Showing posts with label HERBA. Show all posts
Showing posts with label HERBA. Show all posts

Saturday, May 22, 2010

Monday, March 1, 2010

UBATAN HERBA ORANG ASLI

Perubatan orang Asli

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my


Antara herba orang asli yang dikatakan boleh mengubat penyakit.

Pameran Magis Belantara anjuran Muzium Negara dedah khasiat hutan, pantang larang masyarakat asli

BUKAN amalan biasa bagi masyarakat orang Asli di Semenanjung Malaysia untuk berkongsi, mendedahkan pengetahuan serta membantu penyelidikan berkaitan herba kecuali dari kumpulan Senoi seperti Semai dan Temiar.

Khasiat sebahagian daripada 6,000 spesis tumbuhan tropika di negara ini tidak hanya dijadikan makanan, tetapi juga sebagai herba bagi mencegah, mengubati dan melindungi daripada penyakit demam, cirit birit, buasir dan barah. Malah, khazanah hutan ini turut digunakan dalam upacara ritual bagi menghindarkan gangguan makhluk halus.

Menyedari kepentingan menyelami dunia perubatan masyarakat ini, Muzium Negara mengadakan pameran Magis Belantara - Herba Orang Asli yang diadakan dari 14 November lalu hingga 31 Disember ini.

Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, berkata objektif utama pameran itu adalah memberi pendedahan mengenai rahsia, keistimewaan dan kegunaan herba dari sumber hutan serta hubungannya dalam konteks kebudayaan masyarakat orang asli.

“Khusus untuk pameran ini, kami berjaya memujuk suku kaum asli untuk menunjukkan demonstrasi Sewang Perubatan juga penyediaan ubat-ubatan yang jarang dipertontonkan di khalayak ramai kerana ia membabitkan pemujaan semangat,” katanya.

Kayu Tas yang dikatakan dapat menundukkan binatang buas dan binatang berbisa.

Katanya, kalangan pribumi ini agak tertutup untuk mendedahkan sewang perubatan memandangkan ia membabitkan sistem kepercayaan mereka yang dilindungi semangat alam dan tumbuh-tumbuhan. Mereka amat mempercayai semangat baik dan semangat jahat yang menyelubungi setiap aspek kehidupan seharian.

Setiap benda atau perkara yang berlaku atau akan berlaku di sekeliling mereka dipercayai mempunyai semangat yang berkuasa untuk mengundang kesenangan atau kemudaratan.

Menurut Ibrahim, kini peranan dan hubungan erat herba ditonjolkan lagi menerusi Muzium Negara sebagai mercu tanda negara.

“Jika dulu maklumat mengenai herba dan hasil hutan hanya diperoleh dari herbarium, Taman Botani, taman rempah dan sebagainya, kini peranan masyarakat Orang Asli, hasil hutan dan tumbuhan pelbagai khasiat ini ditonjolkan secara eksklusif di Muzium Negara.”

Demonstrasi Tok Khalaq sedang membacakan mantera dan melakukan sewang untuk mengubati pesakit.

Pameran perubatan tradisional Orang Asli ini secara perbandingan merangkumi tiga kelompok utama di Semenanjung Malaysia iaitu Senoi, Negrito dan Melayu Proto yang terdiri daripada 18 suku kaum. Begitupun, tumpuan pameran lebih kepada kaum yang besar seperti Semai, Temiar, Jahut dan Temuan.

Sementara itu, Penolong Kurator Muzium Orang Asli di Gombak, Selangor, Abdul Razak Kasim, berkata masih ramai masyarakat orang Asli masih lagi mempercayai semangat dan penunggu sebagai tempat mereka meminta pertolongan.

“Sehingga kini, bomoh, pawang atau Tok Khalaq menjadi pengantara yang akan berhubung dengan kuasa-kuasa halus. Perhubungan ini disampaikan melalui upacara adat seperti berjampi atau jamuan di hari tertentu seperti hari Puja Pantai (suku kaum Mah Meri di Pulau Carrie), Genggulang (suku kaum Semai), Sewang (Suku kaum Semai dan Temiar) dan Berjerom (suku kaum Jakun).”

Dari segi kemahiran mengubat dan perbomohan, dipercayai suku kaum Jah Hut dan Semai paling berpengalaman dan cukup terkenal pandai mengubat. Bagaimanapun kemahiran mengubat yang dimiliki juga bergantung kepada tahap-tahap serta jenis penyakit yang dialami pesakit.

Suku Kaum Jah Hut misalnya dikatakan mampu mengubati penyakit yang lebih rumit membabitkan gangguan makhluk halus dipercayai berdasarkan kedudukan suku kaum ini yang tinggal jauh di dalam hutan tebal di Pahang. Berbanding kaum Semai yang kebanyakan sudah banyak bergaul dengan masyarakat setempat yang tinggal di pinggir hutan.

Jelas Abdul Razak, bomoh atau Tok Khalaq juga punya tahapnya yang tertentu, lebih banyak ‘pendamping’ (makhluk halus) yang mendampingi Tok Khalaq bertambah kuat serta hebat keupayaannya mengubat. Ini kerana lain penyakit yang dihidapi lain pula ‘pendamping’ yang akan mengubat.

Tambahnya, tidak seperti Tok Batin, kemahiran mengubat atau menjadi bomoh tidak diwarisi mahupun lahir dari minat untuk belajar, sebaliknya ia datang sendiri.

“Apa yang dimaksudkan dengan datang sendiri itu ialah ‘pendamping’ dipercayai memilih siapa yang layak untuk menjadi Tok Khalaq dan barulah individu itu sedar dia mempunyai kelebihan untuk menjadi pengantara dan mengubat,” katanya.

INFO: Antara pantang larang orang Asli sebelum mengambil tumbuhan atau herba

  • Elakkan pertelingkahan di rumah sebelum keluar ke hutan

  • Mestilah dikalangan orang yang arif mengenai fungsi serta yakin dengan khasiat herba yang diambil. (Sering dilakukan mereka dari keturunan bomoh atau bidan)

  • Tidak boleh bercakap sembarangan semasa mencabut pokok herba seperti mengeji, mengata dan bercakap kasar.

  • Kenal pasti kedudukan di mana tumbuhnya pokok herba. Jika bertindih dengan pokok lain, ia tidak boleh dicabut. Dilarang juga mengambil herba yang tumbuh berdekatan atau di atas busut.

  • Elakkan mencabut herba pada waktu senja. Sebaik-baiknya jam 9 pagi hingga 5 petang. (Selain sebab keselamatan, mereka percaya senja adalah waktu syaitan berkeliaran).

  • Dilarang melangkah pokok herba bagi mengelak khasiatnya jadi ‘tawar’. Jika terjumpa ulat gonggok, semut atau binatang lain, jangan diusik atau diejek, bimbang berlaku malapetaka. Jika terjumpa batu atau pokok ganjil, jangan ditegur.

  • Untuk mendapatkan khasiat dan kemujaraban herba, ia hendaklah diminum atau dimakan mentah atau segar (kerana getahnya berkhasiat). Herba yang baru diambil tidak boleh dibiarkan berjemur panas matahari. Ia hendaklah dimasukkan ke dalam bekas dan terus dibawa masuk ke rumah atau balai berubat.

  • Herba juga tidak boleh dimakan bersama makanan pedas seperti lada (cili padi). Sesiapa yang makan herba juga tidak boleh menghempas pakaian ke batu ketika mencuci pakaian.

  • Semasa memasang herba, hiasan di bale atau tamu’ (gugusan bunga) di pentas sewang, herba tidak boleh sama sekali jatuh dan jika ia berlaku, sewang perubatan tidak boleh diteruskan. Sekiranya mahu juga diadakan, ia perlu dilakukan pada hari lain dengan menggunakan herba baru.
  • Saturday, January 23, 2010

    BUAH AJAIB

    Buah herba

    Oleh Rohaniza Idris
    roha@bharian.com.my


    Sweet berry sesuai ditanam di laman kediaman.

    Rasa manis buah ajaib melekat pada lidah untuk tempoh sehingga tiga jam

    SEJAK kebelakangan ini, ramai yang beralih mengambil makanan tambahan daripada herba kerana dijamin selamat dan tidak memberikan kesan sampingan. Pelbagai herba baru muncul di pasaran walaupun tumbuhan berkenaan sebenarnya sudah lama wujud dan dijadikan ramuan sebagai makanan kesihatan.

    Sweet berry yang digelar buah ajaib atau "miracles berry" yang berasal dari Afrika Selatan adalah antara herba yang semakin mendapat tempat.

    Mendapat nama daripada keunikan rasa buahnya yang manis serta bertahan selama dua hingga tiga jam selepas memakannya. Sebarang makanan atau minuman yang masam, jika dimakan dalam tempoh dua hingga tiga jam akan berasa manis kerana rasa manis "sweet berry" ini melekat pada lidah.

    Pokok yang dikategorikan sebagai tumbuhan liar ini mempunyai daun yang lebar, lonjong dan berwarna hijau tua. Buahnya bersaiz kecil seperti biji kopi, namun sedikit lonjong, dan biasanya bertukar warna merah apabila matang.

    Tinggi pokok boleh mencecah sehingga 6.1 meter dan ia ditemui hidup meliar di kawasan hutan di benua Afrika iaitu di Ghana dan Nigeria.

    Buah Sweet berry kecil seperti biji kopi.

    Pokok ini mula didokumenkan pengkaji Chevalier des Marchais yang melakukan kajian mengenai tumbuhan di barat benua Afrika. Dalam kajiannya itu, Marchais mendapati masyarakat setempat selalu mengunyah buah ajaib sebelum makan hidangan mereka.

    Selepas diselidiki, beliau mendapati buah berkenaan meninggalkan rasa manis dan ia kekal sehingga tiga empat jam walaupun selepas memakan makanan masam.

    Buah ajaib mempunyai rasa yang manis namun kandungan gulanya tidak memudaratkan kesihatan. Gulanya mengandungi protein miraculin yang merangsang deria rasa manis pada lidah, ia dapat mengubah rasa masam walaupun rasa cuka sekalipun.

    Pokok ini mudah untuk ditanam dan sesuai dengan cuaca di negara ini. Buah ajaib memerlukan air dan matahari yang banyak sepanjang tahun.

    Kadar pH tanah yang sesuai bagi penanaman pokok ini ialah 4.5 hingga 5.8, dan pokok sukakan tanah yang sedikit lembap dan biasanya akan berbuah selepas setahun ditanam.

    Pokok ‘sweet berry’ mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan. Contohnya daunnya digunakan untuk mengubati sakit gigi, manakala untuk penghidap kencing manis, mereka perlu memakan tiga helai daunnya setiap hari dan dipercayai boleh mengurangkan kadar gula yang tinggi dalam darah.

    Selain itu, dikatakan daun buah ajaib sesuai dimakan apabila tidak sedap badan seperti hendak demam. Rasa daunnya agak pahit dan sedikit pedas.

    Selain mujarab dan mempunyai banyak khasiat, pokok ini sesuai dijadikan bonsai dan pokok pagaran bagi menghias kediaman.

    Oleh kerana ia mempunyai khasiat yang banyak, harga pokok sweet berry yang sedang berbuah lebat mencecah RM500, manakala anak pokok biasanya dijual pada harga RM20 hingga RM80 bergantung kepada saiz.

