Showing posts with label ANGGUR. Show all posts
Showing posts with label ANGGUR. Show all posts

Saturday, March 20, 2010

KHASIAT ANGGUR

KESIHATAN

Rahsia khasiat anggur


Cecile Ossola bersama Maude Gay dari Paris hadir sempena majlis pelancaran produk Caudalie Premier Cru di Malaysia.


Anggur yang segar bukan sahaja mengandungi vitamin yang baik untuk kesihatan. Selain untuk dimakan, anggur juga boleh dijadikan sebagai bahan kecantikan. Sekiranya dijadikan sebagai bahan dalam bentuk krim, ia mampu menyerap ke dalam kulit.

Kajian menunjukkan anggur bukan saja membekalkan kandungan vitamin C yang tinggi, bahkan boleh membaiki tahap anti oksida dalam tubuh manusia.

Kehadiran tinggi radikal bebas yang berpunca daripada pelbagai elemen seperti pencemaran didapati antara punca utama yang menyebabkan kulit mengalami proses penuaan dengan cepat.

Justeru, apa saja yang mengandungi bahan anti oksida berupaya untuk meneutralkan radikal bebas. Anggur antaranya. Tidak hairanlah pengambilan anggur digalakkan berikutan kandungan anti oksidanya yang tinggi.

Jurucakap kecantikan Caudalie, Cecile Ossola memberitahu, krim yang diperkaya dengan vitamin daripada buah yang mampu hidup sehingga 60 tahun itu, dapat mengurangkan garis halus, mengawal jerawat yang baik dan turut membantu mengawal sejenis masalah kulit iaitu psoriasis.

Anggur yang mengandungi vitamin C memang terkenal peranannya mencantikkan kulit wajah juga berfungsi sebagai anti oksida.

“Ia juga membantu meneutralkan kemusnahan molekul radikal bebas kulit, membantu melindungi kulit daripada kesan kemusnahan sinar UVA dan UVB yang boleh merosakkan kulit.

“Selain buah, biji anggur pula dikatakan 50 kali ganda lebih efektif sebagai anti oksida berbanding vitamin E, malah membantu kelembapan kepada kulit. Sementara daunnya pula yang kaya dengan polyphenols membantu dalam proses pembuangan toksin tubuh,” katanya semasa pelancaran krim anti penuaan, Premier Cru yang dijual secara eksklusif di butik Sa Sa dengan harga RM 520.

Manfaat besar anggur menyebabkan Caudalie menggabungkan pokok anggur viniferine dan biji anggur polyphenols untuk inovasi krim anti penuaan.

17 tahun lalu, pengasas Caudile, Mathilde dan Bertrand Thomas mendapati anggur mempunyai khasiat khusus dalam bidang kecantikan. Keindahan ladang anggur miliki mereka menjadi inspirasi untuk membuka sebuah spa dan produk kecantikan menggabungkan bahan semula jadi.

Sementara itu, Sa Sa akan menyambut ulang tahun ke 32 tahun dan 12 tahun di Malaysia mulai Mac ini. Pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran, jualan istimewa dengan diskaun sehingga 32 peratus. Pelanggan yang bertuah juga boleh memenangi hadiah lebih RM 100 ribu dengan hanya berbelanja minimum RM 132 dalam satu resit. Siapa tahu anda boleh memenangi hadiah utama, Hyundai i10 1.1AT.

Wednesday, January 13, 2010

TAMAN MARDI

UTARA

ARKIB : 08/12/2009

Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi dinaik taraf


Hassim Mat melihat buah anggur yang menjadi tarikan baru kepada pelancong tempatan di Taman Agro Teknologi Mardi di Langkawi, semalam. - BERNAMA


LANGKAWI 7 Dis. - Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi, merupakan antara produk pelancongan yang sedang dinaik taraf bagi projek pembangunan prasarana pelancongan di pulau peranginan itu.

Pengurus Stesen Mardi Langkawi, Hassim Mat berkata, menara tinjau, dewan terbuka, pembangunan hutan tropika untuk tarikan ekopelancongan, pondok rehat serta laluan siar kaki adalah antara projek yang sedang dilaksanakan di taman berkenaan.

"Taman itu mempunyai keluasan lebih 25 hektar mula dibangunkan sebagai stesen penyelidikan pada Ogos 1990 dan dikenali sebagai Taman Agro Teknologi pada Julai 2005," katanya di sini.

Beliau berkata, pelancong yang berkunjung ke taman itu berpeluang melawat serta memetik sendiri buah-buahan yang ditanam Mardi.

Kedatangan pelancong ke taman itu meningkat kepada 32,000 orang dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding 25,000 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu, katanya.

Hassim berkata, pelancong luar negara seperti dari Eropah, Australia, India serta Timur Tengah adalah antara pengunjung asing yang mengunjungi taman itu.

"Taman itu mempunyai visi untuk menjadi destinasi pelancongan teknologi pertanian yang tersohor dan bertaraf antarabangsa, selain itu menjadi pusat pembelajaran serta pemindahan teknologi pertanian, menggalakkan aktiviti agro pelancongan berasas teknologi.

"Pada masa ini, taman itu turut dibangunkan sebagai destinasi agro pelancongan yang mempunyai lebih 20 jenis buah-buahan bermusim seperti rambutan, belimbing, jambu, nanas, durian, ciku, mangga, betik dan limau," katanya. - BERNAMA

Sunday, December 13, 2009

ANGGUR PERLIS

Gambar ini di ambil pada Julai 2006 di Ladang Demonstrasi Anggur Jabatan Pertanian Negeri Perlis. Ladang ini berkeluasan 0.35 hektar dan projek ini bermula sejak tahun 1987. Maknanya pokok anggur ini dah berusia lebih dari 20 tahun.

Daun pokok anggur yang tumbuh subur.

.

Buah anggur yang mula mengeluarkan hasil. Gambar ini diambil slepas waktu hujan.

.

Selain menggunakan keratan sebagai bahan tanaman, Pokok anggur juga boleh dibiak menggunakan kaedah tut.

Buah anggur yang telah dijangkiti oleh kulat.

Akbat dari serangan kulat yang serius.

.

Serangga ini dikenali kumbang belangkas. Memang haiwan ini suka melekat. Memang banyak dijumpai pada buah anggur.

Telur serangga yang telah dijumpai pada tanaman anggur. Saya pun tak pasti apakah serangga yang bertelur seperti ini.

Jika anda mempunyai pengalaman dalam tanaman anggur, silalah beri komen anda !!

“Pertanian Adalah Peniagaan”

SEDIA UNTUK DINIKMATI

Anggur Sendayan Sedia Untuk Dinikmati Semasa Aildilfitri


Oleh Ahmad Fuad Yahya

SEREMBAN, 16 Sept (Bernama) -- Setelah dua tahun melalui proses penyesuaian di satu kawasan tanah berbukit di Sendayan dekat sini, anggur keluaran ladang Sendayan Valley akhirnya akan dapat dinikmati oleh penggemarnya menjelang Adilfitri ini.

Mulai 20 Sept ini, orang ramai bukan sahaja boleh membeli buah-buahan segar itu di ladang berkenaan yang terletak enam km dari Jalan Seremban-Port Dickson, malah mereka juga akan diberi peluang merasai pengalaman memetik sendiri anggur terus di pokok.

Masa paling ideal untuk merasai keenakan anggur itu ialah antara 20 Sept dan 25 Sept ini, kata Pengarah Urusan Syarikat A-WINN Global Market Services Sdn Bhd, Azrul Nazim Abdul Aziz.

Untuk permulaan, anggur jenis Shiraz yang ditanam di sebuah plot kecil di ladang itu dijangka dapat menghasilkan tiga tan anggur untuk dijual kepada orang ramai.

Bercakap kepada Bernama di ladang milik syarikat itu, Azrul Nazim berkata ladang Sendayan Valley yang berkonsepkan agro-pelancongan, akan dibuka kepada orang ramai untuk dilawati, dan tarikan utamanya ialah anggur Sendayan.

Peminat anggur juga boleh membeli biji benih anggur yang bermutu, baja, racun serangga dan buku panduan kecil mengenai cara menanam dan menjaga anggur untuk ditanam di taman atau dalam pasu.

"Kita juga akan menjual pokok anggur bonsai kepada mereka yang ingin segera menikmati hasil buahnya di rumah sendiri," katanya.

Setiap satu pokok bonsai dijual antara RM300 dan RM500.

Selain anggur, ladang itu turut menghasilkan buahan-buahan lain seperti longan, jambu madu, mangga, bidara, laici, sukun, ciku, belimbing besi, kundang dan rambutan.

"Harapan kami ialah ladang Sendayan Valley ini akan menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri terutamanya dari Singapura, untuk merasai pengalaman berada di tengah-tengah dusun buah-buahan dan menikmati keindahan dan kedamaiannya," kata Azrul Nazim.

Syarikat itu telah melabur sejumlah RM6 juta setakat ini dengan membangunkan lapan daripada 20 hektar kawasan ladang dengan pelbagai jenis tanaman buah-buahan.

Pengarah projek ladang itu, Arthur Baumann @ Adil Mustafa, berkata keluaran sulung anggur dari Sendayan Valley itu adalah sesuatu yang amat bermakna bagi Negeri Sembilan.

Adil, yang berasal dari Thailand tetapi menetap di Malaysia setelah berkahwin dengan seorang wanita Melayu, berkata beliau menggunakan resipi rahsia dari Thailand dalam baja organik yang dihasilkan oleh syarikat itu untuk tanaman anggur di ladang berkenaan.

Beliau juga menggunakan kepakaran beberapa pekerja yang dibawa khas dari Thailand untuk memantau tanaman anggur dan buah-buahan lain di ladang itu manakala pekerja harian ladang itu terdiri penduduk tempatan.

Katanya ladang itu sedia melatih belia yang berminat dalam bidang tanaman buah-buahan khususnya anggur asalkan mereka sanggup bekerja di ladang itu sambil menimba pengalaman untuk menjadi peladang yang mahir.

"Belajar menanam pokok buah-buahan terutamanya anggur bukan semudah hanya melihat dan menulis nota, ia perlu dipraktikkan dan disematkan dalam ingatan.

"Ilmu ini memerlukan mereka yang benar-benar berminat belajar dan sanggup berpanas dan berhujan untuk menjalani latihan," kata Adil, yang juga pakar dalam bidang tanaman anggur.

Katanya pokok-pokok juga mempunyai perasaan seperti manusia dan ia juga boleh merasai kesakitan.

"Jika kita pijak mereka (pokok) mereka mati, ini bermakna mereka juga ada kehidupan," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, December 1, 2009

TANAMAN ANGGUR

Anggur Sendayan

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
bminggu@bharian.com.my




Diusahakan dua sahabat yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian

JIKA selama ini, rakyat negara ini membeli anggur yang diimport dari luar negara, tidak lama lagi Malaysia boleh berbangga dengan label Anggur Sendayan Valley atau Lembah Sendayan.

Tiada siapa sangka Sendayan dekat Seremban, Negeri Sembilan, mempunyai ladang anggur yang dinamakan 'Sendayan Valley'.

Ladang anggur yang dimajukan A-Winn Corporation Sdn Bhd sejak hampir dua tahun lalu diusahakan dua sahabat, Azrul Nazim Abd Azam, 35, sebagai Pengarah Urusan dan Arthur Baumann, 49, sebagai Pengarah Eksekutif.


Menarik untuk mengetahui kisah di sebalik pembukaan ladang ini kerana Azrul Nazim dan Arthur tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian. Berbekalkan minat, mereka tekad mengusahakan ladang anggur di Sendayan.

Azrul Nazim berkata, pertama kali melihat tanaman anggur ialah ketika melawat Thailand beberapa tahun lalu menyebabkannya kagum dengan kesungguhan petani negara itu mengusahakan anggur.

Azrul dan Arthur berbincang mengenai hasil ladang mereka.

"Ketika itu, saya belum terfikir untuk mengusahakan ladang anggur. Apabila pulang ke Malaysia, saya berhasrat menceburi bidang pertanian dan kemudian terfikir untuk mengusahakan ladang anggur," katanya.

Bagi Azrul Nazim, menanam anggur ialah suatu cabaran kerana tidak semua orang boleh buat, tetapi memberikan kepuasan kepadanya.

Bermula pada 2007, sebanyak RM6 juta dilaburkan untuk projek ini yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) dan pembiayaan kewangan Agro Bank. Walaupun seluas kira-kira 20 hektar, hanya 10 hektar dimajukan dan bakinya digunakan awal tahun depan.

