Showing posts with label ITIK. Show all posts
Showing posts with label ITIK. Show all posts

Saturday, February 27, 2010

PANDUAN MEMBUAT TELUR MASIN

Pendahuluan Telur masin adalah telur yang diawet yang disediakan dari telur itik.

Telur masin merupakan makanan yang berkhasiat.

Proses pengawetan telur masin adalah satu proses yang mudah, ringkas dan menguntungkan.

Proses yang dilakukan tidak melibatkan peralatan yang mahal.

Memandangkan kandungan zat pemakanannya yang tinggi, telur masin amatlah sesuai dijadikan sumber makanan protin.

Bahan Mentah Bahan yang diperlukan untuk mengeluarkan 2500, 500 atau 100 biji telur masin:-

BAHAN

  • Telur Itik (biji) 2500 500 100
  • Garam Halus (kg) 18.0 3.6 0.72
  • Tanah Liat kering (tanah warna kuning) (kg) 22.5 4.5 0.70
  • Air (liter) 15 5.0 0.60
  • Sekam Padi yang dibakar hitam (kg) 6.25 1.25 0.25

Cara memproses

  1. * Telur itik dipilih dari jenis bermutu tinggi. Telur yang mempunyai kuning telur yang kemerah-merahan adalah lebih sesuai kerana ia akan menghasilkan telur yang bermutu tinggi.
  2. * Telur dibasuh untuk membersihkan segala kotoran yang melekat pada kulitnya.
  3. * Tanah liat dikeringkan, ditumbuk halus dan diayak untuk memudahkan penyediaan perekat (paste).
  4. * Perekat disediakan dengan membancuh tanah liat, garam halus dan air di dalam bekas sehingga sebati.
  5. * Telur dicelup ke dalam perekat agar satu lapisan perekat menyaluti telur tersebut.
  6. * Telur tersebut kemudiannya digolekkan di atas sekam padi bakar (hitam) sehingga keseluruhan telur tadi disaluti sekam padi dan lapisan asal (perekat) tidak tanggal.
  7. * Telur dimasukkan ke dalam kotak kayu dan disimpan selama 25 - 30 hari sebelum dijual.

Monday, January 4, 2010

ITIK TELUR

JOHOR

ARKIB : 03/02/2009

Potensi ternak itik telur


BUANG Kardi merupakan antara peserta Projek Pertanian Bersepadu berskala kecil yang menternak itik di perkarangan rumahnya di Rengit, Batu Pahat. - JAAFAR AHMAD


BATU PAHAT 2 Feb. - Beberapa langkah diambil oleh kerajaan dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya penduduk luar bandar ketika dunia sedang berdepan dengan masalah ekonomi dan krisis makanan.

Antara langkah itu adalah menggalakkan rakyat menjalankan aktiviti pertanian yang bukan sahaja mampu memberi pulangan lumayan tinggi, tetapi membantu menggerakkan ekonomi negara.

Tidak ketinggalan menyahut seruan kerajaan itu ialah beberapa penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit yang mengusahakan Projek Pertanian Bersepadu berskala kecil yang diusahakan di kawasan rumah masing-masing.

Projek tersebut diilhamkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada pembentangan bajet baru-baru ini dan dipraktikkan di DUN Rengit atas usaha dan galakan wakil rakyatnya, Ayub Jamil.

Menurut Ayub, projek itu telah dimulakan sebulan lalu oleh dua peserta yang menjadi pelopor dan penggerak kepada kejayaan pertanian bersepadu berskala kecil itu.

"Kedua-dua peserta mengusahakan ternakan itik telur, ikan keli dan ayam kampung pedaging selain menanam cili merah di kawasan tidak sampai satu hektar di rumah masing-masing," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, projek tersebut jika berjaya, dalam tempoh beberapa bulan akan memberikan pulangan lumayan kepada peserta berkenaan.

Modal untuk melaksanakan projek itu juga tidak begitu tinggi dan mereka boleh mendapatkan pembiayaan daripada beberapa pihak termasuk Tekun Nasional (Tekun) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Ayub berkata, ternakan itik diberikan keutamaan dalam projek itu kerana telurnya mudah mendapat pasaran dan harganya pula sentiasa stabil.

"Jika seorang peserta menternak 1,000 ekor itik, ia boleh mendapatkan telur dalam masa empat bulan dengan pendapatan kira-kira RM150 sehari," katanya.

Bagi cili merah pula, tanaman tersebut juga mendapat pasaran tinggi kerana ia bukan sahaja diperlukan oleh setiap rumah, tetapi oleh pengusaha sos di negara ini.

Beliau berkata, 1,000 pokok cili boleh mengeluarkan sehingga tiga tan cili setahun dengan pendapatan RM240,000 setahun.

"Pendapatan peserta akan meningkat jika dicampurkan dengan hasil ternakan ikan keli dan ayam kampung pedaging," katanya.

Ayub berkata, beliau berhasrat memperluaskan projek tersebut ke semua 22 kampung yang terdapat dalam DUN Rengit pada waktu terdekat.

