Wednesday, December 9, 2009

PENTERNAK BERJAYA

JOHOR

ARKIB : 20/05/2009

Izwan penternak berjaya


Mohd. Izwan Samani lebih rela bergelumang dengan kambing daripada kerja makan gaji. - UTUSAN/ NORZAINURA ABDUL MAJID


BATU PAHAT 19 Mei - Minat yang mendalam dalam bidang penternakan dan pertanian mengubah kehidupan Mohd. Izwan Samani, 27, apabila kini menjadi penternak dan petani yang berjaya.

Disebabkan minat itu, beliau sanggup menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Kaji Ukur ketika berada di tahun dua untuk 'terjun' dalam bidang pertanian.

Katanya, bidang tersebut menjanjikan kepuasan dan pendapatan lumayan serta bertepatan dengan sikapnya yang tidak mahu bekerja makan gaji atau berada di bawah pengawasan orang lain.

Pengorbanannya itu ternyata tidak sia-sia dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga yang banyak membantu serta memberinya semangat untuk berjaya.

Bahkan kini, Mohd. Izwan boleh berbangga kerana dianggap berjaya dalam bidang tersebut dan merupakan salah seorang belia tani contoh bagi masyarakat setempatnya.

Katanya, beliau bermula menternak lembu dengan modal RM28,000 sejak enam tahun lalu melibatkan sebanyak 32 ekor dengan bantuan dan sokongan keluarga juga adik-beradiknya.

"Saya memang minat dalam bidang penternakan dan pertanian, saya terfikir bila saya habis belajar saya dapat diploma dan saya akan bekerja di bawah pengawasan orang lain.

"Itu yang membuatkan saya nekad untuk berhenti dan teruskan dengan minat saya," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Kemudian, katanya, beliau pulang ke kampungnya di Parit 4, Sri Dayong Mukim 18, Sri Medan di sini untuk memulakan bidang penternakan di tanah milik keluarga berkeluasan 2.4 hektar.

Daripada 32 ekor lembu beliau berjaya membiakkannya menjadi 80 ekor dua tahun kemudian, katanya.

Namun, menurutnya, disebabkan ternakan lembu memerlukan kawasan yang luas maka kesemua lembu itu dijual dan hasil jualan itu digunakan untuk membeli kambing biri-biri bulu halus.

"Untuk memelihara kambing, saya telah mengeluarkan modal sebanyak RM45,000 untuk kandang kambing dan kira-kira RM70,000 untuk membeli baka kambing sebanyak 80 ekor," katanya.

Di samping menternak kambing, Izwan juga menternak 80 ekor ayam kampung dan mengusahakan tanaman kontan seperti 120,000 pokok ubi, 13,000 keladi dan keledek juga 700 pokok pisang di tanah seluas 5.6 hektar.

Selain pengalamannya, dia turut menimba ilmu dengan mengikuti kursus menternak di Institut Haiwan Ayer Hitam sebelum memulakan projek ternakannya.

"Selain itu, saya sentiasa mencari pengalaman dan belajar dari mereka yang telah berjaya," katanya.


TIMUR

ARKIB : 09/07/2008

Zainudin bakal 'jutawan' kambing


Ladang kambing milik syarikat Cosmopal Sdn. Bhd. yang terletak di Kampung Serating, Marang, Terengganu.
- Gambar ZUHAYATI YAZID


MARANG 8 Julai - Siapa sangka kawasan seluas 60 hektar yang dahulunya terbiar kini bertukar menjadi sebuah ladang kambing. Ternakan baka-baka tempatan yang 90 peratus untuk pasaran negara itu sekali gus akan menjadikan pengusahanya bakal jutawan.

Sebelum dibangunkan, kawasan yang terletak 60 kilometer daripada bandar Kuala Terengganu ini dipenuhi semak-samun yang tidak memberi faedah kepada masyarakat setempat.

Namun, hasil usaha Zainudin Zakaria, 50-an, yang menganggap ternakan kambing baka adalah perusahaan yang menguntungkan serta mampu memberi pulangan hasil yang cepat, kawasan itu bertukar menjadi ladang kambing dalam tempoh lapan tahun sahaja.

Melalui syarikatnya, Cosmopal Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada November 2000, Zainudin kini merupakan satu-satu pengimport, pengedar dan juga penternak kambing baka terbesar di kawasan Pantai Timur.

Berbekalkan prinsip jangan kalah sebelum berjuang, beliau sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat antarabangsa demi mencurahkan bakti kepada bidang ternakan kambing baka.

''Sebelum saya berhenti kerja, saya membuat kajian tentang kebaikan dan kelebihan penternakan kambing.

Malah saya juga membuat lawatan ke luar negara untuk melihat sendiri kelebihan bidang ternakan ini," kata Zainudin ketika ditemui di ladang kambingnya yang terletak di Serating di sini, baru-baru ini.

Selepas dua tahun membuat kajian, beliau nekad membuka ladang kambing berbekalkan modal RM100,000 untuk membeli keperluan dan alatan.

Malah, beliau yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur sanggup pulang ke kampung hanya semata-mata untuk menternak kambing.

''Saya lihat prospek ternakan ini sangat luas dan ia mampu memberi pendapatan lumayan, hanya usaha dan kerajinan sahaja yang perlu ada," katanya.

Ditanya apakah pengalaman semasa mula-mula menceburi bidang ini, bapa kepada lima cahayamata ini memberitahu, pada awalnya perasaan takut timbul.

Malah kata-kata kurang enak daripada rakan-rakan juga menyebabkannya rasa serba-salah. Namun beliau nekad untuk meneruskan perjuangan.

''Biarlah apa orang hendak kata, yang pasti kita tahu siapa diri kita dan tahap kemampuan diri kita," ujarnya.

Katanya, dia bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak yang sering memberi dorongan dan semangat kepada dirinya.

Bermula dengan beberapa ekor kambing jenis Jamnapari yang dibeli dari Indonesia serta sebuah reban, kini Zainudin mempunyai enam buah reban untuk menempatkan semua kambingnya.

Beliau menyasarkan untuk membiak 10,000 ekor kambing dalam jangka masa yang terdekat ini.

''Pada tahun 2007, saya hanya mempunyai 3,000 ekor kambing tetapi setiap tahun haiwan ini semakin berkembang biak," ujarnya.

Menceritakan pengalaman menternak kambing baka, beliau memberitahu, ia bukan perkara yang sukar.

Malah kambing merupakan binatang yang manja, katanya.

Jelasnya, kambing juga seperti manusia yang perlu dilayan dengan baik dan biasanya haiwan ini dilepaskan selepas dua minggu dikurung di dalam reban dan apabila sampai tempohnya ia akan pulang sendiri ke reban.

Beliau mengupah lebih 10 pekerja untuk membantu memberi makanan kepada ternakan kambingnya.

''Kambing-kambing juga turut dimandikan dan syampu supaya kelihatan bersih dan segar," katanya.

Beliau bersyukur kerana ladangnya itu mendapat tunjuk ajar dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

''Setiap bulan, seorang pegawai dari jabatan ini akan membuat lawatan ke ladang saya untuk melihat tahap perkembangan dan kesihatan haiwan ternakan ini," katanya yang turut membuat lawatan ke luar negara untuk mendapat nasihat dan panduan.

Zainudin memberitahu, selain menjalankan penternakan kambing, beliau juga menjalankan pelbagai aktiviti sampingan bagi memaksimumkan pendapatan di samping membantu masyarakat setempat yang berpendapatan rendah.

''Selain menjalankan penternakan kambing, ladang ini juga menghasilkan baja organik daripada najis atau tinja kambing yang dicampurkan ramuan lain untuk dijadikan baja organik.

''Kerja-kerja membungkus baja saya serahkan kepada golongan orang kurang upaya yang menginap berhampiran ladang ini,'' jelasnya yang mengitar semula bulu kambing untuk dijadikan aksesori.

Beliau juga merancang membuka kilang memproses barangan daripada kulit kambing antaranya jaket, beg tangan dan pelbagai aksesori lain.


JOHOR

ARKIB : 12/03/2009

Dulu ustaz, kini penternak


SEBAHAGIAN daripada kambing pedaging yang diternak Salleh Dahlan di Kampung Paya, Kluang, Johor.


KLUANG 11 Mac - Penyertaan kaum bumiputera dalam projek pertanian bersepadu berskala kecil kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan setelah pelbagai program dan galakan diperkenalkan oleh kerajaan kepada rakyat.

Projek tersebut jika diusahakan secara bersungguh-sungguh bukan sahaja membantu meningkatkan pengeluaran makanan tetapi mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya.

Tidak ketinggalan menyertai projek itu ialah bekas guru agama, Salleh Dahlan, 58, anak jati Kampung Paya, Kluang, yang bersara dua tahun lalu.

Walaupun tidak begitu berpengalaman, namun atas dorongan keluarga dan rakan-rakannya beliau memberanikan diri menternak kambing pedaging dan ikan keli di tanah miliknya seluas hampir satu hektar di kampung tersebut.

Selain itu, beliau juga sedang berusaha untuk menternak burung puyuh dan menanam cili merah serta serai di tapak tersebut.

''Insya-Allah projek ini akan memberikan pulangannya tahun ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Salleh berkata, beliau memulakan ternakan kambing secara kecil-kecilan bermula dengan lapan ekor setahun sebelum bersara sebagai persediaan awal dan mencari pengalaman.

Menurutnya, sebaik sahaja bersara, beliau mengembangkan ternakan itu sehingga 42 ekor termasuk 21 ekor yang diperoleh daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) menerusi Projek Pintar dan beberapa ekor lagi daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

''Kini jumlah kambing melebihi 80 ekor jenis kacukan dengan 17 ibu," katanya.

Beliau berkata, beberapa ekor daripada kambing itu pula telah ditempah untuk dibeli oleh pelanggannya.

Salleh yang dibantu oleh dua pekerja sambilan berkata, setakat ini kambingnya tidak menghadapi masalah kesihatan kerana pemeliharaannya mengikut kaedah yang ditetapkan JPH.

''Anak-anak kambing juga cepat membesar dan cergas,'' katanya.

Beliau memberi rumput napier, dedak dan kulit jagung sebagai makanan ternakan kerana ia mudah diperoleh.

''Kambing-kambing ini hanya akan dikeluarkan dari kandang ketika panas untuk mengelakkan diserang cacing,'' katanya.

Mengenai projek ternakan ikan keli, beliau berkata, projek itu bermula seminggu lalu membabitkan 1,000 ekor yang dipelihara di dalam kanvas.

''Ikan ini boleh mendatangkan pulangan dalam masa kira-kira dua bulan,'' katanya.

Menurutnya, beliau mendapat khidmat nasihat dan bimbingan menternak ikan keli daripada Jabatan Perikanan Kluang.

Beliau berkata, sebanyak RM50,000 telah dibelanjakan untuk menjayakan projek pertanian bersepadu berskala kecil itu termasuk pembinaan kandang dan pemasangan pagar duri di sekeliling tapak.

No comments:

Post a Comment