Showing posts with label SAYURAN. Show all posts
Showing posts with label SAYURAN. Show all posts

Tuesday, January 12, 2010

TANAMAN ORGANIK

TIMUR

ARKIB : 07/04/2009

Baja organik lebih selamat


norizan Othman (dua dari kanan) memberikan penerangan mengenai penggunaan baja organik kepada pegawai FAMA dan dua petani yang menyertai kursus di ladang jagungnya. - utusan / ali mahmood


TEMERLOH 6 April - Kesedaran terhadap kelebihan sayur-sayuran yang menggunakan baja organik kini semakin mendapat tempat di kalangan rakyat negara ini.

Ia berikutan meningkatnya kesedaran orang ramai terhadap penjagaan kesihatan.

Meskipun penggunaan baja kimia dapat meningkatkan pengeluaran selain hasil tanaman yang kelihatan lebih 'cantik,' namun ia boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan manusia.

Selain itu, harga baja kimia adalah lebih mahal berbanding baja organik terutama selepas kenaikan harga minyak pada pertengahan tahun lalu.

Bagaimanapun, masih tidak ramai petani yang menggunakan kaedah baja organik dalam kerja-kerja penanaman.

Ia mungkin disebabkan penyediaan baja organik yang dianggap leceh berbanding baja kimia yang boleh dibeli di mana-mana premis untuk ditaburkan di atas tanaman

Salah seorang pengusaha tanaman sayur-sayuran yang menggunakan kaedah baja organik ialah Norizan Othman, 47, dari Lanchang, dekat sini.

Beliau merupakan satu-satunya petani di Lanchang yang mengusahakan pertanian menggunakan baja organik.

Apa yang menarik, Norizan menggunakan ramuan daripada tanaman herba seperti serai wangi, bawang putih, halia dan cili yang diadun untuk dijadikan baja serta racun serangga.

Bagi Norizan, soal keselamatan makanan adalah perkara penting yang tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, beliau merasakan menjadi bertanggungjawabnya untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya soal keselamatan makanan kerana ia berkait rapat dengan kesihatan.

Justeru, beliau mengambil keputusan untuk menghentikan penggunaan baja kimia di ladangnya yang diusahakan sejak 12 tahun lalu dengan beralih kepada tanaman sayur-sayuran berasaskan penggunaan baja organik.

Bagi Norizan, penggunaan baja organik didapati bukan sahaja selamat tetapi dapat menjimatkan 30 peratus kos pengurusan ladang manakala hasil pengeluaran meningkat sehingga enam kali ganda.

''Hasil sayur-sayuran menggunakan baja organik lebih berkualiti dan selamat dari sudut kesihatan kerana menggunakan baja semula jadi dan mesra alam.

''Malah sayur-sayuran berasaskan baja organik mendapat pasaran yang baik apabila wujud kesedaran di kalangan orang ramai yang kini lebih mementingkan soal penjagaan kesihatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Norizan mula menyedari kebaikan penggunaan baja organik setelah mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI) enam tahun lalu dan merasakan ia menjadi tanggungjawabnya untuk memberitahu masyarakat supaya berhenti membeli sayur-sayuran berasaskan baja kimia.

Beliau yang menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanah adik-beradiknya sejak 14 tahun lalu berharap dapat mendidik masyarakat supaya menggalakkan mereka memakan sayur-sayuran berasaskan baja organik dengan terlibat secara langsung menggunakan baja tersebut di ladangnya sendiri.

Norizan mula menggunakan baja organik pada Mei 2004 menerusi syarikatnya, Organick Natural Farming Sdn. Bhd. (Organick Natural Farming) bersama suaminya, Hamdan Mat Jusuh, 48, dengan mengusahakan tanaman timun, petola dan peria.

Beliau yang pernah bekerja di sebuah syarikat kuari di Lanchang selama tujuh tahun berminat dalam bidang pertanian sejak mendirikan rumah tangga 30 tahun lalu dengan memanfaatkan tanah di sekeliling rumahnya selepas pulang dari kerja.

Bagaimanapun selepas suaminya tamat kontrak sebagai pekerja syarikat yang mengendali Lebuh Raya Karak-Gombak (MTD Prime), mereka mengambil keputusan menceburi bidang pertanian sepenuh masa dengan mengusahakan tanah seluas 0.8 hektar milik adik-beradiknya.

Selepas lima tahun mengusahakan tanah tersebut, Norizan membeli tanah seluas 1.2 hektar dengan harga RM70,000 hasil simpanan dan pinjaman bank.

