ARKIB : 29/11/2008
Lintah punca rezeki lumayan
|
|
JOHOR BAHRU 28 Nov. - Jika bercerita tentang lintah, ramai akan berasa 'geli-geleman' membayangkan struktur badan haiwan yang dianggap 'pengacau' yang berlendir, lembik dan licin itu.
Apatah lagi jika haiwan kecil penghisap darah itu melekap di kaki atau betis 'mangsanya,' pasti ada jeritan yang kedengaran semasa proses membuangnya bukan kerana sakit tetapi geli.
Namun dalam sedar atau tidak, lintah yang tergolong dalam keluarga Hirudinidae dan nama saintifiknya Hirudo medicinalis mempunyai enzim yang dapat menahan darah daripada terus membeku semasa gigitannya sekali gus mampu untuk melancarkan peredaran darah.
Malah haiwan habitatnya di dalam air itu kini mendapat perhatian oleh segelintir pihak apabila menyedari ia mampu mendatangkan pulangan yang lumayan apabila diusahakan.
Menyedari hakikat itu, Gemilang Agrotech dengan kerjasama Kelab Usahawan Tani Parlimen Pulai mengambil peluang yang terbentang luas itu untuk mencuba nasib di dalam bidang penternakan lintah.
Projek usaha sama yang dimulakan sejak 10 bulan lalu itu disertai 80 peserta dengan hampir 120 tong lintah.
Pengurus Gemilang Agrotech, Mohd. Shahrom Rahman, 38, berkata, hasil pertama ternakan lintahnya itu akan dijual pada Januari depan.
Katanya, setiap sekilogram (kg) lintah akan dijual dengan harga RM50 dan lintah daripada syarikatnya mendapat pasaran di Pahang dan Johor.
"Dalam satu tong, sebanyak 10kg lintah dapat diternak ini bermakna sekurang-kurangnya setiap tong akan menghasilkan jumlah jualan kira-kira RM5,000.
"Setiap tong pula mampu memuatkan kira-kira 300 dan 400 ekor lintah," katanya ketika ditemui di tapak projek lintah Tampoi di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, para peserta hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1,500 sebagai modal dan pihaknya akan menyediakan khidmat nasihat selain penjagaan ternakan.
Tambah Mohd. Shahrom, kebanyakan peserta di sini akan 'melawat' ternakan mereka pada hujung minggu. Pada waktu itu mereka akan memastikan ternakan mereka sihat dan melihat perkembangannya.
Sementara itu, Pengurus Ladang Ternak, Abdul Ghani Hamzah, 37, berkata, lintah-lintah yang ada di situ akan diberi makan ikan keli dan belut.
Kedua-dua haiwan itu akan dimasukkan ke dalam bekas khas yang berjaring bagi menyekat pergerakan dan memudahkan lintah untuk menghisap darah.
"Lintah yang diternak di sini akan diberi makan tiga kali seminggu dan waktunya hanya pada sebelah petang kerana ia sangat aktif ketika itu," katanya.
Menurutnya, pekerja yang menjaga lintah perlu memastikan kebersihan mereka tambahan apabila sudah memeriksa tong.
"Mereka perlu membasuh tangan dengan sabun supaya tidak terdapat telur lintah yang tersembunyi di tangan. Perkara ini perlu diambil berat bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini," katanya.
ARKIB : 25/04/2008
Raih pendapatan lumayan hasil ternak lintah
|
|
SIK 24 April - Meskipun bidang pertanian bukan satu kerjaya yang glamor, namun ia menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka yang sanggup memerah keringat di bawah terik matahari dan menempuh pelbagai cabaran.
Ini dibuktikan oleh seorang petani, Abd. Hamid Awang Kecik, 65, dari Kampung Jelutong, dekat sini yang berupaya memperoleh pendapatan lebih daripada RM3,000 sebulan hasil ternakan lintah.
Menurut Abd. Hamid, bidang ternakan lintah dianggap baru dan dilihat mempunyai prospek yang cukup besar.
Katanya, lintah ketika ini menerima permintaan yang tinggi dengan harganya dikatakan antara RM1.50 hingga RM3 seekor.
"Masa depan ternakan lintah cerah kerana hidupan tersebut sering dijadikan bahan untuk produk perubatan dan kesihatan kecantikan.
"Walaupun saya baru menceburi bidang ini, namun setakat ini, ia mampu memberi pulangan lebih RM3,000 sebulan,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abd. Hamid berkata, dia menceburi bidang ternakan lintah setelah diperkenalkan oleh kenalannya sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, tanpa mengikuti sebarang kursus, dia cuba mengusahakannya secara sendiri dengan membina kolam di belakang rumah.
"Saya memperoleh anak lintah daripada penduduk kampung dan membela sehingga besar sebelum dijual.
"Kaedah ternakan tidak begitu rumit. Kita hanya perlu menyediakan ikan belut hidup yang dimasukkan ke dalam jaring khas.
