Oleh Akmal Ilham
Berita Harian, 2 Mei 2007
Projek ternakan diusahakan pekebun kecil Risda dapat galakan Raja Perempuan Kelantan
TANAH MERAH: Ternakan kambing boer yang diusahakan pekebun kecil Risda di jajahan ini, bukan setakat memperoleh pendapatan menerusi jualan daging, malah tinja atau najisnya menjanjikan pulangan lebih lumayan.
Ini kerana tinja kambing itu sesuai digunakan sebagai baja organik dalam projek pertanian lain seperti sayuran dan bunga yang mampu meningkatkan hasil sehingga 30 peratus.
Pegawai Risda Tanah Merah, Rusly Yaakob, berkata projek ternakan kambing Boer itu dilaksanakan menerusi program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang bertujuan mempelbagaikan sumber pendapatan pesertanya.
"Harga getah yang turun naik menyebabkan pendapatan pekebun kecil getah tidak menentu. Berikutan itu, program AET diperkenalkan bagi mempelbagaikan kegiatan ekonomi mereka.
"Di Tanah Merah, AET dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin dan miskin tegar di kalangan pekebun kecil getah menerusi aktiviti tanaman, ternakan dan ekonomi desa.
"Program paling berpotensi ialah ternakan kambing boer di Kampung Domis yang dilaksanakan sejak 2003 berikutan saranan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid," katanya.
Beliau berkata, atas cadangan baginda juga, semua tanaman bunga sekitar Majlis Daerah Tanah Merah kini menggunakan baja organik tinja kambing boer.
"Dalam fasa pertama dulu, kita memilih 12 peserta bergilir menjaga 200 kambing yang dipelihara dalam 12 kandang kecil dengan dua peserta bertugas setiap hari bersama seorang pekerja tetap.
"Anak kambing berusia sekitar empat bulan itu diberikan makanan asas rumput neppier yang ditanam di padang ragut bersebelahan selain makanan tambahan sehingga ia boleh dijual selepas enam bulan.
"Hasil jualan amat menggalakkan iaitu pada 2004, kami memperoleh hampir RM40,000. Sudah empat kali keuntungan diagihkan kepada peserta dalam bentuk dividen mulai 2004 hingga tahun lalu.
"Menerusi fasa dua yang bermula akhir tahun lalu, kami menambah lima peserta selain mengubah strategi membiakkan kambing boer ini kerana kesukaran mendapatkan bekalan anak kambing jantan daripada jualan daging kepada penghasilan baja organik," katanya.
Selain Risda selaku agensi pelaksana projek yang diiktiraf sebagai Projek D'raja itu, ia turut disokong Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia di samping Pejabat Tanah dan Jajahan sebagai urusetia.
Rusly berkata, kemajuan terbesar projek itu adalah penghasilan baja organik tinja yang mampu menghasilkan pendapatan jauh lebih lumayan berbanding usaha menggemukkan kambing untuk jualan daging.
"Kajian kami mendapati penghasilan baja organik mampu menyumbang 80 peratus dari keseluruhan pendapatan projek ternakan kambing ini, manakala jualan daging hanya menyumbang 20 peratus," katanya.
"Secara purata, kami mengumpul kira-kira 150 kilogram (kg) tinja sehari atau
satu tan sebulan. Harga baja organik tinja yang diberi nama Baja Organik Domis belum ditapis ialah RM2.50 sekilogram manakala yang ditapis RM5 sekilogram.
Menerusi 266 kambing yang sedia ada ketika ini, kami mampu memperoleh antara RM350 hingga RM750 sehari menerusi jualan terus. Bayangkan pendapatan yang mampu diperoleh jika lebih banyak kambing diternak di sini," katanya.
Mohd Hisham berkata, bagi menghasilkan baja organik, tinja kambing perlu dijemur sehari sebelum dimasukkan ke dalam mesin serta dicampurkan abu tandan kelapa sawit, habuk kayu getah atau sekam padi dan stardec.
"Tinja perlu diperam selama sebulan bagi mematikan benih rumput yang mungkin ada didalamnya dan sepanjang tempoh itu, ia perlu digaul seminggu sekali bagi menghilangkan tahap kepanasannya.
"Baja organik ini mempunyai pasaran meluas kerana mampu meningkatkan hasil tanaman antara 10 hingga 30 peratus," katanya.
FAKTA NOMBOR:
Ternakan kambing boer Tanah Merah
· 17 - Peserta
· 266 - Kambing
· 150 kilogram - Tinja setiap hari
No comments:
Post a Comment