Dia memenangi pelbagai anugerah baka kambing Boer terbaik lantaran kambingnya yang mempunyai ketahanan yang lebih tinggi dan mampu membiak dengan baik. Dia dianggap Raja Boer.
PADA tahun 1995, Jim Boer atau nama sebenarnya Jim Mayall Gilgandra hanyalah seorang penternak kambing biasa. Berbekalkan sekawan kecil kambing komersial serta tambahan dua ekor kambing Boer betina dan seekor kambing Boer jantan, dia memulakan usaha taninya yang tidak seberapa.
Namun, penternak kecil di New South Wales (NSW), Australia ini memiliki jiwa yang besar.
Merasakan tiga ekor kambing Boer yang dibelinya itu tidak memenuhi piawaian sama ada untuk tujuan komersial mahupun perusahaan, dia bertekad bahawa sesuatu perlu dilakukan.
Usaha demi usaha dilakukan Jim, 55, untuk menghasilkan mutu baka yang lebih baik. Tanpa latar belakangkan pengetahuan sains dan ilmu genetik, anak jati keluarga peladang ini memasang strategi mencatur pembiak bakaannya sendiri.
Kini, kejayaan telah digapainya. Ladang Jimboer Boer Goat Stud yang diusahakan bersama isterinya, Lyn Mayall di kawasan barat NSW, menjadi saksi akan kegemilangannya. Ladangnya merupakan ladang kambing Boer pertama di Australia yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kambing Boer Afrika Selatan yang cukup berprestij seawal tahun 2004 lagi.
Afrika Selatan merupakan negara susur galur Boer, kambing bertubuh putih dan berkepala coklat itu bermula.
Bukan sekadar dinobatkan sebagai pembiak Boer nombor satu di Australia, bahkan dengan beberapa pihak di Afrika Selatan yang mahu membeli bakanya sudah cukup untuk menjawab sejauh mana Jim telah pergi dalam pencapaiannya.
Barang kali, dengan reputasi sedemikian, tidak hairan jika ada yang memberi gelaran kepadanya sebagai Raja Boer atau pembiak baka Boer terbaik dunia.
"Benar, saya telah menerima permintaan daripada Afrika Selatan yang mahu membeli embrio baka Boer saya. Saya menjangka akan mengeksportnya ke sana pada tahun depan," ujar Jim Boer ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Nada suaranya daripada corong telefon berbunyi tenang walaupun ketika menyampaikan sesuatu, yang pada hemat penulis, sewajarnya mengujakannya.
Siapa sangka, bermula daripada tiga ekor kambing Boer lebih 13 tahun lalu yang disifatkan beliau amat teruk kualitinya, kini 300 ekor kambing Boer yang berada pada tangannya ialah sekelompok kambing Boer dengan kualiti paling tinggi.
Tidak cukup dengan itu, baka-baka kambing Boernya telah diperakui sebagai baka yang sangat bagus dan amat dipandang tinggi oleh pakar-pakar penilai Boer dari Afrika Selatan sendiri seperti Jackie Jordaan, Koenie Kitze, Francois Maritz dan Izak Vorster.
Jordaan menyifatkan kunjungannya ke ladang Jim pada tahun 2005 sebagai satu pengalaman yang mengejutkan kerana ia menghasilkan kualiti baka Boer yang hebat.
Apa yang paling mengagumkannya ialah sifat feminin yang ketara kambing-kambing Boer betinanya dan kegagahan kambing-kambing Boer jantannya mencakupi segenap segi.
Vorster pula mengakui kambing-kambing Boer baka Jim adalah jenis kambing Boer paling cemerlang.
Menghadapi ujian getir seperti kemarau panjang bertahun-tahun, itu merupakan antara tribulasi besar yang dilaluinya. Memang Boer dikatakan boleh menyesuaikan diri dalam suasana kering tetapi hakikat kemarau selama tujuh tahun berturut-turut di NSW sehingga kini suatu yang amat menyukarkan.
"Memang kemarau menambahkan kesukaran. Air adalah keperluan asas semua makhluk hidup," ujarnya yang terpaksa mendapatkan sumber air dengan mengorek perigi bagi memastikan tanaman hay yang menjadi makanan Boernya sentiasa subur.
"Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini adalah berakar umbi daripada keyakinan, kerja keras, kejujuran dan integriti yang saya amalkan selama ini," kata bapa kepada empat orang anak ini. Anak-anaknya berusia antara 14 hingga 28 tahun.
Jim kini giat melakukan percubaan peribadi berasaskan kehandalannya dalam ilmu genetik Boer untuk perusahaan daging Boer. Ia turut dilakukan dengan sokongan pembiak baka Australia yang lain seperti Daryl dan Naree Greenaway. Setakat ini, Boer jantan terbesar yang dihasilkan ialah 140 kilogram dan Boer betina ialah 98 kilogram.
Usaha membiak baka tidak pernah terhenti dan dia selalu mengungguli pelbagai kategori dalam kejohanan Boer di Australia sejak tahun 2005 sehinggalah terbaru di Canberra Royal 2008.
"Apabila bercakap tentang membiak baka, ia bukanlah suatu yang boleh diterangkan dengan mudah begitu sahaja. Banyak perkara dan teknik yang perlu dipelajari. Saya nasihatkan kepada mereka yang mahu membiak baka kambing Boer, mempelajarinya terlebih dahulu agar kesulitan dapat dielakkan," ujarnya sambil mengakui 'praktikal hidup' merupakan gurunya selama ini.
Jim jujur mengakui matlamat utamanya selepas ini ialah untuk menyebarkan ilmu mengenai Boer kepada sesiapa sahaja yang dahagakan ilmu untuk mempelajarinya.
Pengurus ladang Agrotrus Sdn. Bhd. dari kumpulan BoerBest, di Ijok Selangor, Ahmad Tarmizi Mohamad merupakan antara insan yang pernah berhubung secara langsung dengan Jim. Dia telah berkelana ke bumi Australia dua tahun yang lalu untuk menemui Jim, individu asing yang belum pernah ditemuinya, demi menuntut ilmu Boer.
"Kepala saya asyik ligat berfikir bagaimanalah penerimaannya. Yalah, rasa rendah diri sangat sebab kita tidak tahu banyak mengenai Boer. Tetapi, perasaan itu hilang, apabila layanan mesra yang diberikan buat kita selesa.
"Apa yang boleh saya katakan, Jim seorang yang sanggup mengajar seseorang walau berada di tahap paling bawah pun. Kata-katanya banyak berdasarkan fakta dan dia bukanlah seorang yang suka mendabik dada memperkatakan kehebatannya. Dia seorang yang merendah diri," ujar Ahmad Tarmizi yang disifatkan sebagai orang Asia pertama menemui Jim di Australia.
"Saya menjadikan dia sebagai idola. Kita lihat bagaimana bermula dengan 'sifar', tanpa pelajaran tinggi dan pengetahuan yang terhad, dia boleh menjadi sebegitu sukses," ujarnya.
Jika anda masih sangsi tentang kehebatan Jim, mungkin kandungan sepucuk emel daripada seorang individu dari Afrika Selatan yang ditujukan kepada Jim mampu merungkainya. Ia lebih kurang berbunyi:
"Saya tidak akan berhenti membiak baka kambing Boer sehinggalah saya dapat menghasilkan kualiti Boer seperti anda."
No comments:
Post a Comment