Tuesday, January 12, 2010

JANA PENDAPATAN LUMAYAN

UTARA

ARKIB : 26/08/2008

Tanam serai hasilkan pendapatan lumayan


Mokhter Khalid (kiri) dan Md. Zabri Haron di kebun serai peha ayam di Kuala Dipang, semalam.


GOPENG 25 Ogos - Pohon serai biasanya digunakan dalam masakan kerana aroma yang menawan, tetapi bagi penanam-penanam serai di Gopeng, mereka menjadikan tanaman ini sebagai satu tanaman komersial untuk mengeluarkan pati minyak.

Pati minyak serai peha ayam atau 'Cymbopogen citratus' yang berwarna kuning hingga coklat kemerahan dan beraroma limau atau 'lemon' sesuai dibuat sebagai pewangi sabun, bahan pencuci, syampu dan produk lain.

''Minyak ini terdiri daripada beberapa sebatian dan kandungan utamanya iaitu sitral iaitu sejenis aldehide dengan peratusan sitral yang tinggi iaitu antara 65 peratus hingga 85 peratus dan ia sesuai sebagai pewangi sabun, bahan pencuci, syampu dan produk lain," kata seorang penanam serai, Mokhter Khalid.

Katanya, selain menghasilkan pati minyak, batangnya jika dituai dalam keadaan segar boleh digunakan sebagai perisa dalam masakan tradisional seperti masakan rendang, tom yam, kerabu, masak lemak cili padi dan asam pedas.

Beliau berkata, serai peha ayam mudah ditanam di mana-mana jenis tanah kecuali kawasan berair atau berpaya.

Selain itu, menurutnya, memasarkan serai juga tidaklah susah kerana ia boleh dijual di restoran makanan tom yam, kedai-kedai runcit atau di pasar.

''Pemasarannya tidaklah susah dan ia boleh dipasarkan lebih awal sebelum tanaman itu dapat dituai," katanya.

Mokhter berkata, penanaman serai ini tidak memerlukan kawasan yang besar, memadai 0.4 hektar kerana ia boleh mengeluarkan sehingga 10,000 hingga 15,000 rumpun dan di kawasan integrasi antara 5000 - 8000 rumpun.

''Serai boleh ditanam secara integrasi atau sistem sulaman dengan tanaman lain seperti di kawasan pokok mangga, jadi kurang pergantungan terhadap satu jenis tanaman sahaja, dan kalau hendak ditanam di ladang getah atau pun estet, pastikan tidak di bawah rimbunan pokok.

''Serumpun serai pula boleh menghasilkan purata tiga kilogram yang siap proses dan kalau tanah subur, baja yang cukup kadang-kala boleh mencapai sembilan kilogram bagi serumpun," katanya.

Beliau berkata, kos untuk menanam atau membuat projek serai ini tidaklah besar dan dengan keluasan 0.4 hektar, kosnya dalam anggaran RM4,000 hingga RM5,000 sahaja.

Mokhter mengusahakan tanaman serai peha ayam tersebut bersama rakannya Md. Zabri Haron di kawasan seluas enam hektar di Kampar.

''Hasilnya kalau RM1 sekilogram pun boleh dapat paling minimum RM10,000 bagi semusim. Kalau satu ekar dapat ditanam 5,000 rumpun dan hasilnya dua kilogram serumpun dan saya pernah dapat serumpun sembilan kilogram," katanya.

Sehubungan itu, sesiapa yang berminat boleh menghubunginya di talian 019-5555787 atau 012-5418983.

No comments:

Post a Comment