Saturday, January 9, 2010

LANDAK RAYA DIRAMPAS

JENAYAH

ARKIB : 18/12/2009

Dua ditahan, 21 landak raya dirampas




SHAH ALAM 17 Dis. - Seorang kakitangan dan pesara kerajaan ditahan setelah didapati memiliki dan memelihara 21 ekor landak raya tanpa permit dalam dua serbuan di kawasan Kuang, Rawang, kelmarin.

Serbuan dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, hasil maklumat awam, pada pukul 1 petang.

Timbalan Pengarahnya, Mohammad Khairi Ahmad berkata, siasatan mendapati kesemua haiwan tersebut dipercayai adalah untuk dijual.

Katanya, dalam operasi pertama sebanyak 13 ekor landak dirampas dari rumah pesara kerajaan berusia 50 tahun di Jalan Kuang, Batu 19, Rawang.

"Operasi melibatkan lima kakitangan diketuai oleh Penolong Pegawai Perhilitan, Mohd. Firdaus Hasbullah itu juga menemui seekor anak landak raya yang sudah mati dan sebahagian daging haiwan tersebut.

"Dalam serbuan kedua, kita merampas lapan ekor landak raya dan seekor musang pulut di sebuah rumah kakitangan kerajaan berusia 30 tahun di Kampung Bukit Tempurung, Kuang, pada pukul 8.50 malam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek telah diambil keterangan untuk didakwa di bawah Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76).

Mohammad Khairi berkata, kedua-duanya boleh dikenakan denda maksimum tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai memiliki dan memelihara haiwan itu tanpa permit bagi tujuan untuk dijual sejak dua tahun lalu.

"Bagi seekor induk landak yang hendak dijadikan baka, bernilai kira-kira RM400 dan dagingnya pula boleh mencecah sehingga RM80 sekilogram.

"Kesemua landak raya itu dipercayai ditangkap di kawasan berhampiran. Kita akan lepaskan haiwan itu di satu kawasan habitat asalnya di Kuala Kubu Baru yang dikawal selia oleh Perhilitan," jelasnya.

Dalam kejayaan lain, beliau berkata, sebanyak enam ekor ular sawa iaitu tiga jenis African Ball Python, dua Burmese Python dan seekor sawa batik spesies tempatan dirampas dari sebuah kedai binatang pemeliharaan di Seksyen 24, di sini, malam tadi.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76) dan Seksyen 83 kerana berniaga haiwan perlindungan tanpa lesen.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment