Tuesday, January 12, 2010

NANAS N36

VARIA

Nanas N36 ke negara Arab

Nanas yang ditanam ialah jenis Hibrid N36 iaitu benih terbaik yang istimewa dan mempunyai nilai eksport yang tinggi selain rasanya yang manis.


PEMBANGUNAN Projek Agropolitan di Gahai ialah lambang kesungguhan kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.


PENDUDUK Kampung Tanjung Gahai, Kuala Lipis, Pahang kini boleh tersenyum lebar apabila Projek Agropolitan Gahai berjaya mengubah kampung berkenaan menjadi kota pertanian bersepadu yang berkembang positif.

Bahkan, tahap kehidupan penduduk setempat menjadi lebih baik. Pendapatan penduduk bertambah antara RM400 hingga RM700 sebulan jika bekerja di ladang komersial nanas, selain pendapatan sebagai penoreh getah RM1,000 hingga RM2,500.

Ini membolehkan projek yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri sejak Ogos 2008 itu mencapai sasarannya mengurangkan kemiskinan tegar pekebun-pekebun kecil kepada 2.9 peratus menjelang 2010.

Program pembangunan bersepadu di kawasan seluas 223 hektar itu merangkumi 203 hektar penanaman getah, 14 hektar penanaman nanas dan baki 6 hektar kawasan penempatan 50 unit rumah peserta.

Seramai 80 ketua isi rumah miskin tegar bakal menerima faedah projek yang melibatkan kos sejumlah RM13.62 juta. Projek itu dijangka menjadi pemangkin kepada lonjakan pembangunan di kawasan Gahai dan sekitarnya.

Kampung Tanjung Gahai terletak dalam daerah Lipis dan sejauh 148 kilometer dari Kuala Lumpur.

Kejayaan tanaman nanas

Antara kejayaan yang boleh dibanggakan di bawah Projek Agropolitan Gahai ialah tanaman nanas yang mencatat jualan berjumlah RM40,000 setakat bulan Oktober 2009.

Malahan, produk nanas Hibrid N36 iaitu kacukan Gandul dan Sarawak yang dihasilkan di kampung itu dijangka dieksport ke negara-negara Arab pada tahun hadapan.

"Pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Malaysia (FAMA) pula dalam perbincangan dengan Iran untuk memasarkan nanas keluaran negara. Sampel juga telah dihantar bagi pemasaran," kata Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Pahang, Datuk Mujahid Muhamad kepada Bernama semasa lawatan Kembara Media ke kawasan projek baru-baru ini.

Katanya lagi, nanas yang ditanam ialah jenis Hibrid N36 iaitu benih terbaik yang istimewa dan mempunyai nilai eksport yang tinggi selain rasanya yang manis.

Sebanyak RM265,494 diperuntukkan bagi projek tanaman nanas agropolitan Gahai melibatkan 420,000 pokok nanas.

"Kejayaan ini adalah kerana usaha gigih petani menerusi perubahan sikap melaksanakan sesuatu projek pertanian kerana kerajaan telah menyediakan bantuan baja, racun dan kepakaran," kata Mujahid.


NANAS Hibrid N36 merupakan produk kacukan Gandul dan Sarawak.


Infrastruktur

Di samping pembangunan ladang, kompleks penempatan serba moden turut disediakan meliputi 50 lot rumah, medan info desa, dewan serbaguna, masjid, bangunan kedai, industri kecil dan sederhana, setor, padang permainan dan tabika.

Selain memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, pelaksanaan projek agropolitan turut disertai dengan penyediaan infrastruktur asas, utiliti dan kemudahan sosial untuk dinikmati oleh penduduk luar bandar.

Beberapa penduduk yang ditemui menyatakan rasa selesa dengan infrastruktur yang disediakan di samping berpeluang menambah pendapatan daripada hasil ladang.

Selain pertanian, penduduk turut menghasilkan pelbagai kraf tangan yang menarik daripada bahan terbuang seperti surat khabar untuk dijadikan pasu dan bakul.

Usaha untuk memajukan industri tempatan sentiasa mendapat perhatian pihak kementerian yang mana ia mampu membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak kampung itu sendiri.

Konsep dan pelaksanaan

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Zukri Valenteno yang turut bersama Kembara Media 2009 baru-baru ini berkata, pembangunan Projek Agropolitan Gahai ialah lambang kesungguhan kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.

Konsep agropolitan yang dilaksanakan kementerian bagi membangunkan kawasan mundur telah membuahkan hasil bagi peserta agropolitan Gahai.

Ini menunjukkan satu petanda baik kepada projek desa bagi melangkah lebih maju ke hadapan khususnya dalam meneroka peluang perniagaan dalam dan luar negara," kata Zukri.

Melalui pendekatan serampang dua mata yang bersepadu itu, sosioekonomi peserta program dapat dipertingkat sekali gus merangsang pertumbuhan kawasan sekitarnya melalui lonjakan pembangunan yang dijanakan melalui pembangunan infrastruktur, kemudahan dan aktiviti ekonomi yang disediakan.

Pelaksanaan yang turut meningkatkan modal insan yang memfokuskan kepada program pembangunan minda, kecemerlangan pendidikan serta latihan kemahiran dan keusahawanan desa telah membuahkan hasil bagi peserta.

Pembangunan modal insan merupakan satu pendekatan yang sangat penting dalam pembangunan pekebun kecil.

Kementerian juga mengenal pasti beberapa lokasi baru untuk pelaksanaan projek agropolitan di Batang Sadong, Batang Lupar, Pulau Bruit, Bukit Sadok, Lingga-Stumbin di Sarawak, Telang Usan (Miri), masing-masing sebuah di Kampung Gana (Sabah) dan Sedili (Johor).

No comments:

Post a Comment