ARKIB : 08/12/2009
Johor pengeluar orkid terbesar
|
|
KLUANG 7 Dis. - Johor merupakan pengeluar orkid terbesar negara dengan jumlah keluasan tanaman 150 hektar yang diusahakan oleh 28 pengusaha komersial.
Ketua Seksyen Padi, Taman Industri dan Bunga-Bungaan (PTIF) Johor, Mintar Palal, 53, berkata, tanaman orkid diusahakan secara komersial dan berjaya memenuhi bukan sahaja keperluan tempatan, malah memasuki pasaran antarabangsa.
Katanya, 80 peratus daripada pusat tanaman orkid berpusat di Johor Bahru.
"Walaupun tiada pertambahan dari segi keluasan tanah, namun adalah membanggakan hampir semua kebun orkid berkenaan diusaha secara komersial dengan menambah jenis orkid terbaik, di samping menjaga mutu tumbuh-tumbuhan tersebut.
"Dari segi keluasan tanaman orkid berbanding dengan bunga-bungaan lain juga menunjukkan perkembangan baik. Sehingga kini mencapai sejumlah 50 hektar daripada 725.6 hektar kawasan bunga-bungaan lain di Johor atau 21 peratus," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Tambah Mintar, dari segi nilai pengeluaran orkid pada tahun lalu dianggarkan sebanyak RM9 juta dengan anggaran nilai eksport sekitar RM8.1 juta.
Beliau berkata, manakala nilai pengeluaran bunga-bunga keseluruhannya adalah RM20.5 juta setahun.
"Negara pengimport utama orkid dan bunga-bungaan kita adalah Singapura, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat,'' katanya.
Beliau berkata, antara orkid jenis komersial dan popular yang diusahakan oleh penanam orkid seperti dendrobium, mokara, vanda dan renanthera.
Katanya, secara keseluruhannya, pihak kerajaan masih menggalakkan para pekebun untuk mengusahakan tanaman tersebut kerana ia mampu memberikan pulangan lumayan.
Katanya, orang ramai yang berminat untuk mendalami penanaman orkid boleh menghubunginya di talian 019-7777804.
No comments:
Post a Comment