Friday, December 25, 2009

HARUMANIS

UTARA

ARKIB : 24/09/2009

Peruntukkan khas lonjakkan harumanis

KANGAR 23 Sept. - Kerajaan Pusat memperuntukan RM250,000 juta kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan pelbagai projek bagi melonjakkan lagi industri mempelam harumanis di Perlis sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, peruntukan khas itu disalurkan kerana harumanis mempunyai nilai komersial yang tinggi untuk kemajuan ekonomi negeri dan negara.

Katanya, peruntukan untuk projek harumanis dikhaskan buat Perlis kerana ia merupakan negeri tunggal mempunyai tanaman berkenaan sama ada untuk keperluan dalam negeri mahu pun di eksport.

''Daripada RM250,000 juta sepanjang tahun 2009 itu, sebanyak RM100,000 disedikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk tujuan mengembangkan lagi projek pengeluaran harumanis.

''Pada masa yang sama, RM150,000 disalurkan melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi maksud yang serupa," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Berbekalkan peruntukan RM250,000 juta itu, kata Sabry, kerajaan negeri dan MARDI telah dan akan menyusun beberapa rangka kerja penambahbaikan projek harumanis bagi memastikan hasil ladang sepanjang tahun 2010 lebih tinggi berbanding 2009 dan 2008.

Katanya, salah satu ladang harumanis yang popular di Perlis ialah Pusat Pertanian Bukit Bintang seluas 64.4 hektar di Sungai Batu Pahat di sini yang dimiliki oleh Jabatan Pertanian Perlis.

Di pusat tersebut, harumanis dijual RM8 sekilogram bagi gred A (450-650 gram sebiji), RM7 bagi gred B (350-450 gram) dan RM6 bagi gred C (bawah 350 gram).

Harumanis katanya, mengeluarkan hasil sekali setahun atau waktu tuaiannya setiap Mei hingga Jun tetapi bagi musim 2009 disebabkan cuaca panas ia mengeluarkan hasil lebih awal iaitu mulai Mac lagi.

Kata beliau, ladang Jabatan Pertanian itu baru-baru ini telah mengeluarkan hasil 120 tan dan sebahagian daripadanya dieksport ke Jepun dengan harga RM100 sekilogram di negara berkenaan.

Menyentuh gerak kerja penambahbaikan yang dimaksudkan itu pula, Sabry berkata, ia termasuklah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Katanya, antara kerja sama yang dilaksanakan dengan UiTM dan UniMAP ialah mencari racun membasmi serangan makhluk perosak terutama ulat batang yang menyerang pokok berkenaan.

''Ulat batang merupakan musuh utama tanaman ini, kerana ia boleh menghalang pengeluaran berganda setiap tanaman itu. Pada masa yang sama, UiTM dan UniMAP membuat penyelidikan bagi pengunaan racun yang berstatus jimat dan tidak berbahaya untuk ladang harumanis.

''Sekarang tanaman harumanis memerlukan penggunaan racun yang banyak dan kosnya agak tinggi. Kita mahu meminumumkan tahap menggunakan racun berkaitan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment