Saturday, January 9, 2010

PERMATA HIJAU

JOHOR

ARKIB : 19/07/2008

'Permata hijau' Selat Tebrau


SEKUMPULAN pekerja mengopek kupang yang telah direbus sebelum dipasarkan.
- Gambar BAAZLAN IBRAHIM


JOHOR BAHRU 18 Julai - Sebut sahaja Danga Bay, pasti ramai yang terbayang suasana indah dan ceria untuk bersantai bersama keluarga terutama pada hujung minggu.

Tidak dinafikan, Danga Bay yang sinonim dengan pelbagai acara menarik termasuk hari keluarga dan konsert turut menyimpan 'permata' lain di Selat Tebrau yang terletak di hadapannya.

Permata hijau yang dimaksudkan itu ialah kupang yang begitu lazat untuk dimakan jika dimasak lemak cili api.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Kampung Sungai Danga di sini baru-baru ini mendapati ramai wanita mengambil upah mengopek kupang yang kini mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Menurut seorang pengusaha, Mohd. Sah Mohd. Tung, 50, setiap hari dia menuai antara 200 hingga 400 kilogram (kg) kupang dari rakitnya.

Dia mengakui tujuh rakit yang dimilikinya tidak mampu menampung permintaan kerana kupang hanya boleh dituai pada usia lima hingga enam bulan sekali.

"Justeru, saya terpaksa membeli daripada pengusaha lain untuk menampung permintaan. Sebenarnya, permintaan terhadap kupang tinggi, sehingga kami tidak mampu memenuhinya," katanya.

Menurutnya, ketika memulakan penternakan kupang kira-kira enam tahun lalu dengan modal kira-kira RM50,000 termasuk dengan bantuan Jabatan Pertanian, dia yakin bidang itu dapat memberi pulangan baik kepadanya kerana sekilogram kupang dijual pada harga RM5.50.

Katanya, setiap hari pemborong akan mengambil isi kupang yang telah dikopek oleh beberapa pekerja sambilan yang terdiri daripada wanita di kampung berkenaan.

"Kerja mengopek isi kupang ini bermula kira-kira pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari, bergantung kepada jumlah kupang yang dipungut pada hari ini. Golongan wanita yang beranak kecil juga boleh membawa anak-anak mereka bersama dan dibayar RM1 bagi setiap sekilogram isi kupang yang dikopek," katanya.

Anak saudaranya, Adnan Nikmat, 40, yang turut menternak kupang pula memberitahu, kupang yang dipungut akan direbus selama kira-kira 40 minit di dalam tong sebelum dikopek.

Dia yang dibantu 12 pekerjanya juga mengakui menuai antara 200 hingga 400kg kupang setiap hari untuk memenuhi permintaan pemborong.


ANTARA pelampung rakit milik Mohd. Sah Mohd. Tung yang digunakan untuk menternak kupang.


"Setiap hari pemborong akan mengambil isi kupang yang telah dikopek untuk dipasarkan di restoran, pasar dan kedai makan. Selain itu ia juga dijual ke negeri-negeri lain.

"Penternakan kupang ini mempunyai potensi besar kerana sehingga kini tempahan terus meningkat dan bekalan yang kami mampu sediakan sentiasa tidak mencukupi," katanya sambil memberitahu memperoleh pendapatan bersih melebihi RM2,000 sebulan.

Seorang lagi pengusaha, Abdullah Marjo, 52, pula memberitahu, penternakan kupang mudah diuruskan kerana benih kupang memang sedia hidup di Selat Tebrau.

"Kita hanya buat rakit dan gantung tali ke dalam laut. Benih kupang akan melekap di tali itu dan lima atau enam bulan kemudian ia boleh dituai," katanya.

Namun, cabaran pengusaha kini adalah keadaan air laut di Selat Tebrau yang semakin tercemar sehingga menyebabkan jumlah tuaian berkurangan.

"Dahulu setiap tali mampu menghasilkan antara 50 hingga 60kg kupang, namun sejak kebelakangan ini ia berkurangan kepada 30kg sahaja," katanya.

Dia yang mempunyai tiga buah rakit juga terpaksa membeli kupang daripada pengusaha lain untuk memenuhi permintaan pemborong, katanya.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan. Saya Zakiah Anim student UTM Skudai. Kami ada kursus dimana kami perlu menemu ramah pengusaha2 bisnes melayu di sekitar kawasan Johor/Johor Bharu. Boleh saya dapatkan nombor telefon penternak kupang ni tak ? Kerana kami berminat nak tahu secara terperinci dari mana dan bagaimana kupang di ternak.

    Jadi Boleh saya dapatkan nombor telefon penternak kupang ini tak ?

    Kerjasama tuan amatlah dihargai. Terima kasih

    ReplyDelete