Wednesday, December 16, 2009

KAMBING MAKAN ROTI CANAI

Berita Harian, 22 Jan 2007

KOTA TINGGI: Seperti mangsa banjir lain, haiwan peliharaan turut menjadi mangsa keadaan akibat gelombang kedua banjir melanda daerah ini hampir dua minggu lalu.


TUKAR SELERA: Adik Rohani, Kasim Amir memberi roti canai
kepada Si Putih selepas membersihkan rumahnya yang
dilanda banjir di Kampung Tembioh, Kota Tinggi, semalam.


Si Putih, kambing jantan peliharaan peniaga, Rohani Mansor, 56, dari Kampung Tembioh, di sini, terpaksa makan apa saja menjadi hidangan pemiliknya sepanjang hampir empat hari, iaitu ketika air naik hingga banjir mulai surut.

Rohani berkata, kambing itu terpaksa diberi makan roti, roti canai, nasi goreng atau apa saja yang boleh diberikan memandangkan haiwan itu tidak dapat makan rumput.

Biasanya, katanya, Putih yang dipelihara sejak hampir dua tahun lalu akan makan rumput di kawasan kampungnya, tetapi banjir menenggelamkan keseluruhan kediaman dan kawasan padang di sini.

“Si Putih memang manja dan dia seperti faham keadaan banjir menyebabkannya tidak dapat makan rumput.

“Jadi, kami beri dia makan apa yang kami makan, iaitu bekalan makanan dihantar kepada kami sepanjang banjir,” katanya ketika ditemui di bangunan bekas Hotel Apollo, di sini, semalam.

Selain Si Putih, Rohani turut memelihara tujuh kucing, 20 ayam, tupai, burung dan arnab yang semuanya dibawa ke bangunan tinggal itu untuk diselamatkan daripada banjir.

Ketika air mulai naik pada Khamis dua minggu lalu, katanya, anaknya, Ahmad Dali Abu Bakar, 22, menyelamatkan semua haiwan peliharaan menggunakan sampan ke bangunan tinggal itu.

“Saya dan keluarga terpaksa menumpang teduh di bangunan tinggal ini memandangkan haiwan peliharaan tidak sesuai dibawa bersama ke pusat pemindahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment