ARKIB : 06/01/2010
Enaknya lauk kulit lembu
|
|
SEBATANG pokok kelapa mempunyai seribu guna daripada batang, pelepah, daun, hinggalah kepada buahnya.
Batangnya boleh dijadikan titian, lidi kelapa pula dibuat penyapu, daun dianyam untuk ketupat, airnya diminum, santannya dijadikan minyak, manakala sabut dan tempurung digunakan sebagai bahan bakar.
Begitu juga ibaratnya bagi seekor lembu. Biarpun dalam budaya Melayu lembu sinonim dengan bidalan-bidalan yang mengaitkan tentang 'kurang kecerdikan' hakikatnya besar 'jasa' haiwan ini.
Manakan tidak, boleh dikatakan dari kepala hingga ke ekor haiwan ini memberi manfaat kepada manusia.
Selain daging, organ-organ dalaman seperti perut, limpa, paru dan hati lazimnya menjadi hidangan utama di meja makan dari hotel lima bintang hingga ke gerai tepi jalan.
Bahagian anggota lain seperti kaki, lidah dan otak turut diminati oleh sesetengah masyarakat sehingga munculnya 'sup gear box' atau 'lidah bakar' dan sebagainya.
Tetapi pernahkah anda menikmati hidangan masakan yang diperbuat daripada kulit lembu?
Rasa-rasanya bagi masyarakat Melayu di negara ini pastinya mereka tidak pernah dengar atau menikmati masakan daripada kulit lembu.
Apa yang diketahui, kulit lembu hanya digunakan untuk membuat kompang atau rebana.
Sebenarnya, selain membuat kompang atau rebana, kulit lembu juga sedap dijadikan hidangan terutama apabila dimasak lemak cili api.
Asalnya kulit lembu merupakan makanan tradisional masyarakat orang Jawa dan juga Minangkabau.
Ia biasanya di masak lemak cili api ataupun sambal berlada.
Tetapi hari ini ia menjadi semakin popular di kalangan masyarakat setempat apabila kulit lembu semakin mendapat sambutan untuk dijadikan salah satu hidangan wajib ketika majlis-majlis keraian terutama majlis kahwin.
Bagi penulis sendiri, kunjungan ke Kanchong Darat, Banting Selangor, baru-baru ini merupakan pengalaman mengujakan kerana selain dapat merasai masakan kulit lembu buat kali kedua, penulis juga dapat melihat bagaimana proses membersihkan kulit lembu daripada mula sehingga akhir dilakukan.
Jika ditanya apakah rasanya kulit lembu, bagi penulis ia seakan-akan seperti perut lembu dan jika mereka tidak mengetahui itu kulit lembu pasti menyangka bahawa ia adalah perut lembu.
Bagaimanapun untuk memproses menjadi makanan, ia melalui beberapa proses yang rumit dan memerlukan kesabaran.
Bagi Kapten (bersara) Ali Kadir, 74, beliau mula menceburi bidang tersebut sejak tujuh tahun lalu tetapi mula serius sejak empat tahun kebelakangan ini.
Beliau yang berketurunan Jawa dan kini tinggal di Kanchong Darat turut dibantu isteri serta anaknya, Rizai Ali.
"Proses untuk membersihkannya mengambil masa dan ia bukanlah satu kerja yang mudah.
"Bayangkan untuk mengeringkan kulit lembu sahaja akan mengambil masa berhari-hari kerana kulit lembu tersebut perlu betul-betul kering sebelum boleh menjalani proses seterusnya.
"Tetapi hari ini selain orang Jawa, masyarakat Melayu dan Cina juga sudah boleh menerima kulit lembu sebahagian daripada masakan harian,'' ujarya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Tambah beliau, proses pembuatan kulit lembu juga seharusnya dilakukan oleh mereka yang berkemahiran.
Ini kerana selain kerjanya 'renyah' ia juga memerlukan ketelitian untuk menghasilkan kulit lembu yang berkualiti serta bersih.
Beliau yang membeli kulit lembu dari Universiti Putra Malaysia serta sekitar Lembah Klang turut menyatakan bahawa hari ini pasaran untuk kulit lembu mentah tidaklah besar tetapi ia semakin berkembang dari hari ke hari.
Bagi Ali, walaupun beliau tidak memasarkan kulit lembu secara besar-besaran tetapi permintaan terhadapnya amat menggalakkan dan ini terbukti apabila produk ini sudah menjengah ke Johor, Terengganu, Perak dan Kuala Selangor.
Menurut datuk kepada 20 cucu ini, sekali proses, ia mampu mencecah sehingga 50 kilogram (kg).
"Untuk memperoleh 50 kg, ia cuma memerlukan dua hingga dua setengah keping kulit lembu dan ia sebenarnya bergantung kepada saiz kulit lembu itu sendiri.
"Dan hari ini untuk satu kg kulit lembu yang telah siap diproses dijual pada harga RM14,'' ujarnya lagi.
Sementara itu menurut Rizai, kerja-kerja memproses kulit lembu dilakukan dua kali dalam tempoh seminggu.
Katanya, pelanggan tetap bukan sahaja di kalangan penduduk setempat malah turut mempunyai pelanggan daripada pemilik-pemilik restoran yang berdekatan.
"Pendapatan hasil jualan kulit lembu boleh katakan lumayan walaupun sekadar kerja sampingan," katanya yang berkerja tetap sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.
Melihat kepada permintaan yang semakin meluas, Rizai tidak menolak kemungkinan untuk mengkomersialkan lagi produk kulit lembu pada masa depan.
Ini termasuk memperbaiki lagi kaedah pemprosesan dengan menggunakan alat yang lebih moden terutama ketika proses membakar.
Saya memerlukan kulit lembu yan telah dikeringkan & diproses.Untuk membuat beg.Perlukan 600kg seminggu.dimanakah saya boleh mendapatkan bahan ini?
ReplyDeleteSaya mempunyai kulit kambing. Hubungi saya kalau berminat
Deletesyarikat saya yaitu BHM FARMER menjalankan ativiti perniagaan menternak membekal lembu kambing dan dagin halal dan juga merupakan pegeluar baja 100% organik dari tinja lembu.dan saya mempunyai simpanan kulit lembu.jika berminat untuk membeli sila hubugi di no:017/5769236(burhaaan)t.kasih
ReplyDelete