ARKIB : 12/06/2009
Orkid hibrid baka terkini
|
|
Terletak di garisan Khatulistiwa menjadikan negara sebuah negara tropika yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.
Antaranya adalah bunga-bungaan yang boleh dikembangkan sebagai satu industri florikultur terutama orkid.
Tanaman orkid bukan saja boleh dijadikan suatu hobi tetapi boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan.
Bunga orkid bukan saja popular ditanam di pasu kecil bagi hiasan dalaman, bunga keratan di hotel, tanaman landskap, cenderahati celupan emas, pressed flower bagi bingkai gambar dan rantai kunci.
Bagaimanapun kekurangan varieti dan bahan tanaman merupakan salah satu masalah di kalangan pengusaha serta peminat orkid.
Bagi meningkatkan varieti dan bahan tanaman, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mula menjalankan kajian mengenai pembiakbakaan orkid sejak 1976.
Penyelidikan pembiakbakaan di MARDI telah dijalankan oleh pakar pembiakbaka, yang memulakan kajian dengan pengumpulan spesies-spesies yang diambil dari hutan kemudian ditanam, dipulihara dan digunakan di dalam penyelidikan pembiakbakaan.
Spesies-spesies orkid ini disimpan di dalam koleksi janaplasma MARDI.
Timbalan Pengarah merangkap Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Fadelah Abdul Aziz berkata, kini beberapa koleksi hibrid yang berpotensi dari luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Australia telah digunakan sebagai induk.
Hibrid induk yang berpotensi tadi ditanam dan dijaga dengan baik di MARDI sehingga berbunga dan dikacukkan dengan hibrid atau spesies terpilih.
''Di MARDI, kami memilih induk-induk yang cantik dan unik, tahan lama, kerap berbunga dan mempunyai tangkai panjang supaya dapat menghasilkan anak-anak yang berkualiti lebih baik.
''Ini penting bagi mendapatkan orkid yang sesuai dijadikan sama ada bunga keratan, bunga pasu atau untuk dijadikan landskap," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Proses kacukan bunga orkid Dendrobium mengambil masa lima hingga enam tahun manakala Aranda, Mokara dan Vanda pula lapan hingga sebelas tahun.
Kacukan bermula dengan pemilihan pokok induk jantan dan betina bagi menghasilkan buah dan biji benih sebelum dibiakkan menggunakan teknik kultur biji benih.
"Biasanya induk pertama yang ditulis menggambarkan betina dan yang kedua adalah jantan," katanya.
Biji benih akan dicambah menggunakan medium khas dan disimpan di dalam makmal sebelum dipindahkan ke nurseri.
Anak benih ditanam di dalam pasu kecil secara individu atau sebuah pasu besar dalam kumpulan di bawah lindungan matahari sebanyak 80 peratus sebelum dialihkan ke pasu yang lebih besar di ladang bagi tujuan berbunga.
Biasanya pokok dan bunga yang dihasilkan melalui biji benih menunjukkan ciri-ciri yang berlainan di antara satu sama lain.
"Ketika itu penilaian dan pemilihan hibrid-hibrid yang berkualiti lebih baik akan dilakukan.
"Pemilihan akan dijalankan bagi memilih progeni atau sister line yang benar-benar menepati kriteria seperti warna yang menarik, tahan lama, susunan bunga cantik, kerap berbunga, tangkai panjang yang biasanya untuk bunga keratan," katanya.
Selepas mendapatkan hibrid baru yang terbaik, barulah proses kultur tisu dijalankan bagi mendapatkan pokok yang seragam dalam kuantiti yang banyak.
Kemudian pemilihan nama dilakukan dan didaftarkan di bawah International Registration Authority of Orchid Hybrids, England yang beribu pejabat di United Kingdom.
didaftarkan
"Sebelum dihantar untuk didaftarkan, perlu dipastikan kacukan induk belum pernah digunakan oleh sesiapa serta nama yang diberikan juga belum lagi didaftarkan.
''Jika dulu pendaftaran nama mengambil masa sebulan tetapi dengan Internet hanya mengambil masa paling lama dua hingga tiga hari," katanya.
Di bawah Plant Variety Protection Act atau Akta Perlindungan Varieti Tanaman, pelindung bagi varieti tanaman yang dihasilkan oleh sesebuah organisasi mahu pun individu, boleh diperolehi dari Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
''Dengan itu mereka yang terlibat dalam menghasilkan varieti akan mendapat faedah dari segi royalti," katanya yang juga menjadi ahli dalam akta berkenaan.
Kini kata Fadelah, MARDI sedang menjalankan kajian pembiakbakaan ke atas orkid genus Cattelya yang merupakan orkid yang biasanya ditanam di negara empat musim.
Hibrid orkid Cattleya yang sesuai ditanam di dalam pasu ini telah dikacuk dan kini sedang mula dinilai serta dipilih di MARDI bagi menghasilkan hibrid orkid baru yang tahan lama, kerap berbunga dan berbau harum.
Fadelah berkata, MARDI dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia menjalankan kajian menghasilkan orkid mutan.
Projek yang bermula dalam Rancangan Malaysia ke 7 (RMK-7) telah menggunakan orkid Mokara Chark Kuan 'Pink' telah digunakan sebagai hibrid orkid kawalan.
Bahagian protokorm yang dihasilkan semasa proses kultur tisu diberikan radiasi gamma antara 10 hingga 40 Gy.
Protokorm yang telah menjalani teknik radiasi menjalankan proses kultur tisu seperti biasa sehingga menghasilkan hibrid orkid Mokara mutan.
Hibrid mutan yang terbaik telah dipilih dari segi ciri-ciri bunganya yang menarik seperti saiz, warna dan panjang tangkai.
"Orkid Mokara mutan yang diberikan radiasi sebanyak 40 Gy telah menghasilkan bunga bersaiz lebih besar, warna pink yang lebih terang berbanding hibrid asal.
"Mutan ini sesuai bagi industri bunga keratan atau bagi landskap," katanya.
Kajian yang dijalankan dapat mengurangkan penggantungan pengusaha terhadap bahan tanaman luar negara seperti Thailand.
Fadelah menambah, banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan industri florikultur dengan adanya pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi tujuan mengkomersialkan hibrid-hibrid baru.
Setakat ini terdapat 20 hibrid orkid yang dihasilkan oleh MARDI.
1. Mokara Tengku Anis
2. Cattleytonia Datin Zuraidah
3. Dendrobium Sultanah Kalsom
4. Dendrodium Datin Seri Jeanne
5. Dendrobium Abdullah Badawi
6. Kagawara Tuanku Syed Sirajuddin
7. Mokara Puan Seri Norainee
8. Mokara Datin Seri Endon
9. Ascocenda Puan Sri Suslita
10. Dendrobium Datin Zakiyah
11. Aranda Doctor Siti Hasmah
12. Mokara Tuanku Siti Aishah
13. Dendrobium Tuanku Fauziah
14. Dendrobium Doctor Sharif
15. Dendrobium Tuanku Najihah
16. Trichovanda MARDI
17. (Cattleya intermedia) x
(Cattleya Bow Bellsvar. Sri Sanusi)
18. Dendrobium Chogm
19. Dendrobium Nila Inangda
20. Kagawara Queen Elizabeth
No comments:
Post a Comment