Friday, December 25, 2009

ITIK KHAKI CAMBELL

UTARA

ARKIB : 24/07/2009

Keperitan menternak itik


TERNAKAN itik jenis khaki cambell berskala besar bukan sahaja memberi pendapatan lumayan tetapi mampu mengatasi masalah siput gondang emas yang merosakkan anak padi semasa tumbesarannya.


PENDANG 23 Julai - Bidang pertanian dan penternakan memang memberi pulangan lumayan, namun cabaran sebelum beroleh kejayaan amat perit untuk dihadapi.

Begitu juga dengan cabaran yang dihadapi oleh seorang penternak itik jenis khaki cambell di Batu 8, Jalan Tokai, Simpang Empat di sini.

Halim Mat, 50-an, berkata, dia hampir berputus asa untuk meneruskan niat membela itik, namun dorongan daripada rakan-rakan membuatkan dia bertahan sehingga hari ini.

Jelasnya, masalah kekurangan modal menjadi kekangan utama kepada penternak untuk terus menternak itik.

"Itik jenis ini memerlukan masa selama empat bulan untuk matang dan bertelur.

"Saya baru dua bulan membela itik ini dan terpaksa menunggu selama beberapa bulan lagi untuk mengutip hasil," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dia menggunakan wang simpanan sendiri untuk membeli baka itik dan membina reban.

Sehingga kini, jelasnya, dia masih belum menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak untuk membantunya meneruskan penternakan itik tersebut.

"Saya membeli 2,000 baka anak itik Khaki Cambell daripada penternak di Perak.

"Itik juga perlu diberi makan dengan sempurna dan harga dedak agak mahal dan makanan itik yang berharga kira-kira RM3,000 hanya bertahan selama 10 hari sahaja,' katanya.

Jelasnya, idea untuk membela itik tersebut datang setelah hasil sawah padi miliknya sering kali susut disebabkan serangan siput gondang emas.

"Itik dapat dilepaskan pada peringkat awal padi ditanam untuk memakan telur siput gondang dan merupakan salah satu kaedah biologi untuk mengawal siput gondang emas.

"Namun kini padi sudah hampir masak dan itik perlu dikurung di dalam reban dan diberi makan dedak serta kangkung," ujarnya.

Tambahnya, dia bertuah kerana rakan-rakan seperti Mat Isa Awang Kechik, 60, dan Abdul Wahab Nan, 58, sentiasa membantu dan memberi dorongan untuk terus membela itik tersebut.

"Jika tiada mereka saya mungkin tidak akan meneruskan impian untuk menjadi penternak itik.

"Penjagaan itik agak sukar dan saya terpaksa tinggal bersebelahan dengan reban itik kerana perlu mengawasinya 24 jam sehari," jelasnya.

Halim memberitahu, dia berharap itik- itik tersebut akan bertelur dan segala penat lelahnya berbaloi.

Jelasnya, bukan mudah untuk menceburi bidang penternakan itik, namun dia yakin itik peliharaannya akan memberi pulangan yang lumayan kepadanya.

1 comment: