Sunday, December 27, 2009

RATU BIRI-BIRI KELANTAN

TIMUR

ARKIB : 15/11/2008

'Bertewah' ratu biri-biri popular


Serlahan tanduk dan pengurusan bulu yang rapi menjadikan seekor biri-biri dilihat cantik.- Gambar TOREK SULONG


PASIR PUTEH 14 Nov. - Orang Kelantan dikatakan gemar bertanding atau 'bertewah' - suatu pengenalan sikap yang tidak lekang dalam kehidupan masyarakat yang masih kuat dengan pengaruh tradisinya.

Mereka mempertandingkan apa sahaja untuk menilai kehebatan atau kelebihan milik mereka termasuklah haiwan peliharaan yang diukur bukan sahaja dari segi kemerduan, keunikan suara tetapi juga kekuatan fizikal, kecantikan rupa, kesegakan dan gaya.

Justeru, sering didengar pertandingan burung ketitir dan candik, ayam serama dan cengkerik di samping ikan sepilar (ikan pelaga).

Sejak beberapa tahun lalu, kerap pula diadakan ratu cantik haiwan dengan lembu, biri-biri dan kambing dipertaruhkan.

Pertandingan mungkin dilakukan secara berkumpulan atau terbuka kepada umum, di pekarangan rumah atau di padang sekolah dengan tawaran hadiah mungkin sekadar kipas, seterika atau dapur gas.

Pertandingan ratu cantik biri-biri kini kembali popular dianjurkan di Kelantan sebagai kegiatan sampingan penternak haiwan berkenaan memperagakan keunikan ternakan masing-masing, sebagai suatu acara pelengkap yang menghiburkan.

Mereka diundang oleh pelbagai pihak penganjur termasuk jabatan kerajaan dan sekolah untuk memeriahkan sesuatu majlis sambutan. Selalunya penyertaan tidak mengecewakan.

Pada masa sama, acara ini boleh menjadi penggalak kepada penternak supaya menghasilkan baka biri-biri yang baik dan boleh dijual dengan harga yang tinggi.

Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterina Kelantan, Zaimin Mohd. Daud, yang sering dijemput mengadili pertandingan itu di negeri ini berkata, ia turut mencambah minat orang ramai untuk membela biri-biri sama ada sebagai hobi, projek sara diri mahupun secara komersial.

Katanya, penganjuran pertandingan yang memperagakan kekemasan biri-biri dan keunikannya akan turut memperkenalkan beberapa jenis baka biri-biri di negara ini termasuk dari jenis baka tempatan dan import.

"Ini termasuk baka Malin, Eksotik, Dorset Horn, Polled Dorset, Wiltshire dan kacukan lain yang menyerlahkan keunikan tubuh badan, bulu, telinga dan tanduk," katanya.

Zaimin berkata, pertandingan yang dianjurkan memberi penilaian terhadap tiga kriteria iaitu membabitkan ciri-ciri sistem pembiakan, ciri-ciri luaran am dan ciri-ciri bebiri itu sendiri termasuk keunikan dan kebersihan badan.

"Haiwan yang dipertandingkan diberi perhatian khusus oleh pemiliknya termasuk makan minum, menguruskan kesihatan, proses pembesaran serta pembiakan," katanya.

Beliau berkata, semua biri-biri yang menyertai pertandingan memiliki surat beranak yang dikeluarkan oleh veterinar dan nama-nama tertentu yang diberikan oleh pemilik masing-masing.

Nama-nama glamor biri-biri yang sudah mula terkenal dengan kehebatannya termasuklah Awe Donde, Siti Payung, Jenny, Cindai, Castello, Siti Ara, Minah dan Hitler.

Zaimin berkata, sepanjang pertandingan, orang ramai berpeluang melihat lebih dekat keunikan yang dimiliki oleh haiwan berkenaan terutama bulu badannya yang sudah digunting, didandan dan ubah suai bersama serlahan tanduk yang pelbagai bentuk.

Paling menarik, tambah beliau, pemilik biri-biri sanggup menyediakan mesin pencukur bulu yang mahal dan berus gigi khas untuk menampilkan kecantikan haiwan itu termasuk giginya.

Beliau berkata, tiga kriteria penilaian itu melibatkan markah yang berdasarkan ciri-ciri luaran am dan ciri-ciri bebiri yang masing-masing berjumlah 30 peratus manakala ciri-ciri sistem pembiakan pula berjumlah 40 peratus.

Bagi ciri-ciri luaran am, ia berdasarkan badan biri-biri yang sihat, tegap, tidak cacat, selain bulu badannya yang kemas, bersih dan berkilat termasuk skor badan, cara berdiri, cara berjalan termasuk tingkah lakunya seperti jinak, aktif serta mudah dikendalikan.

Zaimin berkata, pemilik akan memperoleh markah yang lebih tinggi sekiranya biri-biri mereka itu memiliki tanduk bulat dan melengkung ke bawah serta berwarna gelap ditambah pula dengan serlahan telinga lebar, lembut, saiz sederhana serta melampai ke bawah.

"Ini termasuk penilaian serlahan badan yang berwarna putih, telinga serta kepala merah coklat, berekor perang kemerahan dan berpigmen di bahagian ventral.

Ciri-ciri sistem pembiakan pula menyumbang 40 peratus dikira berdasarkan testis normal, saiz yang sama serta seimbang; 'scrotum' normal, tidak terlalu labuh; 'prepuse' normal dan ukur lilit scrotum," katanya.

Beliau berkata, walaupun hadiah yang disediakan bukan satu jumlah yang besar, pertandingan ini tetap menarik penyertaan ramai pemilik yang berniat untuk menonjolkan termakan mereka.

''Ia turut menjadikan medan pertandingan sebagai tempat bertukar pendapat berkaitan kaedah menternak dan penjagaan, selain sebagai lokasi terbaik mengiklankan baka biri-biri yang diternak untuk dijual," ujarnya.

Pertandingan biri-biri cantik berbeza dengan pertandingan haiwan lain kerana satu tarikan utamanya ialah gelagat haiwan itu ketika diperagakan oleh pemilik.

"Kadangkala pertandingan menjadi lebih menggamatkan apabila biri-biri yang ditambat oleh pemiliknya mencari peluang berlaga kepala dengan biri-biri lain.

"Sebab itu, pemilik menambat biri-biri masing-masing agak jauh iaitu lebih kurang 20 meter jaraknya bagi mengelak kejadian itu berlaku," katanya.

No comments:

Post a Comment