"Anak-anak lintah akan menghisap darah ikan belut terbabit dan apabila ikan itu mati, ia perlu digantikan dengan yang baru," jelasnya.
Tambah bapa kepada enam orang anak itu, setakat ini, dia tidak menghadapi masalah dari segi pasaran memandangkan peraih akan datang membeli setiap minggu.
Katanya, setiap ekor lintah matang berukuran lima hingga 10 sentimeter dijual dengan harga RM1.50 seekor.
"Kadar ini juga bergantung kepada saiz dan kelebaran lintah berkenaan," ujarnya.
Abd. Hamid memberitahu, dia juga bersedia membantu mereka yang berminat terutama dari segi kemahiran dan teknik-teknik tertentu dalam usaha menceburi bidang tersebut.
Katanya, orang ramai yang berminat membeli lintah atau mendapatkan khidmat nasihat boleh mengunjunginya di Kampung Jelutong, Belantek, Sik, Kedah atau menelefon 013-4332129.
ARKIB : 11/05/2009
Siswazah ternak lintah
|
|
MELAKA 10 Mei - Bidang pertanian bukanlah satu kerjaya yang glamor namun ia tetap menjadi pilihan dua mahasiswa yang melihatnya sebagai satu cabang pendapatan lumayan sekiranya dikomersialkan.
Bagi mereka, bidang ternakan lintah yang dianggap baru di Malaysia dilihat mempunyai prospek yang cukup besar sebagai satu rawatan alternatif yang mula mendapat permintaan ramai.
Atas kesedaran peluang itu, dua sahabat lulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Multimedia, Bukit Beruang di sini, Sulaiman Shah Ab. Rahman, 25, dan Muhammad Shahrul Ikmar Mustapha, 24, mula menceburi bidang itu sejak awal tahun lalu.
Sulaiman yang memegang ijazah Kejuruteraan Komputer dan Shahrul, ijazah Pengurusan Teknologi Maklumat, kelulusan yang digenggam itu bukanlah bermakna mereka harus melupakan terus bidang pertanian.
Dengan sedikit pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki, dua sahabat ini nekad membuat pelaburan sebanyak RM80,000 menubuhkan syarikat MNS Marketing and Management pada awal tahun lalu.
Sulaiman yang merupakan Ketua Eksekutif syarikat tersebut berkata, mereka memilih untuk menceburkan diri dalam penternakan lintah kerana melihat bidang itu masih baru di negara dan berpotensi untuk pergi lebih jauh.
''Alhamdulillah, setelah kira-kira empat bulan menjalankan perniagaan ini, kami mempunyai 23 kolam lintah yang diusahakan di Taman Padang Temu Indah, Padang Temu, Melaka.
''Hasilnya, kami mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM5,000 hingga RM6,000 sebulan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, hasil kerja kerasnya itu juga, mereka telah berjaya membuka sebuah pusat rawatan kesihatan yang dikenali D'Winz Healthcare di Taman Senggarang, Batu Pahat, Johor.
Jelasnya lagi, syarikat juga telah berjaya membekalkan produk-produk berasaskan lintah keluarannya ke seluruh pasaran tempatan termasuk Brunei.
''Kami juga membekalkan lintah untuk tujuan rawatan bekam termasuk menganjurkan kursus lintah seperti ternakan, produk lintah dan juga rawatan bekam," katanya.
Sulaiman berkata, masa depan ternakan lintah amat cerah kerana ia sering dijadikan bahan untuk produk perubatan dan kesihatan kecantikan.
''Lintah mendapat permintaan yang tinggi kerana ia boleh merawat penyakit kronik seperi sakit jantung melalui enzim yang dinamakan hirudin yang dikeluarkan oleh haiwan ini,'' katanya.
Tambahnya, di pasaran tempatan, lintah menerima permintaan yang tinggi dengan harganya dikatakan antara RM1.50 hingga RM3 seekor.
''Berbanding di luar negara seperti di United Kingdom contohnya, harga seekor lintah mencapai sehingga RM53.
''Ia mungkin kerana permintaannya yang tinggi untuk kegunaan dalam bidang perubatan mereka," katanya.
Atas kesedaran nilai pasaran yang tinggi itu, menurut Sulaiman, syarikatnya juga telah mengadakan usahasama dengan sebuah syarikat lain untuk mengembangkan lagi perniagaanya.
Melalui usahasama itu, syarikatnya juga merupakan pemilik bersama 210 lagi kolam lintah di seluruh negara termasuk 50 buah kolam di Pontian, Johor, Batu Pahat (50) Seremban (30), Bukit Merah, Perak (40) dan Terengganu sebanyak 40 buah kolam.
''Jika dikira secara keseluruhannya, kami mempunyai stok lintah melebihi 100 juta ekor di 233 kolam ternakan lintah,'' katanya.