Beliau berkata, percubaan peringkat awal mengecewakan kerana 4,000 daripada 10,000 pokok yang ditanam mati menyebabkan hanya 6,000 pokok yang tinggal hingga sekarang.

Ladang anggur Sendayan Valley yang diusahakan Azrul dan Arthur membuahkan hasil yang memuaskan dan bakal destinasi agropelancongan terkemuka negara.

Katanya, empat jenis anggur ditanam di ladang itu, iaitu Black Opal, White Malaga, Shiraz dan Black Pearl dengan setiap jenis ditanam antara 1,000 hingga 2,000 pokok.

Bagaimanapun, katanya ladang itu turut ditanam bidara, nona, jambu dan mangga, tetapi tumpuan utama ialah anggur.

Azrul Nazim mengakui anggur sesuai ditanam di negara kerana iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun.

"Ramai orang tidak tahu anggur ada dua jenis. Pertama, anggur yang sesuai ditanam di kawasan iklim sejuk dan kedua, di kawasan panas seperti Malaysia.

"Ini tidak menjadi persoalan kerana yang paling penting ialah penjagaan rapi kerana anggur mudah mati dan juga mudah hidup," katanya.

Beliau berkata, anggur Sendayan Valley sudah empat kali dituai, tetapi rasanya belum mencapai piawaian ditetapkan, manakala tuaian akan datang dijangka selepas Aidilfitri ini sebanyak tiga hingga empat tan yang dijangka lebih manis dan setanding anggur import.

Katanya, tuaian besar-besaran antara 30 hingga 50 tan dijangka pada April tahun depan dan boleh dijual di pasaran tempatan.

Sementara itu Arthur berkata, setakat ini mereka merancang untuk memasarkan anggur Sendayan Valley untuk pasaran tempatan.

"Saya harap dengan anggur Sendayan Valley, kita tidak lagi perlu bergantung kepada anggur import dan pengguna mempunyai pilihan sama ada mahu anggur import atau Sendayan Valley. Sudah tentu, harga anggur tempatan dijangka berpatutan," katanya.

Arthur berkata, Sendayan Valley akan meningkatkan pengeluaran anggur, tetapi masih dalam proses penyelidikan untuk mendapat anggur terbaik.

Selain itu, katanya mereka berhasrat menjadikan Sendayan Vallley sebagai antara destinasi agro pelancongan terkemuka di negara ini, terutama dengan lokasi yang hanya kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lumpur dan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami akan menaik taraf ladang ini untuk menarik pengunjung datang berehat di sini sambil menikmati buah-buahan dan memperkenalkan Negeri Sembilan sebagai pengeluar anggur tempatan terkemuka di Malaysia," katanya.

Guna pekerja pakar dari Thailand

CUACA panas dan kelembapan tinggi serta hujan lebat sepanjang tahun adalah antara cabaran getir yang dihadapi Azrul Nazim Abd Nazam dan Arthur Baumann bagi memastikan tanaman anggur di Sendayan Valley menjadi.

Anggur memang rumit ditanam kerana memerlukan penjagaan dan pembajaan secukupnya, selain sensitif terhadap hujan lebat dan angin kencang.

Pokok anggur yang memanjat bergantung kepada tiang khas mudah rosak jika terkena hujan lebat atau dilanda angin kuat.

Cabaran alam ini menyebabkan daripada 10,000 pokok yang ditanam pada peringkat awal, hanya tinggal 6,000 pokok berikutan cuaca tidak menentu.

Bagaimanapun, dua sahabat ini tidak mengalah dan meneruskan usaha mereka hingga hari ini.

Menyedari kesukaran yang bakal dihadapi, mereka mendapatkan kepakaran dua pekerja dari Thailand yang berpengalaman menanam anggur.

Azrul Nazim berkata, pembajaan perlu dilakukan dengan tepat kerana jika berlebihan boleh merosakkan pokok, manakala baja yang digunakan ialah campuran organik.

Katanya, walaupun penanaman pokok anggur rumit, Sendayan Valley menggunakan teknologi biasa seperti tanaman lain.

"Hasil tuaian pertama dibuang kerana pokok baru menyebabkan anggur tidak manis. Hanya tuaian kedua, baru boleh dimakan kerana pokok matang dan rasa lebih manis," katanya.

