ARKIB : 03/10/2008
Orkid Phalaenopsis semakin diminati
|
|
AKTIVITI penanaman bungan untuk hiasan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai golongan terutamanya kaum wanita.
Selain bertujuan mencantikkan kawasan sekitar, aktiviti tersebut juga telah dijadikan sebagai hobi untuk memberi kepuasan kepada penggemarnya.
Untuk tujuan itu, tumbuhan-tumbuhan yang sering menjadi pilihan adalah dari jenis daun, bunga-bungaan dan juga pokok renek.
Orkid merupakan antara jenis tumbuhan bunga yang semakin digemari dan di tanam secara meluas di kawasan-kawasan perumahan serta premis seperti bangunan pejabat dan kedai-kedai.
Pokok orkid sebenarnya dikategorikan sebagai tumbuhan liar yang mempunyai habitat asal di kawasan hutan.
Komersial
Namun, disebabkan sifatnya yang cantik dan mudah dijaga, usaha penanamannya kini telah diperluaskan secara komersial.
Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis pokok orkid ditanam secara meluas namun antara yang popular di kalangan penggemar orkid adalah dari baka Phalaenopsis.
Untuk memperluaskan penanaman orkid jenis tersebut, sebuah syarikat Waltex Biotec telah mengambil inisiatif menjalankan proses pembiakan dan kacukan secara komersial.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Y. K. Yap, usaha tersebut dijalankan di ladang seluas enam ekar miliknya yang terletak di Ulu Yam, Selangor.
“Di ladang ini, kami hanya memfokuskan kepada pembiakan baka orkid jenis Phalaenopsis melalui kerja-kerja penghasilan anak benih dan kacukan seperti tisu kultur dan klon meri,’’ katanya.
Ladang yang telah beroperasi lebih dua tahun itu mempunyai sistem pengurusan yang lengkap bagi tujuan penjagaan anak benih serta turut dilengkapi makmal khas untuk aktiviti penyelidikan.
Untuk baka berkenaan, proses kacukannya melibatkan proses semaian biji benih atau buah orkid dengan menggunakan botol khas.
Melalui proses itu, ia akan menghasilkan bunga orkid yang lebih cantik dari segi corak dan warnanya.
Dari segi pemeliharaan baka ini pula, ia perlu di ambil kira dari segi pendedahan kepada cahaya matahari, penyiraman, kelembapan, pengaliran udara dan juga pemberian baja.
Pokok orkid perlu diberikan cahaya yang maksimum agar ia dapat hidup dan tumbuh dengan sihat serta berbunga dengan lebih baik.
Bagi proses penyiraman pula, kekerapannya pula adalah bergantung kepada cuaca, kelembapan, pasu dan medium yang digunakan untuk penanaman orkid tersebut.
Baka orkid jenis ini juga memerlukan kawasan persekitaran yang lembap serta pengaliran udara yang baik bagi mengelakkan jangkitan kuman.
“Kebanyakan orkid jenis ini akan mati akibat kecuaian penjagaan atau penyelenggaraan yang tidak betul,’’ jelasnya.
Kalau dahulu kebanyakan pokok orkid
di tanam dengan menggunakan medium arang
atau batu-bata, namun sekarang ia telah digantikan dengan sejenis lumut tanah yang dikenali sebagai Shagnum moss.
Untuk menggalakkan lagi pertumbuhan pokok-pokok ini, ia perlu dibantu dengan pemberian baja.
Terdapat dua jenis baja yang biasa digunakan iaitu baja bebola organik dan juga baja cecair yang diberikan secara semburan.
Secara puratanya, orkid jenis tersebut akan berbunga sebanyak dua kali setahun.
“Tiada had umur untuk jangka hayatnya kerana jika diberi penjagaan yang betul, pokok orkid ini akan dapat hidup dengan lebih lama,’’ katanya.
Terdapat pelbagai corak pokok orkid jenis tersebut dijual di ladang berkenaan.
Harganya pula bergantung kepada saiz, kombinasi pokok serta jenis baja yang digunakan.
No comments:
Post a Comment