Wednesday, December 9, 2009

WALET EMAS

JOHOR

ARKIB : 11/08/2008

Penternak dijanjikan pulangan lumayan


IBRAHIM Marsan dibantu isteri, Rosidah Dawi untuk menjalankan perniagaan sarang walit.


KOTA TINGGI 10 Ogos - Pulangan lumayan menerusi jualan sarang burung walit menjadikan semakin ramai anggota masyarakat berminat menternak burung itu sejak kebelakangan ini.

Begitupun, burung yang berwarna gelap itu sebenarnya mempunyai tabiat dan kehidupan unik yang perlu diketahui sebelum seseorang menceburi bidang ternakan sarang burung walit.

Selain kegemarannya meluncur dan terbang pantas kerana saiznya yang kecil, haiwan itu adalah burung pemakan serangga-serangga kecil yang ada di daerah pesawahan, tanah terbuka, hutan dan pantai serta perairan.

Spesies burung ini menetap di gua atau rumah yang bersuhu lembap dengan keadaan remang dan menggunakan langit-langit bangunan atau gua untuk membuat sarang.

Bagaimanapun untuk mendapatkan sarang walit yang memuaskan, penternak burung itu harus menyediakan makanan tambahan terutama untuk musim kemarau.

Sementara itu, sarang burung itu yang diperbuat daripada air liur itu biasanya dimasak untuk campuran ubat tradisional atau makanan mewah.

Antara penyakit yang dikatakan boleh disembuhkan menerusi sarang burung walit adalah paru-paru, panas dalam, penambah tenaga dan melancarkan peredaran darah.

Mengenai rumah burung walit pula, ia perlu dibina berdasarkan keperluan burung tersebut bagi menjamin ia akan terus menetap di situ.

Seorang pengusaha rumah burung walit, Ibrahim Marsan, 51, berkata, rumah tersebut perlu ada ruang yang luas kerana sewaktu memasuki bangunan, burung walit akan berputar-putar dulu mengikut putaran jam sebelum menuju ke sarangnya.

"Bilik rehat perlu disediakan sebagai tempat burung walit beristirahat dan membina sarang," jelasnya dari Felda Lok Heng Barat, di sini, baru-baru ini.

Tempat burung layang-layang berehat dan membuat sarang dibuat petak-petak daripada papan yang kuat serta dilekatkan di bahagian siling bangunan.

Selain itu, katanya, lubang keluar masuk burung pula sesuai diletakan di bahagian atas bangunan dengan arah bertentangan daripada matahari naik atau jatuh bagi menjaga kegelapan dalam bangunan.

Menurutnya, rumah burung itu juga memerlukan sistem paip jaringan yang diletak di bahagian bumbung dan dalam bangunan.

Sistem ini perlu kerana apabila cuaca panas paip dipasang bagi menjamin suhu sentiasa rendah dan kelembapan tinggi.

Untuk memanggil burung walit pulang membuat sarang atau meningkatkan pengeluaran, pengusaha boleh memasang sistem audio.


RENCANA UTAMA

Harga cecah RM10,000 sekilogram

Di sebalik kerancakan industri sarang burung walit yang kini mencecah RM1 bilion ringgit setahun, beberapa isu berbangkit dilihat akan mempengaruhi pembangunan industri tersebut di Malaysia.




MASALAH pelesenan premis burung walit yang dibina di kawasan bandar dilihat mampu menggugat perkembangan industri tersebut. Kekangan itu dibuat berikutan burung walit didakwa menggugat populasi penduduk di sekitarnya, terutama dari aspek risiko penyakit yang dikaitkan dengan haiwan tersebut.

Masalah pengurusan dan pemantauan juga dikatakan menyentuh sensitiviti penduduk terlibat. Justeru, ia menimbulkan dilema di kalangan pedagang sarang burung walit.


KIRI ATAS: KEBANJIRAN premis yang menjadi lokasi penternakan burung walit meresahkan ramai pihak.
KANAN ATAS: BURUNG walit dewasa menggunakan air liurnya untuk membina sarang yang terletak di bahagian siling bangunan,
BAWAH: SARANG burung yang telah sempurna perlu diasingkan bulunya.


