Tekno Tani: Ternakan rusa secara komersial menguntungkan
Oleh Sariha Mohd Ali
Berita Harian, 13 Jul 2007
KEGIATAN penternakan lembu, kambing atau kerbau memang biasa dilihat di negara ini, tetapi bagi Derawi Junus, 68, dari Kampung Cherating Lama, dekat Kuantan, pembabitannya dalam bidang ternakan dilihat agak berbeza kerana haiwan ternakannya adalah rusa.
Bermula daripada minat memelihara rusa pada 1993, Derawi mengembangkan kegiatan itu sehingga pada satu ketika mempunyai 450 ekor rusa yang diternak di kawasan seluas 4.8 hektar berdekatan kampungnya.
Bermodalkan wang sendiri kira-kira RM24,000, dia membeli 12 ekor rusa dari Jabatan Haiwan Kelantan pada 1993. Dalam tempoh dua setengah tahun, pelaburannya itu sudah memberi keuntungan kerana setiap rusa dijual, dia mampu memperoleh keuntungan bersih kira-kira RM1,300.
“Ramai memandang sinis kepada saya kerana mahu memelihara rusa dan bukannya lembu kerana selain ia sesuatu yang baru, kos diperlukan pula tinggi. Tetapi saya nekad dengan membeli 12 ekor rusa, termasuk 10 rusa betina untuk dijadikan induk dan hasilnya, selepas dua tahun, saya sudah mendapat untung berganda.
“Daging rusa dijual RM50 sekilogram dan setiap seekor rusa berusia dua setengah tahun, beratnya mencecah 80 kilogram,” katanya.
Derawi berkata, Petronas antara pelanggan utama rusa ternakannya, selain Penerbangan Malaysia (MAS) dan beberapa orang kenamaan dari Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur yang membeli ternakan itu untuk hidangan pada majlis istimewa.
Paling membanggakan, 15 rusa ternakannya juga pernah dibeli Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjamu penduduk di kawasannya di Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Selepas usaha ini berjaya, Jabatan Haiwan Sabak Bernam di Selangor pula menjual 17 ekor rusa betina kepada saya, bagi membolehkan ternakan itu berkembang. Sekarang, rusa saya hanya tinggal 100 ekor dan saya kini menumpu kepada usaha membiakkannya kerana jumlah penternak rusa di negara ini masih berkurangan, sedangkan sektor ini memberi keuntungan lumayan.
“Masalah sekarang ialah bekalan semakin berkurangan, tetapi permintaan daging rusa terus meningkat,” katanya yang berhasrat menternak 1,000 ekor rusa, jika permohonannya mendapatkan tanah dari kerajaan negeri berjaya.
Beliau berkata, kawasan dikendalikannya sekarang tidak mampu menampung jumlah rusa yang ada, malah tanah seluas 2.2 hektar dipajak daripada penduduk kampung pula, akan diambil balik pemiliknya
Sebenarnya, projek ini mempunyai nilai komersial tinggi dan saya sedia memberi nasihat kepada sesiapa berminat untuk terbabit dalam ternakan rusa kerana penjagaan ternakan ini adalah mudah. Bagi mendapatkan bekalan anak rusa, saya sudah menghubungi rakan niaga di Indonesia, tetapi kekurangan kawasan menyebabkan hasrat itu tertangguh dulu,” katanya.Derawi berkata, sebagai penternak rusa terbesar di Pantai Timur, dia perlu memastikan projek ternakannya itu mampu menjadi contoh kepada penternak kecil-kecilan lain.
Katanya, bagi menanam minat orang ramai memelihara rusa, dia sudah menjual banyak anak rusa dengan harga rendah kepada mereka yang berhasrat menceburi bidang itu secara komersial.
“Saya faham, bukan semua penternak khasnya penduduk kampung mampu membeli rusa secara tunai, malah saya difahamkan, Jabatan Haiwan juga tidak mempunyai bekalan baka rusa untuk diagihkan kepada mereka berminat.
“Sebab itu, saya sanggup ‘memberi’ mereka baka rusa untuk dibiakkan dan sekarang beberapa penternak, termasuk di Balok dan Temerloh, sudah mula mengembangkan ternakan mereka, tetapi jumlahnya masih rendah iaitu tidak melebihi 40 ekor,” katanya.
Sebenarnya, kata beliau, penjagaan rusa amat mudah iaitu memberinya makan mengikut jadual ditetapkan pada pagi dan petang. Haiwan itu tidak perlu dikurung, sebaliknya bebas di kawasan berpagar dan lebih elok, jika kawasan berumput.
“Selain dagingnya yang mahal, tanduk rusa yang kelihatan seperti ranting kayu itu juga amat berharga dan dijual kira-kira RM500 sepasang untuk dijadikan perhiasan,” katanya.
Derawi berkata, harga daging rusa akan terus meningkat di pasaran berikutan kos penjagaannya semakin tinggi, terutama pelet makanannya. Makanan untuk rusa dijual RM36 setiap beg sekarang, berbanding hanya RM18 sebelum ini.
Mengenai cabaran pernah ditempuhinya, Derawi berkata, dia pernah kerugian kira-kira RM50,000 apabila lebih 10 ekor rusanya terlepas keluar menerusi pagar terbuka dan hilang di dalam kawasan belukar berhampiran.
Malah, rusa ternakannya juga menjadi sasaran buruan pihak tidak bertanggungjawab yang menembaknya.
“Sejak itu, sistem keselamatan di kawasan peliharaan rusa ini ditingkatkan dengan membuat pagar tinggi, selain menempatkan rumah pekerja berhampiran ladang rusa ini untuk pemantauan.
“Paling membanggakan, rusa peliharaan saya ini turut menjadi tarikan pelancongan apabila ramai pelancong asing dan murid melawat untuk melihat sendiri haiwan berkenaan dengan lebih dekat,” katanya.
No comments:
Post a Comment