Tuesday, January 12, 2010

SALAK SANDAKAN

SABAH & SARAWAK

ARKIB : 06/06/2008

Salak Sandakan terkenal


buah salak yang masak di Ladang Pokok Salak Kampung Garinono dan Kampung Pertanian di Sandakan, Sabah.


SANDAKAN 5 Jun - Kampung Garinono dan Kampung Pertanian yang terletak kira-kira 43 kilometer dari bandar Sandakan mungkin kurang dikenali, tetapi tanpa disedari ramai, kampung berkenaan sebenarnya pengeluar buah salak terbesar di Sabah.

Oleh sebab itu, tidak hairan jika pengguna jalan raya ke Tawau atau Lahad Datu akan bertembung dengan begitu banyak gerai yang menjual produk salak di simpang tiga jalan utama Sandakan - Tawau - Kota Kinabalu iaitu kira-kira 13 kilometer dari bandar Sandakan.

Bagi pengguna jalan raya tersebut juga, tidak sah jika tidak singgah digerai berkenaan untuk membawa pulang salak Sandakan sama ada untuk diri sendiri atau buah tangan kepada rakan dan saudara-mara.

Di Kampung Garinono dan Pertanian, ladang salak yang sebelum ini hanya ditanam secara tradisi telah diubah dalam bentuk komersial di kawasan seluas 40.42 hektar sehingga pengusahanya hari ini memperoleh pendapatan lumayan.

Bagi pengusaha buah salak tersebut pula, hasil tanaman salak memang menguntungkan kerana selain buah segar, mereka juga menjual produk hiliran iaitu memprosesnya sebagai jeruk dan asam yang turut menjadi kegemaran orang ramai.

Seorang pengusaha, Latiah Harris, 52, berkata, beliau bersyukur apabila kesungguhannya mengkomersialkan tanaman salak akhirnya membuahkan hasil yang lumayan kepadanya sekeluarga.

Menurut beliau, meskipun harga buah salak kadang-kala tidak menentu tetapi pada masa ini, beliau tidak ada masalah untuk memasarkannya kepada orang ramai.

''Harga buah salak ini tidak menentu bergantung kepada permintaan. Tidak dinafikan jualan buah salak pernah mencecah RM10 sekilogram dan pada hari ini harganya sekitar RM1.50 sekilogram," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Latiah yang juga ketua bengkel jeruk salak memberitahu, dia mula menghasilkan produk itu dengan dibantu beberapa rakan yang lain bagi mempelbagaikan permintaan buah salah kepada pengguna.

Menurutnya, pembuatan asam daripada buah salak juga banyak menyelamatkan daripada buah berkenaan buruk begitu sahaja kerana tahan lama iaitu dalam tempoh sebulan berbanding jeruk cuma seminggu.

Katanya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) banyak membantu mereka yang terlibat mengusahakan tanaman salak tersebut melalui teknologi baru bagi membolehkan hasilnya lebih berkualiti dan tahan lama.

Latiah memberitahu, beliau mula berkecimpung dalam tanaman buah salak sekitar 80-an dengan hanya membabitkan setengah hektar kawasan.

''Saya tidak terfikir tanaman ini akan memberi pulangan yang lumayan kerana pada mulanya saya hanya ikut jiran-jiran di kampung saya menanam buah salak," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, minat terhadap tanaman ini semakin berkembang selepas mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Cawangan Sandakan.

''Setelah kami menanam pokok salak ini, Jabatan Pertanian telah datang ke tempat kami dan membantu menyalurkan baka pokok-pokok salak yang baik kepada pengusaha yang berminat," katanya.

Menurutnya, kerjasama dan bantuan agensi kerajaan itu secara langsung dapat membantu golongan peladang dan mereka yang berminat menceburi bidang ini di Sabah.

Pokok Salak atau nama saintifiknya, salasa adulis adalah daripada keluarga tumbuhan palma. Pokok salak tumbuh dengan subur di bawah lindungan tumbuhan iaitu dalam keadaan yang lembap dan teduh.

Buah salak mempunyai rasa yang manis atau masam-masam manis dan kelat sedikit itu biasanya dimakan dalam keadaan segar tetapi boleh juga dibuat jeruk.

Pokok salak juga terdiri daripada pokok jantan yang tidak berbuah dan betina. Tanaman ini biasanya mengeluarkan hasil selepas empat tahun ditanam.

Sementara itu, buah salak yang masih muda juga boleh dimakan segar atau dibuat manisan, jeruk, awet atau dijadikan sebagai kerepek.

Salak muda juga ada yang dijadikan bahan untuk rojak buah, manakala umbutnya sedap dimakan.

Anak daun dan kulit tangkai salak juga dapat digunakan sebagai bahan anyaman selepas dibuang durinya.

No comments:

Post a Comment