Pelaga hijau ikan hiasan manja

Ikan Arowana |
|
IKAN Arowana atau Scleropages Formousus ialah sejenis ikan hiasan yang sangat popular dan agak tinggi harganya. Disebabkan aktiviti penangkapan yang berleluasa sejak 70-an sehingga kini, jumlah populasinya di habitat asal semakin berkurangan dan pupus. Oleh kerana itu spesies ikan ini telah dilindungi sebagai spesies kawalan untuk diimport dan dieksport di bawah Convention on the International Trade in Endargered Species of Wild Fauna and Flora (CITES). Di Malaysia, aktiviti penternakan ikan Arowana juga turut dijalankan secara komersial untuk tujuan eksport ke pasaran antarabangsa dan antara agensi yang terbabit ialah Jabatan Perikanan. Secara semulajadi, ikan ini membiak sekali dalam setahun iaitu pada Jun hingga Ogos di habitat asalnya. Di pasaran tempatan , Arowana Emas Malaysia dan Arowana Merah Indonesia bersaiz 15-20cm dijual dengan harga sekitar RM 1,500 – RM2,000 seekor , manakala Arowana Emas Indonesia dijual dengan harga RM300 – RM500 seekor. Ikan Arowana Hijau pula dijual dengan harga sekitar RM25 –RM30 seekor. Bagi pasaran tempatan , ikan ini tanpa memerlukan sebarang kawalan undang-undang. Di peringkat pasaran antarabangsa, urusniaga Arowana memelukan permit CITES yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan. Hanya ikan generasi F2 dari “Commercial Captive-breeding Operstion ” yang ditakrifkan oleh CITES dibenarkan untuk diurus niaga. Bagi syarikat atau individu yang menjalankan operasi pengeluaran benih Arowana untuk pasaran luar negara , perlu mendaftar sebagai “ Commercial Captive –breeding Operation ” dengan kerjasama Jabatan Perhilitan . Syarikat utama yang perlu dipatuhi ialah ikan mestilah boleh dibiakkan dalam kurungan Sekurang-kurangnya sehingga generasi kedua atau F2. Berdasarkan analisis LKIM, pelaburan ke atas projek ini agak besar yang mana kos bagi memulakan ternakan Arowana di atas tanah seluas 0.25 hektar dianggarkan sebanyak RM139,392 dengan kelengkapan paling minimum. Pulangan atau hasil pula hanya akan diperoleh pada tahun keempat atau kelima namun bergantung kepada tahap baka induk yang baik, pemakanan dan pengurusan. Nilai pasaran ikan Arowana juga dipengaruhi oleh cita rasa peminat ikan tersebut namun ketika ini, permintaan serta harganya masih tinggi terutama bagi pasaran antarabangsa. Secara umumnya ketika ini tidak ramai yang mampu menceburi bidang pengeluaran benih ikan ini kerana modal permulaan dan operasi yang agak tinggi termasuk mengambil masa yang agak lama untuk membiak iaitu kebiasaannya pada umur lima tahun. Bagaimanapun, melihat kepada pasaran semasa, aktiviti ini boleh dilaksanakan dan mendatangkan pulangan yang lumayan. |
![]() |
Ternakan ikan arowana di Bukit Merah sangat popular di kalangan pengeksport.- Gambar hiasan |
BERDASARKAN laporan Jabatan Perikanan, industri ikan hiasan Malaysia telah berkembang dengan pesat.
Ini berdasarkan statistik anggaran tahun 2008 bahawa pengeluaran dari industri ikan hiasan adalah 733 juta ekor ikan.
Ini bersamaan dengan nilai RM759 juta dan ini merupakan peningkatan sebanyak 31.4 peratus (pengeluaran) dan 17.3 peratus (nilai pengeluaran) jika berbanding dengan tahun 2007.
Dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) sehingga tahun ini , ikan hiasan telah di kenal pasti sebagai salah satu komoditi dan bidang usaha yang diberi keutamaan.
Salah satu spesies ikan hiasan utama negara adalah ikan arowana (Scleropages formosus) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti industri ikan arowana sebagai salah satu industri bernilai tinggi.
Bagi memastikan pembangunan industri ikan arowana yang berterusan, Jabatan Perikanan telah mengadakan satu Pelan Pengurusan Pemuliharaan Ikan Arowana di Tasik Bukit Merah supaya habitat asal ikan arowana ini dapat dipulihara.
Di negara ini, Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) merupakan sebuah pusat penyelidikan di bawah Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan.
PPPAT yang terletak kira- kira 15 kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, PPPAT Glami Lemi yang dahulunya beroperasi di Batu Berendam Melaka mula beroperasi di Titi, Jelebu Negeri Sembilan mulai awal tahun 2007.
Fungsi utama PPPAT ini ialah menjalankan pelbagai kajian dalam bidang akuakultur termasuklah;
lMenjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang akuakultur dan perikanan air tawar
lMengkaji, mengumpul dan menyebarkan maklumat yang berkaitan.
lMemelihara perhubungan dan kerjasama penyelidikan dengan lain-lain sektor perikanan dan organisasi
Objekitif PPPAT
lMewujudkan teknologi yang sesuai untuk pembiakan dan ternakan ikan makan dan ikan hiasan air tawar
lMewujudkan pengurusan perikanan yang rasional dan akuakultur mapan persekitaran
lMenjadi pusat rujukan dan perkhidmatan pakar
lMeningkatkan keupayaan teknikal penternak dan kakitangan jabatan melalui latihan dll.
lMeningkatkan hasil keseluruhan ikan yang berkualiti di dalam negara
lPemuliharaan biodiversiti hidupan akuatik
Untuk mencapai objektif tersebut PPPAT Glami Lemi menjalankan aktiviti penyelidikan dalam bidang bioteknologi molekul dan penentuan foligenetik ikan air tawar.
Dalam bidang bioteknologi enzim, penyelidikan ditumpukan untuk menyaring mikro organisma yang boleh berupaya mereputkan komponen-komponen tumbuhan yang tidak dapat dihadam oleh ikan.
Dalam bidang pembiakan ikan, PPPAT mencari kaedah pembiakan terkini serta menghasilkan induk, benih dan baka berkualiti.
