ARKIB : 30/12/2009
50,000 ekor kambing Boer diperlukan di Sabah
KOTA KINABALU 29 Dis. - Sebanyak 50,000 ekor kambing Boer diperlukan dalam program pembangunan kambing di Sabah untuk memenuhi keperluan domestik dan juga eksport.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin berkata, ketika ini Sabah masih mengimport daging kambing dari negara pembekal seperti Australia dan New Zealand.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata, bagi tempoh tiga tahun ini, jumlah import Sabah sudah mencecah RM40.3 juta terdiri daripada kambing hidup dan daging segar.
"Ini adalah satu jumlah pengaliran wang yang besar, sedangkan kita sendiri mampu untuk menampung keperluan kita sendiri dengan cara menternak kambing Boer dan tempatan.
"Bayangkan dalam tempoh tiga tahun ini Sabah telah mengimport 18,451 ekor kambing hidup dan 1,980,245 kilogram daging kambing bebiri beku semuanya bernilai RM40.3 juta," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi Antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah Untuk Projek Technofund di Hotel Promanade, di sini semalam.
Yahya berkata, Sabah mampu memenuhi permintaan dalam negeri dan eksport kerana mempunyai kawasan yang luas untuk diusahakan ladang ternakan secara besar-besaran.
Menurutnya, perusahaan ternakan kambing di negeri ini bukan satu bidang yang baru kerana sudah bermula sejak tahun 1980-an tetapi malangnya masih tidak mencapai tahap sara diri.
"Penternakan kambing sebenarnya tidaklah memerlukan kawasan tanah yang luas memandangkan ia boleh dilaksanakan secara intensif. Justeru, kelebihan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata, potensi ternakan kambing dan ruminan lain di negeri ini amat besar kerana Sabah mempunyai banyak kelebihan antaranya bebas penyakit kuku dan mulut (FMD).
Selain itu ujarnya, Sabah juga memiliki cuaca atau iklim yang sesuai untuk ternakan ruminan khususnya kambing dan lembu.
"Oleh itu, kita tidak boleh lagi bergantung dengan import kambing untuk keperluan tempatan kerana tindakan ini memberi kesan negatif dari segi tukaran wang asing negara," katanya.
Sementara itu, Yahya berkata, perjanjian tersebut mengambil masa selama dua tahun dan melibatkan kos sebanyak RM3.17 juta.
Kata beliau, program itu adalah bertujuan bagi membangunkan sistem pembiakbakaan, pemakanan serta pengawalan penyakit secara sistematik dan moden dengan mengguna teknologi terkini.
Yahya berharap agar kerjasama tersebut akan menjadikan KPD sebagai sebuah badan peneraju utama dalam industri penternakan kambing secara komersial di rantau ini.
No comments:
Post a Comment