Tuesday, December 22, 2009

NANGKA HONG

inilah hasil nangka organik yang boleh dilihat di Ekspo Agro Johor, Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang, Johor.


Ibu bapa dijemput membawa anak-anak mengunjungi Ekspo Agro Johor 2009 yang berlangsung di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, di sini mulai Sabtu ini yang mempamerkan buah-buahan tropika.

Buah-buahan itu termasuk pisang, nangka, pelbagai jenis jambu, markisa dan buah naga yang dipamerkan pada ekspo anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan Johor.

Antara yang menarik ialah ladang nangka milik Kawan Pertanian Sdn. Bhd. yang merupakan salah seorang peserta Ekspo Agro Johor 09.

Pengurus Ladangnya, Mazlan Mustakim berkata, menerusi ladang itu para pengunjung boleh melihat 20,000 pokok nangka di kawasan 120 hektar yang dikenali dengan baka nangka ‘hong’.

Mazlan berkata, mereka yang berkunjung ke ladang itu boleh melihat sendiri keadaan buah nangka yang beratnya menjangkau antara 35 kilogram (kg) hingga 50 kg. sebiji.

“Kami memulakan projek ini pada 2005 dan kini telah mengeluarkan hasil dan 70 peratus daripada pengeluaran nangka hong adalah untuk eksport ke Singapura dan bakinya adalah untuk memenuhi permintaan tempatan.

“Kami turut menanam 50,000 pokok limau kasturi, 12,000 limau nipis dan 5,000 jambu air,” katanya kepada Utusan Malaysia yang mengadakan tinjauan ke ladangnya di sini baru-baru ini.

Mazlan berkata, perolehan daripada hasil buah-buahan tersebut membantunya meraih pendapatan sekitar RM120,000 sebulan.

Tambah Mazlan, bagi mereka yang berkunjung ke ladang tersebut sempena ekspo itu, mereka bukan sahaja berpeluang membeli buah-buahan tersebut secara segar malah turut boleh membeli benih pohon buah-buahan itu.

Menurutnya, nangka hong merupakan baka yang cukup baik kerana dalam usia antara dua hingga tiga tahun, ia sudah boleh mengeluarkan buah.

1 comment: