Faktor ketiadaan tanah yang sesuai bukan lagi boleh dijadikan alasan untuk tidak menceburkan diri dalam bidang pertanian yang kini menjanjikan pulangan lumayan.
Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Mereka yang berminat, sudah tentu ada jalan penyelesaian, apatah lagi sekiranya mempunyai modal yang mencukupi.
Malah, banyak pengusaha pertanian yang berjaya hasil daripada kegigihan di samping mempunyai daya kreativiti serta inisiatif yang luar biasa.
Ketika masyarakat hanya mengetahui ilmu pertanian tradisional dan konvensional, segelintir pengusaha pula memikirkan cara yang lebih kreatif tetapi menarik dan yang lebih penting, mendatangkan pulangan menguntungkan.
Sebagai contoh, dengan hanya menggunakan sabut kelapa yang dihancurkan serta formulasi baja yang sesuai, tanaman sayuran bukan saja tumbuh subur tetapi juga mengeluarkan hasil yang amat menggalakkan.
Teknologi tersebut telah dimanfaatkan oleh seorang bekas guru yang masih menimba pengalaman tetapi berjaya membuktikan kemampuannya mengeluarkan hasil sayur-sayuran berbekalkan kreativiti.
Melihat kepada latar belakang dan pengalaman, Ismail Harun, 63, bukan calang-calang orang yang sanggup bergelumang lumpur dengan menceburkan diri dalam bidang pertanian.
Bekas guru Bahasa Inggeris yang tidak jemu menimba ilmu ini telah melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Strategik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum bertugas di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).
Bagi menimba pengalaman, Ismail berubah angin ke German Foundation sebagai pakar runding dalam bidang motivasi meliputi latihan dan bekerja secara berkumpulan.
“Biarpun telah bersara, saya melihat bidang pertanian memang boleh menjana pendapatan yang lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya yang banyak menerima galakan dan sokongan isterinya, Mariam Hamid serta anak-anaknya.
Melihat kepada masalah yang dihadapi usahawan tani yang tiada tanah untuk berkecimpung dalam bidang pertanian, anak kelahiran Kelantan ini mengambil inisiatif menggunakan bahan buangan sebagai media utama bagi mencapai cita-citanya.
Ismail berkata, sabut kelapa yang biasanya dibuang begitu saja boleh digunakan dalam pertanian kerana ia dapat menyerap air mempunyai ketahanan melindungi tanaman meskipun tidak disiram air selama beberapa hari.
“Sabut kelapa mempunyai kelebihan kerana ia hanya menyerap tetapi tidak menakung air,” katanya yang mengkaji sifat sabut kelapa.
Penggunaan sabut sebagai media tanaman, kata Ismail adalah lebih baik kerana ia bersih dari segi jangkitan kulat dan mikroorganisma lain serta mudah diselenggarakan berbanding tanah.
Caranya cukup mudah hanya letakkan sabut yang telah dihancurkan dalam pasu atau polibeg secara padat, letakkan benih tanaman dan siram secara berkala.
“Malah polibeg atau pasu yang diisi sabut juga boleh diletakkan di dalam rumah bagi menanam sayuran yang digunakan setiap hari seperti cili, tomato, pandan, serai, halia, terung dan ulam-ulaman.
“Teknik ini bukan saja dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur tetapi juga mengindahkan lagi kawasan rumah,” katanya yang amat prihatin dengan krisis makanan yang melanda dunia hari ini.
Kaedah tanaman berkenaan bukan saja boleh digunakan pada rumah banglo atau teres tetapi juga sesuai bagi pangsapuri dan kondominium yang mempunyai ruang yang terhad.
Malah kawasan sekitar rumah Ismail dimanfaatkan sepenuhnya dengan pelbagai jenis tanaman sayuran, ulaman dan vanila serta sebuah kolam ikan bagi kegunaan keluarganya.
Kaedah yang telah mula diadaptasi oleh anak-anaknya serta jiran-jiran di Kampung Batu 23, Paya Lebar, Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor telah membuahkan hasil yang menggalakkan.
“Terdapat juga jiran yang telah mula menjual hasil tanaman mereka menggunakan kaedah menggunakan sabut.
“Oleh kerana kaedahnya mudah dan kosnya yang amat rendah, ia mudah dilakukan oleh sesiapa saja,” katanya.
Sebagai bekas pakar motivasi, Ismail tetap dengan misinya membawa masyarakat sekitarnya keluar dari kepompong kemiskinan yang melingkari mereka.
Misalnya seorang penduduk kampung yang mula menanam terung dengan hanya lapan buah polibeg kini telah menambahkan tanamannya kepada lebih 20 polibeg.
Kini tanaman terung yang dihasilkan penduduk kampung berkenaan telah mula memberikan pulangan yang lumayan.
Salah seorang anak mereka, Dr. Rushmini Maris Ismail, bukan saja banyak membantu tetapi telah mengaplikasikan kaedah berkenaan di kawasan perumahannya di Semenyih, Selangor.
Dr. Rushmini Maris berkata, sejak mula menanam tanaman menggunakan sabut, rumahnya menjadi tumpuan jiran-jiran.
“Ramai yang berminat untuk mencubanya kerana tanaman bukan saja mudah dijaga tetapi juga sihat dengan mengeluarkan hasil yang menggalakkan,” kata pakar perubatan yang sering memberikan khidmat nasihat kepada jiran-jirannya.
Kini rumah Dr. Rushmini bukan saja dipenuhi dengan pelbagai jenis sayuran yang cantik dan berwarna-warni tetapi beliau dapat mengurangkan kos belanja dapur.
“Saya akan terus mengajak jiran-jiran agar sama-sama mengindahkan laman dengan tanaman makanan yang boleh membantu dalam menangani krisis makanan yang bakal meruncing,” katanya yang amat prihatin dengan situasi yang berlaku sekarang.
Ismail menambah, media tanaman yang baik saja tidak akan mendatangkan hasil menggalakkan tanpa formulasi baja yang baik.
“Formulasi baja juga penting bagi menjadikan pokok yang ditanam lebih subur,” katanya yang menghasilkan baja sendiri menerusi kajian berterusan yang dilakukan.
Baja yang dihasilkan adalah daripada campuran biasa 13 unsur galian tetapi formulasinya berbeza berbanding yang dijual di pasaran.
Ismail berkata, baja yang dihasilkan telah diuji mengikut apa yang diperlukan oleh tanaman secara optimum.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai kaedah penanaman menggunakan sabut dan formulasi baja boleh menghubungi Ismail di 03-90216220 atau Mariam di 012-6258790.
No comments:
Post a Comment