Harus difahami bahawa walaupun kambing yang diimport dari Australia dibawa masuk melalui penerbangan udara, ternakan tersebut sebenarnya juga mengalami 'stress'. Ini kerana ternakan yang pada asalnya diternak secara lepas bebas tanpa sebarang kurungan, telah ditangkap dan dikurung di dalam 'paddock' beberapa lama sebelum dieksport. Perjalanan dari ladang (pusat pengumpulan) ke lapangan terbang yang menggunakan lori juga mengambil masa berhari-hari kerana jarak yang jauh. Faktor-faktor ini menyebabkan ternakan mengalami gejala 'stress'.
Kambing import memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, lebih-lebih lagi sekiranya ia berasal dari negara yang berlainan iklim seperti Australia. Tempoh penyesuaian sebenarnya bergantung kepada beberapa faktor iaitu:
1. Iklim dan kaedah pembelaan di negara asal.
2. Pengurusan dan kebersihan kandang di negara kita
3. Pemakanan (makanan, minuman, vitamin, 'supplement', dll)
4. Rawatan dan penjagaan
Tempoh penyesuaian ('climatisation') mengambil masa antara 2 hingga 6 bulan bergantung kepada faktor-faktor di atas.
Tips memilih baka kambing 'import'
Tidak dinafikan bahawa adalah sukar untuk mendapat bekalan kambing baka baik dari anak kelahiran tempatan, lebih-lebih lagi harga pasarannya pula mahal. Pilihan yang lebih sesuai adalah membeli baka kambing 'import' yang sihat iaitu yang telah stabil dan pulih dari 'stress' serta telah mengalami penyesuaian dengan persekitaran tempatan. Elakkan dari membeli kambing yang baru tiba di negara kita walaupun harganya murah. Adalah menjadi amalan pengimport untuk cuba menghabiskan stok yang baru tiba secepat mungkin dengan menjual pada harga yang murah, supaya mereka tidak perlu menanggung risiko kematian kambing tersebut. Pembeli juga harus memerhatikan dan menilai kaedah pengurusan dan kebersihan kandang di tempat penjualan kambing.
Ciri-ciri kambing yang sihat dan telah pulih dari 'stress' adalah seperti berikut:
1. Sentiasa berada dalam kumpulan, tidak menyendiri
2. Tidak terlalu kurus dan sentiasa berselera untuk makan
3. Tidak murung, termenung dan suka menyendiri
4. Mulai jinak, tidak keterlaluan berlari-lari ketakutan kepada manusia
5. Bulu badan bersih, licin dan berkilauan
TIPS UNTUK MENGETAHUI UMUR KAMBING
Tip mengetahui umur kambing
Pada umur muda, gigi yang tumbuh adalah gigi susu, gigi susu ini kecil dan agak tajam serta tumbuh agak renggang.Pada umur semakin dewasa gigi susu akan tanggal, lalu diganti dengan gigi tetap.Pengantian gigi tetap ini lah yang menjadi panduan untuk menduga umur kambing. Pada usia yang sudah tua kehausan gigi menjadi ukuran dasar menduga umur kambing.Untuk membantu anda menduga umur kambing, gunalah daftar dibawah:-
1. Belum ada gigi tetap - kurang dari 1 tahun
2. Ada sepasang gigi tetap - 1 - 2 tahun
3. Ada 2 pasang gigi tetap - 2 - 3 tahun
4. Ada 3 pasang gigi tetap - 3 - 4 tahun
5. Ada 4 pasang gigi tetap - 4 - 5 tahun
6. Gigi tetap haus - 5 tahun keatas
No comments:
Post a Comment