Tuesday, January 12, 2010

JANA RM 2000.00 SEBULAN

UTARA

ARKIB : 26/12/2008

Petani peroleh RM2,000 sebulan tanam kenaf


BIDUZODIN Ibrahim menunjukkan tanaman kenaf di kebunnya di Kampung Tiak Kupang, Baling, semalam.


BALING 25 Dis. - Sikap berani mencuba sesuatu yang baru dalam diri seorang petani, Biduzodin Ibrahim, 60, dengan menanam kenaf di atas tanah seluas 0.8 hektar di Kampung Tiak Kupang, di sini sejak dua tahun lalu kini menghasilkan pulangan lumayan kepadanya.

Warga emas tersebut yang tidak pernah mengenali kenaf sebelum mengusahakannya kini boleh berbangga apabila mengecap hasil sehingga RM2,000 sebulan dengan jualan tanaman berkenaan.

Biduzodin berkata, meskipun dia tidak pernah mengenali kenaf, namun minat dan perasaan ingin mengetahui sejauh mana potensinya telah mendorongnya mencuba mengusahakan tanaman itu.

"Saya gembira kerana pada mulanya sekadar ingin mencuba, tetapi kini ia telah membawa hasil lumayan,"katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kebunnya di sini hari ini.

Menurut Biduzodin, dia mendapat peruntukan dari Lembaga Tembakau Negara (LTN) termasuk khidmat nasihat dan kredit untuk mengusahakan kebunnya dengan tanaman berkenaan.

Katanya, dia menyediakan sebanyak 10 kilogram benih kenaf yang mampu membuahkan hasil sehingga 400 kilogram semusim.

"LTN telah menyediakan kemudahan baja, racun dan benih melalui skim kredit," jelasnya.

Katanya lagi, tanaman kenaf tidak sukar untuk diusahakan kerana ia sukar mendapat serangan penyakit dan serangga.

Bapa kepada enam anak itu memberitahu, kenaf ditanam dengan menggunakan mesin tanpa perlu membuat batas seperti tanaman sayuran lain.

Biasanya, kata Biduzodin, tanaman itu mampu mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter pada peringkat matang.

"Kenaf yang matang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh enam bulan selepas ditanam.

"Selain batang kenaf, biji bunganya juga boleh dijual pada harga RM20 sekilogram," katanya.

Menurutnya lagi, dia kini telah menanam kenaf untuk peringkat kedua dan menunjukkan hasil yang amat menggalakkan.

"Saya sedang berusaha untuk mendapatkan satu kawasan tanah terbiar untukdibangunkan dengan tanaman itu secara komersil tidak lama lagi", katanya.

No comments:

Post a Comment