ARKIB : 21/11/2008
Bekas penagih dadah kini penternak kambing berjaya
|
|
TAMPIN 20 Nov. - Kejayaan bekas penagih dadah, Mazlan Jaafar, 50, mengusahakan ternakan kambing di Kampung Ulu Yoh Baru dekat sini membuktikan peluang golongan berkenaan memulakan hidup baru sentiasa terbuka luas.
Bermula dengan hanya lima ekor kambing pada 2002, bilangan kambing yang diternak Mazlan kini bertambah sehingga 150 ekor.
Mazlan yang juga peserta program terapi gantian methadon (PTGM) Klinik Kesihatan Tampin berkata, kesibukan menternak kambing membantunya melupakan ketagihan terhadap dadah.
Menurut pemilik Maju Tanggai Enterprise itu, kesedaran untuk bebas daripada ketagihan dadah mula timbul setelah dia dibebaskan daripada Pusat Serenti Tiang Dua, Melaka pada 2002.
''Selepas keluar pusat serenti, saya menyertai PTGM Klinik Kesihatan Tampin bagi melawan ketagihan dadah," jelas Mazlan ketika ditemui di ladang ternakan kambingnya di Kampung Ulu Yoh Baru, dekat sini baru-baru ini.
Dia memberitahu, dorongan serta restu ibu bapanya iaitu Kalsom Likai, 63, dan Jaafar Abd. Majid, 72, merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kejayaannya itu.
Selain itu, jelas Mazlan, petugas-petugas Klinik Kesihatan Tampin yang mengendalikan PTGM banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepadanya untuk berjaya.
''Jabatan Perkhidmatan Veterinar daerah juga pernah menyumbangkan 12 ekor kambing di samping memberi khidmat nasihat serta rawatan.
''Ahli keluarga yang lain terutama anak saudara turut membantu saya mengusahakan ternakan kambing ini," katanya.
Ujar Mazlan, hidupnya sebelum ini dalam keadaan terumbang-ambing akibat terjebak dengan ketagihan dadah selama 18 tahun.
Bapa kepada seorang anak perempuan berumur 16 tahun itu berkata, penyertaan dalam PTGM Klinik Kesihatan Tampin membantunya berfikir dengan lebih jelas dalam melalui kehidupan yang lebih bermakna.
''Mungkin ramai yang keberatan untuk berbuat demikian. Pesan saya cuma satu... jika kita tidak berubah sekarang sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat melakukannya," katanya.
tahniah "paklong"...d mana ada kemahuan, disitu ada hiway...
ReplyDeletetahniah "paklong"...d mana ada kemahuan, disitu ada hiway...
ReplyDelete