ARKIB : 03/02/2009
Potensi ternak itik telur
|
|
BATU PAHAT 2 Feb. - Beberapa langkah diambil oleh kerajaan dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya penduduk luar bandar ketika dunia sedang berdepan dengan masalah ekonomi dan krisis makanan.
Antara langkah itu adalah menggalakkan rakyat menjalankan aktiviti pertanian yang bukan sahaja mampu memberi pulangan lumayan tinggi, tetapi membantu menggerakkan ekonomi negara.
Tidak ketinggalan menyahut seruan kerajaan itu ialah beberapa penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit yang mengusahakan Projek Pertanian Bersepadu berskala kecil yang diusahakan di kawasan rumah masing-masing.
Projek tersebut diilhamkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada pembentangan bajet baru-baru ini dan dipraktikkan di DUN Rengit atas usaha dan galakan wakil rakyatnya, Ayub Jamil.
Menurut Ayub, projek itu telah dimulakan sebulan lalu oleh dua peserta yang menjadi pelopor dan penggerak kepada kejayaan pertanian bersepadu berskala kecil itu.
"Kedua-dua peserta mengusahakan ternakan itik telur, ikan keli dan ayam kampung pedaging selain menanam cili merah di kawasan tidak sampai satu hektar di rumah masing-masing," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, projek tersebut jika berjaya, dalam tempoh beberapa bulan akan memberikan pulangan lumayan kepada peserta berkenaan.
Modal untuk melaksanakan projek itu juga tidak begitu tinggi dan mereka boleh mendapatkan pembiayaan daripada beberapa pihak termasuk Tekun Nasional (Tekun) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Ayub berkata, ternakan itik diberikan keutamaan dalam projek itu kerana telurnya mudah mendapat pasaran dan harganya pula sentiasa stabil.
"Jika seorang peserta menternak 1,000 ekor itik, ia boleh mendapatkan telur dalam masa empat bulan dengan pendapatan kira-kira RM150 sehari," katanya.
Bagi cili merah pula, tanaman tersebut juga mendapat pasaran tinggi kerana ia bukan sahaja diperlukan oleh setiap rumah, tetapi oleh pengusaha sos di negara ini.
Beliau berkata, 1,000 pokok cili boleh mengeluarkan sehingga tiga tan cili setahun dengan pendapatan RM240,000 setahun.
"Pendapatan peserta akan meningkat jika dicampurkan dengan hasil ternakan ikan keli dan ayam kampung pedaging," katanya.
Ayub berkata, beliau berhasrat memperluaskan projek tersebut ke semua 22 kampung yang terdapat dalam DUN Rengit pada waktu terdekat.
"Saya berharap setiap kampung akan mempunyai sekurang-kurangnya dua peserta projek ini," katanya.
Menurutnya, memandangkan projek pertanian bersepadu berskala kecil itu mampu memberi keuntungan tinggi, beliau menggesa siswazah menganggur dan bekas pekerja kilang agar menceburi projek tersebut.
"Projek ini lebih menguntungkan berbanding 'makan gaji' dan dapat membantu menggerakkan ekonomi negara ketika dunia sedang menghadapi krisis," katanya.
No comments:
Post a Comment