"Saya berharap setiap kampung akan mempunyai sekurang-kurangnya dua peserta projek ini," katanya.

Menurutnya, memandangkan projek pertanian bersepadu berskala kecil itu mampu memberi keuntungan tinggi, beliau menggesa siswazah menganggur dan bekas pekerja kilang agar menceburi projek tersebut.

"Projek ini lebih menguntungkan berbanding 'makan gaji' dan dapat membantu menggerakkan ekonomi negara ketika dunia sedang menghadapi krisis," katanya.

Friday, December 25, 2009

AGROBIZ- ITIK

AGROBIZ

ARKIB : 03/07/2009

Tauke itik cuba benda baru


terdapat dua kategori itik yang dijual, bagi jualan di pasar, itik yang diperlukan adalah lebih kurang tiga kg manakala untuk restoran pula empat kg.


Berpegang kepada cogankata Pertanian Adalah Perniagaan, Razak Abdul Malek, 49, mencuba beberapa jenis pertanian bermula dengan ayam kampung daging, lintah dan ikan.

Meskipun pada awalnya dia terlibat dengan sektor pelancongan, namun mengambil keputusan beralih angin tidak mematahkan semangatnya untuk menceburi bidang tersebut .

Bermula dengan syarikat Lia Sari Marketing yang ditubuhkan pada tahun 2007 untuk bergiat dalam jual beli dan mengusahakan pertanian secara komersial, kini Razak mengusahakan ladang ternakan itik daging.

Berdasarkan hasil pemerhatian yang dilakukan, Razak kemudiannya mengambil keputusan menternak itik kerana dia suka mencuba sesuatu yang baru dan tidak mempunyai ramai pesaing.

"Saya melihat ternakan itik pedaging Muscovy atau serati yang tidak mempunyai banyak pesaing, saya mengambil keputusan menternak itik," katanya semasa ditemui di ladang ternakan itiknya di Kampung Hulu Lepar, Mukim Gali, Dong, Raub, Pahang.

Malah, apa yang lebih membanggakan, menurut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Raub dan Kuantan buat masa ini, Lia Sari Marketing merupakan penternak terbesar itik pedaging di negeri Pahang.

Mendapat khidmat nasihat daripada JPV Raub dan Kuantan, Razak menternak lebih 5,000 ekor itik pedaging di kawasan seluas tujuh ekar.

Mendapatkan benih itik daripada penternak swasta, beliau menternak anak itik berusia dua hari sehingga berusia empat bulan sebelum boleh dijual di pasaran.

Biasanya setiap bulan, beliau membeli antara 1,500 hingga 2,000 ekor anak itik bagi memastikan bekalan itiknya sentiasa ada.

Hasil kajian dan pengalaman hampir setahun mengendalikan anak itik, pekerjanya dapat mengurangkan jumlah kematian sehingga kurang 10 peratus setiap kali penghantaran.

Razak berkata, pada hari pertama sampai, anak itik dicelupkan muncungnya ke dalam air sebelum dimasukkan ke dalam kotak asuhan.

Setelah berada dalam kotak asuhan antara tiga hingga lima jam, anak itik diberikan makanan dan minuman yang dicampurkan dengan anti stres yang ditambah dengan vitamin dan dibiarkan selama dua minggu.

Pada usia satu hingga dua minggu, anak-anak itik akan ditimbang berat bagi tujuan pemantauan tumbesaran dan menentukan jumlah makanan yang diperlukan.

"Biasanya kuantiti makanan yang diberikan bergantung kepada berat badan anak itik," katanya yang memberikan dedak hitam kepada anak itik.

Kotak asuhan akan dicuci setiap dua hari bagi memastikan kebersihan, kesihatan dan keselamatan anak itik sentiasa terpelihara.

Biasanya semasa berusia awal tiga minggu, muncung anak itik akan dipotong atau dikikis bagi mengelakkan mereka memagut antara satu sama lain.

Anak itik yang berusia antara dua hingga tiga minggu akan dilepaskan di reban besar dan lapang bagi memastikan keselesaan dan ruang makanan yang lebih besar.

Di kawasan ini juga terdapat kolam untuk itik berenang bagi menyejukkan badan dan mengurangkan stres.

Ternakan itik akan ditempatkan di reban pertama selama 10 hingga 12 minggu sebelum diasingkan di kandang lain.

Bagi menjimatkan kos makanan ternakan Razak menggunakan pelet dan dedak serta makanan tambahan seperti hampas soya, kulit roti, kelapa kering dan sayur-sayuran.

Semasa itik berusia antara 14 hingga 16 minggu, ternakan yang sesuai akan diasingkan ke ladang transit bagi memudahkan ditangkap sebelum dikumpulkan di dalam bakul untuk dijual.

Biasanya itik yang ditangkap pada awal subuh hari Khamis atau Jumaat akan dihantar ke pasar-pasar sekitar bandar raya Kuala Lumpur seperti pasar borong lama Selayang, pasar Seri Kembangan, pasar Kajang, pasar Pudu dan pembeli yang datang sendiri ke ladang ternakannya.

Setiap bulan paling minimum, Lia Sari Marketing mampu menjual 1,350 ekor itik daging dan ia mempunyai sebanyak 6,000 ekor itik dalam masa empat bulan atau satu pusingan.

Razak berkata, harga itik yang dijual adalah RM8 sekilogram (kg) dan RM15.00/kg bagi harga runcit itik yang siap sembelih dan dibersihkan.

Biasanya terdapat dua kategori itik yang dijual, misalnya bagi jualan di pasar, itik yang diperlukan adalah lebih kurang tiga kg manakala untuk restoran pula empat kg.

Bagi memantapkan lagi operasi perniagaan, Razak bercadang untuk membuka gerai sendiri bagi jualan terus di pasar tani dan pasar malam di Lembah Kelang bagi peringkat permulaan.

"Bagi meningkatkan lagi operasi ternakan itik daging, kami bercadang membuka ladang baru dengan memohon tanah daripada pihak berkuasa seluas 12 hektar (30 ekar).

"Kami juga bercadang menjadi pembekal atau pengedar anak itik Muscovy di seluruh negara bagi membantu pusat penetasan itik," katanya.

Selain itik, Razak juga mempunyai sembilan buah kolam ikan tilapia dan keli di tanah seluas tujuh ekar sebagai pendapatan sampingan kepada itik.

Mendapat benih ikan tilapia dan keli daripada pembekal, Lia Sari Marketing dapat menghasilkan sehingga dua tan ikan bagi pasaran di pasar borong.

Razak juga memelihara pelbagai jenis unggas seperti angsa putih, angsa kelabu, merak, ayam api atau mutiara, ayam belanda, ayam laga, ayam emas, ayam selasih dan ayam sutera.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai ternakan itik Muscovy boleh menghubungi Abdul Razak di 03-9283 5268, 03-9200 4828, 012-226 9119 atau faks 03-9200 5208.

ITIK KHAKI CAMBELL

UTARA

ARKIB : 24/07/2009

Keperitan menternak itik


TERNAKAN itik jenis khaki cambell berskala besar bukan sahaja memberi pendapatan lumayan tetapi mampu mengatasi masalah siput gondang emas yang merosakkan anak padi semasa tumbesarannya.


PENDANG 23 Julai - Bidang pertanian dan penternakan memang memberi pulangan lumayan, namun cabaran sebelum beroleh kejayaan amat perit untuk dihadapi.

Begitu juga dengan cabaran yang dihadapi oleh seorang penternak itik jenis khaki cambell di Batu 8, Jalan Tokai, Simpang Empat di sini.

Halim Mat, 50-an, berkata, dia hampir berputus asa untuk meneruskan niat membela itik, namun dorongan daripada rakan-rakan membuatkan dia bertahan sehingga hari ini.

Jelasnya, masalah kekurangan modal menjadi kekangan utama kepada penternak untuk terus menternak itik.

"Itik jenis ini memerlukan masa selama empat bulan untuk matang dan bertelur.

"Saya baru dua bulan membela itik ini dan terpaksa menunggu selama beberapa bulan lagi untuk mengutip hasil," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dia menggunakan wang simpanan sendiri untuk membeli baka itik dan membina reban.

Sehingga kini, jelasnya, dia masih belum menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak untuk membantunya meneruskan penternakan itik tersebut.

"Saya membeli 2,000 baka anak itik Khaki Cambell daripada penternak di Perak.

"Itik juga perlu diberi makan dengan sempurna dan harga dedak agak mahal dan makanan itik yang berharga kira-kira RM3,000 hanya bertahan selama 10 hari sahaja,' katanya.

Jelasnya, idea untuk membela itik tersebut datang setelah hasil sawah padi miliknya sering kali susut disebabkan serangan siput gondang emas.

"Itik dapat dilepaskan pada peringkat awal padi ditanam untuk memakan telur siput gondang dan merupakan salah satu kaedah biologi untuk mengawal siput gondang emas.

"Namun kini padi sudah hampir masak dan itik perlu dikurung di dalam reban dan diberi makan dedak serta kangkung," ujarnya.

Tambahnya, dia bertuah kerana rakan-rakan seperti Mat Isa Awang Kechik, 60, dan Abdul Wahab Nan, 58, sentiasa membantu dan memberi dorongan untuk terus membela itik tersebut.

"Jika tiada mereka saya mungkin tidak akan meneruskan impian untuk menjadi penternak itik.

"Penjagaan itik agak sukar dan saya terpaksa tinggal bersebelahan dengan reban itik kerana perlu mengawasinya 24 jam sehari," jelasnya.

Halim memberitahu, dia berharap itik- itik tersebut akan bertelur dan segala penat lelahnya berbaloi.

Jelasnya, bukan mudah untuk menceburi bidang penternakan itik, namun dia yakin itik peliharaannya akan memberi pulangan yang lumayan kepadanya.