JUAL HASIL: Mazlan (kanan) menimbang hasil tanaman jambu epal kristal, sambil diperhati Wan Najib Sabri (tengah) dan Mohd Sapian Ismail, di ladangnya.
Pesara tentera guna wang ganjaran untuk usaha tanaman guna pengalaman ketika kursus peralihan di pusat latihan pertanian
KOTA BHARU: Sejak kerajaan menjadikan pertanian satu perniagaan, ramai pihak mengambil kesempatan mengusahakan pelbagai jenis tanaman untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Namun, tidak ramai yang sedia mengambil risiko mengusahakan tanaman yang belum dikenali pengguna atau belum pasti pasarannya.
Bagaimanapun, Mazlan Ibrahim, sanggup menongkah arus apabila mengambil risiko menukar kebun getah seluas satu hektar sebagai ladang jambu epal kristal.
Mazlan yang menjalani kursus peralihan di Jabatan Pertanian Kelantan sebelum bersara daripada tentera berkata, ganjaran persaraannya digunakan untuk membeli kebun getah itu sebelum ditukar menjadi kebun jambu.
Katanya, beliau yakin dengan keputusan yang dibuatnya walaupun berisiko tinggi kerana yakin jambu berkenaan mempunyai potensi tinggi di pasaran walaupun selama ini tiada sebarang kajian.
“Ketika kursus peralihan selama enam bulan di pusat latihan Jabatan Pertanian Kelantan, Penolong Pegawai Pertanian (Seksyen Perancangan dan Penilaian), Wan Najib Sabri Wan Ali, memperkenalkan jambu epal kristal ini.
“Berbekal tekad serta minat tinggi, saya menanam 140 pokok jambu epal kristal ini sebaik kebun getah dibersihkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Pagar, Ketereh, dekat sini, baru-baru ini.
Jambu epal kristal (Crystal Wax Apple) adalah variasi jambu air yang berasal dari Taiwan, dengan bentuk buahnya hampir bulat seakan epal dan berjalur kristal, berwarna hijau kemerahan serta berkilat.
Saiz buahnya yang matang dan sesuai dipetik mencapai sebesar cawan dengan purata berat antara 150 gram hingga 300 gram sebiji atau enam hingga tujuh biji sekilogram.
Mazlan berkata, projek ladang jambu itu dimulakan setahun selepas beliau bersara daripada tentera pada 2000 dan terpaksa menunggu hampir setahun sebelum menikmati hasilnya.
Katanya, sepanjang tempoh menunggu hasil jambu itu, beliau bekerja keras mencari sumber pendapatan secara menanam cili, timun dan betik di antara pokok jambu berkenaan.
“Berkat kesabaran dan kerajinan, selepas setahun berusaha, saya dapat menikmati hasil jambu ini yang begitu memuaskan dengan semusim mampu mencapai pendapatan antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan,” katanya.
Katanya, jambu epal kristal dijual pada harga RM5 sekilo bagi buah Gred A (antara enam hingga tujuh biji sekilogram).
“Buah jambu ini dijual dalam tiga gred iaitu A, B dan C dengan RM5 sekilogram (Gred A); RM3/kg (B) dan RM2/kg hingga RM3/kg (C) dan selalunya pembeli datang ke kebun untuk membelinya.
“Orang ramai yang datang lebih minat membeli jambu Gred A dan B, manakala Gred C biasanya diraih peniaga kecil akan memotongnya untuk jualan sebagai rojak buah,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, beliau tidak sempat menghantar jambu yang dipetik daripada kebunnya untuk pasaran luar kerana hasilnya habis dibeli penggemar jambu epal kristal yang datang sendiri ke kebun.
“Ada kalanya, jambu yang dipetik di kebun ini tidak mampu memenuhi permintaan yang tinggi daripada orang ramai.
“Kebun jambu saya mampu menghasilkan antara 150 kilogram (kg) hingga 200 kg buah semusim. Sepanjang tahun lalu, saya memperoleh kira-kira RM45,000 hasil jualan jambu ini,” katanya.
Namun, di sebalik hasil yang lumayan itu, Mazlan berkata, beliau mengamalkan Konsep 3T untuk berjaya iaitu Tanam, Tengok dan Tuai; bukannya tanam, tengok dan tinggal.
“Syukur, rezeki ini adalah berkat bakti kepada tanah, saya dapat menikmati semua ini dan kalau ada rezeki, saya mahu menunaikan fardu haji tahun ini,” katanya.
Beliau menyarankan pesara tentera supaya menyertai bidang pertanian sepertinya dengan membuat pelaburan membeli tanah dan diusahakan sebagai kebun atau dusun.
“Saya juga membuka peluang kepada rakan seperjuangan untuk turut sama menyertai pertanian jambu epal kristal ini dan sedia memberi tunjuk ajar kepada mereka,” katanya.
Wan Najib berkata, Mazlan yang pernah dinobatkan sebagai Johan Kategori Buah-buahan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2006 (MAHA 2006) wajar menjadi contoh kepada mereka yang ingin berjaya dalam bidang itu.
Katanya, jambu epal kristal masih baru di negara ini dan usaha menanamnya secara meluas sedang dilakukan dan keberanian Mazlan harus menjadi ikutan mereka yang berminat.
“Jambu epal kristal ini dikatakan buah jenis “pemalu” dan “manja”. Ia perlu dibelai dengan penjagaan secara berterusan bagi memastikan buahnya sentiasa dalam Gred A.
“Usaha dilakukan Mazlan dengan menumpukan sepenuh masa di ladangnya itu kini membuahkan hasil lumayan kepadanya dan harus menjadi ikutan pengusaha ladang lain,” katanya.
Beliau berkata, jambu ini mampu mengeluarkan hasil ketika berusia 16 bulan dengan purata kawasan kebun seluas 0.4 hektar mampu mengeluarkan antara satu hingga 1.5 tan jambu.
“Pokok jambu ini tidak bermusim dan apabila mencapai usia lebih dua tahun, hasilnya akan meningkat. Kajian terhadap 16 pohon jambu berusia tiga tahun mendapati kita boleh memetik sehingga 55 kilogram sehari,” katanya.
Katanya, pokok jambu itu juga dirancang ditanam di Lojing untuk kajian mengenai perkembangannya di tanah tinggi berbanding tanah rendah.
“Jabatan Pertanian merancang menanamnya di Lojing untuk melihat kemajuannya apabila ditanam di kawasan tanah tinggi terutama membabitkan suhu rendah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk mengembangkan penanaman pokok jambu epal kristal ini dengan membuka peluang kepada pihak yang berminat.
“Kita menjuruskan kepada pengusaha di peringkat ladang dan benih pokok ini boleh diperoleh daripada Jabatan Pertanian negeri atau melalui Mazlan pada harga RM15 sepokok,” katanya.
INFO: Jambu epal kristal (Crystal Wax Apple)
# Berasal dari Taiwan
# Mempunyai 140 pohon sehektar
# menghasilkan 150-200 kilogram semusim
# Harga RM3-RM5 sekilogram.
Jambu manis dari Muar
Monday, January 5th, 2009
MUNGKIN menyedari masa depannya dalam dua pekerjaan bergaji tetap tidak sebaik mana kerana bersekolah setakat umur 13 tahun sahaja, maka keputusan yang diambil menceburi bidang pertanian sebagai jalan terakhir.
Namun, faktor sampingan lain juga tidak boleh diketepikan kerana keputusan memilih tanaman jambu air sebenarnya bermula sebagai hobi.
Chua Yap Keng dan Tan Jui Seng sebenarnya rakan kongsi yang mengusahakan tanaman jambu air dan mengabadikan nama mereka pada ladang yang diberi nama Keng Seng Nursery sebagai tanda keakraban dan perkongsian harapan dalam bidang pertanian.
Yap Keng berkata, dia pada mulanya dipertemukan dengan seorang rakan dari Taiwan ketika berurusan dalam perniagaan perabot yang memperkenalkannya baka jambu air dari Taiwan.
Dia mengambil baka tersebut yang hanya disebut sebagai baka warna hijau, merah dan loceng lalu cuba menanamnya di kawasan rumah di Muar.
Namun akhirnya dia menggunakan baka warna merah memandangkan jambu air hijau itu susah hendak ditanam manakala baka loceng mudah gugur.
Meskipun mereka mengetahui kos untuk membiayai projek satu ekar sahaja mencecah RM10,000, namun bertekad untuk mencuba sesuatu yang baru.
Yap Keng berkata, dia tidak mahu masalah tersebut merencatkan minatnya untuk menceburkan diri dalam penanaman buah-buahan, memandangkan itulah minatnya sejak kecil.
”Sebab itu saya banyak kali mencuba menanam benih jambu, (sebab) mahu tengok yang mana sesuai,” katanya.
Katanya, rakan tersebut memperkenalkan benih jambu itu dan dia membawa pulang kira-kira 10 pokok untuk ditanam di kawasan rumahnya di Jalan Ismail, Muar.
Benih pokok tersebut kemudiannya ditanam di ladang mereka di Batu 23, Lenga, Pagoh di Muar Johor bermula 2003 membabitkan 70 pokok jambu.
Yap Keng, 43 dan Jui Seng, 38, kemudian memulakan penanaman di kawasan tersebut yang berkeluasan dua hektar di Bukit Pasir Muar,
Menurutnya, jambu tersebut yang dikenali sebagai jambu Johor, mudah untuk dijaga kerana tidak banyak masalah.
Mereka hanya perlu memastikan baja diberi mengikut kadar yang ditetapkan iaitu kira-kira 40 pokok bagi satu beg.
Harga baja tersebut pada mulanya RM200 satu beg kini turun kira-kira 20 peratus.
Pada masa sama, dia juga beruntung kerana Jui Seng pakar dalam menyediakan benih jambu tersebut, menjadikannya mereka gandingan yang baik untuk memajukan projek tersebut,
Ketika ini, tiga ladang mereka yang keseluruhannya berkeluasan lapan hektar (20 ekar) ditanam dengan 1,000 pokok jambu.
Menurutnya, jambu tersebut matang dan boleh dipetik selepas 18 bulan ditanam.
Ladang mereka kini mampu mengeluarkan antara 10 dan 15 tan buah sebulan dan dipasarkan di kawasan sekitar pada harga RM4.50 sekilogram.
Untuk memastikan jambu telah mencapai saiz pasaran, setiap kilogram mengandungi antara lima dan tujuh biji.
Jambu tersebut menurut Yap Keng, amat menarik kerana bukan sahaja rasanya yang manis tetapi warnanya yang merah pekat dan senang untuk dijaga.
Bagaimanapun untuk mengekalkan rasa manis, jambu perlu dipetik pada waktu cuaca panas.
Untuk menjaga kesegaran dan memastikan jambu selamat dimakan, dia tidak menggunakan racun untuk mengawal serangga sebaliknya membungkus buah jambu pada pokok.
Pokok jambu tersebut dikatakan mempunyai jangka hayat sehingga 33 tahun.
Katanya, terdapat rakannya yang dikatakan mengeksport buah tersebut ke negara Arab tetapi setakat ini dia hanya menjual untuk pasaran tempatan.
Selain itu, agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membeli hasil tanaman tersebut.
Ketika ini, selain tanaman jambu, ladang mereka juga ditanam dengan ciku, durian dan dokong secara kecil-kecilan.
Usaha mereka walaupun bermula dengan kepayahan dan terpaksa melalui proses mencuba tanpa asas pertanian yang kuat, kini sudah mula menampakkan hasil.
Jumlah pekerja seramai 10 orang tidak menjadikan mereka malas, sebaliknya selalu ‘turun padang’ memeriksa tanaman kerana minat yang mendalam tersemat di dalam jiwa.
saya tinggal di seberang perai,penang.
ReplyDeletedimana saya bole dapat anak pokok jambu epal kristal..
mu email..ikmal_i@yahoo.com
Can I have Keng Seng Nursery people incharge phone number or Mr.Chua Yap Keng & Mr.Tan Jui Seng's contact phone number? Thank you :-D I need it urgently, I want to buy the Jambu Air merah in end of July or 1st August 2014,thank you :-D
ReplyDelete