Oleh Ahmad Fuad Yahya
SEREMBAN, 16 Sept (Bernama) -- Setelah dua tahun melalui proses penyesuaian di satu kawasan tanah berbukit di Sendayan dekat sini, anggur keluaran ladang Sendayan Valley akhirnya akan dapat dinikmati oleh penggemarnya menjelang Adilfitri ini.
Mulai 20 Sept ini, orang ramai bukan sahaja boleh membeli buah-buahan segar itu di ladang berkenaan yang terletak enam km dari Jalan Seremban-Port Dickson, malah mereka juga akan diberi peluang merasai pengalaman memetik sendiri anggur terus di pokok.
Masa paling ideal untuk merasai keenakan anggur itu ialah antara 20 Sept dan 25 Sept ini, kata Pengarah Urusan Syarikat A-WINN Global Market Services Sdn Bhd, Azrul Nazim Abdul Aziz.
Untuk permulaan, anggur jenis Shiraz yang ditanam di sebuah plot kecil di ladang itu dijangka dapat menghasilkan tiga tan anggur untuk dijual kepada orang ramai.
Bercakap kepada Bernama di ladang milik syarikat itu, Azrul Nazim berkata ladang Sendayan Valley yang berkonsepkan agro-pelancongan, akan dibuka kepada orang ramai untuk dilawati, dan tarikan utamanya ialah anggur Sendayan.
Peminat anggur juga boleh membeli biji benih anggur yang bermutu, baja, racun serangga dan buku panduan kecil mengenai cara menanam dan menjaga anggur untuk ditanam di taman atau dalam pasu.
"Kita juga akan menjual pokok anggur bonsai kepada mereka yang ingin segera menikmati hasil buahnya di rumah sendiri," katanya.
Setiap satu pokok bonsai dijual antara RM300 dan RM500.
Selain anggur, ladang itu turut menghasilkan buahan-buahan lain seperti longan, jambu madu, mangga, bidara, laici, sukun, ciku, belimbing besi, kundang dan rambutan.
"Harapan kami ialah ladang Sendayan Valley ini akan menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri terutamanya dari Singapura, untuk merasai pengalaman berada di tengah-tengah dusun buah-buahan dan menikmati keindahan dan kedamaiannya," kata Azrul Nazim.
Syarikat itu telah melabur sejumlah RM6 juta setakat ini dengan membangunkan lapan daripada 20 hektar kawasan ladang dengan pelbagai jenis tanaman buah-buahan.
Pengarah projek ladang itu, Arthur Baumann @ Adil Mustafa, berkata keluaran sulung anggur dari Sendayan Valley itu adalah sesuatu yang amat bermakna bagi Negeri Sembilan.
Adil, yang berasal dari Thailand tetapi menetap di Malaysia setelah berkahwin dengan seorang wanita Melayu, berkata beliau menggunakan resipi rahsia dari Thailand dalam baja organik yang dihasilkan oleh syarikat itu untuk tanaman anggur di ladang berkenaan.
Beliau juga menggunakan kepakaran beberapa pekerja yang dibawa khas dari Thailand untuk memantau tanaman anggur dan buah-buahan lain di ladang itu manakala pekerja harian ladang itu terdiri penduduk tempatan.
Katanya ladang itu sedia melatih belia yang berminat dalam bidang tanaman buah-buahan khususnya anggur asalkan mereka sanggup bekerja di ladang itu sambil menimba pengalaman untuk menjadi peladang yang mahir.
"Belajar menanam pokok buah-buahan terutamanya anggur bukan semudah hanya melihat dan menulis nota, ia perlu dipraktikkan dan disematkan dalam ingatan.
"Ilmu ini memerlukan mereka yang benar-benar berminat belajar dan sanggup berpanas dan berhujan untuk menjalani latihan," kata Adil, yang juga pakar dalam bidang tanaman anggur.
Katanya pokok-pokok juga mempunyai perasaan seperti manusia dan ia juga boleh merasai kesakitan.
"Jika kita pijak mereka (pokok) mereka mati, ini bermakna mereka juga ada kehidupan," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment