Wednesday, December 16, 2009

PUSAT KAMBING BOER

Berita Harian, 10 Apr 2007

ALOR GAJAH: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, memilih daerah ini sebagai pusat pengumpulan kambing Boer terbesar di Malaysia dalam usaha menjadikan negara sebagai hab daging halal rantau ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagi tujuan itu, syarikat Kaprima Livestock Sdn Bhd (Kaprima) di Alor Gajah diberi tanggungjawab melatih bakal penternak serta membekal anak kambing dan membelinya kembali apabila dewasa.

“Kambing itu kemudian dikumpul di sini dan disembelih, sebelum dagingnya dipasarkan ke seluruh negara mahupun antarabangsa dengan menggunakan jenama syarikat itu.

“Jika boleh, kementerian mahu Alor Gajah dikenali sebagai pengeluar daging kambing Boer halal terbesar dunia suatu hari nanti,” katanya selepas melancarkan Majlis Bersama Mara di Felda Bukit Bulat, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Industri negeri, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Pengerusi Mara, Datuk Nam Martijin.

Mohamed Khaled berkata, Kaprima dipilih memandangkan syarikat Bumiputera itu antara usahawan berjaya di daerah ini dan sanggup berkongsi pengalaman kejayaan dengan melatih ramai bakal penternak kambing Boer.

“Inilah yang diimpikan kerajaan iaitu menggalakkan lebih ramai usahawan. Kita ingin lihat lebih ramai tampil memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat, sekali gus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Ketika ini Kaprima sudah melatih 20 penternak dan saya difahamkan 40 remaja Terengganu menyatakan minat untuk menjalani kursus di sini,” katanya.

Beliau berkata, ia projek perintis bagi ternakan kambing kerana sebelum ini kementerian turut menaja projek ternakan ikan keli, kerapu, lembu dan ayam.

“Pemilihan Kaprima, sekali gus menyaksikan syarikat itu bakal dijadikan vendor membekal daging kambing yang bertanggungjawab menjenama, mengiklan serta memasarkan produk keluaran mereka. Kementerian bersedia membantu memberi sokongan dan bantuan," katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut melancarkan baja organik Kaprima Biotech yang juga produk sampingan syarikat berkenaan.

Beliau turut menyerahkan watikah pelantikan kepada dua Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) iaitu Senator Datuk Latif Datuk Thamby Chin bagi Jasin dan Datuk Ghaffar Abdul Atan bagi Alor Gajah.

No comments:

Post a Comment