    Fakta:

  • Nama: Miracle Berry, Miracle Fruit, Sweet Berry

  • Nama Saintifik: Synsepalum dulcificum

  • Buah ini menjadi isu hangat dalam industri makanan di Amerika Syarikat pada 1970 apabila ada usaha mahu menjadikannya bahan gula gantian, malah sehingga kini Pihak Berkuasa Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat hanya melabelkan sweet berry sebagai makanan tambahan bukannya gula.

  • Di Jepun buah ini popular di kalangan pesakit diabetis dan mereka yang mengikut program penurunan berat badan.

  • Selain dimakan, buah ini boleh didapati dalam bentuk yang dikeringkan dan diproses menjadi pil yang lebih mudah disimpan. Buah ajaib kering sangat popular untuk jualan melalui internet.
  • Saturday, January 9, 2010

    HERBA

    SELATAN

    ARKIB : 11/12/2008

    Pengusaha herba berjaya


    YA'ACOB Sharif dibantu isterinya, Hairani Mat Taib menyiram pokok herba di tapak semaian herba Ya'acob Berkat Enterprise di Kampung Bukit Pulau, Bukit Baru, Melaka, semalam.
    - Gambar GAIE UCHEL


    MELAKA 10 Dis. - Bermula dengan aktiviti berkebun pada masa lapang, seorang pesara guru kini mampu berbangga kerana menjadi antara pengusaha tanaman herba yang berjaya dan terkenal di Melaka.

    Guru terbabit, Ya'acob Sharif, 62, dan isterinya, Hairani Mat Taib, 62, juga menjadi satu-satunya pengusaha tanaman herba di Melaka yang menghasilkan produk minuman teh herba hasil daripada kegiatannya itu.

    Berpegang pada kepercayaan kitab suci al-Quran bahawa setiap penyakit ada penawarnya kecuali maut, membuatkan Ya'acob semakin serius menceburi tanaman herba dan memasarkan produk itu melalui syarikatnya, Ya'acob Berkat Enterprise.

    ''Alhamdulillah, dengan izin Allah, perniagaan tanaman herba saya semakin maju dan telah berjaya menyembuhkan banyak penyakit terutamanya kencing manis, darah tinggi dan kanser.

    ''Semuanya dilakukan sendiri bermula daripada menanam benih pokok herba sehinggalah memprosesnya menjadi serbuk teh, minuman dan kordial teh," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di taman herba di rumahnya di Kampung Bukit Pulau, Bukit Baru, di sini baru-baru ini.

    Mengusahakan tanaman kira-kira 75 jenis herba di tanah seluas 1.3 hektar di rumahnya sejak lima tahun lalu, Ya'acob mengakui, kejayaan itu tidak dicapai dalam sekelip mata.

    ''Mula-mula dulu, sekitar tahun 1974, saya berhasrat untuk membuka kebun buah-buahan di tanah ini. Entah mengapa, tiba-tiba minat beralih pula kepada tanaman herba kerana lebih mudah dijaga dan jarang diceburi ketika itu," katanya.

    Tambahnya, sejak itu minatnya dalam bidang herba semakin mendalam dan mula memikirkan bagaimana hendak menjadikannya sebagai satu perniagaan.

    ''Banyak kali juga jatuh bangun dalam bidang ini kerana sambutannya yang agak sukar ketika itu.

    ''Pada tahun 2006, saya mula menumpukan sepenuh perhatian dan mula mengkomersialkan tiga jenis herba teh yang popular di Indonesia iaitu misai kucing, mas cotek dan kaca beling.

    Katanya, tidak terhad kepada penghasilan produk teh herba, rumah saya sentiasa dikunjungi para pesakit dalam dan luar negara yang mencari produk herba untuk menyembuhkan penyakit serius.

    Tambahnya, mungkin kerana minat dan pengalamannya yang mendalam dalam bidang tersebut membuatkan dia terus dipercayai untuk mendapatkan nasihat berkaitan herba yang sesuai untuk menyembuhkan sesuatu penyakit.

    Antara jenis herba lain yang ditanam di kawasan rumahnya yang sering mendapat permintaan ialah buah mahkota dewa yang berkesan untuk merawat semua jenis kanser, daun dewa (jantung), hempedu bumi (kencing manis dan darah tinggi tahap serius) dan mempahit (buasir).

    Menurut Ya'acob, selain menghadiri hampir 15 jenis kursus berkaitan herba anjuran universiti dan agensi berkaitan, dia juga telah mengikuti Kursus Pensijilan Perubatan Herba anjuran Yayasan Pengembangan Tanaman Ubat Karyasari di Jakarta, Indonesia.

    ''Di Indonesia, perubatan cara tradisional telah lama berkembang dan terbukti memberi kesan yang baik merawat penyakit selain perubatan cara moden.

    ''Selain itu, saya juga telah menerima banyak jemputan daripada universiti dan agensi kerajaan untuk memberi ceramah berkaitan herba," katanya.

    Tambahnya, walaupun terpaksa bersaing dengan pengeluar makanan herba lain, produk herba keluaran syarikatnya mempunyai tarikan kerana ditawarkan pada harga yang murah dan tidak mencampurkannya dengan sebarang bahan pengawet.

    Mereka yang berminat untuk mengetahui maklumat lanjut boleh menghubungi Ya'acob di talian 012-3586770 atau syarikatnya di 06-2830864.

    Friday, January 8, 2010

    HERBA HUTAN

    HORIZON

    Meredah hutan mencari herba

    Ekspedisi selama tiga jam mencari tumbuhan herba di hutan yang terletak berhampiran Perkampungan Orang Asli Sungai Rengsak, Batu 7, Tapah, Perak memberi satu pengalaman bahawa bukan mudah untuk mendapatkan penawar dari hutan.




    AWAN mendung pagi itu membuatkan rombongan Jabatan Muzium Malaysia bersama wakil media dari Kuala Lumpur agak khuatir. Jika hujan, aktiviti meredah hutan untuk mencari tumbuhan herba berhampiran Perkampungan Orang Asli Sungai Rengsak, Tapah, Perak pasti tergendala.

