Showing posts with label SERAI. Show all posts
Showing posts with label SERAI. Show all posts

Sunday, June 20, 2010

BIOGAS TEH SERAI

Teknologi biogas hasil teh serai


Najwa Mohd. Nor menunjukkan sistem biogas yang digunakan untuk memproses serai mentah dan menghasilkan teh.


USAHLAH bertanya kepada sesiapa apakah khasiat dan manfaat Cymbopogon citratus kerana ramai akan terpinga-pinga?

Namun menyebut sahaja serai, ramai akan tersenyum kerana telah maklum bahawa herba tersebut sudah diketahui khasiatnya sejak turun temurun.

Serai biasanya digunakan dalam masakan bukan sahaja kerana khasiatnya tetapi juga aroma yang membuka selera.

Sebab itu, banyak syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) memanfaatkan serai sama ada untuk dijadikan masakan atau rempah yang telah ditumbuk untuk kegunaan masakan.

Pada masa sama, penyelidikan untuk mencari khasiat serai terus dijalankan, bagi mencari kemungkinan sebatian aktif dalam serai boleh bertindak dalam melawan penyakit tertentu.

Manfaat serai

Menyedari serai mempunyai pelbagai kegunaan, sebuah syarikat tempatan, Rapat Nusantara Sdn. Bhd. memanfaatkan tanaman herba tersebut untuk menghasilkan minuman herba berkhasiat.

Produk yang mereka hasilkan ialah teh serai berjenama Citralife yang telah mula berada di pasaran sejak tahun lepas.

Syarikat tersebut terlibat dalam penanaman, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran serai sejak 2008 lagi.

Menurut jurutera syarikat yang banyak memainkan peranan penting membangunkan produk mereka, Najwa Mohd. Nor, pihaknya telah terlibat dalam penanaman serai dengan hasrat mempopularkan teh daripada herba tersebut terutama kepada mereka yang mementingkan kesihatan.

Najwa berkata, peluang menceburkan diri dengan industri pemprosesan serai perlu dimanfaatkan selepas Azed Bina Sdn. Bhd. menerima geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi sistem atau mesin biogas.

Azed Bina bekerjasama dengan Rapat Nusantara untuk memproses dan mengeringkan serai dengan teknologi hijau yang mesra alam.

Pada mulanya , ia hanya dimanfaatkan untuk industri biomas atau penjanaan tenaga daripada bahan terbuang.

Pihaknya mendapati, sistem tersebut boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk serai dengan menggunakan pemanasan pada suhu 100 darjah Celsius.

Pada masa sama, mereka menjalankan kajian mengenai manfaat serai dan mendapati kandungan citral yang terkandung dalam herba tersebut boleh membantu dalam penjagaan kesihatan antaranya membantu mengurangkan kolesterol, membantu mengurangkan tekanan darah dan terdapat khasiat lain.

''Berdasarkan kandungan citral tersebut, kami menamakan jenama produk kami sebagai Citralife,'' ujarnya ketika ditemui di pusat pemprosesan serai di Jalan Enam, di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, kandungan citral dalam Citrallife agak tinggi iaitu 280 peratus berbanding kandungan semula jadinya dalam pokok serai.

Menurut Najwa, teknologi untuk memproses serai tersebut direka dan dibina sendiri oleh pihak syarikat.

''Sistem ini mampu memproses satu tan serai segar sehari untuk dijadikan minuman herba Citralife.

Serai segar perlu dibersihkan dan dipotong terlebih dahulu sebelum dikeringkan dan dikisar.

Sebanyak tiga tan serai segar diperlukan untuk menghasilkan 500 kilogram, serai kering.

''Pihak kami sendiri telah menjalankan ujian perbezaan antara serai segar dan kering (Citralife) di FRIM (Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia) Kepong, dan hasil ujian mendapati kandungan citral (agen yang mampu membunuh sel kanser) dalam serai kering tiga kali lebih tinggi berbanding serai segar.

''Orang yang minum jus serai segar juga tidak mendapat kesan yang sama sebagaimana mereka meminum Citralife,'' kata Najwa.

Kata Najwa, minuman serai ini merupakan tradisi orang Melayu yang makin dilupakan generasi muda.

Banyak khasiat dan kajian telah dijalankan terutama di negara-negara asing mengenai pengaruh serai dalam kesihatan manusia, terutamanya dalam penyakit kanser, darah tinggi, arthritis dan lain-lain.

Katanya, Citralife dihasilkan dalam dua bentuk produk iaitu uncang yang dijual dalam satu paket mengandungi 15 uncang teh berharga RM16 dan bungkusan 80 gram berharga RM12.

