Perubatan orang Asli
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
Antara herba orang asli yang dikatakan boleh mengubat penyakit. |
Pameran Magis Belantara anjuran Muzium Negara dedah khasiat hutan, pantang larang masyarakat asli
BUKAN amalan biasa bagi masyarakat orang Asli di Semenanjung Malaysia untuk berkongsi, mendedahkan pengetahuan serta membantu penyelidikan berkaitan herba kecuali dari kumpulan Senoi seperti Semai dan Temiar.
Khasiat sebahagian daripada 6,000 spesis tumbuhan tropika di negara ini tidak hanya dijadikan makanan, tetapi juga sebagai herba bagi mencegah, mengubati dan melindungi daripada penyakit demam, cirit birit, buasir dan barah. Malah, khazanah hutan ini turut digunakan dalam upacara ritual bagi menghindarkan gangguan makhluk halus.
Menyedari kepentingan menyelami dunia perubatan masyarakat ini, Muzium Negara mengadakan pameran Magis Belantara - Herba Orang Asli yang diadakan dari 14 November lalu hingga 31 Disember ini.
Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, berkata objektif utama pameran itu adalah memberi pendedahan mengenai rahsia, keistimewaan dan kegunaan herba dari sumber hutan serta hubungannya dalam konteks kebudayaan masyarakat orang asli.
“Khusus untuk pameran ini, kami berjaya memujuk suku kaum asli untuk menunjukkan demonstrasi Sewang Perubatan juga penyediaan ubat-ubatan yang jarang dipertontonkan di khalayak ramai kerana ia membabitkan pemujaan semangat,” katanya.
Kayu Tas yang dikatakan dapat menundukkan binatang buas dan binatang berbisa. |
Katanya, kalangan pribumi ini agak tertutup untuk mendedahkan sewang perubatan memandangkan ia membabitkan sistem kepercayaan mereka yang dilindungi semangat alam dan tumbuh-tumbuhan. Mereka amat mempercayai semangat baik dan semangat jahat yang menyelubungi setiap aspek kehidupan seharian.
Setiap benda atau perkara yang berlaku atau akan berlaku di sekeliling mereka dipercayai mempunyai semangat yang berkuasa untuk mengundang kesenangan atau kemudaratan.
Menurut Ibrahim, kini peranan dan hubungan erat herba ditonjolkan lagi menerusi Muzium Negara sebagai mercu tanda negara.
“Jika dulu maklumat mengenai herba dan hasil hutan hanya diperoleh dari herbarium, Taman Botani, taman rempah dan sebagainya, kini peranan masyarakat Orang Asli, hasil hutan dan tumbuhan pelbagai khasiat ini ditonjolkan secara eksklusif di Muzium Negara.”
Demonstrasi Tok Khalaq sedang membacakan mantera dan melakukan sewang untuk mengubati pesakit. |
Pameran perubatan tradisional Orang Asli ini secara perbandingan merangkumi tiga kelompok utama di Semenanjung Malaysia iaitu Senoi, Negrito dan Melayu Proto yang terdiri daripada 18 suku kaum. Begitupun, tumpuan pameran lebih kepada kaum yang besar seperti Semai, Temiar, Jahut dan Temuan.
Sementara itu, Penolong Kurator Muzium Orang Asli di Gombak, Selangor, Abdul Razak Kasim, berkata masih ramai masyarakat orang Asli masih lagi mempercayai semangat dan penunggu sebagai tempat mereka meminta pertolongan.
“Sehingga kini, bomoh, pawang atau Tok Khalaq menjadi pengantara yang akan berhubung dengan kuasa-kuasa halus. Perhubungan ini disampaikan melalui upacara adat seperti berjampi atau jamuan di hari tertentu seperti hari Puja Pantai (suku kaum Mah Meri di Pulau Carrie), Genggulang (suku kaum Semai), Sewang (Suku kaum Semai dan Temiar) dan Berjerom (suku kaum Jakun).”
Dari segi kemahiran mengubat dan perbomohan, dipercayai suku kaum Jah Hut dan Semai paling berpengalaman dan cukup terkenal pandai mengubat. Bagaimanapun kemahiran mengubat yang dimiliki juga bergantung kepada tahap-tahap serta jenis penyakit yang dialami pesakit.
Suku Kaum Jah Hut misalnya dikatakan mampu mengubati penyakit yang lebih rumit membabitkan gangguan makhluk halus dipercayai berdasarkan kedudukan suku kaum ini yang tinggal jauh di dalam hutan tebal di Pahang. Berbanding kaum Semai yang kebanyakan sudah banyak bergaul dengan masyarakat setempat yang tinggal di pinggir hutan.
Jelas Abdul Razak, bomoh atau Tok Khalaq juga punya tahapnya yang tertentu, lebih banyak ‘pendamping’ (makhluk halus) yang mendampingi Tok Khalaq bertambah kuat serta hebat keupayaannya mengubat. Ini kerana lain penyakit yang dihidapi lain pula ‘pendamping’ yang akan mengubat.
Tambahnya, tidak seperti Tok Batin, kemahiran mengubat atau menjadi bomoh tidak diwarisi mahupun lahir dari minat untuk belajar, sebaliknya ia datang sendiri.
“Apa yang dimaksudkan dengan datang sendiri itu ialah ‘pendamping’ dipercayai memilih siapa yang layak untuk menjadi Tok Khalaq dan barulah individu itu sedar dia mempunyai kelebihan untuk menjadi pengantara dan mengubat,” katanya.
INFO: Antara pantang larang orang Asli sebelum mengambil tumbuhan atau herba
No comments:
Post a Comment