Friday, January 29, 2010

GHOST

HORIZON

Mewah dan berkuasa

Selepas dua dekad ‘menghilangkan diri, kenderaan mewah Rolls-Royce Ghost dari United Kingdom (UK) kembali memeriahkan pasaran kereta di Malaysia.


BAHAGIAN hadapan Ghost tetap mengekalkan rekaan signatur sebuah Rolls-Royce yang sangat mewah.


ANDA ada lebih RM2.6 juta untuk dibelanjakan? Jika ya, tawaran terbaru daripada Rolls-Royce Motor Cars mungkin boleh ditimbangkan.

Memulakan kempennya menerusi model yang diberi nama Ghost, jenama kenderaan mewah itu sekali lagi tampil untuk menambah keterujaan kepada golongan hartawan Malaysia.

Beribu pejabat di Goodwood, West Sussex, United Kingdom, Rolls-Royce sudah lama memenuhi ekspektasi dan keperluan super mewah golongan selebriti di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Berbanding rangkaian model Phantom, Ghost merupakan model yang lebih kecil dan dinamik. Namun, ia tetap dikenali sebagai sebuah Rolls-Royce yang mencapai aspek modenisme baru dan kekal dengan ciri-ciri kemewahannya.

Kereta itu menjadi model pertama dalam siri produk Rolls-Royce yang bakal ditawarkan di Malaysia. Model-model lain daripada keluarga Phantom seperti Phantom, Phantom Extended Wheelbase (salun empat pintu), Phantom Drophead Coupé (convertible) dan Phantom Coupé (fixed roof) akan menemui para peminatnya sepanjang tahun ini.

Menurut Pengarah Serantau Asia Pasifik Rolls-Royce Motor Cars, Colin Kelly, Ghost menampilkan reka bentuk yang mampu meluaskan lagi tarikan terhadap produk keluaran Rolls-Royce Motor Cars.

Ghost menggabungkan proses penambahbaikan, teknologi baru dan gaya kontemporari. Model itu juga memiliki semua lambang kejayaan model-model Rolls-Royce terdahulu. Ia menggunakan kayu terbaik, material kulit dan mengaplikasikan standard pengilangan yang tiada bezanya dengan model Phantom.

"Ghost memangkin minat memberangsangkan di Malaysia. Saya yakin kereta ini akan berjaya di Malaysia dengan gabungan unik ciri dinamiknya," kata Pengarah Urusan Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Datuk Michael Ong yang bernaung di bawah pengedaran Quill Motorcars Sdn. Bhd.

Keselesaan Kelas Pertama

Michael optimis pihaknya akan menerima tempahan di antara lapan hingga sepuluh unit menjelang akhir tahun ini. Namun, Ghost dibina berdasarkan kepada permintaan.

"Saya menjangkakan Ghost akan memperoleh pemintaan kukuh di Malaysia. Selain mampu menarik kelompok pembeli lebih besar yang mungkin tidak pernah mengambil perhatian terhadap jenama Rolls-Royce sebelum ini," tambah Pengurus Besar bagi Utara dan Timur Asia Pasifik Rolls-Royce Motor Cars, Brenda Pek. Ruang dalaman Ghost menyerlahkan pelbagai reka bentuk yang menjadi identiti kepada

Rolls-Royce.


RUANG kabin yang sarat dengan teknologi terkini.


Misalnya suis-suis berbentuk biola tradisional dan corong udara yang kelihatan seperti bebola mata. Karpet lantainya yang tebal itu pula diperbuat daripada bulu kambing untuk menikmati rasa mewah yang sebenar.

Terselit di pintu hadapan ialah payung yang disalut dengan material Teflon. Sementara pintu-pintunya pula membuktikan keunikan Rolls-Royce kerana ia boleh dibuka pada bukaan 83 darjah.

Ruang kabinnya dilimpahi dengan cahaya semula jadi yang boleh ditingkatkan melalui bumbung suria (secara opsyen). Bumbung tersebut bermula dari bahagian hadapan sehinggalah ke seksyen belakang.

Pendingin hawa empat zon automatik, ciri pengedaran udara automatik, penghalang penumpatan udara dan kompensasi solar, tempat duduk individu atau lounge (hadir dengan ciri urutan secara pilihan) menawarkan keselesaan terbaik buat setiap penumpangnya.

