Monday, December 28, 2009

PADI ORGANIK

TIMUR

ARKIB : 21/10/2009

Merintis tanaman padi organik


Aep Saifuddin melihat padi organik yang ditanamnya di Tunjong, Kota Bharu, baru-baru ini. - utusan/Rosni Masri


KOTA BHARU 20 Okt.- Terletak di Tunjong di pinggir bandar ini, ia hanyalah kawasan semak samun yang tak pernah memberikan sebarang hasil kepada pemiliknya.

Namun sebahagian daripada tanah seluas lapan hektar tidak jauh dari deretan bangunan komersial yang belum disiapkan, telah berubah wajah dengan diwarnai padi yang menguning.

Anak-anak ikan kelihatan berenang di parit kecil yang memisahkan setiap petak sawah, sederet sayuran tumbuh subur di batas berhampiran bangsal pengusahanya dan kincir terus berputar dalam tali air bersebelahan.

Ia sekurang-kurangnya telah mula mengubah sedikit landskap sekitar dan sekali gus percubaan awal memberi persepsi baru terhadap penanam padi yang dianggap tidak begitu memberikan pulangan besar.

Ia sebenarnya satu pendekatan penanaman yang baru diperkenalkan iaitu secara organik dan kaedah tanaman padi sebatang (bibit muda) yang dinamakan Sistem Memperhebatkan Hasil Padi (SRI).

Tanaman padi secara organik itu digerakkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Salorcare yang berorientasikan kebajikan dan menggerakkan ekonomi.

Kaedah yang dipraktikkan di Madagascar lewat 80-an itu sedang giat dikembangkan di Indonesia dan Salorcare membawa masuk seorang pembimbing pesawah berpengalaman dari Tasikmalaya, Bandung untuk memberi tunjuk ajar kepada petani tempatan.

Aep Saifuddin yang mempunyai pengalaman berbelas tahun dan menyifatkan dirinya sebagai berguru dengan alam menceritakan, secara umum padi organik boleh meningkat antara 20 hingga 40 peratus berbanding kaedah biasa.

Namun ia boleh mencapai lebih sekali ganda sekiranya tumpuan benar-benar diberikan oleh petani bagi mengusahakannya sebaik mungkin jika mereka mencintai bidang pertanian dan mahu meningkatkan perolehan hasil serta pendapatan.

Mereka juga diajar untuk menghasilkan baja daripada sisa makanan, sampah sarap tumbuhan dan najis ternakan bagi dijadikan baja melalui kaedah yang cukup mudah manakala pokok-pokok herba tempatan dijadikan racun penghalau musuh tanaman.

Melalui SRI yang menjaga keseimbangan biologi tanah, ia tidak mencemarkan alam, juga tidak memerlukan air yang banyak dan menuntut kos yang tinggi, namun selama ini ia terbukti berupaya lebih menyuburkan.

Sekiranya projek yang dirintis di Tunjong memperlihatkan pencapaian yang baik, Salorcare melalui Sunnah Tani Sdn. Bhd. (STSB) yang diwujudkannya akan mengendalikan aktiviti pertanian organik secara besar-besaran.

Pengarah Eksekutif STSB, Mohd. Nuri Mat Yaakob ketika ditemui berkata, hasil yang diperlihatkan meyakinkan pihaknya untuk mengusahakan secara ladang dalam skala yang luas dan beberapa kawasan telah dikenal pasti.

''Kita berharap ia kelak akan menjadi kenyataan dan Kelantan boleh menjadi pengeluar padi organik dengan jenama tersendiri di samping pembekal baja organik.

''Tanaman ini diusahakan secara berperingkat Mei lalu dan tuaian awal telah bermula di mana berasas hasil terbaik dari satu ruang hasil keseluruhan jika tahap kesuburan seimbang, ia boleh mencapai lebih 10 tan sehektar berbanding 4.5 hingga 5 tan bagi kaedah biasa," katanya.

Berlainan dengan kaedah biasa, padi mula ditanam secara tunggal selepas benih bercambah 8-12 hari dengan jarak yang lebar secara tersusun seakan kotak.

Setiap semaian tunggal ini boleh bercambah sehingga 70 batang berbanding 20 mengikut kaedah biasa dan pokoknya kelihatan lebih segar menghijau.

Bagi mengusahakannya, sawah tidak dibiarkan dipenuh air selepas tanah dibajak dan diratakan bagi memperbaiki struktur dan tekstur tanah manakala baja organik digunakan untuk menambahkan nutrien tanah.

Parit-parit kecil dibuat bagi memisahkan petak-petak tanaman dan keadaan tanah serta kualiti air yang baik boleh dilihat dengan kemeriahan hidupan air.

''Pengurusan baja dan racun serangga organik memulihkan ekosistem dan seterusnya menggalakkan pembiakan ikan, serangga dan cacing," ujar Aep.

Kerajaan negeri ternyata begitu tertarik dengan apa yang dirintis dan berharap ia dapat dikembangkan oleh masyarakat setempat terutama dengan memanfaatkan tanah-tanah terbiar yang mereka miliki.

Selain menerangkan apa yang diusahakannya, Aep memberikan masakan daging burung yang diperangkap ketika sering menyerbu hasil tanaman di luar musim itu untuk dirasai.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika bercakap kepada pemberita, meminta pesawah menggunakan baja organik untuk mengurangkan kos, meningkatkan pendapat dan sekali gus menjaga alam sekitar.

Mereka boleh mendapatkan bimbingan untuk memulakan tanaman agar hasil yang dicapai setimpal namun ia harus dilakukan dengan kesungguhan.

''Dengan mengunakan SRI organik ini banyak manfaat diperoleh, beras yang kita makan bebas daripada kimia, air di bendang membolehkan anak-anak ikan hidup bebas.

''Apa yang kita makan tanpa banyak bersalut dengan sisa kimia tentunya lebih menyihatkan dan tidak mendedahkan diri dengan pelbagai penyakit seperti kanser, buah pinggang," kata Nik Abdul Aziz.

No comments:

Post a Comment