    Ini kerana ekspedisi tersebut bukan sekadar menguji ketahanan fizikal dan mental, bahkan bertujuan mengenali pokok herba tradisional yang sering digunakan Orang Asli bagi tujuan perubatan.

    Mujurlah nasib menyebelahi kami. Awan mendung itu beransur cerah ketika rombongan memulakan perjalanan yang turut ditemani oleh beberapa pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan penduduk kampung.

    Ekspedisi itu diketuai oleh seorang lelaki kaum Semai yang sangat berpengalaman, Bah Dom Bah Hap, 80. Beliau disertai kira-kira 30 orang dari Jabatan Muzium Malaysia, selain beberapa kanak-kanak dari perkampungan itu.

    Perjalanan bermula pada pukul 9 pagi. Semua peserta dimaklumkan bahawa mereka bakal menemui 20 jenis pokok herba sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira tiga jam itu.

    Bagi kebanyakan rakan media, meredah hutan untuk mencari tumbuhan herba merupakan pengalaman pertama masing-masing. Tidak banyak gambaran awal atau jangkaan yang terbayang di fikiran sewaktu kaki mula melangkah memasuki hutan.


    BAH DOM ( kiri ) menerangkan fungsi kayu dan tumbuhan yang boleh dijadikan herba kepada para peserta.


    Tidak sampai 30 minit berjalan, semua peserta berhenti di sebuah lokasi. Kami menemui pokok senduduk yang merupakan antara ramuan yang akan digunakan untuk mengubat pesakit.

    Hati kami terdetik, mungkin perjalanan tidaklah sesukar mana memandangkan kami sudah menemui pokok herba yang dicari walaupun belum jauh memasuki hutan.

    Tetapi keadaan sebaliknya yang berlaku. Selepas hentian itu, Bah Dom memberi arahan: "Kita naik ikut sini!"


    BUAH kecil ini dikatakan berfungsi memutuskan susu ibu.


    Para peserta tergamam seketika apabila melihat laluan yang ditunjukkan oleh Bah Dom tadi. Kami semua perlu mendaki denai curam yang tidak ada tanda-tanda ada pernah dilalui orang sebelum ini. Malah laluan itu pula hanya muat-muat mereka yang bertubuh sederhana.

    Ada yang yang sempat mencelah: "Redah sahaja. Janji boleh sampai." Dari situlah bermulanya kerjasama lebih erat antara peserta. Dengan keadaan permukaan tanah yang licin dan dikelilingi dahan-dahan kayu berduri, masing-masing saling mengharapkan bantuan untuk mendaki laluan yang agak berbahaya itu.

    Jika seorang peserta mengambil masa lebih 10 minit untuk sampai ke sana, lain pula ceritanya dengan kanak-kanak Orang Asli yang mengambil masa tidak sampai lima minit.

    Ketika kami masih terkial-kial untuk mendaki, sempat pula seorang kanak-kanak itu mengusik: "Ada banyak pacat di situ." Dengar sahaja perkataan pacat, para peserta semakin bersungguh-sungguh untuk sampai ke atas secepat mungkin.

    Menuruni bukit

    Di atas, Bah Dom sudah menunggu. Kami mesti meneruskan perjalanan yang masih berbaki kira-kira dua setengah jam itu.

    Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail yang sudah berusia lebih 50 tahun itu kelihatan masih gagah mendaki bukit curam.

    Beliau sangat teruja untuk mengetahui semua jenis tumbuhan yang dilihat sambil bercerita mengenai pengalaman zaman remajanya di kampung.

    Bah Dom membawa kami melalui jalan yang belum pernah diteroka. Keadaan itu menyebabkan kami terpaksa menebas belukar dan pokok berduri untuk meneruskan pencarian pokok herba.

    Mungkin kasihan melihat ada peserta yang lelah berjalan, kanak-kanak tadi menyanyi bagi menghiburkan kami.

    Salah seorang kanak-kanak itu, Sam, 12, berkata beliau sudah biasa dengan selok-belok hutan itu.

    Beliau akan masuk ke hutan untuk mencari makanan dan bermain. Sam mendakwa beliau mengenali hampir kesemua pokok di situ.


    IBRAHIM ISMAIL (dua dari kiri) diiringgi Tok Batin (kiri) menyerahkan makanan ringan kepada kanak-kanak Orang Asli pada program Eksplorasi Herba Orang Asli bersama Media di Kampung Sungai Rengsak, Tapah, Perak baru baru ini.


    "Saya biasa ikut bapa dan kawan-kawan masuk hutan sejak kecil lagi. Jadi tiada apa yang hendak ditakutkan.

    "Semua di dalam hutan adalah makanan dan ia baik untuk kehidupan kami," ujar Sam yang berkaki ayam.

    Selepas mendaki curaman tadi, laluan berikutnya ialah menuruni bukit. Itulah antara saat yang paling getir. Ada peserta yang tergelincir walaupun sudah berhati-hati semasa menuruninya.

    Paling sukar pastinya rakan media yang membawa kamera dan kakitangan Jabatan Muzium Malaysia yang perlu membawa pulang sampel pokok herba untuk dijadikan rujukan.

    Selepas hampir dua jam berjalan, terdengar bunyi deruan air sungai. Riak lega terpancar di wajah kami yang sudah kepenatan. Langkah diatur semakin laju menuju ke arah sungai.


    TOK Alak menyeru roh nenek moyangnya semasa mengubat pesakit.


    Tiba di anak sungai, kami terus mambasahkan muka dengan air sungai yang sejuk dan menyegarkan bagi mengumpul semula kekuatan untuk meneruskan perjalanan selama kira-kira sejam lagi.