Menurut Sulaiman, dengan keupayaan yang ada, mereka merancang untuk mengeksport lintah ke luar negara memandangkan pasarannya yang lebih tinggi di sana.
Orang ramai yang berminat dan ingin mendapatkan keterangan lanjut, boleh hubungi mereka di nombor 019-7775242 (Sulaiman) dan 013-2060057(Shahrul). katanya.
Lintah ternakan komersial
Oleh Mohamed Semail
Berita Harian, 10 Jul 2007
KUANTAN: Geli. Itulah ungkapan pertama yang terhambur keluar sebagai jawapan bila ditanya mengenai lintah, apatah lagi untuk memegang atau menternak hidupan yang banyak di kawasan paya dan sawah padi.
Bagi Norazlan Abd Rahman, 37, dari Kampung Jaya Gading, di sini, perasaan geli sudah lama berkubur daripada mindanya. Apa yang penting, kerja itu menghasilkan pendapatan lumayan.
Berbekalkan semangat kental dikongsi bersama rakannya, Mohd Zakaria Mahmud, 50, beliau kini berjaya membuka empat kolam menternak lintah untuk tujuan eksport.
Norazlan lepasan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, lintah kini menjadi ternakan komersial berikutan permintaan tinggi untuk ramuan kosmetik dan perubatan.
Justeru , katanya, kebanyakan lintah yang diternak di negara ini dieksport ke luar negara terutama Taiwan dan Eropah yang dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi bagi hidupan itu.
Beliau berkata, lintah mempunyai banyak spesies dan ia boleh didapati dengan mudah di negara ini terutama di kawasan paya dan sawah padi tempat kerbau berkubang.
Lintah ternak terdiri daripada lintah perut hijau (hirudo medicinalis) dan lintah perut perang yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Beliau berkata, lintah jenis berkenaan mampu mencecah harga antara RM40 hingga RM60 sekilogram bergantung pada saiz.
"Lintah jenis ini diternak sebagai ternakan komersial yang menguntungkan. Bagaimanapun, kaedah menternaknya bukan mudah kerana ia memerlukan penjagaan rapi seperti menternak ikan.
Norazlan berkata, di atas hamparan plastik berkenaan perlu ditabur pasir halus untuk hidupan ini bersembunyi daripada pemangsa.
"Penggunaan plastik dan pasir diperlukan supaya lintah tidak hilang ketika menuai, manakala pasir ialah tempat ia berlindung selain menyembunyikan diri daripada binatang pemangsa lain," katanya.
Katanya, lintah akan mencapai tempoh matang apabila berusia empat bulan dan ketika itu ia mula bertelur.
"Telur yang terhasil akan terlekat pada objek yang ada dalam air seperti tunggul kayu dan tumbuhan akuatik. Dalam sistem
kolam ternakan, batu-bata yang disusun empat segi seperti menara digunakan sebagai tempat mengumpul telur," katanya.
Norazlan berkata, lintah dikenali sebagai haiwan penghisap darah, justeru dalam sistem ternakan ini darah diperlukan sebagai makanan.
"Untuk mendapat bekalan darah, belut dijadikan makanan. Lintah akan mengejar belut berkenaan untuk menghisap darahnya. Lazimnya, 30 hingga 40 kilogram belut diperlukan untuk bekalan makanan 100 kilogram lintah," katanya.
Beliau berkata, bagi tujuan ternakan, dua kilogram benih lintah berkemampuan menghasilkan 100 kilogram lintah dewasa, dalam tempoh kira-kira enam bulan.
"Tetapi, bekalan benih agak kritikal kerana permintaan tinggi dan pengusaha hatcheri masih berkurangan.
Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, penggunaan lintah dalam perubatan kuno diamalkan sejak lama dulu terutama di kalangan masyarakat Cina.
Bagi masyarakat Melayu, katanya, lintah digunakan terhadap pesakit kepala, darah tinggi atau berkudis.
Lazimnya, beliau berkata, bahagian kepala akan ditoreh dan lintah dibiarkan menyedut darah kotor.
"Penggunaan lintah dalam perubatan amat penting dan mendapat sambutan ramai kerana ia dikatakan mengandungi `hirudin' yang mampu mencairkan darah.
"Selain itu , `histamin' yang ada pada lintah dikatakan mampu membesarkan saluran pembuluh darah sekali gus mampu mengurangkan serangan jantung," katanya.
FAKTA: Lintah
Lintah yang diternak jenis lintah perut hijau dan lintah perut perang
Harga lintah dewasa boleh mencecah antara RM40 hingga RM60 sekilogram mengikut saiz.
Harga benih lintah pula boleh mencecah sehingga RM300 sekilogram.
Darah belut menjadi makanan lintah.
20 kilogram belut boleh menampung makanan lintah untuk tempoh enam bulan dan menghasilkan 100 kilogram lintah dewasa.
No comments:
Post a Comment