PPPAT juga menjalankan kajian ternakan untuk pelbagai spesies ikan air tawar serta merancang program pemilihan genetik ikan untuk menambah produktiviti ternakan ikan.
Selain itu, ia penting dalam bagi mewujudkan kaedah pengurusan perikanan yang rasional dan amalan akuakultur yang mapan kepada persekitaran bagi perairan tertutup. Juga sebagai tempat rujukan dan perkhidmatan pengembangan di dalam bidang perikanan darat seluruh negara.
Ia juga menyimpan inventori spesies ikan di perairan darat Malaysia dan memulihara biodiversiti hidupan air.
Pasaran ikan arowana tertumpu kepada eksport.
Negara eksport utama ialah Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.
![]() |
Ismail Ali bangga menunjukkan ikan arowana gold. |
EMAS berenang dengan warna yang pelbagai dan dianggap membawa tuah. Mungkin itu kata-kata paling tepat menggambarkan bagaimana ikan arowana terlalu berharga.
Sebab itu, industri ini semakin menarik minat mereka yang berkemampuan untuk melabur, kerana melihat potensinya yang boleh menjana keuntungan lumayan.
Sebab itu, banyak syarikat telah menceburkan untuk membuat pelaburan sama ada sebagai perniagaan teras atau cabang perniagaan, dan jumlahnya semakin meningkat terutama di kawasan Bukit Merah.
Bagi Happy Arowana Farm, keluasan kawasan yang mencecah 200 hektar (500 ekar) itu sewajarnya dimanfaatkan sebagai kawasan pertumbuhan industri ternakan ikan arowana.
Apatah lagi menurut pemiliknya Ismail Ali, 33, kira-kira 90 peratus kawasan tersebut telah diwartakan sebagai ladang ternakan ikan tersebut.
"Kawasan ini terkenal sebagai pusat ternakan ikan kelisa kerana kesesuaian airnya dengan pH antara 6.8 dan 7.4 dari tasik berhampiran,'' katanya sambil menjelaskan kesemua kawasan ternakan pada asalnya merupakan bendang sawah.
Ismail, anak jati Alor Pungsu, berhampiran kawasan Bukit Merah menceritakan, penglibatannya sebenarnya bertitik tolak daripada pengalamannya sejak kecil iaitu pada 1987 yang sering mencari ikan di Sungai Kerian.
Sehinggalah pada tahun lepas, dia menyambung minatnya meskipun terlibat dengan beberapa pekerjaan lain.
Ismail memberitahu, dia bermula secara serius setelah mengambil kira potensi industri tersebut yang berpotensi dikembangkan dan menjana usahawan tempatan.
Selepas berusaha dengan modal permulaan RM80,000 dengan berniaga menjual induk ikan kelisa, Ismail mengorak langkah lebih jauh untuk mengembangkan lagi projek ternakannya.
Katanya, ikan arowana bagaikan emas berenang dan membiak untuk menjana pendapatan. Dalam tempoh lima bulan sahaja terlibat dalam perdagangan induk, dia mampu menjana pendapatan lumayan
"Satu ketika saya mengalami kerugian kerana masalah yang tidak dijangka tetapi tidak mematahkan semangat,'' katanya.
Dia membuka kolam ternakan dan menawarkan kepada mereka yang berminat untuk melabur, dan pada masa sama masih menjual induk ikan.
Pakej yang ditawarkannya tidak begitu membebankan iaitu seorang pelabur ditawarkan induk ikan arowana emas (Malaysia Gold atau spsies lain seperti high back dengan 20 induk setiap satu pakej.
Ketika ini, syarikat berkenaan menawarkan 30 buah kolam atau 30 pakej manakala fasa kedua akan menyusul yang menawarkan 70 buah kolam.
Setiap pakej menawarkan kontrak lima tahun dengan penyelenggaraan dan makanan dibiayai oleh syarikat.
Kata Ismail, hasil anak akan dipawah 50 peratus untuk syarikat dan 50 peratus lagi untuk pelabur
"Ketika ini saya menguruskan kolam yang bernilai RM4 juta," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan dapat membantu terutama dalam memberi insentif memajukan industri tersebut, khususnya dalam bidang penyelidikan atau pembiakbakaan.
Mengulas perkara tersebut, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, mana-mana pengusaha yang berminat menjalankan penyelidikan boleh memohon di bawah geran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan berkaitan,
"Mereka perlu mengadakan kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan termasuk universiti untuk tujuan ini,''katanya.
Ikan arowana katanya merupakan komoditi yang unik terutama Malaysian Gold kerana ia satu-satunya spesies di dunia.
Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak mengenai tiga komoditi di beri tumpuan menjadikannya industri yang semakin popular.
"Potensinya memang besar sebab itu ramai yang menyatakan minat melabur tetapi kita (Jabatan Perikanan) menasihati mereka supaya berhati-hati dengan tawaran pakej pelaburan yang tidak meyakinkan,'' katanya.
Junaidi berkata, akan ada pihak mengambil kesempatan menipu orang awam dengan menawarkan pakej menerusi seminar sedangkan mereka mungkin tidak memiliki kolam sekali pun.
"Tawaran pakej BMA (Bukit Merah Aquaculture) memang baik sebab mereka ada ladang dan kolam,'' katanya.
Beliau mengingatkan demikian kerana ada kes pengusaha rumpai laut yang menipu pelanggan dengan menawarkan pakej tetapi sebaliknya tidak wujud sedangkan ada peserta telah melabur.
Info
Taksonomi Arowana
Kelas: Pisces
Order Clupeiformes
Suborder Osteoglossoidei
Famili Osteoglossidae
Genus : Scleropages sp.
Spesies: Scleropages formosus
Berdasarkan pengkelasan ini ikan dalam famili Osteoglossidae dikatakan merupakan kumpulan ikan air tawar mempunyai ciri ikan primitif. Ini berdasarkan kepada fosil yang telah ditemui dimana asal usul arowana telah wujud pada zaman kewujudan dinosour di zaman karbon kira-kira 360 juta tahun dahulu.
