Wednesday, January 13, 2010

IKAN BERNILAI TINGGI

SELATAN

ARKIB : 12/01/2010

Haruan bodoh bernilai tinggi


IKAN ketutu lebih sinonim dengan panggilan haruan bodoh, ikan hantu dan belantuk atas sebab fizikalnya lain daripada ikan biasa.


MELAKA 11 Jan. - Setiap kali mendengar nama ikan ketutu pasti di kalangan kita cuba membayangkan bentuk fizikal dan keunikan yang terdapat pada ikan tersebut.

Mungkin ada antara anak muda kini yang langsung tidak mengetahui kewujudan ikan itu yang nama saintifiknya ialah marbled goby.

Di kalangan masyarakat kampung, ikan ketutu lebih sinonim dengan panggilan haruan bodoh, ikan hantu dan belantuk atas sebab fizikalnya lain daripada ikan yang biasa dilihat.

Namun begitu di sebalik bentuk fizikalnya yang 'menggerunkan', ketutu merupakan salah satu ikan ternakan yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran.

Menyedari perkara ini, Aquaculture Technology Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menternak ikan ketutu dan sejak beroperasi tiga tahun lalu, syarikat tersebut tersenarai sebagai salah satu syarikat yang mempunyai kolam ternakan ikan ketutu terbesar di negeri ini.

Memiliki sebanyak tujuh buah kolam utama yang terletak di Tiang Dua, Jasin di sini, Aquaculture Technology merupakan anak angkat kepada Jabatan Perikanan negeri telah menternak lebih daripada 1,000 ekor ikan tersebut.

Pengusahanya, Ng Swee Lui berkata, sejak bergiat dalam ternakan ikan ketutu, perusahaan tersebut terbukti mendapat permintaan tinggi bukan sahaja untuk pasaran dalam negara malah luar negara.

Setakat ini, katanya, ketutu ternakannya sudah berjaya menembusi pasaran Singapura, Hong Kong, China, Taiwan, Jepun dan beberapa negara Eropah.

''Saya memulakan bidang ternakan ini sejak tiga tahun lalu dan di kawasan ini sahaja mengandungi tujuh buah kolam yang dibina dengan perbelanjaan sendiri berjumlah RM1.2 juta.

''Selain itu, saya turut memiliki 30 buah kolam ternakan ikan ketutu dan beberapa jenis ikan hiasan di sekitar Alor Gajah," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Kata Swee Lui, baru-baru ini pihaknya menerima permintaan dari luar negara yang mengharapkan bekalan sebanyak empat tan ketutu sebulan, namun malangnya pihaknya hanya mampu membekalkan dua tan sebulan.

Menurutnya lagi, ikan ketutu senang diternak kerana sifat semula jadinya yang 'pendiam' pada waktu siang namun aktif pada waktu malam.

''Ikan ini mampu membesar sehingga 50 sentimeter dan mencapai berat sehingga dua kilogram dalam masa dua tahun," katanya.

Beliau berkata, ikan ketutu boleh mula dijual selepas ia mencapai usia setahun dan harga pasarannya kini untuk setiap kilogram adalah sekitar RM80 hingga RM95.

''Di restoran, ia biasa dijual pada harga mencecah RM120 sekilogram dan kulitnya yang kehitaman serta berwarna sedikit coklat amat enak bagi masakan stim.

''Ia menjadi makanan utama bagi mereka yang menggemari makanan laut dan sehingga kini ikan ketutu mempunyai pasaran yang tinggi jika dijual di restoran makanan laut," katanya.

Menceritakan pengalamannya sepanjang menternak ikan ketutu Swee Lui berkata, selain memerlukan modal yang tinggi, ikan berkenaan juga tidak terlepas daripada masalah seperti serangan penyakit.

"Jika ada sesiapa yang berminat, perlu mendalami pengetahuan mengenai ikan ini sebelum memulakan ternakan.

"Bukan mudah untuk menternak spesies ikan ini dan masalah yang besar ialah apabila ikan diserang penyakit.

''Saya banyak belajar daripada kesilapan sebelum berada pada tahap ini," katanya.

No comments:

Post a Comment