Beliau berkata, dahan anggur juga perlu dipangkas dari semasa ke semasa bagi merehatkan pokok, berbanding di negara iklim sejuk yang dibantu alam semula jadi, iaitu proses hibernasi (pokok seperti tidur) pada musim sejuk.

Namun, katanya proses memangkas dahan perlu kerap dibuat kerana dahan baru cepat tumbuh, manakala pokok disiram dua kali sehari, sekali pada waktu pagi dan kemudian waktu petang sebelum senja.

Azrul Nazim berkata, tidak banyak perbezaan di antara anggur di kawasan panas dan sejuk, malah anggur kawasan panas lebih segar kerana ditanam di sini.

Katanya, benih diambil dari Thailand kerana negara itu lebih maju dalam penanaman anggur yang bukan saja dijual di negara itu, malah dieksport.

"Anggur boleh dituai selepas 10 atau 11 bulan, tetapi masalah lain ialah burung cukup suka anggur yang manis dan sering datang 'bermain' di ladang ini, terutama ketika buah mula membesar dan masak. Untuk mengatasi masalah ini, jerat dipasang untuk menakutkan burung," katanya.


MUKA HADAPAN

ARKIB : 11/04/2006

Tumpu tanaman pulangan tinggi


ABDULLAH Ahmad Badawi melihat buah anggur jenis IAC semasa melawat Ladang Anggur Perdana yang diusahakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Sungai Batu Pahat, Kangar, semalam.


KANGAR 10 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan supaya semua kerajaan negeri memberi perhatian terhadap projek tanaman yang boleh membawa pulangan hasil lebih tinggi termasuk pokok anggur.

Perdana Menteri berkata, saiz tanah yang kecil bukan alasan sesebuah negeri itu tidak berdaya maju dan kehilangan sumber hasil sehingga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat.

``Kalau mahu tanam sayur, tanamlah sayur yang mahal dan bungkuskannya sebaik mungkin supaya dapat dijual dengan harga yang tinggi,'' katanya pada majlis Taklimat Pembangunan Negeri Perlis di Dewan Warisan di sini hari ini.

Beliau berkata, kejayaan Belanda menjadi pengeluar makanan kedua terbesar di dunia perlu dijadikan contoh kerana negeri itu lebih kecil daripada Semenanjung.

Katanya, negara Eropah itu berjaya kerana mereka memanfaatkan sepenuhnya teknologi dalam bidang pertanian bagi menghasilkan produk berkualiti tinggi dan mempunyai pasaran yang baik.

Sempena lawatan kerja sehari ke negeri ini, Perdana Menteri turut melawat Ladang Anggur Perdana yang diusahakan Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Bukit Bintang 2 dan Taman Herba yang diuruskan oleh Jabatan Perhutanan di Sungai Batu Pahat.

Menanam

Abdullah yang diiringi Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim turut memetik dan merasai sendiri buah anggur di ladang seluas enam hektar itu selain melawat gerai pameran di situ.

Beliau turut menanam pokok anggur daripada jenis Black Opal sebagai tanda kenangan.

Ladang Anggur Perdana itu adalah hasil penyelidikan sejak 1987 dan merupakan projek perintis di Bukit Bintang yang dimulakan pada April tahun lalu.

Kumpulan pertama pokok anggur di ladang terbabit iaitu sebanyak 800 pokok jenis IAC ditanam di kawasan seluas 0.8 hektar manakala empat jenis lagi diusahakan di atas tanah seluas lima hektar.

Empat jenis tersebut ialah White Malaga, Black Queen, Black Opal dan Loose Perlitte yang kualitinya lebih baik dan mulai ditanam di ladang seluas enam hektar sejak Ogos tahun lalu.

Perdana Menteri kemudiannya turut merasmikan Dewan 2020 di sini dan melancarkan tapak Halal Hab di Padang Besar dekat sini yang mendapat peruntukan awal sebanyak RM10 juta daripada Kerajaan Pusat.

Ia adalah sebahagian daripada pembangunan kawasan Koridor Utara tanah air.

Berucap pada majlis pelancaran Halal Hab, Abdullah melahirkan keyakinannya terhadap potensi kawasan tersebut untuk dijadikan hab barangan halal, sekali gus menampung pasaran tempatan dan juga negara jiran.

Menurutnya, produk Halal Hab tidak semestinya berasaskan pada makanan sahaja tetapi juga melibatkan barangan farmasi dan kosmetik yang diproses secara halal.

Kata beliau: ``Kerajaan negeri juga perlu memikirkan sesuatu untuk menjadikan Halal Hab ini sebagai pusat perdagangan import eksport barangan halal yang juga digunakan oleh bukan Islam.''


BERITA UTAMA

ARKIB : 16/11/2005

Komersialkan buah-buahan tropika ke pasaran global - PM


ABDULLAH Ahmad Badawi diiringi Mohd. Ali Rustam (tengah) dan Lee Wah Chong (kanan) melihat pokok anggur di dusun buah-buahan tropika di D'Paradise Tropical Fruit World, Kampung Brisu, Alor Gajah, Melaka, semalam. - Gambar GAIE UCHEL.



MELAKA 15 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan usaha membangunkan dusun buah-buahan tropika di D'Paradise Tropical Fruit World di Kampung Brisu, Alor Gajah di sini, sebagai permulaan kepada usaha untuk mengkomersialkan buah-buahan tropika ke peringkat global.

Perdana Menteri yang gembira dengan usaha itu mahu pemaju projek berkenaan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang berkaitan supaya hasil yang diperoleh dapat dikomersialkan.

Menurutnya, projek yang dijalankan itu berpotensi untuk menjadi pemangkin pembangunan negara.

``Saya rasa cukup gembira dengan inisiatif yang diambil dan usaha yang dicapai setakat ini, saya beritahu mereka, ini bukan bermakna semuanya telah selesai kerana ini masih peringkat permulaan dan saya tekankan pentingkan pemaju (dusun) beri perhatian dalam R&D,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan dusun buah-buahan tropika D'Paradise Tropical Fruit World di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri meluangkan masa lebih sejam melawat kebun seluas 67.2 hektar itu dengan diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Pegawai Eksekutif D'Paradise Tropical Fruit World, Lee Wah Chong.

Antara tarikan ke dusun itu ialah koleksi pelbagai pokok periuk kera, santuari pepatung yang pertama di dunia dan pokok buah-buahan musim sejuk seperti epal, anggur dan kiwi.

Dusun tropika itu diuruskan Dusun Tropika Sdn. Bhd. yang menjadikannya kawasan perlindungan mutlak pelbagai jenis kehidupan liar eksotik termasuk spesies flora dan fauna yang jarang ditemui.

Selain itu, terdapat juga perkampungan Orang Asli dari pelbagai suku kaum termasuk Penan, Iban, Padaung dan Agta dan boleh dimasuki oleh orang ramai yang ingin merasai suasana kehidupan mereka.

Orang ramai boleh mengunjungi dusun itu dengan bayaran masuk RM49.90 untuk dewasa, RM29.90 bagi kanak-kanak berumur empat hingga 11 tahun dan RM19.90 untuk berpakaian seragam.

Abdullah yakin dengan adanya usaha R&D, hasil dusun tropika itu berpotensi dikomersialkan dengan menghasilkan biji benih buah-buahan secara besar-besaran.

Sejajar dengan itu, beliau menyarankan pengusaha dusun tersebut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian bagi menghasilkan buah-buahan yang banyak dan lebih berkualiti serta boleh dieksport.

``Hasilkan benih dan buah-buahan yang dapat dihasilkan secara besar-besaran dan dapat dikomersialkan, kemudian jika berjaya kita pindahkan ke kawasan yang lebih luas.

``Kita boleh pergi ke mana-mana sahaja tempat yang ada kawasan yang luas seperti ke Johor, Sabah mahupun Sarawak untuk menanam buah-buahan itu secara besar-besaran,'' jelas beliau.

Ditanya mengenai ladang D' Paradise Tropical Fruit Farm yang banyak menggunakan teknologi luar negara, Perdana Menteri berkata: ``OK untuk meminjam teknologi itu cuma jangan terlalu banyak meminjam, utamakan apa yang kita ada,'' katanya.

Dusun tropika itu telah dirancang pembinaannya sejak lima tahun lalu dengan idea membangunkannya diperoleh ketika Mohd. Ali bersama Wah Chong melawat dusun tropika di Australia pada 2000.