Antara spesies ikan air tawar lain yang terkandung dalam famili ini termasuklah
l Arapaima gigas iaitu sejenis ikan air tawar yang terbesar dan arowana perak (silver), Osteoglossum bicirrhosum dan O. ferreirai yang berasal dari Amerika Selatan.
l Arowana mutiara (Scleropages leichardtii) dan arowana hitam (Scleropages jardinii) yang berasal dari Australia juga tergolong dalam famili Osteoglossidae.
l Heterotis niloticus boleh ditemui dai bahagian barat Afrika dan Sungai Nil
Jenis arowana
Pada asalnya Arowana Asia (Scleropages formosus) terbahagi kepada tiga varieti utama iaitu Arowana Emas, Arowana Merah dan Arowana Hijau.
Arowana Emas
Terdapat dua varieti iaitu varieti emas Malaysia dan emas Indonesia.
Arowana Emas Malaysia merupakan jenis yang terbaik dan cantik berbanding varieti Indonesia.
Melalui pembiakan dalam kurungan pelbagai varieti seperti blue base gold dan high back gold telah dihasilkan. Jenis albino merupakan jenis arowana emas yang paling jarang ditemui di pasaran.
Arowana Merah
Arowana Merah berasal dari Kalimantan, Indonesia tetapi ia telah dihasilkan secara intensif di ladang arowana tempatan.
Arowana Hijau
Arowana Hijau merupakan jenis yang paling meluas taburannya di negara kita..
![]() |
MInat Jamal Abdillah kepada arowana mendorong beliau memeliharanya dalam akuarium. |
"SAMPAI bila saya nak menyanyi?," soal Jamal Ubaidillah Ali atau Jamal Abdillah apabila ditanya mengapa dia menceburi ternakan ikan kelisa atau arowana, satu industri akuakultur bernilai tinggi.
Jamal membayangkan dia tidak mungkin menyanyi seumur hidup untuk menampung hidup meskipun kerjaya seni itu menjadikannya popular.
Dalam usia mencecah awal 50-an, sesuatu perlu dilakukan dan ternakan ikan menjadi pilihan memandangkan minatnya sudah lama di situ.
Jamal berterus terang bahawa minatnya dalam ternakan ikan telah berputik secara sekian lama.
Pada awal 1993 , dia membuka kedai haiwan peliharaan termasuk ikan akuarium di Kelana Jaya berniaga selama dua tahun sebelum menjualnya kerana kesibukan.
Namun, meskipun tidak lagi mengusahakan perniagaa kedai peliharaan, dia masih memelihara ikan sebagai satu daripada hobi.
Malah, kerana minatnya yang mendalam kepada ikan aroawana, dia mempunyai akuarium sendiri yang menempatkan ikan kesayangannya itu.
Jamal berkata, jiwanya begitu tenang melihat ikan berenang damai dalam akuarium.
Katanya, setiap kali kembali daripada konsert atau aktiviti luar, dia akan terus 'menyapa' ikan arowana yang dipelihara dalam akuarium.
Ikan tersebut seakan menjadi penawar kepada jiwa resahnya. Barangkali dengan kesibukan, Jamal kelihatan lebih tenang dan damai memberi makanan cengkerik di dalam akuarium tersebut.
Apatah lagi melihat ikan arowana yang mempunyai pelbagai warna menarik dan berkilauan menjadikannya teruja dan sangat menyeronokkan.
Tidak cukup dengan itu, Jamal mengorak langkah lebih jauh dengan menceburi ternakan ikan bernilai tinggi itu dengan melabur kira-kira RM360,000.
Pelaburan tersebut membolehkannya memiliki 20 ekor ikan kelisa super red di samping 20 ekor spesies Malaysia Gold.
Bayangkan seekor ikan bernilai kira-kira RM5, 000 bagi induk matang dan setipa ikan diletakkan cip sebagai pengenalan.
''Harapan saya mahu menjadikannya sumber yang menguntungkan boleh mencapai keuntungan RM1 juta jika semuanya berjalan dengan baik,'' katanya.
Pelaburan itu dibuat selepas menerima pakej yang ditawarkan oleh Bukit Merah Aquaculture Sdn. Bhd. pada tahun lepas.
Ladang ternakan ikan arowana tersebut terletak di Simpang Empat, Semanggol, Perak.
Syarikat tersebut ditubuhkan sangat tepat pada masanya Malaysia memberi keutamaan kepada ternakan ikan arowana dan Bukit Merah merupakan kawasan yang sesuai untuk ternakan dan menjadi tempat asal habitat ikan arowana di negara ini.
Ternakan ikan arowana ini telah mula dijalankan di atas tanah seluas 34 ekar semenjak 2003 dan sejumlah 400 buah kolam telah dibangunkan untuk tujuan ternakan ikan arowana jenis merah dan emas.
Menurut pemilik ladang, Ahmad Don yang juga Pengarah Urusannya, ladang beliau berupaya untuk mengeluarkan 10,000 ekor anak ikan berukuran antara tujuh dan lapan sm setiap tahun.
Pasaran utama anak-anak ikan ini adalah untuk eksport ke negara seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.
Ladang ini telah memperolehi sijil CITES yang membolehkannya menjalankan perdagangan ikan arowana ke pasaran antarabangsa.
''Saya membuka kepada pelabur menyerrai program ini dengan harapan mereka mendapat keuntungan dengan menawarkan spesies Malaysia Gold,'' katanya.
Spesies ini mendatangkan margin keuntungan lebih berbanding spesies lain.
Pakej yang ditawarkan melibatkan 20 ekor spesies Malaysian Gold bernilai RM50,000 dengan ikatan kontrak selama tujuh tahun.
Pelabur mempunyai pilihan sama ada membayar makanan ternakan sendiri selama tempoh dua tahun setengah atau 30 bulan bernilai RM2,000 sebulan atau RM60,000 selama tempoh tersebut.
Oleh itu katanya, selama tempoh ternakan 30 bulan itu, jumlah kos yang diperlukan ialah RM100,000 tetapi pelabur boleh memperoleh RM300,000 selepas itu
Pada masa sama, anak ikan yang dihasilkan di bahagi dua antara pelabur dengan syarikat BMA.
Menurut Ahmad, beliau kini mempunyai lebih 400 pelabur dengan 80 peratus merupakan bumiputera.
Bukit Merah Aquaculture Sdn. Bhd. boleh dihubungi di talian 05-8905997, emel: info@bmaquaculture.com atau layari www.bmaquaculture.com.
Semua ikan kelisa mempunyai kepala yang agak bertulang, dan badan memanjang yang dilitupi sisik besar dan berat dengan corak mozek terusan. Sirip dorsal dan dubur mempunyai sinar lembut dan agak panjang, manakala sirip pektoral dan ventral adalah kecil. Nama bony-tongue (lidah-tulang) berasal dari tulang bergigi di dasar mulut ikan kelisa, 'lidah', yang menggigit kepada gigi di lelangit mulut. Digelar dragon (naga) pula kerana sisik dan sesungutnya yang besar, menyerupai naga Cina. Ikan kelisa boleh mendapat oksigen dari udara dengan menyedutnya ke dalam pundi renangnya, yang berkedut dengan kapilari seperti tisu peparu.
Ikan kelisa merupakan haiwan karnivor. Mereka pandai melompat, dan banyak yang mencari makan berhampiran permukaan air.
Ikan kelisa terbahagi kepada sepuluh spesies: tiga dari Amerika Selatan, satu dari Afrika, empat dari Asia dan dua lagi dari Australia.
Ikan Kelisa adalah di bawah CITES (Convention on International Trade in Endangered Species). Dilarang menjual atau membeli Ikan Kelisa tanpa permit. Kebanyakan Ikan Kelisa di dalam akuarium rumah adalah daripada "fish farm" yang membiak ikan ini untuk dijual dan dieksport ke negeri lain, seperti Jepun dan Amerika.
BUKIT MERAH 7 Dis. - Awas! Jangan percaya sekiranya ada pihak tertentu yang mengajak anda melabur dalam kolam ikan kelisa yang kononnya diuruskan oleh Jabatan Perikanan kerana anda mungkin menjadi mangsa penipuan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya mengesan ada pihak tertentu pergi ke Kota Bharu, Kelantan dan menjual konsep tersebut dengan mengaitkan Jabatan Perikanan sedangkan jabatan tersebut tidak terlibat.
Beliau berkata, konsep tersebut memang wujud tetapi ia diuruskan oleh individu atau pihak swasta.
''Siapa hendak melabur kita galakkan tetapi ia urusan perniagaan biasa antara pelabur dengan pengusaha dan mereka perlu berani mengambil risiko.
''Saya tegaskan hal ini kerana tidak mahu apabila berlaku perkara tidak diingini, pelabur salahkan Jabatan Perikanan dan menuntut gantirugi daripada kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pelan pengurusan ikan kelisa emas dan melepaskan anak-anak ikan tersebut di Tasik Bukit Merah di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Noh melepaskan 110 ekor anak ikan kelisa emas bernilai RM200,000 di Tasik Bukit Merah sebagai salah satu usaha pemuliharaan ikan kelisa yang kini semakin terancam akibat aktiviti penangkapan yang berleluasa sejak 70 tahun lalu.
Ikan tersebut telah disenaraikan sebagai spesies ikan kawalan untuk perdagangan antarabangsa di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES).
Noh berkata, orang ramai yang berminat melabur dalam industri tersebut diminta berurusan secara terus dengan pengusaha kolam ikan di Bukit Merah bagi mengelakkan mereka ditipu pihak tidak bertanggungjawab.
''Industri tersebut sedang berjalan dengan baik sehinggakan anak ikan dalam perut pun tidak cukup kerana sudah ditempah awal-awal lagi.
''Oleh kerana hasilnya lumayan, ada pengusaha kolam ikan tawarkan kepada orang ramai untuk melabur dalam kolam mereka," katanya.
Harga seekor induk ikan kelisa emas biasanya bernilai RM13,000 dan kos untuk sebuah kolam ikan tersebut menelan belanja sehingga RM260,000.
Menurut beliau, industri ikan hiasan merupakan antara tiga industri bukan makanan baru bernilai tinggi yang diberi penekanan oleh kerajaan di samping rumpai laut dan burung walit.
''Sebab itu, kerajaan melalui Jabatan Perikanan bagi bantuan peralatan, prasarana, anak benih dan induk kepada pengusaha kolam ikan hiasan.
''Agro Bank juga beri pinjaman pelaburan kepada mereka yang ingin melabur dalam industri ikan kelisa ini," katanya.
Dalam pada itu, Noh berkata, perlu adanya zon akua bagi mengelakkan orang ramai menjual semua kawasan sawah padi untuk dijadikan kolam ikan kelisa.
Katanya, ekoran permintaan tinggi terhadap industri ikan kelisa, harga sawah padi kini meningkat sehingga RM300,000 berbanding RM15,000 sahaja untuk 0.4047 hektar sebelum ini.
''Kita akan bincang dengan kerajaan negeri bagaimana untuk menjadikan kawasan zon akua kerana tidak semua kawasan sawah padi boleh menjadi kolam ikan dan ini akan menjejaskan usaha negara memperluaskan kawasan sawah padi," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, industri ikan hiasan di negara ini berkembang pesat dan sebanyak 733 juta ekor ikan hiasan bernilai RM759 juta telah dikeluarkan pada tahun 2008.
"Ini merupakan peningkatan sebanyak 31.4 peratus dari segi pengeluaran dan 17.3 peratus dari segi nilai jika dibandingkan dengan 2007," katanya
![]() |
Junaidi Che Ayub (kanan) melihat ikan pelaga di pameran ikan hiasan anjuran Jabatan Perikanan Negeri Kelantan di Pasir Mas, semalam. |
KOTA BHARU 20 Julai - Malaysia berpotensi menjadi pengeskport ikan hiasan terbesar di dunia apabila memasarkan 70 juta ekor ikan tersebut ke 30 buah negara sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, pada masa kini Malaysia menguasai kira-kira 10 peratus pasaran ikan hiasan dunia dan ia mampu berkembang menjadi industri itu penyumbang utama kepada sumber pendapatan negara.
Beliau berkata, nilai pulangan eksport pada tahun lepas melebihi RM200 juta dan kerajaan sentiasa memberikan galakkan kepada orang ramai untuk berkecimpung dalam bidang akuakultur.
"Industri ikan hiasan mempunyai potensi cukup besar untuk terus dimajukan sebagai sumber ekonomi khususnya kepada penternak dan pengusaha memandangkan pasarannya yang cukup luas, apatah lagi kerajaan sentiasa memberi galakan untuk meningkatkan eksportnya ke pasaran dunia.
"Kerajaan turut menyediakan peruntukan yang besar dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dalam usaha menjadikan ikan hiasan sebagai sumber ekonomi baru yang berpotensi dimajukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Ikan Hiasan 'Betta spp' Peringkat Kelantan anjuran Jabatan Perikanan negeri di Tapak Jabatan Perikanan Jajahan Pasir Mas di sini, semalam.
Pameran julung kali membabitkan ikan jenis Betta spp atau ikan pelaga itu disertai lebih 500 peserta dari seluruh Kelantan bertujuan menggalakkan industri ikan berkenaan yang semakin mendapat tempat di kalangan peminat ikan hiasan di negara ini.
Junaidi berkata, di negara ini terdapat lebih 200 spesis ikan hiasan dan jika dikacukkan spesis ikan tersebut akan bertambah sehingga sekali ganda.
"Antara negara yang berminat terhadap spesis ikan ini antaranya Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Timur.
"Harga ikan ini boleh mencecah sehingga RM100 seekor bergantung kepada jenis spesis atau tarikan penggemar yang mampu menawarkan harga yang tinggi," jelasnya.
Katanya, bagi menggalakkan bidang tersebut, pihaknya mengadakan kempen 'satu rumah satu akuarium' dalam usaha meningkatkan pasaran ikan hiasan tempatan bagi memberi lebih banyak peluang pasaran kepada pengusaha dan penternak ikan hiasan tempatan.
Tambahnya, Jabatan Perikanan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran turut mewujudkan Kelab Ikan Hiasan di 150 sekolah seluruh negara dan ia akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah dari semasa ke semasa.
"Langkah mewujudkan Kelab Ikan Hiasan itu adalah bagi menggalakkan minat terhadap pemeliharaan ikan hiasan di kalangan pelajar sekolah di mana pertandingan antara sekolah turut diadakan setiap tahun," katanya.
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Malaysia kini merupakan pengeluar terbesar ikan hiasan dunia apabila berjaya mencapai jumlah pengeluaran tahunan hampir 700 juta ikan berbanding 458 juta ikan pada 2005.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pada masa ini, negara mensasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 860 juta ikan hiasan pada 2010, iaitu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Beliau berkata, setakat ini, negara telah menternak lebih 250 spesies, termasuk pelbagai jenis ikan eksotik untuk pasaran domestik dan dunia.
"Bagaimanapun, dalam pengeksportan ikan hiasan itu, Malaysia merupakan negara kedua terbesar apabila berjaya mengeksport hampir 100 juta ikan hiasan setahun," katanya selepas merasmikan Aquafair Malaysia 2008, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain Mustapa berkata, kerajaan bakal melancarkan zon industri perikanan yang dikenali Prospektus Industri Zon Akuakultur (AIZs) yang bertujuan membangunkan infrastruktur dan sokongan perkhidmatan industri perikanan.
Katanya, kewujudan zon itu dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM2 bilion dalam tempoh empat hingga lima tahun.
Beliau berkata, kementeriannya telah mengenalpasti tanah seluas 25,000 hektar di seluruh negara untuk menjayakan projek akuakultur itu.
"Kelulusan tanah bagi program-program AIZs adalah di bawah skop pihak berkuasa tempatan iaitu kerajaan negeri," katanya.
Menurut Mustapa, setakat ini, 1,000 hektar tanah dan empat lokasi telah dikenalpasti bagi tujuan pembangunan yang berkaitan dengan AIZs khususnya bagi pusat penternakan ikan hiasan.
Katanya, cadangan mewujudkan zon akuakultur bagi ikan hiasan mampu menarik pelabur luar negara dan domestik.
![]() |
ikan arowana yang baru menetas dan hanya memakan kuning telur. |
nisa.sulaiman@utusan.com.my
TERNAKAN ikan arowana merupakan industri ikan hiasan yang semakin berkembang pesat di sekitar kawasan Bukit Merah, Perak.
Terdapat banyak syarikat yang mula berjinak-jinak menternak arowana - antara ikan hiasan paling mahal di dunia.
Antara sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan operasi menternak dan membiak ikan arowana adalah M U Arowana Aquaculture berhampiran Bukit Merah, Perak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sahibol Anwar Arba'e berkata semuanya bermula dengan minat terhadap ikan hiasan paling mahal di dunia itu.
"Ketika itu saya mula membeli ikan arowana gold dengan harga RM2,000 seekor dan selepas beberapa bulan nilainya meningkat sehingga RM7,000 seekor.
"Pada masa itu saya menyedari ternakan ikan hiasan arowana berpotensi besar untuk dimajukan selain menguntungkan," katanya yang sebelum ini banyak menceburkan diri dalam perlbagai jenis perniagaan.
Mengkaji mengenai habitat arowana pada awal 2006, Sahibol memulakan projek ternakan dengan membina lapan buah kolam dengan keluasan 20 kaki x 50 kaki.
Pada pertengahan tahun yang sama, beliau mula mengisi setiap kolam dengan enam ekor ikan jantan dan 10 betina.
Ikan arowana bertelur setahun sekali selepas usia matang biasanya antara dua hingga tiga tahun dan semasa proses berkenaan ikan akan berpasangan sehingga masa mengeluarkan telur dan sperma.
Telur yang telah disenyawakan akan dikutip oleh ikan jantan yang akan mengeram selama dua bulan di dalam mulut sebelum diluahkan apabila anak-anak mula berenang sendiri.
"Dalam tempoh berkenaan, ikan jantan akan 'berpuasa' sehingga anak-anak dilepaskan pada tempat-tempat berlainan bagi mengurangkan risiko pemangsa," katanya.
Bagaimanapun bagi tujuan komersial, mulut ikan akan diperiksa setiap dua bulan bagi mengeluarkan anak-anak dan diletakkan di dalam inkubator yang lebih kurang sama keadaannya seperti dalam mulut induk.
Biasanya induk jantan boleh menjaga antara 20 hingga 60 ekor anak di dalam mulutnya pada satu-satu masa.
Sahibol berkata, bagi pasaran tempatan anak-anak ikan yang boleh berenang sudah boleh dijual.
M U Arowana Aquaculture memberikan penekanan dalam menternak tiga jenis arowana iaitu Malaysia gold arowana, red arowana dari Kalimantan dan Indonesia gold.
Harga seekor anak ikan arowana bersaiz tiga inci iaitu Malaysia red gold adalah RM1,600 hingga RM2,000, red arowana RM1,200 hingga RM1,500 dan Indonesia gold adalah RM500.
Harga seekor induk matang boleh mencapai sehingga puluhan ribu ringgit.
Menyentuh mengenai aspek pemakanan, Sahibol berkata, arowana memakan anak ikan seluang selain makanan tambahan seperti udang, cengkerik, katak dan lipan dua kali sehari.
"Ikan arowana sebenarnya tidak sukar dijaga tetapi disebabkan harganya yang mahal, ramai yang menyangka ia memerlukan penjagaan yang rapi," katanya.
"Ikan arowana amat unik dibanding dengan ikan-ikan hiasan lain kerana ia membiak secara semula jadi dan tidak memerlukan bantuan manusia seperti teknik aruhan.
"Malah ikan arowana adalah haiwan akuatik yang dilindungi kerana mengalami ancaman kepupusan," katanya.
Sehingga kini M U Arowana Aquaculture beroperasi di atas tanah seluas 5.2 hektar (13 ekar) yang menempatkan 99 buah kolam.
Sahibol berkata, pihaknya mensasarkan untuk membina 100 kolam lagi pada tahun ini.
"Kami juga menitikberatkan masalah keselamatan dan penyelenggaraan dengan pemantauan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
"Ini bukan saja untuk tujuan keselamatan kerana harga ikan yang mahal tetapi bagi memastikan keselesaan ikan jika bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba," katanya.
Apa yang lebih menarik M U Arowana Aquaculture juga menawarkan skim perkongsian keuntungan bagi peminat ikan arowana yang mempunyai modal tetapi kurang pengetahuan.
"Di sini, mereka boleh melabur selama lima tahun dengan membeli ikan induk untuk satu kolam dan kami akan menjalankan segala tugas penyelenggaraan dan pengurusan.
"Keuntungan yang diperoleh akan dibahagi dua antara pelabur dan pengusaha sehingga tamat tempoh kontrak," katanya.
Bercerita mengenai arowana, kata Sahibol, ikan ini hanya bertelur setahun sekali dan tiada masalah bekalan berlebihan dan harganya tidak pernah jatuh.
Memandangkan permintaan yang tinggi dari negara-negara seperti Jepun, China, Taiwan, Kanada, Hong Kong, Eropah dan India, pengeksport perlu mendapat kelulusan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) yang diluluskan oleh 72 negara.
Di bawah CITES, ikan arowana disenaraikan sebagai ikan yang dilindungi berkelas tinggi dan perlu ditanam cip di bawah kulit untuk tujuan eksport bagi pengenalan.
Sahibol berkata, kajian menunjukkan arowana adalah spesies ikan yang primitif dari zaman Jurassic.
Fosilnya membuktikan ikan berkenaan tahan lasak sehingga boleh hidup dengan baik sehingga ke hari ini.
Menyedari potensi industri penternakan ikan hiasan khususnya arowana, tiga sekawan ini tekad meletakkan jawatan dengan pendapatan lumayan. Malah kajian yang dijalankan menunjukkan 95 peratus ikan hiasan yang diternak adalah untuk pasaran eksport kerana mutunya yang tinggi.
"Tetapi bukan mudah untuk kami mengambil langkah menceburkan diri dalam perniagaan ini secara sepenuh masa.
"Banyak yang perlu difikirkan terutama komitmen terhadap keluarga masing-masing," kata salah seorang pemilik e-arowana Trading, Suhar Shariff semasa ditemui semasa Pameran Aquafair Malaysia 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menyingkap sejarah permulaannya, beliau bercerita, mempunyai hobi yang sama menemukan mereka walaupun bekerja di tempat yang sama.
Suhar berkata, tiga faktor yang menyebabkan mereka bergiat dalam industri ikan hiasan iaitu minat, mempunyai nilai komersial dan perniagaan adalah sembilan daripada 10 sumber rezeki dalam Islam.
Bersama dua rakan lain, Zohri Mohd Taib dan Zulkifli Zarkasi, Suhar mula dengan aktiviti jual beli ikan hiasan pada tahun 2000 dan selepas lima tahun mereka bertiga mula membeli dan memelihara 40 arowana green dan red tail golden.
"Sebelum itu kami telah menyediakan enam buah kolam di kawasan Pendang, Kedah," kata graduan lulusan luar negara ini yang meletak jawatan pada tahun 2005 secara bergilir dengan rakan lain.
Kini tiga sahabat ini mempunyai lebih 200 ekor ikan arowana seperti red tail golden, Malaysia golden, chili red, blood red dan silver.
Suhar berkata, negara mempunyai kelebihan dari segi geografi dan politik sebagai kawasan ternakan arowana selain menjadi habitat asal ikan berkenaan.
"Permintaan ikan arowana yang tinggi masih tidak dapat memenuhi pasaran bagi pelanggan tempatan selain pasaran Asia terutama di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun serta Eropah," katanya yang merancang menambah bilangan kolam pada tahun depan.
Ikan arowana menjadi mahal kerana ikan purba Zaman Jurassic hanya membiak setahun sekali. Pembiakan ikan arowana secara semula jadi memberi ruang bagi penternak mengawal harganya.
"Tidak pernah berlaku lambakan dan kejatuhan harga ikan arowana di pasaran kerana pembiakan hanya secara semula jadi," katanya.
Menyentuh mengenai penjagaan ikan arowana, Suhar berkata, tidak sesukar mana cuma harga yang tinggi menyebabkan pemiliknya lebih berhati-hati.