    Rawat pesakit

    Bah Dom kemudiannya mengajak kami menyeberangi sungai yang cetek itu. Ia nyata satu pengalaman yang cukup menarik. Malah kami menemui banyak spesies pokok yang cantik dijadikan tanaman hiasan di rumah.

    "Tolong petik untuk saya. Kalau tanam di laman rumah memang cantik. Kalau hendak dapatkan pokok macam ini di Kuala Lumpur, kena beli di kedai landskap," kata Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Muzium Malaysia, Mahani Muhammad sambil jarinya menunjuk ke arah pokok-pokok orkid hutan.

    Tamat sesi orkid, peserta seakan-akan sudah tidak sabar lagi untuk keluar kerana sudah terlalu letih.

    Untuk pulang, kami terpaksa mendaki sekali lagi. Laluan itu begitu licin kerana hujan turun pada sebelah malamnya.


    BUKAN semua tumbuhan boleh dijadikan ubat.


    Ramai juga yang tergelincir. Mujurlah tiada yang mengalami kecederaan serius.

    Hampir setengah jam mendaki, kami berehat kira-kira 15 minit sambil merakamkan gambar.

    Kemudian, kami terus kembali ke tempat memulakan ekspedisi tadi sebelum menuju ke rumah Tok Batin untuk memproses tumbuhan herba yang dipetik untuk merawat pesakit pada sebelah malam nanti.

    Kira-kira pukul 4 petang, kami diberi penerangan mengenai tumbuhan yang diproses untuk dijadikan ubat. Sementara itu, Bah Dom sudah pun merebus tumbuhan herba tadi di sebuah pondok buluh berhampiran rumah Tok Batin.


    WAKIL media turut meredah anak sungai mencari tumbuhan herba bersama Tok Batin.


    Pada malam itu, Tok Khalaq mengetuai tarian sewang bagi tujuan berubat. Tok Khalaq kedengaran membaca mentera tertentu untuk menyembuhkan penyakit.

    Untuk mengubati pesakit, waktu rawatan hanyalah pada waktu malam dan mestilah dalam keadaan gelap. Penari pula akan menari hingga masing-masing berada dalam keadaan tidak sedar.

    Cukup sejam, mentera habis dibaca dan upacara mengubat pesakit dengan tumbuhan herba itu juga selesai.

    KHAZANAH HERBA

    RENCANA UTAMA

    Herba khazanah berharga

    Masyarakat Orang Asli memiliki banyak rahsia mengenai kehebatan tumbuhan hutan yang kini mula membuka mata pelbagai pihak dalam dunia perubatan moden.


    USAHA mengkomersialkan tumbuhan herba dapat memastikan warisan pengetahuan Orang Asli tidak pupus. - Gambar hiasan


    GOLONGAN tua Orang Asli termasuk Tok Batin dan Tok Halaq ialah orang paling arif dengan sumber hutan.

    Mereka antara kelompok paling banyak mewarisi ilmu penggunaan sumber tumbuh-tumbuhan dalam hutan sebagai ubat untuk pelbagai jenis penyakit. Demikianlah pandangan Ketua Pengarah Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail.

    Beliau menyifatkan masyarakat itu ada hubungan akrab dengan hutan kerana mereka mempercayai setiap hidupan alam memiliki semangat dan roh tersendiri.

    "Tidak hairanlah walaupun setelah ratusan tahun mendiami hutan belantara Orang Asli terus memastikan sumber alam khususnya herba dapat diwarisi oleh generasi akan datang," katanya.

    Pada masa sama, mereka menitikberatkan sistem ekologi terus kekal untuk kegunaan anak dan cucu mereka.

    Segala pengalaman yang diwarisi membolehkan mereka memahami setiap rahsia tumbuh-tumbuhan yang mampu dijadikan herba untuk mengubati penyakit.

    Rahsia herba

    Tambah Ibrahim walaupun tiada pendidikan formal, Orang Asli arif mengenai segala jenis tumbuhan dan memahami kitaran serta perubahan tumbuhan.

    "Herba bukan sahaja mendedahkan pengetahuan tentang kepelbagaian tradisi kesihatan Malaysia tetapi menjelaskan pemahaman saintifik dan kaitannya dengan latar belakang budaya dan sejarah komuniti Orang Asli sendiri.

    "Lebih jauh daripada itu, keistimewaan herba menjalinkan kaitannya dengan lain-lain bidang seperti bio-teknologi, kesihatan, pertanian, perniagaan, perubatan dan sosial sains," katanya.

    Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf memberitahu, masyarakat Orang Asli memelihara dan menghormati khazanah rimba kerana menganggap herba menyimpan seribu satu keajaiban.

    Beliau berharap anak-anak muda kini lebih menghargai kebolehan istimewa, ketajaman minda dan sumbangan Orang Asli dalam pengeluaran herba itu.

    "Namun, sayangnya anak-anak muda hari ini hanya mengenali tumbuhan herba berbentuk kapsul dan jus minuman tanpa mengetahui rupa asal tanaman tersebut.

    "Sepatutnya mereka perlu tahu rupa asal tumbuhan herba. Suatu hari nanti bila mereka jumpa pokok herba, mereka akan menjaga dan memeliharanya supaya dapat menjadi khazanah negara yang berharga," katanya.

    Selain itu, katanya, penghasilan produk berasaskan herba juga menjadi pilihan bagi kaedah rawatan alternatif kepada mereka yang inginkan rawatan bebas kimia.

    Peranan Orang Asli

    Kurator Muzium Negara, Mohd. Jamil Haron pula menyatakan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia ialah antara kaum minoriti yang terdiri daripada 18 suku kaum berdasarkan tiga kumpulan utama iaitu Senoi, Negerito dan Proto Melayu.

    Beliau berkata, keadaan persekitaran kediaman mereka yang dikelilingi tumbuhan tropika membolehkan masyarakat ini mengenali dan memahami tumbuh-tumbuhan semula jadi untuk dijadikan keperluan rutin mereka.


    TUMBUHAN liar di hutan amat mewah dengan pelbagai khasiat yang sesuai untuk kegunaan manusia. - Gambar hiasan


    "Mereka dapat mengetahui rahsia sebahagian daripada 6,000 spesies tumbuhan tropika dalam negara untuk dimanfaatkan sebagai makanan termasuk herba," katanya.

    Mohd. Jamil berkata, setiap kaum daripada kalangan Orang Asli mempunyai pengetahuan masing-masing tentang herba tetapi hanya mereka dalam kumpulan Senoi seperti Semai dan Temiar yang banyak berkongsi pengetahuan dalam membantu aktiviti penyelidikan.

    Kesan daripada itu, pelbagai penyelidikan dan inovasi sains dapat dilakukan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat umum, katanya.

    "Kini, ia bukan sahaja diiktiraf pakar kesihatan, malah menjadi industri yang dikomersialkan di peringkat global.

    "Berdasarkan kajian, hanya sebahagian kecil herba telah dilakukan ekstrak piawai melalui ujian klinikal namun penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengannya kian meningkat saban tahun," katanya.

    Menurutnya, herba yang sering dikaitkan sebagai ubat tradisional sangat kaya dengan khasiat serta mampu dijadikan alternatif kepada perubatan moden untuk menyembuhkan penyakit di samping menguatkan sistem imunisasi badan.

    Mengikut definisi, herba ialah tumbuhan yang boleh diguna sebagai bahan makanan, perubatan dan bahan aroma.

    Ini bermaksud tidak hanya tumbuhan renek, bahkan pokok berkayu juga boleh ditakrif sebagai herba jika ada potensi

    Selain untuk perubatan dan penjagaan kesihatan seperti memberi tenaga, awet muda atau penawar selepas bersalin, herba juga digunakan dalam ritual bagi menghindar gangguan makhluk halus.

    Di Malaysia, sumber ubat tradisi ini telah lama diperoleh daripada bahagian tumbuhan seperti akar, batang, daun, buah mahupun kulit kayu.


    GENERASI muda harus didedahkan dengan pengetahuan mengenai 6,000 tumbuhan herba agar dapat diwarisi generasi akan datang. - Gambar hiasan


    "Terdapat sekurang-kurangnya 1,158 spesies tumbuhan tinggi di Malaysia direkodkan mempunyai nilai perubatan.

    "Daripada jumlah tersebut, 1,075 ialah tumbuhan berbunga, 76 spesies paku-pakis dan tujuh spesies lagi daripada keluarga gimnosperma," katanya.

    Menurut Mohd. Jamil selain mujarab merawat penyakit biasa seperti sakit kepala, batuk dan demam, ada juga sesetengah spesies boleh mengubati penyakit tropika seperti malaria dan kolera.

    Beliau berkata, masyarakat Orang Asli hanya menggunakan peralatan asas yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka untuk menyediakan sesuatu herba.

    "Prosesnya bermula dari memilih pokok herba dalam hutan oleh Tok Batin, Tok Halaq atau orang-orang tua yang berpengalaman luas hinggalah ke peringkat menentukan herba yang sesuai.

    "Penentuan sesuatu herba untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan kepercayaan yang kuat kepada petua dan pantang larang diwarisi," katanya.

    Beliau berkata, hanya bahagian tertentu pada pokok boleh dijadikan herba, iaitu sama ada akar, daun, kulit pokok atau buahnya sahaja kecuali pokok layang-layang yang keseluruhan bahagiannya boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

    Friday, November 13, 2009

    HERBA TEMPATAN


    Tumbuhan herba Origano

    HORIZON
    Minuman herba air tangan Pok
    Oleh NUR AISHAH MOHD AMINnuraishah.amin@kosmo.com.my


    "DATANG sini wajib rasa minum herba asli," ujar Pok, seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan umur lewat 60-an mempelawa wakil-wakil media sebelum meninggalkan Pulau Herba.
    Pok atau nama sebenarnya Abdul Majid Awang ialah individu yang bertanggungjawab menjaga pulau itu iaitu salah sebuah pulau di Tasik Kenyir. Terletak di Pulau Sah Kecil, Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, pulau tersebut mempunyai keluasan kira-kira 15.8 hektar.
    Kami menyusuri laluan sempit untuk sampai ke sebuah pondok kecil. Ia bukan sebuah pondok buruk seperti yang dibayangkan. Sebaliknya, terdapat kerusi dan meja yang diperbuat daripada kayu untuk menjamu tetamu yang datang ke situ.
    Ada dapur kayu api yang sedang mereneh minuman herba. Sambil menyediakan minuman herba tersebut, Pok sempat memberitahu, terdapat 200 jenis pokok herba dalam hutan tersebut.
    Melihat keterujaan kami yang rata-ratanya baru pertama kali membuat kunjungan ke pulau itu, Pok cukup berbangga dengan yang mampu ditawarkan oleh Pulau Herba.
    Tidak dapat dinafikan, kunjungan itu benar-benar membuka satu perspektif baru. Sebelum ini, tumbuhan herba yang diketahui hanyalah berdasarkan kepada produk yang sudah siap diproses atau telah diekstrak khasiatnya.
    Justeru, peluang untuk mengenali lebih dekat pokok dan daun herba yang diperkenalkan Pok tidak disia-siakan.
    Akhirnya, minuman yang direneh dihidangkan. Kata Pok, tongkat Ali untuk lelaki dan kacip Fatimah pula untuk perempuan.
    "Tetapi orang perempuan pun boleh minum tongkat Ali, ia baik untuk suami. Orang lelaki pula boleh minum kedua-dua herba ini. Ada khasiat yang baik untuk pasangan suami isteri," ujar Pok serius, tetapi disambut gelak ketawa nakal daripada kami yang mendengarnya.
    Air herba
    Meneguk air herba daripada gelas kecil yang disediakan, rakan-rakan yang pada awalnya malu-malu untuk merasa keaslian herba itu, akhirnya mengaku minum lebih daripada tiga gelas kacip Fatimah dan tongkat Ali.


    TUMBUHAN herba Origano.
    Walaupun asyik menikmati minuman tersebut, adakah semua tanaman herba yang ada di pulau itu memang tumbuh secara semula jadi?
    Sebabnya, ada herba yang ditanam di dalam pasu. Lantas Pok yang berjalan sedikit tempang menjawab, ada juga herba yang dibawa dari tempat lain dan ditanam di situ.
    Sebagai contoh, daun origano yang jarang ditemui dalam hutan di Malaysia berikutan faktor cuaca dan tanah, namun ia mampu hidup di pulau itu. Kewujudan herba origano membuatkan pengunjung yang datang menganggap hutan itu sangat istimewa.
    Bagi Pok, dia menjaga pulau itu bukan kerana tugas semata-mata, sebaliknya dia sendiri cukup mengagumi khasiat tumbuhan asli.
    "Pok anggap ini semua sebagai amanah yang Tuhan beri untuk menjaga ciptaan-Nya. Tidak pula Pok rasa nak jaga tempat ini kerana pelancong nak datang, tapi macam jaga tanaman di rumah sendiri," ujarnya.
    Pok nyata sudah biasa dengan kunjungan pelancong. Sesiapa sahaja yang datang dibiarkan melihat dan mencium sendiri daun-daun herba yang ada.
    Keasyikan di taman itu berakhir selepas 30 minit. Senja kian berlabuh, seramai 10 orang wakil media yang turut serta dalam rombongan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu itu meninggalkan pulau dengan ceria dan rasa lebih 'bertenaga'.
    "Ini semua tongkat Ali punya pasal," seloroh salah seorang rakan media, Tunku Sufrizal Tunku Yusof, 40.


    AGROBIZ

    ARKIB : 11/12/2009

    Minuman berasaskan herba ISOmedic


    mas cotek sejenis herba yang mudah ditanam di negara ini dan kaya dengan nilai kesihatan.


    HERBA adalah anugerah alam yang merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya. Di negara barat seperti Amerika dan Eropah, hari ini penghasilan ubat-ubatannya lebih 70 peratus adalah berasaskan pada herba setelah melihat potensi herba ke arah rawatan yang lebih selamat dan berkesan.

    Walaupun di negara mereka terdapat musim pada setiap tahun tetapi pembangunan ke arah herba giat dilaksanakan, sehingga terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi melaksanakan penanaman secara berterusan disebabkan masalah musim yang terdapat di negara mereka.

    Berbeza di Asia khususnya di Malaysia, tumbuhan-tumbuhan herba boleh tumbuh dengan mudah secara melata dan sebahagian besarnya tidak perlu melakukan penanaman kerana herba-herba ini boleh tumbuh dan hidup secara sendiri.

    Kita seharusnya mengambil peluang dan ruang dengan menggunakan khazanah anugerah alam ini untuk meningkatkan ekonomi negara.

    Jadi kesedaran, pengetahuan serta minat perlu dipupuk dan dibimbing supaya akan munculnya wira-wira perniagaan yang berasas dari herba dengan meneroka dan menjadikan herba ini sebagai satu perniagaan.

    Pembangunan herba di Malaysia perlu dipandang serius terutama dari golongan pihak profesional dan ahli korporat yang berpotensi.

    Penggabungan di antara pengamal perubatan secara tradisional dan golongan profesional seharusnya bergerak secara seiring sekiranya industri ini ingin dimartabatkan pada satu tahap yang lebih tinggi.

    Jika ingin merealisasikan herba sebagai satu khazanah tanpa had atau nilai yang tinggi, pembangunannya perlu mempunyai strategi yang lebih berkesan.

    Pembangunan yang dilakukan tanpa strategi akan menerima nasib yang sama seperti herba-herba lain yang dibangunkan tetapi tidak mencapai ke sesuatu matlamat yang disasarkan.

    Sebagai contoh, pegaga, misai kucing dan kacip Fatimah, di mana pada satu peringkat mendapat fokus yang meluas dan akhirnya menjadi sunyi.

    Syarikat tunjang

    Berbeza dengan tongkat ali dengan adanya syarikat tunjang (anchor company), ia boleh berdiri lebih lama dan dikenali meluas sehingga ke luar negara.

    Justeru, pembangunan herba seharusnya memikirkan selain potensi yang terdapat pada herba tersebut tetapi perlu juga memikirkan sasaran pasaran dan bentuk penghasilan produk siap.

    Pembangunan herba tidak boleh hanya sekadar penghasilan produk siap dalam bentuk tradisional seperti teh, minyak, kopi dan kapsul sahaja.

    Kita seharusnya memikirkan bentuk penghasilan yang lebih global bagi menembusi pasaran bukan sahaja untuk pasaran domestik malah untuk pasaran antarabangsa.

    Seperti di Thailand pengeluar minum yang berjenama Red Bull, yang mana pengusahanya adalah orang yang pertama terkaya di negara tersebut dan mantan Perdana Menteri.

    Melihat dari sudut potensi ini, melalui Syarikat Delto Medicama Plantation yang diketuai oleh Nasnan Jajuli dan dibantu dari pelbagai agensi serta universiti, produk minuman kesihatan dikenali sebagai ISOmedic dihasilkan.

    Kajian dengan mengambil kira apakah yang terdapat dalam kandungan isotonik berjenama tinggi dan menjadikan bahan-bahan tersebut sebagai asas kepada pembuatan ISOmedic.

    ISOmedic ini diperkuatkan lagi dengan penggunaan ekstrak tujuh spesies mas cotek yang mana khasiatnya telah dilakukan analisis mendalam.

