TIMUR
ARKIB : 22/05/2008
'Awang Selamat Bukit Marak' bernilai sebuah kereta
KOTA BHARU 21 Mei - Meskipun ada yang sanggup membeli ayam serama miliknya dengan harga RM30,000 seekor, Ibrahim Ismail, 63, tidak sanggup menjualnya.
Ibrahim Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Him di kalangan peminat ayam serama berkata, beliau sedar harga sebanyak itu boleh ditukarkan dengan sebuah kereta baru atau sekeping lot banglo.
Bagaimanapun katanya, ayam kerdil yang beratnya kurang dari 250 gram yang dipelihara sebagai hobi itu dianggap lebih berharga buatnya berbanding wang.
''Hendak buat apa kereta, saya sudah ada kereta, sudah ada rumah, itu tidak lagi penting buat saya. Saya ternak ayam ini untuk memenuhi hobi dan menjadikannya sebagai baka.
''Baka penting kerana kalau baka tidak elok, keturunannya tidak akan cantik dan tidak diminati pembeli dan tidak berpeluang menang dalam pertandingan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Festival Unggas Antarabangsa Kelantan 2008 di Padang Seri Cemerlang di sini baru-baru ini setelah ayam serama kepunyaannya memenangi tempat pertama kategori A pada festival tersebut.
Ayam yang diberikan nama 'Awang Selamat Bukit Marak' itu adalah antara 500 ekor ayam yang menyertai pertandingan di festival tersebut yang melibatkan lapan kategori.
Ini merupakan kemenangan kesepuluh bagi ayam milik Pak Su Him sejak ia mula menyertai pertandingan ayam serama di seluruh negara dua tahun lalu.
Awang Selamat sering menyertai pertandingan termasuk di luar Kelantan tetapi kejohanan kali ini yang paling berprestij kerana menewaskan pesaing lain dari Thailand, Singapura dan Indonesia.
Pesara tentera yang berasal dari Bukit Marak ini mula meminati hobi menternak ayam serama sejak 18 tahun lalu dan kini mengusahakan ternakan itu secara sepenuh masa untuk dijual kepada peminat unggas itu.
Kini beliau mempunyai lebih 50 ekor ayam serama termasuk yang baru menetas dan dijual dengan harga antara RM1,000 hingga RM1,500 seekor mengikut tahap kecantikan ayam.
Kebanyakan ayam serama Pak Su dengan susuk tubuh yang hebat dan warna memikat, mendapat harga yang baik kerana kerap memenangi pertandingan termasuk di luar Kelantan.
Ibrahim berkata, untuk memelihara ayam serama bukan susah tetapi memerlukan penjagaan baik dari kebersihan dan makanannya selain tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak.
Sementara itu, pemenang tempat pertama pertandingan burung candek, Lee Chee Shion, 34 pula berkata, beliau tidak menyangka burung kepunyaannya yang dipelihara baru sebulan dipilih sebagai juara menawarkan lebih 300 burung lain.
Burung candek bersuara merdu dan 'galak' itu yang dinamakan 'Anak Musang' itu dibeli daripada seorang rakan dengan harga RM1,500 dan sering menyertai pertandingan serupa di negeri ini.
Menurut pengusaha kedai perabot di Kampung Cina dekat sini, nama Anak Musang diambil sempena daripada peristiwa burung candek itu yang pernah diserang oleh musang tetapi dapat diselamatkan.
''Walaupun sering menang bertanding tetapi ini kali pertama Anak Musang bergelar juara dan kejayaan ini tidak diduga kerana burung lain pun hebat juga," ujarnya yang memberitahu pernah ditawarkan RM5,000 untuk burung tersebut.
No comments:
Post a Comment