Kesungguhan pasangan suami isteri itu mendapat pengiktirafan Jabatan Pertanian apabila ladangnya mendapat anugerah Ladang Organik Kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut pada 2005, 2006 dan 2007.

''Dengan penggunaan baja kimia, pendapatan kami sekitar RM2,000 tetapi meningkat kepada RM6,000 apabila beralih kepada baja organik.

''Selain turut menggunakan racun serangga yang bebas daripada penggunaan bahan kimia, saya menggunakan semburan cecair yang diperbuat daripada campuran bawang putih, halia, daun serai wangi dan cili api," katanya.

Menurutnya, penggunaan racun serangga berasaskan organik juga lebih selamat kerana ia tidak memberi kesan sampingan kepada orang ramai yang memakan sayur.

''Penggunaan serai wangi dapat menghalang daripada kehadiran haiwan perosak tanaman di ladang sayur saya," jelasnya.

Bagi menambah pengetahuannya dalam pertanian organik, Norizan sentiasa mengikuti kursus dan program berkaitan yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) seperti klinik usahawan tani dan sebagainya.

Kejayaannya mengusahakan ladangnya itu menarik perhatian beberapa pihak yang mengundang beliau untuk memberi ceramah dan berkongsi pengalaman dengan para petani yang ingin menceburi pertanian berasaskan baja organik.

Sepanjang tahun ini beliau diundang untuk memberikan ceramah di Perlis, Kelantan, Pahang, Melaka dan Selangor melalui Latihan Sangkut iaitu cara memproses dan mengusahakan tanaman menggunakan baja organik.

Selain mendapat pengiktirafan Ladang Organik Kebangsaan, ladangnya, Organick Natural Farming turut mendapat lesen Skim Organik Malaysia (SOM) 2007 dan pernah mewakili negara ke Persidangan Ladang ASEAN pada 2005 yang berlangsung di Kemboja.

Menceritakan pengalaman awal ketika menggunakan baja organik untuk tanaman sayur-sayuran, beliau dan suaminya menempuh pelbagai dugaan terutama ketika cuba menembusi pasaran tempatan.

''Pada peringkat permulaan, saya menghadapi cabaran yang agak getir kerana terpaksa memasarkan sayur-sayuran di pasar borong dan terpaksa bersaing harga yang sama dengan sayur-sayuran yang menggunakan baja kimia.

''Namun kini alhamdulillah, sayur-sayuran saya telah dipasarkan di Kepong iaitu tempat pasaran hasil pertanian berasaskan baja organik.

''Saya percaya kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kesihatan semakin tinggi dan suatu hari nanti mereka akan beralih kepada hasil pertanian menggunakan baja organik," katanya.

Norizan kini bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang menjalankan kursus mengenai pertanian berasaskan baja organik untuk memberikan bimbingan kepada usahawan tani di negeri ini.

SAYURAN ORGANIK

JOHOR

ARKIB : 16/08/2008

Saidon petani sayuran organik berjaya


Saidon Ahmad menunjukkan kacang panjang yang ditanam secara organik di ladangnya di Projek Pertanian Moden Kluang.


KLUANG 15 Ogos - Berbekalkan minat dan contoh kejayaan ramai petani dalam PPMK, Saidon Ahmad turut menceburkan diri mengusahakan tanaman sayuran secara organik di Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK).

Dengan bermodalkan wang simpanan, Saidon, 62, mendaftar perniagaan syarikatnya, Agensi Pekerjaan Saidon Sdn. Bhd. dan seterusnya menjadi peserta PPMK setelah memenuhi segala syarat yang ditetapkan lebih setahun lalu.

Beliau memajak tanah seluas 20 hektar dan kemudian memulakan fasa pertama tanaman sayuran organik di tanah seluas 10 hektar dengan modal RM200,000 bagi setiap 0.4 hektar.

Menurutnya, penanaman sayur secara organik yang diusahakannya tidaklah begitu sukar kerana penjagaannya tidak cerewet dan baja yang digunakan ialah baja kompos.

Tambahnya pula cara tanaman dan pembajaan adalah mengikut piawaian Sijil Organik Malaysia (SOM) yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sayuran itu ialah peria, sawi, bendi dan kacang panjang yang mana setiap sayuran ditanam di atas tanah seluas 0.4 hektar dengan menggunakan rumah lindungan hujan yang diperbuat daripada jaring.

Katanya lagi, setiap 0.4 hektar terdapat empat buah rumah lindungan hujan dan dari jauh ia kelihatan seperti kelambu.