    Kajian yang dilakukan mendapati khasiat yang terdapat pada tumbuhan tersebut sememangnya antara keperluan tubuh badan manusia.

    Minuman ini menggunakan kelebihan khasiat yang terkandung dalam ekstrak mas cotek dan ditambah dengan penggunaan bahan-bahan lain sebagai asas seperti produk-produk isotonik yang lain.

    Bagi menjamin bekalan bahan mentah ini mencukupi, projek ini melibatkan 35 orang penanam yang ditempatkan di Tanjung Karang bagi fasa pertama dan pembiayaan dilakukan oleh AgroBank Selangor.

    Penghasilan isomedic adalah kerjasama a Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di mana khasiat yang ketara adalah menurunkan tekanan darah tinggi atau meningkatkan tekanan darah rendah dalam tempoh tidak sampai satu jam selepas pengambilan sebotol isomedic.

    Selain berfungsi sebagai pemberi sumber tenaga, isomedic mampu untuk menyeimbangkan keperluan badan.

    Keberkesanan bagi mengatasi masalah denggi, beberapa pihak hospital telah menjalani ujian terhadap pesakit-pesakit denggi.

    Begitu juga testimoni akan dilakukan pada atlet tinju dan berbasikal, bagi tujuan adakah isomedic ini berkemampuan meningkatkan tenaga kearah itu.

    Hasil kajian telah menunjukkan bahawa mas cotek ini mempunyai lima komponen aktif yang berguna untuk tubuh manusia.

    Komponen tersebut adalah flavonoids, tannins, triterpenoids, proanthocyanins dan phenols.


    AGROBIZ

    ARKIB : 11/12/2009

    Petua ibu lahirkan usahawan mas cotek


    masri Ismail (kanan) meleraikan daun mas cotek sebelum dibersih, ditos dan dikeringkan dalam ketuhar.


    SAYA sangat tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan begini," kata Pengasas Sri Ain, pengusaha minuman mascotek, Masri Ismail.

    Beliau memulakan usaha menanam herba mas cotek secara kecil-kecilan selepas mengamalkan petua ibunya yang mengambil herba berkenaan untuk mengurangkan tekanan darah tinggi dan paras gula dalam darah.

    Masri yang berminat dengan herba berkenaan mula mencari pelbagai maklumat mengenai khasiat mas cotek daripada Internet serta orang tua-tua.

    Berminat dengan khasiat mas cotek, Masri mula menanam herba berkenaan secara meluas di tanah miliknya seluas satu hektar di Kampung Jenjarum, Banting, Selangor.

    Bagi meningkatkan produktiviti tanaman mas cotek, Masri sering mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada Pegawai Pertanian Kuala Langat, Mohd. Fairuz Affendy Mohd Isa.

    Memulakan tanaman mas cotek pada Jun 2007, Masri juga mendapatkan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

    "Seminggu saya mengikuti kursus di UTM mengenai cara menghasilkan dan menggunakan mikrob berguna (EM) dalam racun serangga dan baja.

    "Ini sebagai satu cara penanaman bebas kimia yang saya amalkan sejak sekian lama," katanya semasa ditemui di ladangnya di Banting, Selangor.

    Beliau juga banyak menerima khidmat nasihat dan input pertanian dalam bentuk baja dan peralatan daripada Jabatan Pertanian.

    Masri menanam 13 jenis mas cotek dan menggunakan ramuan pelbagai jenis bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

    Beliau menghasilkan produk pertama pada Ogos 2008 dengan pasaran hampir di seluruh negara.

    Pada bulan Mei tahun depan, Sri Inai menambahkan lagi dua produk keluarannya iaitu mas cotek halia dan Sri Cotek Cafe bagi penggemar kopi.

    Masri juga mendapatkan khidmat nasihat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi ujian mikrob dan logam berat.

    Bagi mendapatkan ekstrak bagi Sri Cotek Cafe, Masri menghantar bahan mentah ke Taman Teknologi Malaysia (TPM).

    Masri berkata, proses menghasilkan minuman botanikal mas cotek bermula dengan tuaian daun dan dileraikan.

    "Daun berkenaan kemudian ditimbang dan dibasuh menggunakan air suling sebelum ditoskan di atas dulang selama beberapa hari.

    "Selepas itu daun akan dimasukkan ke dalam ketuhar pada suhu 40 hingga 45 darjah Celcius (C) selama tiga hari," katanya.

    Apa yang menarik, Masri membina sendiri ketuhar untuk mengeringkan daun dan boleh mengisi sehingga 150 kilogram daun pada satu-satu masa.

    Daun yang telah dikeringkan kemudiannya dibawa ke kilang di Sungai Manggis untuk diproses dan dijadikan minuman botanikal dan mas cotek halia.

    Kilangnya yang dilengkapi dengan sebuah makmal kecil, bilik pengisar, bilik pengeluaran dan stor boleh menghasilkan sehingga 10,000 uncang sehari atau kira-kira 4,000 kotak sebulan.

    "Di kilang ini, kami menjalankan ujian rasa dan kelembapan bagi memastikan kualitinya sentiasa terjamin," katanya.

    Masri menjelaskan, perkara berkenaan penting kerana pernah daun yang dikeringkan di dalam ketuhar terasa seperti hangus dan terpaksa dibuang.

    "Kami di sini memastikan pelanggan akan mendapatkan minuman mas cotek yang benar-benar menepati cita rasa," katanya.

    Beliau menambah, mas cotek Sri Inai telah mendapat Sijil Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Pada masa akan datang, Masri bercadang untuk menghasilkan mas cotek dalam bentuk tablet, minuman dan kordial.

    "Ujian bagi produk berkenaan sedang dijalankan di TPM dan saya berharap akan dapat mengeluarkannya menjelang tahun depan," katanya.

    Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk mas cotek keluaran Sri Ain boleh layari laman sesawang www.sriain.com.my