Tuesday, January 12, 2010

POKOK RUMBIA

SABAH & SARAWAK

ARKIB : 01/01/2009

Rumbia makin menguntungkan


Pokok rumbia ditanam oleh pekebun kecil sebagai tanaman komersial untuk menampung pendapatan mereka di Dalat.


MUKAH 31 Dis. - Bahagian Mukah merupakan satu-satunya kawasan di Sarawak yang menjadikan tanaman rumbia atau pokok sagu sebagai tanaman komersial.

Keluasan tanaman untuk pokok sagu kini dianggarkan 67,957 hektar yang meliputi 43,426 hektar milik para pekebun kecil, manakala 24,531 hektar lagi dibangunkan secara estet.

Malah, kemahiran dan pengalaman Sarawak dalam memajukan pertanian rumbia atau pokok sagu mendapat perhatian kerajaan Papua New Guinea yang berkunjung ke negeri ini baru-baru ini.

Negara berkenaan yang turut mempunyai tanah paya sesuai untuk tanaman rumbia, bagaimanapun menurut Gabenor Wilayah Sandaun, Simon Solo tidak diusahakan secara komersial.

Papua New Guinea, katanya, akan mengambil contoh bagaimana kilang pemprosesan tepung sagu beroperasi serta beberapa strategi pemasaran untuk produk itu.

''Susulan lawatan ini kita akan mengkomersialkan tanaman rumbia di negara kami dan untuk permulaan kita merancang untuk membina sebuah kilang pengeluaran tepung sagu," katanya ketika dalam lawatan ke daerah Dalat pada Ogos lepas.

Tanaman berkenaan tumbuh subur di kawasan tanah paya gambut kerana ia memerlukan air yang banyak untuk tumbesarannya.

Dalat merupakan daerah dalam bahagian Mukah yang mempunyai kebun-kebun kecil tanaman rumbia dengan keluasan tanaman kira-kira 28,745 hektar.

Apabila harga jualan rumbia tinggi, para pekebun kecil ini akan mengambil peluang menebang dan menjualnya di empat buah kilang pemprosesan.

Ini berikutan harga komoditi berkenaan mengalami kenaikan dan penurunan harga berdasarkan permintaan di pasaran dunia.

Antara negara yang menjadi pengimport tepung sagu dari Sarawak ialah Jepun, Singapura dan Taiwan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, harga tepung sagu di pasaran antarabangsa mencecah RM1,239 satu tan metrik bermula Mac lepas.

Pada 1970, katanya, harga tepung sagu hanya sekitar RM140 satu tan metrik.

''Pekebun rumbia mempunyai masa depan yang cerah berikutan kenaikan mendadak harga komoditi itu di pasaran antarabangsa.

''Ini secara langsung menambah pendapatan para pengusaha kebun rumbia," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pada masa ini, sekerat rumbia yang sudah ditebang dijual dengan harga RM7. Dalam sepohon, ia boleh dipotong menjadi sekurang-kurangnya 10 kerat.

Malah untuk menggandakan jumlah pengeluaran tepung sagu dan pelbagai produk tambah nilai, kerajaan negeri telah menubuhkan Craun Research Sdn. Bhd.

Syarikat milik kerajaan itu ditubuhkan bagi membuat penyelidikan dan pembangunan berkaitan penanaman dan produk berasaskan sagu.

Sementara itu, seorang pekerja kilang pemprosesan tepung sagu, Peter David, 47, berkata, pokok sagu lazimnya hanya boleh ditebang apabila mencapai usia kira-kira sepuluh tahun.

Dia yang berpengetahuan luas tentang rumbia berkata, pokok sagu mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10 hingga 12 meter, mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi.

''Pokok sagu memang amat berkait rapat dengan kami di sini (penduduk Dalat). Sehingga sekarang ramai remaja mengambil upah menebang rumbia pada masa cuti sekolah," katanya.

No comments:

Post a Comment