Tuesday, December 8, 2009

REBUNG MADU

Thursday, July 30, 2009

Keistimewaan rebung madu


Yusof Tan menunjukkan buluh madu yang telah dipotong untuk mendapatkan rebungnya di kebunnya, Felda Tenggaroh 3, Mersing baru-baru ini.


MERSING 29 Julai - Rebung merupakan salah satu sayur tradisional yang cukup sinonim di kalangan masyarakat Melayu kerana keenakan rasanya.

Mungkin bagi masyarakat di kawasan bandar, ia jarang diperoleh dan boleh dianggap 'eksotik', namun bagi penduduk kampung rimbunan pokok buluh sentiasa menjadi tumpuan untuk mendapatkan rebungnya.

Menyedari potensi besar masakan berasaskan rebung, seorang pekebun, Yusof Tan, 64, memberanikan diri mengusahakan tanaman buluh madu di tanah seluas 0.4 hektar di Felda Tenggaroh 3, dekat sini untuk tujuan komersial.

Pekebun gigih ini memberitahu, dia kini menanam kira-kira 200 rumpun buluh madu dan setelah setahun diusahakan, tanaman berkenaan berjaya mengeluarkan rebung yang banyak.

''Saya berminat untuk mengusahakan buluh madu setelah mendapat galakan dan dorongan kuat daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Tenggaroh 3, Madun Hamid.

''Madun mengenali buluh madu hasil lawatannya ke sebuah kawasan di Chuping, Perlis apabila para petani di sana mengusahakan buluh madu secara komersial untuk mendapatkan rebungnya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Bapa kepada tujuh anak ini memberitahu, dia telah mengusahakan tanah terbiar seluas 0.4 hektar yang dikurniakan oleh Pengurus Felda Tenggaroh Tiga, Mispar Salim kepadanya.

''Pada permulaannya saya telah membeli 200 benih buluh madu dengan harga RM6.60 setiap pokok.

''Apa yang menyeronokkan dalam tempoh lapan bulan, kita dah boleh tuai rebung dan kini dijual dengan harga RM6 sekilogram untuk pasaran tempatan,'' katanya.

Yusof memberitahu, berikutan sambutan menggalakkan dia bercadang memperluaskan tanaman tersebut bagi memenuhi keperluan bukan sahaja di sekitar bandar Mersing, malah ke Johor Bahru yang mempunyai permintaan tinggi.

Mengenai kelebihan dan keistimewaan rebung buluh madu berbanding buluh biasa, Yusof yang memang gemar berbudi kepada tanah berkata: "Pertamanya buluh dan rebung jenis itu tiada miang dan memudahkan pengguna untuk mengambil dan menyiangnya.

''Satu lagi kelebihannya, kadar pembesaran dan pertumbuhan rebung agak pantas iaitu dalam masa 24 jam boleh tumbuh sehingga enam inci," katanya.

Beliau berkata, buluh madu juga mudah dijaga iaitu hanya memerlukan baja untuk mempercepatkan tumbesarannya.

Sehubungan ini, Yusof turut menggalakkan mereka yang berminat untuk mengusahakan tanaman buluh madu dan boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian berhampiran kerana tanaman tersebut menjanjikan pulangan lumayan.

No comments:

Post a Comment