"Ikan arowana antara ikan yang tahan lasak dengan persekitaran tetapi disebabkan faktor kos tidak ramai berminat menternaknya," katanya yang juga menternak ikan kap jepun dan beberapa ikan hiasan tempatan.
![]() |
Phan Yew Mun menangkap ikan-ikan hiasan yang diternak terutama Ikan emas (gambar kecil) di Kampung Nakhoda, Gopeng, semalam. |
GOPENG 1 Julai - Sebaik sahaja era kegemilangan industri perlombongan bijih timah berakhir di negeri Perak pada tahun 80-an, rakyat di negeri itu mula beralih kepada bidang ekonomi lain untuk menjana sumber pendapatan.
Selain sektor perniagaan, perkhidmatan dan pelancong, bidang pertanian merupakan antara kegiatan ekonomi yang digemari oleh penduduk terutamanya bagi mereka yang mempunyai tanah yang boleh diusahakan.
Namun, bagi yang tidak mempunyai tanah sendiri, mereka masih mempunyai peluang untuk berkecimpung dalam bidang pertanian dengan membuka ladang atau kawasan penternakan di atas tanah yang dipajak daripada kerajaan negeri.
Ramai yang tidak kisah mengusahakan ladang tanaman dan ternakan di kawasan tanah pajakan kerana menyedari bidang pertanian menjanjikan pendapatan lumayan, di samping didorong oleh minat mendalam untuk menceburi bidang tersebut.
Salah seorang yang berani mencuba nasib dalam bidang pertanian walaupun tanpa memiliki sebarang pengalaman ialah bekas kontraktor binaan, Phan Yew Mun, 50, yang kini merupakan penternak ikan hiasan yang berjaya di Kampung Nakhoda di sini.
Menurut Yew Mun, beliau tiada langsung pengetahuan dalam bidang ternakan ikan hiasan, tetapi tertarik hati menceburkan diri dalam industri tersebut apabila melihat rakan-rakan yang terlibat dalam perniagaan itu memperoleh keuntungan besar.
''Berbekalkan modal permulaan RM20,000, saya mencuba nasib memulakan perniagaan dalam industri ternakan ikan hiasan pada 1983.
''Memandangkan saya tiada pengalaman asas dalam bidang ini, maka saya tidak segan bertanya kepada rakan-rakan yang sudah berjaya mengenai teknik-teknik menternak ikan hiasan.
''Peringkat permulaan, saya hanya menternak ikan dalam beberapa kolam simen dan mula membesarkan pusat ternakan sedikit demi sedikit sehinggalah menjadi seluas 5.2 hektar ketika ini,'' katanya ketika ditemui di pusat ternakan ikan hiasannya di kampung itu, baru-baru ini.
Walaupun ikan hiasan terdiri daripada pelbagai jenis, Yew Mun memilih hanya menternak empat spesies iaitu Lily, Tiger, Emas dan Lucy kerana ia mendapat permintaan baik di pasaran.
Katanya, ikan Emas mempunyai harga paling tinggi iaitu RM1 seekor diikuti Lily dan Lucy yang berharga 30 sen, manakala Tiger dijual 12 sen.
Ikan hiasan keluaran Yew Mun dipasarkan di sekitar Ipoh dan dieksport ke Singapura.
Beliau yang mendapat bekalan ikan dari China untuk dibiakkan di pusat ternakannya bagaimanapun menghadapi masalah dengan agen-agen pembeli dari Singapura yang menawarkan harga rendah.
Masalah harga rendah ditawarkan oleh pembeli dari Singapura merupakan masalah utama dihadapi oleh lebih 160 penternak ikan hiasan di daerah Gopeng.
''Agen-agen pembeli dari Singapura ini berperanan sebagai orang tengah. Mereka membeli ikan hiasan dari Malaysia dengan harga rendah, tetapi mengeksport semula ikan-ikan itu ke luar negara dengan harga berkali ganda.
''Paling mengecewakan, mereka turut mengisytiharkan ikan-ikan itu sebagai produk keluaran negara mereka," katanya.
Justeru, kata Yew Mun, beliau dan rakan-rakan penternak lain amat berharap agar kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut bagi memastikan industri akuakultur negara dapat terus berkembang maju.
![]() |
Ahmad Don menunjukkan jenis-jenis ikan kelisa di pejabat urusannya di Bukit Merah, Perak. - utusan/AHMAD SYAKIR SAZILI |
BAGAN SERAI 16 Dis. - Ikan kelisa atau nama saintifiknya arowana merupakan ikan hiasan yang menjadi kegilaan ramai orang.
Walaupun harganya mencecah ribuan ringgit seekor namun penggemar kelisa tidak kisah. Mereka akan tetap membelinya demi kepuasan diri.
Ramai yang akan garu kepala jika dimaklumkan bahawa harga anak ikan kelisa bersaiz antara tujuh hingga sepuluh sentimeter (cm) mencecah RM2,000. Paling murah harga anak ikan kelisa ialah RM12 seekor.
Salah seorang pengusaha ialah Ahmad Don, 55. Hasil usahanya, dia mempunyai sebanyak 1,400 ekor pelbagai jenis induk ikan kelisa.
Apa yang membanggakan, usaha gigihnya yang bermula sejak 2001 itu kini dalam proses untuk membina 680 buah kolam lagi di Kuala Kangsar dan sekitar Bukit Merah, dekat sini.
''Sebenarnya saya mula terlibat dalam penjualan ikan kelisa ini pada 1975. Masa itu harga seekor cuma RM12 tetapi kini harganya sangat memberangsangkan.
''Pada 2001 barulah saya serius menternak dan menjual ikan kelisa dengan membina sebanyak lima buah kolam. Malangnya, oleh kerana tiada pengalaman saya rugi bila banyak induk ikan kelisa mati waktu itu," katanya di sini baru-baru ini.
Pada penghujung 2002, katanya, barulah dia dan rakan kongsinya mengetahui punca kematian ikan tersebut.
''Rupa-rupanya ikan induk itu mati disebabkan air kolam bercampur dengan air dari luar kolam. Jadi, selepas dua tahun rugi barulah kami merasa hasilnya sampailah sekarang," katanya.
