tersebut dijalankan di ladang seluas enam ekar miliknya yang terletak di Ulu Yam, Selangor.

“Di ladang ini, kami hanya memfokuskan kepada pembiakan baka orkid jenis Phalaenopsis melalui kerja-kerja penghasilan anak benih dan kacukan seperti tisu kultur dan klon meri,’’ katanya.

Ladang yang telah beroperasi lebih dua tahun itu mempunyai sistem pengurusan yang lengkap bagi tujuan penjagaan anak benih serta turut dilengkapi makmal khas untuk aktiviti penyelidikan.

Untuk baka berkenaan, proses kacukannya melibatkan proses semaian biji benih atau buah orkid dengan menggunakan botol khas.

Melalui proses itu, ia akan menghasilkan bunga orkid yang lebih cantik dari segi corak dan warnanya.

Dari segi pemeliharaan baka ini pula, ia perlu di ambil kira dari segi pendedahan kepada cahaya matahari, penyiraman, kelembapan, pengaliran udara dan juga pemberian baja.

Pokok orkid perlu diberikan cahaya yang maksimum agar ia dapat hidup dan tumbuh dengan sihat serta berbunga dengan lebih baik.

Bagi proses penyiraman pula, kekerapannya pula adalah bergantung kepada cuaca, kelembapan, pasu dan medium yang digunakan untuk penanaman orkid tersebut.

Baka orkid jenis ini juga memerlukan kawasan persekitaran yang lembap serta pengaliran udara yang baik bagi mengelakkan jangkitan kuman.

“Kebanyakan orkid jenis ini akan mati akibat kecuaian penjagaan atau penyelenggaraan yang tidak betul,’’ jelasnya.

Kalau dahulu kebanyakan pokok orkid

di tanam dengan menggunakan medium arang

atau batu-bata, namun sekarang ia telah digantikan dengan sejenis lumut tanah yang dikenali sebagai Shagnum moss.

Untuk menggalakkan lagi pertumbuhan pokok-pokok ini, ia perlu dibantu dengan pemberian baja.

Terdapat dua jenis baja yang biasa digunakan iaitu baja bebola organik dan juga baja cecair yang diberikan secara semburan.

Secara puratanya, orkid jenis tersebut akan berbunga sebanyak dua kali setahun.

“Tiada had umur untuk jangka hayatnya kerana jika diberi penjagaan yang betul, pokok orkid ini akan dapat hidup dengan lebih lama,’’ katanya.

Terdapat pelbagai corak pokok orkid jenis tersebut dijual di ladang berkenaan.

Harganya pula bergantung kepada saiz, kombinasi pokok serta jenis baja yang digunakan.

BENIH TERBAIK

JOHOR

ARKIB : 08/12/2009

Benih orkid terbaik di Ayer Hitam


MOHAMED Ismail Jaafar kini menanam 10,000 pohon orkid daripada lapan jenis terpilih di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang.


KLUANG 7 Dis. - Penggemar orkid yang ingin mendapatkan benih terbaik boleh berkunjung ke Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, dekat sini.

Projek pertanian itu yang telah mengadakan ekspo baru-baru ini, memberikan peluang kepada pengunjung melihat kegiatan 30 usahawan yang mengusahakan pelbagai tanaman dan ternakan.

Antara yang menarik dikunjungi adalah tanaman orkid.

Di kawasan seluas 4,000 hektar itu, terdapat 10 pengusaha tanaman orkid yang menanam pelbagai jenis orkid bermutu.

Salah seorang pengusaha orkid terkenal di situ Mohamed Ismail Jaafar, 46, berkata, di kebun orkid yang diusahakannya, pelbagai spesies orkid dipamerkan.

"Dengan keluasan itu saya kini menanam lapan jenis orkid terpilih dengan 10,000 pohon orkid.

''Daripada jumlah itu 8,000 pohon telah matang dan sebahagian besar orkid berkenaan untuk tujuan eksport," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kata Mohamed Ismail, projek yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri itu, memberi peluang kepadanya menjadi usahawan berwibawa.

Katanya, ternyata segala usaha yang lakukan selama dua tahun dalam projek berkenaan mampu memberi pulangan yang cukup lumayan.

Hakikat itu, katanya, dapat dibuktikan dengan 8,000 pohon orkid yang telah matang, dan dia kini mampu peroleh pendapatan sekitar RM4,000 sebulan.

"Apa yang saya hendak kongsi bersama pengunjung adalah mereka boleh melihat teknologi yang kami gunakan di samping boleh beli benih terbaik serta bunga orkid yang digemari.

"Mereka juga boleh mempelajari cara mengusahakan orkid secara komersial, kerana bidang ini amat kurang diceburi oleh bumiputera," katanya.

Mengenai benih orkid, Mohamed Ismail berkata, benih berkualiti itu diperoleh dari Thailand.

Katanya, antara spesies orkid yang dimiliki ialah dendrubium, mokara, aramthera, vanda dan banyak lagi.

Sehubungan ini, katanya, mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai orkid boleh menghubunginya di talian 019 7107271.

Friday, December 25, 2009

HIBRID TERKINI

FEMININ

ARKIB : 12/06/2009

Orkid hibrid baka terkini


oRKID HASIL PENYELIDIKAN FadElAh Abdul Aziz TURUT MENDAPAT PERHATIAN KENAMAAN TERMASUK rAJA PEREMPUAN PERLIS, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.


Terletak di garisan Khatulistiwa menjadikan negara sebuah negara tropika yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

Antaranya adalah bunga-bungaan yang boleh dikembangkan sebagai satu industri florikultur terutama orkid.

Tanaman orkid bukan saja boleh dijadikan suatu hobi tetapi boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan.

Bunga orkid bukan saja popular ditanam di pasu kecil bagi hiasan dalaman, bunga keratan di hotel, tanaman landskap, cenderahati celupan emas, pressed flower bagi bingkai gambar dan rantai kunci.

Bagaimanapun kekurangan varieti dan bahan tanaman merupakan salah satu masalah di kalangan pengusaha serta peminat orkid.

Bagi meningkatkan varieti dan bahan tanaman, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mula menjalankan kajian mengenai pembiakbakaan orkid sejak 1976.

Penyelidikan pembiakbakaan di MARDI telah dijalankan oleh pakar pembiakbaka, yang memulakan kajian dengan pengumpulan spesies-spesies yang diambil dari hutan kemudian ditanam, dipulihara dan digunakan di dalam penyelidikan pembiakbakaan.

Spesies-spesies orkid ini disimpan di dalam koleksi janaplasma MARDI.

Timbalan Pengarah merangkap Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Fadelah Abdul Aziz berkata, kini beberapa koleksi hibrid yang berpotensi dari luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Australia telah digunakan sebagai induk.

Hibrid induk yang berpotensi tadi ditanam dan dijaga dengan baik di MARDI sehingga berbunga dan dikacukkan dengan hibrid atau spesies terpilih.

''Di MARDI, kami memilih induk-induk yang cantik dan unik, tahan lama, kerap berbunga dan mempunyai tangkai panjang supaya dapat menghasilkan anak-anak yang berkualiti lebih baik.

''Ini penting bagi mendapatkan orkid yang sesuai dijadikan sama ada bunga keratan, bunga pasu atau untuk dijadikan landskap," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Proses kacukan bunga orkid Dendrobium mengambil masa lima hingga enam tahun manakala Aranda, Mokara dan Vanda pula lapan hingga sebelas tahun.

Kacukan bermula dengan pemilihan pokok induk jantan dan betina bagi menghasilkan buah dan biji benih sebelum dibiakkan menggunakan teknik kultur biji benih.

"Biasanya induk pertama yang ditulis menggambarkan betina dan yang kedua adalah jantan," katanya.

Biji benih akan dicambah menggunakan medium khas dan disimpan di dalam makmal sebelum dipindahkan ke nurseri.

Anak benih ditanam di dalam pasu kecil secara individu atau sebuah pasu besar dalam kumpulan di bawah lindungan matahari sebanyak 80 peratus sebelum dialihkan ke pasu yang lebih besar di ladang bagi tujuan berbunga.

Biasanya pokok dan bunga yang dihasilkan melalui biji benih menunjukkan ciri-ciri yang berlainan di antara satu sama lain.

"Ketika itu penilaian dan pemilihan hibrid-hibrid yang berkualiti lebih baik akan dilakukan.

"Pemilihan akan dijalankan bagi memilih progeni atau sister line yang benar-benar menepati kriteria seperti warna yang menarik, tahan lama, susunan bunga cantik, kerap berbunga, tangkai panjang yang biasanya untuk bunga keratan," katanya.

Selepas mendapatkan hibrid baru yang terbaik, barulah proses kultur tisu dijalankan bagi mendapatkan pokok yang seragam dalam kuantiti yang banyak.

Kemudian pemilihan nama dilakukan dan didaftarkan di bawah International Registration Authority of Orchid Hybrids, England yang beribu pejabat di United Kingdom.

didaftarkan

"Sebelum dihantar untuk didaftarkan, perlu dipastikan kacukan induk belum pernah digunakan oleh sesiapa serta nama yang diberikan juga belum lagi didaftarkan.

''Jika dulu pendaftaran nama mengambil masa sebulan tetapi dengan Internet hanya mengambil masa paling lama dua hingga tiga hari," katanya.

Di bawah Plant Variety Protection Act atau Akta Perlindungan Varieti Tanaman, pelindung bagi varieti tanaman yang dihasilkan oleh sesebuah organisasi mahu pun individu, boleh diperolehi dari Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

''Dengan itu mereka yang terlibat dalam menghasilkan varieti akan mendapat faedah dari segi royalti," katanya yang juga menjadi ahli dalam akta berkenaan.

Kini kata Fadelah, MARDI sedang menjalankan kajian pembiakbakaan ke atas orkid genus Cattelya yang merupakan orkid yang biasanya ditanam di negara empat musim.

Hibrid orkid Cattleya yang sesuai ditanam di dalam pasu ini telah dikacuk dan kini sedang mula dinilai serta dipilih di MARDI bagi menghasilkan hibrid orkid baru yang tahan lama, kerap berbunga dan berbau harum.

Fadelah berkata, MARDI dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia menjalankan kajian menghasilkan orkid mutan.

Projek yang bermula dalam Rancangan Malaysia ke 7 (RMK-7) telah menggunakan orkid Mokara Chark Kuan 'Pink' telah digunakan sebagai hibrid orkid kawalan.

Bahagian protokorm yang dihasilkan semasa proses kultur tisu diberikan radiasi gamma antara 10 hingga 40 Gy.

Protokorm yang telah menjalani teknik radiasi menjalankan proses kultur tisu seperti biasa sehingga menghasilkan hibrid orkid Mokara mutan.

Hibrid mutan yang terbaik telah dipilih dari segi ciri-ciri bunganya yang menarik seperti saiz, warna dan panjang tangkai.

"Orkid Mokara mutan yang diberikan radiasi sebanyak 40 Gy telah menghasilkan bunga bersaiz lebih besar, warna pink yang lebih terang berbanding hibrid asal.

"Mutan ini sesuai bagi industri bunga keratan atau bagi landskap," katanya.

Kajian yang dijalankan dapat mengurangkan penggantungan pengusaha terhadap bahan tanaman luar negara seperti Thailand.

Fadelah menambah, banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan industri florikultur dengan adanya pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi tujuan mengkomersialkan hibrid-hibrid baru.

Setakat ini terdapat 20 hibrid orkid yang dihasilkan oleh MARDI.

1. Mokara Tengku Anis

2. Cattleytonia Datin Zuraidah

3. Dendrobium Sultanah Kalsom

4. Dendrodium Datin Seri Jeanne

5. Dendrobium Abdullah Badawi

6. Kagawara Tuanku Syed Sirajuddin

7. Mokara Puan Seri Norainee

8. Mokara Datin Seri Endon

9. Ascocenda Puan Sri Suslita

10. Dendrobium Datin Zakiyah

11. Aranda Doctor Siti Hasmah

12. Mokara Tuanku Siti Aishah

13. Dendrobium Tuanku Fauziah

14. Dendrobium Doctor Sharif

15. Dendrobium Tuanku Najihah

16. Trichovanda MARDI

17. (Cattleya intermedia) x

(Cattleya Bow Bellsvar. Sri Sanusi)

18. Dendrobium Chogm

19. Dendrobium Nila Inangda

20. Kagawara Queen Elizabeth