Masalah itu amat ketara di Sarawak, lokasi di mana premis burung dilarang dibina di kawasan bandar. Sedangkan pada masa yang sama, negeri itu mempunyai lebih 1,500 premis burung 'haram' yang perlu ditangani secara bijak oleh pihak berkuasa.

Persoalannya, sejauh manakah benarnya andaian itu dan apakah jalan penyelesaian terbaik supaya hasrat kerajaan untuk memperkasa industri burung walit tidak berkubur di tengah jalan?

Isu pelesenan

Apakah ia relevan untuk dilihat dalam konteks kenegerian? Atau isu itu merupakan masalah yang harus ditangani secara holistik melalui kerjasama dan persefahaman yang seiring antara agensi berkaitan dengan kerajaan negeri terbabit?


BURUNG walit dewasa menggunakan air liurnya untuk membina sarang yang terletak di bahagian siling bangunan,


Isu pelesenan rumah burung bermula apabila pihak berwajib melakukan operasi membersihkan premis burung walit di Mukah, Sarawak pada Oktober tahun lalu. Ia dilihat membuka mata umum mengenai kewujudan industri sarang burung walit.

Turut dipersoal, cara operasi itu dilakukan. Anak burung walit iaitu spesies yang dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar 1972, dibiarkan mati dari sarang yang dirampas seperti disiarkan di laman youtube.com.

Rentetan daripada operasi itu, isu tersebut mula dibangkitkan oleh Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit di Mukah, diikuti Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit di Sibu dan Sarikei. Mereka meminta Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud campur tangan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Pemilik premis burung walit dikatakan mahu terus beroperasi di premis sedia ada. Kebanyakannya adalah lot rumah kedai terbengkalai yang kemudian membawa hasil yang sangat lumayan kepada pedagang burung walit.

Dibangunkan secara terkawal

Sarang burung walit di negara ini dikatakan berkualiti tinggi. Ia mendapat sambutan menggalakkan di pasaran China dan Arab. Harganya dilaporkan mencecah RM10,000 sekilogram.

Namun di sebalik potensi itu, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak tidak membenarkan spesies itu diternak di kawasan bandar, kecuali habitat asalnya seperti gua. Ini menyukarkan keadaan bagi industri burung walit.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak yang juga Kontroler Hidupan Liar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh menegaskan bahawa kerajaan negeri mahu industri sarang burung walit dibangunkan secara terkawal mengikut undang-undang yang ada.

Len Talif berkata, kira-kira 100 lesen diluluskan daripada antara 600 hingga 700 permohonan yang diterima sejak Mei lalu.

"Kebanyakan lesen diluluskan itu melibatkan old-player (pengusaha lama) yang memenuhi syarat. Selebihnya ditolak kerana premis burung itu terletak di kawasan bandar," kata Len Talif kepada Bernama ketika dihubungi di pejabatnya di Kuching baru-baru ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan akan tetap diteruskan sehinggalah isu itu selesai sepenuhnya.


BURUNG ini mampu memberi pulangan yang sangat lumayan kepada pengusahanya.


Sumber industri melihat pemberian lesen sebagai perkembangan yang positif. Jika dibandingkan dengan keadaan sebelum Mei lalu, hanya dua daripada lebih 1,500 premis burung walit di negeri itu mempunyai lesen.

Pemberian lesen oleh Jabatan Hutan dan Kontroler Hidupan Liar Sarawak melibatkan pedagang sarang burung dari Mukah, Bintulu, Kuching, Kota Samarahan dan Sarikei. Ia meliputi kawasan pertanian yang telah dikenal pasti.

Pengusaha juga perlu mendapat kelulusan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Survei, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta pihak berkuasa tempatan.

Satu berita baik adalah kerajaan negeri juga akan membina tiga taman eko (eco-park) burung walit di Mukah, Sarikei dan Bintulu untuk dijual atau disewakan kepada pihak yang berminat.

Kelonggaran untuk beroperasi

Namun kesangsian terhadap jaminan burung akan singgah dan bersarang di taman eko yang dibina, selain faktor birokrasi, menyebabkan sebilangan besar pemilik rumah burung mahu kerajaan negeri memberi kelonggaran beroperasi di premis sedia ada.

Mereka juga berharap kerajaan negeri mengguna pakai garis panduan penternakan seperti Amalan Baik Penternakan Haiwan (GAHP) Burung Walit, yang membolehkan pedagang sarang burung walit di Semenanjung membina premis burung di kawasan bandar.