Bagi menternak ikan kelisa, kata Ahmad, seseorang itu perlu membeli lima induk jantan dan sepuluh induk betina bagi setiap kolam supaya menghasilkan anak ikan kelisa yang banyak dan berkualiti.
''Harga induk ikan kelisa bergantung kepada jenisnya, kalau kelisa Malaysian Gold, harganya ialah RM14,000.
''Tetapi hasilnya memang cukup lumayan. Setiap dua bulan sekali kita akan tuai anak ikan. Jadi kiralah sendiri kalau dalam tempoh itu kita boleh dapat sehingga 200 anak ikan kelisa Malaysia Gold yang setiap ekor bernilai RM2,000," katanya.
Selain ikan kelisa Malaysian Gold, Ahmad turut menternak kelisa Green Base, Chilli Red, Super Red, Banjar Red serta High Back yang jumlah jualan secara keseluruhannya kini adalah 20,000 ekor setahun.
''Syarikat saya mensasarkan untuk menjual sehingga 30,000 ekor setahun pada tahun depan. Buat masa ini, kita sudah menembusi pasaran antarabangsa iaitu Singapura, China, Jepun, Vietnam dan Thailand.
Sementara itu, seorang lagi penternak, Zailani Osman berkata, hasil ternakan ikan kelisa memang cukup lumayan dan menguntungkan.
''Berdasarkan pengalaman saya, hasil bagi separuh kolam ikan kelisa adalah sama dengan hasil kelapa sawit seluas 24 hektar.
''Pasaran memang cukup bagus, kadang kala kita sudah dapat tempahan awal bernilai ratusan ribu ringgit. Jika penternak bernasib baik, mereka sudah boleh untung dalam tempoh tidak sampai setahun," katanya.
Rakannya, Mat Latip Mohd. Amin pula memberitahu, walaupun hasil ternakan ikan kelisa amat lumayan, ia tetap memerlukan komitmen tinggi untuk menjayakannya.
''Kita mesti tahu cara-cara membela ikan kelisa dengan betul termasuk pemakanan serta pengambilan benih anak ikan bagi mengelak kerugian.
''Apa yang menarik, ikan kelisa yang diternak di sini mempunyai kualiti lebih baik berbanding kawasan lain kerana ikan kelisa khususnya Malaysian Gold berasal dari Tasik Bukit Merah," katanya.
BUKIT MERAH 7 Dis. - Awas! Jangan percaya sekiranya ada pihak tertentu yang mengajak anda melabur dalam kolam ikan kelisa yang kononnya diuruskan oleh Jabatan Perikanan kerana anda mungkin menjadi mangsa penipuan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya mengesan ada pihak tertentu pergi ke Kota Bharu, Kelantan dan menjual konsep tersebut dengan mengaitkan Jabatan Perikanan sedangkan jabatan tersebut tidak terlibat.
Beliau berkata, konsep tersebut memang wujud tetapi ia diuruskan oleh individu atau pihak swasta.
''Siapa hendak melabur kita galakkan tetapi ia urusan perniagaan biasa antara pelabur dengan pengusaha dan mereka perlu berani mengambil risiko.
''Saya tegaskan hal ini kerana tidak mahu apabila berlaku perkara tidak diingini, pelabur salahkan Jabatan Perikanan dan menuntut gantirugi daripada kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pelan pengurusan ikan kelisa emas dan melepaskan anak-anak ikan tersebut di Tasik Bukit Merah di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Noh melepaskan 110 ekor anak ikan kelisa emas bernilai RM200,000 di Tasik Bukit Merah sebagai salah satu usaha pemuliharaan ikan kelisa yang kini semakin terancam akibat aktiviti penangkapan yang berleluasa sejak 70 tahun lalu.
Ikan tersebut telah disenaraikan sebagai spesies ikan kawalan untuk perdagangan antarabangsa di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES).
Noh berkata, orang ramai yang berminat melabur dalam industri tersebut diminta berurusan secara terus dengan pengusaha kolam ikan di Bukit Merah bagi mengelakkan mereka ditipu pihak tidak bertanggungjawab.
''Industri tersebut sedang berjalan dengan baik sehinggakan anak ikan dalam perut pun tidak cukup kerana sudah ditempah awal-awal lagi.
''Oleh kerana hasilnya lumayan, ada pengusaha kolam ikan tawarkan kepada orang ramai untuk melabur dalam kolam mereka," katanya.
Harga seekor induk ikan kelisa emas biasanya bernilai RM13,000 dan kos untuk sebuah kolam ikan tersebut menelan belanja sehingga RM260,000.
Menurut beliau, industri ikan hiasan merupakan antara tiga industri bukan makanan baru bernilai tinggi yang diberi penekanan oleh kerajaan di samping rumpai laut dan burung walit.
''Sebab itu, kerajaan melalui Jabatan Perikanan bagi bantuan peralatan, prasarana, anak benih dan induk kepada pengusaha kolam ikan hiasan.
''Agro Bank juga beri pinjaman pelaburan kepada mereka yang ingin melabur dalam industri ikan kelisa ini," katanya.
Dalam pada itu, Noh berkata, perlu adanya zon akua bagi mengelakkan orang ramai menjual semua kawasan sawah padi untuk dijadikan kolam ikan kelisa.
Katanya, ekoran permintaan tinggi terhadap industri ikan kelisa, harga sawah padi kini meningkat sehingga RM300,000 berbanding RM15,000 sahaja untuk 0.4047 hektar sebelum ini.
''Kita akan bincang dengan kerajaan negeri bagaimana untuk menjadikan kawasan zon akua kerana tidak semua kawasan sawah padi boleh menjadi kolam ikan dan ini akan menjejaskan usaha negara memperluaskan kawasan sawah padi," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, industri ikan hiasan di negara ini berkembang pesat dan sebanyak 733 juta ekor ikan hiasan bernilai RM759 juta telah dikeluarkan pada tahun 2008.
"Ini merupakan peningkatan sebanyak 31.4 peratus dari segi pengeluaran dan 17.3 peratus dari segi nilai jika dibandingkan dengan 2007," katanya.