Tuesday, January 12, 2010

TANAMAN ORGANIK

TIMUR

ARKIB : 07/04/2009

Baja organik lebih selamat


norizan Othman (dua dari kanan) memberikan penerangan mengenai penggunaan baja organik kepada pegawai FAMA dan dua petani yang menyertai kursus di ladang jagungnya. - utusan / ali mahmood


TEMERLOH 6 April - Kesedaran terhadap kelebihan sayur-sayuran yang menggunakan baja organik kini semakin mendapat tempat di kalangan rakyat negara ini.

Ia berikutan meningkatnya kesedaran orang ramai terhadap penjagaan kesihatan.

Meskipun penggunaan baja kimia dapat meningkatkan pengeluaran selain hasil tanaman yang kelihatan lebih 'cantik,' namun ia boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan manusia.

Selain itu, harga baja kimia adalah lebih mahal berbanding baja organik terutama selepas kenaikan harga minyak pada pertengahan tahun lalu.

Bagaimanapun, masih tidak ramai petani yang menggunakan kaedah baja organik dalam kerja-kerja penanaman.

Ia mungkin disebabkan penyediaan baja organik yang dianggap leceh berbanding baja kimia yang boleh dibeli di mana-mana premis untuk ditaburkan di atas tanaman

Salah seorang pengusaha tanaman sayur-sayuran yang menggunakan kaedah baja organik ialah Norizan Othman, 47, dari Lanchang, dekat sini.

Beliau merupakan satu-satunya petani di Lanchang yang mengusahakan pertanian menggunakan baja organik.

Apa yang menarik, Norizan menggunakan ramuan daripada tanaman herba seperti serai wangi, bawang putih, halia dan cili yang diadun untuk dijadikan baja serta racun serangga.

Bagi Norizan, soal keselamatan makanan adalah perkara penting yang tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, beliau merasakan menjadi bertanggungjawabnya untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya soal keselamatan makanan kerana ia berkait rapat dengan kesihatan.

Justeru, beliau mengambil keputusan untuk menghentikan penggunaan baja kimia di ladangnya yang diusahakan sejak 12 tahun lalu dengan beralih kepada tanaman sayur-sayuran berasaskan penggunaan baja organik.

Bagi Norizan, penggunaan baja organik didapati bukan sahaja selamat tetapi dapat menjimatkan 30 peratus kos pengurusan ladang manakala hasil pengeluaran meningkat sehingga enam kali ganda.

''Hasil sayur-sayuran menggunakan baja organik lebih berkualiti dan selamat dari sudut kesihatan kerana menggunakan baja semula jadi dan mesra alam.

''Malah sayur-sayuran berasaskan baja organik mendapat pasaran yang baik apabila wujud kesedaran di kalangan orang ramai yang kini lebih mementingkan soal penjagaan kesihatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Norizan mula menyedari kebaikan penggunaan baja organik setelah mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI) enam tahun lalu dan merasakan ia menjadi tanggungjawabnya untuk memberitahu masyarakat supaya berhenti membeli sayur-sayuran berasaskan baja kimia.

Beliau yang menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanah adik-beradiknya sejak 14 tahun lalu berharap dapat mendidik masyarakat supaya menggalakkan mereka memakan sayur-sayuran berasaskan baja organik dengan terlibat secara langsung menggunakan baja tersebut di ladangnya sendiri.

Norizan mula menggunakan baja organik pada Mei 2004 menerusi syarikatnya, Organick Natural Farming Sdn. Bhd. (Organick Natural Farming) bersama suaminya, Hamdan Mat Jusuh, 48, dengan mengusahakan tanaman timun, petola dan peria.

Beliau yang pernah bekerja di sebuah syarikat kuari di Lanchang selama tujuh tahun berminat dalam bidang pertanian sejak mendirikan rumah tangga 30 tahun lalu dengan memanfaatkan tanah di sekeliling rumahnya selepas pulang dari kerja.

Bagaimanapun selepas suaminya tamat kontrak sebagai pekerja syarikat yang mengendali Lebuh Raya Karak-Gombak (MTD Prime), mereka mengambil keputusan menceburi bidang pertanian sepenuh masa dengan mengusahakan tanah seluas 0.8 hektar milik adik-beradiknya.

Selepas lima tahun mengusahakan tanah tersebut, Norizan membeli tanah seluas 1.2 hektar dengan harga RM70,000 hasil simpanan dan pinjaman bank.

Kesungguhan pasangan suami isteri itu mendapat pengiktirafan Jabatan Pertanian apabila ladangnya mendapat anugerah Ladang Organik Kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut pada 2005, 2006 dan 2007.

''Dengan penggunaan baja kimia, pendapatan kami sekitar RM2,000 tetapi meningkat kepada RM6,000 apabila beralih kepada baja organik.

''Selain turut menggunakan racun serangga yang bebas daripada penggunaan bahan kimia, saya menggunakan semburan cecair yang diperbuat daripada campuran bawang putih, halia, daun serai wangi dan cili api," katanya.

Menurutnya, penggunaan racun serangga berasaskan organik juga lebih selamat kerana ia tidak memberi kesan sampingan kepada orang ramai yang memakan sayur.

''Penggunaan serai wangi dapat menghalang daripada kehadiran haiwan perosak tanaman di ladang sayur saya," jelasnya.

Bagi menambah pengetahuannya dalam pertanian organik, Norizan sentiasa mengikuti kursus dan program berkaitan yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) seperti klinik usahawan tani dan sebagainya.

Kejayaannya mengusahakan ladangnya itu menarik perhatian beberapa pihak yang mengundang beliau untuk memberi ceramah dan berkongsi pengalaman dengan para petani yang ingin menceburi pertanian berasaskan baja organik.

Sepanjang tahun ini beliau diundang untuk memberikan ceramah di Perlis, Kelantan, Pahang, Melaka dan Selangor melalui Latihan Sangkut iaitu cara memproses dan mengusahakan tanaman menggunakan baja organik.

Selain mendapat pengiktirafan Ladang Organik Kebangsaan, ladangnya, Organick Natural Farming turut mendapat lesen Skim Organik Malaysia (SOM) 2007 dan pernah mewakili negara ke Persidangan Ladang ASEAN pada 2005 yang berlangsung di Kemboja.

Menceritakan pengalaman awal ketika menggunakan baja organik untuk tanaman sayur-sayuran, beliau dan suaminya menempuh pelbagai dugaan terutama ketika cuba menembusi pasaran tempatan.

''Pada peringkat permulaan, saya menghadapi cabaran yang agak getir kerana terpaksa memasarkan sayur-sayuran di pasar borong dan terpaksa bersaing harga yang sama dengan sayur-sayuran yang menggunakan baja kimia.

''Namun kini alhamdulillah, sayur-sayuran saya telah dipasarkan di Kepong iaitu tempat pasaran hasil pertanian berasaskan baja organik.

''Saya percaya kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kesihatan semakin tinggi dan suatu hari nanti mereka akan beralih kepada hasil pertanian menggunakan baja organik," katanya.

Norizan kini bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang menjalankan kursus mengenai pertanian berasaskan baja organik untuk memberikan bimbingan kepada usahawan tani di negeri ini.

1 comment:

  1. hello, where can i meet this person? and how to contact it?

    ReplyDelete