Meja yang dibalut dengan kulit terbaik dan kemasan kayunya dipadankan dengan ruang kabin Ghost. Ia turut menempatkan dua unit skrin LCD bersaiz 23 sentimeter (sm) di bahagian belakang tempat duduk hadapan. Sistem audio yang ada pada Ghost mampu menjana 600 watt bunyi menerusi amplifier 10 saluran dan 16 buah pembesar suara, termasuklah dua subwoofers yang dipasang di bahagian lantai.

Input USB dan auxiliary membolehkannya berintegrasi dengan alat audio luar, sementara cakera padat 12.5 GB membenarkan penyimpanan fail-fail muzik daripada USD atau pemain cakera padat dibuat.

Bergerak di atas sistem suspensi udara sofistikated pada kempat-empat rodanya, Ghost mampu mengenal pasti 'keperluan' walaupun yang paling kecil. Misalnya, ia berupaya mengesan pergerakan penumpang belakang pada satu bahagian tempat duduk, seterusnya disesuaikan sewajarnya. Fungsi angkat dan turun pula dapat menaikkan atau menurunkan Ghost sehingga 25 milimeter (mm).

Memiliki pelbagai ciri bantuan pilihan menjadikan Ghost sebuah kenderaan yang paling fokus kepada pemandu dalam rangkaian model Rolls-Royce Motor Cars. Ia merangkumi kamera yang memberi paparan di bahagian belakang, sisi hadapan dan atas.

Prestasi terbaik


PINTU dengan bukaan 83 darjah memudahkan penumpang untuk keluar masuk.


Kamera pemandangan waktu malam (Night Vision camera), paparan head-up (Head-up Display), amaran penukaran laluan (Lane Departure Warning), bantuan lampu tinggi (High Beam Assistance), adaptif (Adaptive), lampu utama berhaluan (directional headlights) dan kawalan aktif Cruise Control dengan ciri brek Stop & Go Active Brake Intervention turut dipasang. Sementara Optional Comfort Entry membolehkan akses lebih mudah ke dalam kereta. Ia membuka kunci pada pintu apabila kunci saku berada pada jarak 1.5 meter.

Ghost merupakan kenderaan Rolls-Royce paling berkuasa pernah dibina sehingga kini. Ia mampu memberikan prestasi mengikut cara Rolls-Royce sepenuhnya tanpa sebarang masalah. Sumber kepada kuasa dinamiknya terletak pada enjin V12 dengan pendesak turbo berkembar bersesaran 6.6 liter. Enjin itu dipadankan bersama kotak gear automatik ZF lapan kelajuan.

Janaan kuasa puncaknya mencecah 563bhp / 420kW / 570PS @ 5,250rpm yang digabungkan dengan tork maksimum 780Nm / 575lb ft pada hanya putaran enjin 1,500 rpm. Hasilnya, Ghost berupaya mencapai kelajuan dari 0 ke 100km/h dalam tempoh hanya 4.9 saat. Selain mampu mencecah kelajuan maksimum sehingga 250km/j.

Enjin baru itu juga meletakkan Rolls-Royce Motor Cars pada posisi peneraju secara signifikan dalam aspek pengeluaran gas CO2 (317g/km) dan penjimatan bahan api (gabungan pengunaan: 13.6 l/100km).

Sistem keselamatan elektronik memastikan Ghost berada dalam keadaan stabil atas apa jua bentuk permukaan jalan. Ia termasuklah Anti-Roll Stabilisation, kawalan brek dinamik (Dynamic Brake Control), kawalan kestabilan dinamik (Dynamic Stability Control), kawalan kuasa tarikan dinamik (Dynamic Traction Control) serta kawalan brek ketika membelok (Cornering Brake Control).

Produksi Ghost sudah bermula di Goodwood. Kereta pelanggan pertama di Malaysia dijangka dapat dihantar pada suku kedua 2010. Bagi memenuhi jangkaan permintaan, Rolls-Royce Motor Cars telah meningkatkan kapasiti pengilangannya sebanyak 50 peratus.

Baru-baru ini, Rolls-Royce Motor Cars mengumumkan hasil jualan memberangsangkan bagi 2009. Sebanyak 1.002 unit kereta berjaya dijual dalam tempoh tersebut.

No comments:

Post a Comment