Bekas tentera yang meminati bidang pertanian itu berkata, buat masa ini, 10 hektar telah diusahakan untuk fasa pertama yang menelan belanja kira-kira RM5 juta manakala fasa kedua seluas 10 hektar lagi akan bermula tahun depan.

Menurutnya lagi, modal permulaan yang digunakan pada awal mengusahakan tanaman organik itu ialah RM500,000 tetapi beliau mendapat pulangan cepat kerana sayur-sayuran yang ditanam boleh mengeluarkan hasil seawal tiga minggu selepas ditanam.

"Tetapi kalau kacang panjang dan peria, memakan masa agak lama iaitu antara sebulan setengah hingga dua bulan," jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Saidon menambah, kesemua tanaman disiram menggunakan semburan dan dua buah kolam seluas 200 kaki persegi setiap satu dibuat untuk membekalkan air bagi tujuan semburan yang menelan belanja RM300,000.

Beliau tidak mengalami masalah pasaran kerana salah sebuah syarikat yang menjadi peserta PPMK akan membeli terus sayur-sayurnya untuk dipasarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.

Bapa kepada 10 orang anak itu tidak pernah jemu mengusahakan pertanian yang telah menjadi tunggak kejayaan paling bermakna buat dirinya sejak setahun lalu dan salah seorang anaknya, Mohd. Zam Zam, 34, turut membantunya dalam segala urusan.

Beliau juga dibantu oleh 16 pekerja yang menjaga ladangnya selama 24 jam secara bergilir-gilir.

Setakat ini, katanya, pengeluaran hasil pertanian daripada ladangnya mendapat pulangan antara RM21,000 hingga RM63,000 setiap musim iaitu antara sebulan setengah hingga dua bulan.

Katanya, pada pengeluaran pertama iaitu enam minggu selepas ditanam semasa mula-mula menyertai PPMK, dia berjaya menghasilkan sebanyak 12 tan sayuran organik bernilai kira-kira RM36,000.

"Di sini terbukti pertanian sebagai satu perniagaan. Semua hasil pertanian peserta di sini turut dipasarkan ke pasaran luar negara, itu yang membuatkan saya lebih bersemangat," jelasnya.

Sunday, December 20, 2009

SAYURAN DI LAMAN SUMBER PENDAPATAN

Dr. Rushmini Maris banyak memberikan khidmat nasihat kepada jiran-jiran yang terpesona melihat tanamannya yang hidup subur.

Faktor ketiadaan tanah yang sesuai bukan lagi boleh dijadikan alasan untuk tidak menceburkan diri dalam bidang pertanian yang kini menjanjikan pulangan lumayan.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Mereka yang berminat, sudah tentu ada jalan penyelesaian, apatah lagi sekiranya mempunyai modal yang mencukupi.

Malah, banyak pengusaha pertanian yang berjaya hasil daripada kegigihan di samping mempunyai daya kreativiti serta inisiatif yang luar biasa.

Ketika masyarakat hanya mengetahui ilmu pertanian tradisional dan konvensional, segelintir pengusaha pula memikirkan cara yang lebih kreatif tetapi menarik dan yang lebih penting, mendatangkan pulangan menguntungkan.

Sebagai contoh, dengan hanya menggunakan sabut kelapa yang dihancurkan serta formulasi baja yang sesuai, tanaman sayuran bukan saja tumbuh subur tetapi juga mengeluarkan hasil yang amat menggalakkan.

Teknologi tersebut telah dimanfaatkan oleh seorang bekas guru yang masih menimba pengalaman tetapi berjaya membuktikan kemampuannya mengeluarkan hasil sayur-sayuran berbekalkan kreativiti.

Melihat kepada latar belakang dan pengalaman, Ismail Harun, 63, bukan calang-calang orang yang sanggup bergelumang lumpur dengan menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Bekas guru Bahasa Inggeris yang tidak jemu menimba ilmu ini telah melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Strategik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum bertugas di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Bagi menimba pengalaman, Ismail berubah angin ke German Foundation sebagai pakar runding dalam bidang motivasi meliputi latihan dan bekerja secara berkumpulan.

“Biarpun telah bersara, saya melihat bidang pertanian memang boleh menjana pendapatan yang lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya yang banyak menerima galakan dan sokongan isterinya, Mariam Hamid serta anak-anaknya.

Melihat kepada masalah yang dihadapi usahawan tani yang tiada tanah untuk berkecimpung dalam bidang pertanian, anak kelahiran Kelantan ini mengambil inisiatif menggunakan bahan buangan sebagai media utama bagi mencapai cita-citanya.