SARANG burung walit yang telah dikumpul perlu diproses sebelum boleh dijual.


"Kami akan ikut garis panduan ini," kata pengerusi Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit Sarikei, Wong Hua Ting.

'Permintaan' itu nyata menimbulkan situasi bertentangan antara pihak kerajaan negeri yang bertegas premis burung walit hanya boleh dibina di tanah pertanian atau taman eko yang disediakan.

Keadaan itu pasti akan menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat. Terutama apabila terdapat hujah mengenai ancaman penyakit yang melibatkan spesies burung itu.

Sehingga hari ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan daripada lebih daripada 5,000 ujian dilakukan, spesies burung walit didapati bebas daripada selesema burung dan penyakit sampar ayam.


PELESENAN yang sistematik perlu bagi memangkin pembangunan industri ini. - Gambar hiasan


Pendaftaran dengan JPV

JPV adalah agensi peneraju industri burung walit negara sejak status itu diputuskan oleh Kabinet pada April lalu. JPV sedang menyiapkan garis panduan penternakan burung walit yang akan dibawa ke perhatian Jawatankuasa Pemandu Mengenai Industri Walit Negara pada 14 Disember ini.

Garis panduan yang dikenali sebagai 1GP itu mewajibkan setiap premis burung walit didaftarkan dengan JPV. Namun sebelum garis panduan itu diterima pakai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini, ia akan dibawa ke perhatian Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka pada Mac depan.

"Garis panduan ini akan menjadi standard untuk semua PBT. Ia akan membantu para pedagang dan pemilik rumah burung untuk menceburi bidang ini dengan lebih teratur," kata Pengerusi Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung walit, Datuk Beh Heng Seong.


SALAH sebuah rumah burung walit yang dibina di atas tanah berstatus pertanian di Mukah, Sarawak.


Tiada lagi rampasan

Mengenai garis panduan itu, Len Talif berkata kerajaan negeri Sarawak akan menerima garis panduan tersebut selagi ia tidak bercanggah dengan ordinan negeri yang akan terus dikuatkuasakan.

Difahamkan juga bahawa operasi penguatkuasaan di Sarawak tidak lagi akan merampas sarang burung. Sebaliknya, kompaun dikenakan manakala peralatan berkaitan akan dirampas. Ia bagi mengelakkan berlakunya populasi burung bersarang di bangunan berdekatan.

Perkembangan itu dilihat sebagai indikasi positif dalam cara penguatkuasaan dilakukan. Namun ia bukanlah lesen untuk semua pihak terus membina premis burung tanpa kelulusan sah.

Apa yang pasti, hasrat kerajaan untuk mempunyai 100,000 ladang burung walit dengan pengeluaran 500 tan sarang burung setahun bernilai RM5 bilion menjelang 2020 tidak akan menjadi kenyataan, selagi isu pelesenan tidak diselesaikan segera.

Kerjasama semua pihak termasuk agensi berkaitan, kerajaan negeri dan pedagang sarang burung perlu untuk menjayakannya. Itu pun jika negara mahu menjadi pengeluar utama sarang burung walit, setanding dengan Indonesia dan Thailand.


NEGARA

Air liur burung Malaysia cecah RM10,000 sekilogram


HENG SEONG menunjukkan sampel sarang burung walit yang belum diproses kepada Ibrahim di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Sarang burung walit siap diproses keluaran pengusaha tempatan diiktiraf pengguna antarabangsa sebagai antara yang terbaik sehingga ia berjaya dijual dengan harga RM10,000 sekilogram.

Statistik eksport sarang burung walit negara tahun lalu yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia turut mencatatkan nilai eksport lebih baik berjumlah RM1 bilion.

Presiden Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia, Datuk Paduka Beh Heng Seong berkata, populasi burung walit hanya terdapat di Malaysia, Indonesia, selatan Thailand dan selatan Vietnam.

"Kita juga mengeksport sarang burung walit ke China, Taiwan dan Hong Kong," jelasnya.

Sehingga kini terdapat lebih daripada 50,000 pengusaha sarang burung walit tempatan.

Harga setiap sarang burung walit yang belum diproses mampu meraih harga di antara RM3,500 sehingga RM4,500 setiap kilogram.

No comments:

Post a Comment