Najwa berkata, sejak berada di pasaran kira-kira setahun lepas, produk tersebut mendapat maklum balas menggalakkan daripada pengguna.

Pihaknya juga mendapat banyak respons yang baik daripada pesakit-pesakit darah tinggi, artritis dan beberapa pesakit kanser.

''Tidak disangka serai yang selama ini digunakan sebagai bahan ramuan dalam masakan mempunyai ubat untuk merawat pelbagai penyakit tanpa kita sedari,'' katanya.

Kini produk berkenaan memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil kategori makanan daripada Kementerian Kesihatan.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi 03-79872080 atau layari http://lemongrassherbal.blogspot.com

Tuesday, January 12, 2010

JANA PENDAPATAN LUMAYAN

UTARA

ARKIB : 26/08/2008

Tanam serai hasilkan pendapatan lumayan


Mokhter Khalid (kiri) dan Md. Zabri Haron di kebun serai peha ayam di Kuala Dipang, semalam.


GOPENG 25 Ogos - Pohon serai biasanya digunakan dalam masakan kerana aroma yang menawan, tetapi bagi penanam-penanam serai di Gopeng, mereka menjadikan tanaman ini sebagai satu tanaman komersial untuk mengeluarkan pati minyak.

Pati minyak serai peha ayam atau 'Cymbopogen citratus' yang berwarna kuning hingga coklat kemerahan dan beraroma limau atau 'lemon' sesuai dibuat sebagai pewangi sabun, bahan pencuci, syampu dan produk lain.

''Minyak ini terdiri daripada beberapa sebatian dan kandungan utamanya iaitu sitral iaitu sejenis aldehide dengan peratusan sitral yang tinggi iaitu antara 65 peratus hingga 85 peratus dan ia sesuai sebagai pewangi sabun, bahan pencuci, syampu dan produk lain," kata seorang penanam serai, Mokhter Khalid.

Katanya, selain menghasilkan pati minyak, batangnya jika dituai dalam keadaan segar boleh digunakan sebagai perisa dalam masakan tradisional seperti masakan rendang, tom yam, kerabu, masak lemak cili padi dan asam pedas.

Beliau berkata, serai peha ayam mudah ditanam di mana-mana jenis tanah kecuali kawasan berair atau berpaya.

Selain itu, menurutnya, memasarkan serai juga tidaklah susah kerana ia boleh dijual di restoran makanan tom yam, kedai-kedai runcit atau di pasar.

''Pemasarannya tidaklah susah dan ia boleh dipasarkan lebih awal sebelum tanaman itu dapat dituai," katanya.

Mokhter berkata, penanaman serai ini tidak memerlukan kawasan yang besar, memadai 0.4 hektar kerana ia boleh mengeluarkan sehingga 10,000 hingga 15,000 rumpun dan di kawasan integrasi antara 5000 - 8000 rumpun.

''Serai boleh ditanam secara integrasi atau sistem sulaman dengan tanaman lain seperti di kawasan pokok mangga, jadi kurang pergantungan terhadap satu jenis tanaman sahaja, dan kalau hendak ditanam di ladang getah atau pun estet, pastikan tidak di bawah rimbunan pokok.

''Serumpun serai pula boleh menghasilkan purata tiga kilogram yang siap proses dan kalau tanah subur, baja yang cukup kadang-kala boleh mencapai sembilan kilogram bagi serumpun," katanya.

Beliau berkata, kos untuk menanam atau membuat projek serai ini tidaklah besar dan dengan keluasan 0.4 hektar, kosnya dalam anggaran RM4,000 hingga RM5,000 sahaja.

Mokhter mengusahakan tanaman serai peha ayam tersebut bersama rakannya Md. Zabri Haron di kawasan seluas enam hektar di Kampar.

''Hasilnya kalau RM1 sekilogram pun boleh dapat paling minimum RM10,000 bagi semusim. Kalau satu ekar dapat ditanam 5,000 rumpun dan hasilnya dua kilogram serumpun dan saya pernah dapat serumpun sembilan kilogram," katanya.

Sehubungan itu, sesiapa yang berminat boleh menghubunginya di talian 019-5555787 atau 012-5418983.

KONTRAK SERAI

AGROBIZ

ARKIB : 27/03/2009

Tanam serai secara kontrak

TANAMAN herba semakin mendapat sambutan sementalah produk herba kini menjadi rebutan bukan saja di pasaran tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Justeru, Abdul Jabar Hashim, 47, menuruti saranan abangnya yang bertugas di Kuala Lumpur supaya menanam serai paha ayam secara tanaman kontrak.

Tanaman serai yang ditanam seluas 1.2 hektar ekar ini di Kampung Sekandar, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang ini menampakkan hasil yang membanggakan.

''Saya memilih serai kerana tanaman ini amat mudah ditanam dan diuruskan berbanding dengan tanaman lain kerana tidak mudah diserang penyakit atau serangga perosak," katanya.

Beliau yang mendapat bekalan benih dari agen penanaman kontrak dari Selangor yang menggunakan serai sebagai ramuan utama dalam produk farmaseutikal dan dieksport ke pasaran antarabangsa.

Abdul Jabar berkata, serai mudah ditanam tetapi memerlukan kawasan tanah gembur bagi pergerakan akar dan tumbesarannya.

"Sebelum mula menanam serai, tanah perlu dibajak dan dirawat bagi meningkatkan kesuburannya dengan menabur baja urea.

"Biasanya bagi kawasan seluas satu ekar (0.4 hektar) , ia memakan masa dua hari untuk menggemburkan dan menanam serai oleh seorang pekerja," katanya.

Bagi kawasan seluas satu ekar, Abdul Jabar memerlukan 21,000 rumpun serai kerana satu lubang ditanam dengan lima batang serai.

Beliau berkata, biasanya serai boleh mula dituai selepas enam bulan ditanam dan satu rumpun akan mengeluarkan antara empat hingga 10 kilogram (kg) bergantung kepada penjagaan dan pengurusan.

Bagaimanapun penjagaan serai boleh dikatakan mudah kerana hanya perlu diberikan baja urea selepas dua minggu pertama.

"Kemudian pembajaan akan dilakukan lagi selepas 30 hari dan 50 hari selepas penanaman," katanya.

Selepas ditanam pokok serai hanya perlu disiram setiap petang tanpa perlu menyembur racun makhluk perosak.

''Tetapi masalah timbul apabila hari hujan kerana rumput dan rumpai akan bersaing untuk mendapatkan baja.

''Hujan yang lebat dan air bertakung akan menyebabkan akarnya terendam dan pokok akan mati," katanya yang membina pagar di sekeliling tanaman serai bagi mengelakkan pencerobohan haiwan liar.

SERAI

TIMUR

ARKIB : 07/07/2009

Tanaman serai di tanah terbiar


YUSAINI Anor Mat Amin membersihkan kawasan tanaman serai di tapak projek pertanian Kampung Tanjong Gahai, Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 6 Julai - Melihat keadaan tanah terbiar yang dilitupi semak-samun di Kampung Tanjong Gahai di sini mencetuskan semangat seorang belia, Yusaini Anor Mat Amin, 40, untuk membabitkan diri dalam tanaman serai secara komersial.

Berkat usaha gigihnya, kini serai keluaran ladangnya semakin mendapat permintaan dari peniaga di sekitar bandar Lipis, Raub dan Pasar Borong Selayang di Selangor.

"Penglibatan saya dalam tanaman ini sebenarnya didorong oleh permintaan yang semakin meningkat terhadap serai di tempat lain.

Apabila melihat ada tanah terbiar, timbul keinginan untuk mengusahakan tanah itu dengan tanaman serai secara komersial.

"Saya menggunakan wang simpanan untuk menyewa tanah seluas enam hektar dari beberapa penduduk kampung antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan," ujarnya ketika ditemui di Kampung Tanjong Gahai di sini baru-baru ini.

Menurut Yusaini, beliau juga mengeluarkan kos yang agak besar untuk menyewa jentera selama seminggu bagi kerja-kerja membersihkan semak-samun dan pokok-pokok besar di kawasan itu.

Jelasnya, hasil pelaburan kira-kira RM10,000 dan penat lelah selama beberapa bulan lalu, kini tanaman serainya hidup subur di bawah kelolaan beliau sendiri dengan dibantu tiga orang pekerja.

Tambahnya, melihat kepada kejayaan projek tersebut setakat ini, beliau yakin tanaman serai itu mampu memberi pulangan yang lumayan.

"Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, nyata projek ini berhasil dan kini sebanyak 21,600 rumpun serai hidup subur dan semakin matang, dan dijangka boleh dituai untuk pasaran pertengahan Ogos ini," ujarnya.

Yusaini yang juga peserta Projek Agropolitan Tanjong Gahai berkata, setiap sehektar tanah boleh menghasilkan kira-kira 20,000 kilogram serai dengan harga pasaran kira-kira 80 sen sekilogram.

"Kesemua serai keluaran ladang saya ini akan dijual kepada Lembaga Perusahaan Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah perjanjian ladang kontrak," ujarnya.

Beliau bersyukur melalui penjualan serai itu kelak mampu memberi pendapatan antara RM16,000 hingga RM18,000 dan wang itu akan digunakan sebagai modal pusingan.