Ismail berkata, sabut kelapa yang biasanya dibuang begitu saja boleh digunakan dalam pertanian kerana ia dapat menyerap air mempunyai ketahanan melindungi tanaman meskipun tidak disiram air selama beberapa hari.

“Sabut kelapa mempunyai kelebihan kerana ia hanya menyerap tetapi tidak menakung air,” katanya yang mengkaji sifat sabut kelapa.

Penggunaan sabut sebagai media tanaman, kata Ismail adalah lebih baik kerana ia bersih dari segi jangkitan kulat dan mikroorganisma lain serta mudah diselenggarakan berbanding tanah.

Caranya cukup mudah hanya letakkan sabut yang telah dihancurkan dalam pasu atau polibeg secara padat, letakkan benih tanaman dan siram secara berkala.

“Malah polibeg atau pasu yang diisi sabut juga boleh diletakkan di dalam rumah bagi menanam sayuran yang digunakan setiap hari seperti cili, tomato, pandan, serai, halia, terung dan ulam-ulaman.

“Teknik ini bukan saja dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur tetapi juga mengindahkan lagi kawasan rumah,” katanya yang amat prihatin dengan krisis makanan yang melanda dunia hari ini.

Kaedah tanaman berkenaan bukan saja boleh digunakan pada rumah banglo atau teres tetapi juga sesuai bagi pangsapuri dan kondominium yang mempunyai ruang yang terhad.

Malah kawasan sekitar rumah Ismail dimanfaatkan sepenuhnya dengan pelbagai jenis tanaman sayuran, ulaman dan vanila serta sebuah kolam ikan bagi kegunaan keluarganya.

Kaedah yang telah mula diadaptasi oleh anak-anaknya serta jiran-jiran di Kampung Batu 23, Paya Lebar, Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor telah membuahkan hasil yang menggalakkan.

“Terdapat juga jiran yang telah mula menjual hasil tanaman mereka menggunakan kaedah menggunakan sabut.

“Oleh kerana kaedahnya mudah dan kosnya yang amat rendah, ia mudah dilakukan oleh sesiapa saja,” katanya.

Sebagai bekas pakar motivasi, Ismail tetap dengan misinya membawa masyarakat sekitarnya keluar dari kepompong kemiskinan yang melingkari mereka.

Misalnya seorang penduduk kampung yang mula menanam terung dengan hanya lapan buah polibeg kini telah menambahkan tanamannya kepada lebih 20 polibeg.

Kini tanaman terung yang dihasilkan penduduk kampung berkenaan telah mula memberikan pulangan yang lumayan.

Salah seorang anak mereka, Dr. Rushmini Maris Ismail, bukan saja banyak membantu tetapi telah mengaplikasikan kaedah berkenaan di kawasan perumahannya di Semenyih, Selangor.

Dr. Rushmini Maris berkata, sejak mula menanam tanaman menggunakan sabut, rumahnya menjadi tumpuan jiran-jiran.

“Ramai yang berminat untuk mencubanya kerana tanaman bukan saja mudah dijaga tetapi juga sihat dengan mengeluarkan hasil yang menggalakkan,” kata pakar perubatan yang sering memberikan khidmat nasihat kepada jiran-jirannya.

Kini rumah Dr. Rushmini bukan saja dipenuhi dengan pelbagai jenis sayuran yang cantik dan berwarna-warni tetapi beliau dapat mengurangkan kos belanja dapur.

“Saya akan terus mengajak jiran-jiran agar sama-sama mengindahkan laman dengan tanaman makanan yang boleh membantu dalam menangani krisis makanan yang bakal meruncing,” katanya yang amat prihatin dengan situasi yang berlaku sekarang.

Ismail menambah, media tanaman yang baik saja tidak akan mendatangkan hasil menggalakkan tanpa formulasi baja yang baik.

“Formulasi baja juga penting bagi menjadikan pokok yang ditanam lebih subur,” katanya yang menghasilkan baja sendiri menerusi kajian berterusan yang dilakukan.

Baja yang dihasilkan adalah daripada campuran biasa 13 unsur galian tetapi formulasinya berbeza berbanding yang dijual di pasaran.

Ismail berkata, baja yang dihasilkan telah diuji mengikut apa yang diperlukan oleh tanaman secara optimum.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai kaedah penanaman menggunakan sabut dan formulasi baja boleh menghubungi Ismail di 03-90216220 atau Mariam di 012-6258790.