Wednesday, March 31, 2010

BIOSTEEL

SAINS & TEKNOLOGI

ARKIB : 18/02/2010

Biosteel gabungan kambing dan labah-labah


Dr. Konstantinos


Filem sekual Spiderman bermula dengan seorang lelaki muda, Peter Parker yang digigit labah-labah yang terdedah kepada sinaran radioaktif menyebabkan beliau menjadi superhero.

Ini merupakan sains fiksyen rekaan kerana tidak mungkin ada manusia yang menjadi superhero kena gigitan labah-labah.

Tapi kini terdapat superhero baru iaitu Biosteel hasil kajian gila yang tidak melibatkan manusia tetapi gabungan kambing dan labah-labah.

Malah pengumuman yang dilakukan pada 12 Januari 2000, menceritakan mengenai kejayaan sebuah syarikat bioteknologi yang beribu pejabat di Kanada, Nexia yang berjaya melahirkan dua ekor kambing yang telah diubahsuai secara genetik dengan gen sutera labah-labah.

Apakah yang dikatakan Biosteel? Dan apakah keistimewaan bahan baru ini?

Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan Nexia, Dr. Konstantinos (Costas) Karatzas menjelaskan Biosteel amat berkuasa sehingga boleh memberhentikan perjalanan sebuah pesawat Boeing 747.

Biosteel jelas beliau, berasal daripada kambing dan untuk lebih spesifik merupakan sejenis sutera labah-labah yang telah diubah secara genetik daripada susu kambing menerusi proses transgenik.

Kambing 'emas' yang dihasilkan didakwa boleh merawat pelbagai penyakit termasuk artritis, malaria, diabetes, AIDS dan psoriasis.

"Sebagai tambahan kepada pembangunan perubatan, Biosteel juga membangunkan revolusi teknologi aeroangkasa dan kejuruteraan yang menjadikan hidup manusia lebih selamat," katanya semasa syarahan perdana yang bertajuk 'Sutera Labah-labah: Bahan Biomaterial Hebat yang dihasilkan menerusi Bioteknologi Moden' di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Kedatangan beliau merupakan salah satu program Brain Gain Malaysia hasil jemputan Yayasan Diraja Sultan Mizan dan kerjasama Fakulti Perubatan, UPM, Universiti Darul Iman dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ketika teknologi transgenik menjadi salah satu evolusi sains dan teknologi, kajian yang dilakukan ke atas Biosteel merupakan sesuatu yang dinantikan.

"Sebenarnya kita perlu mengetahui bagaimana produk dibangunkan kemudian kesan pengeluaran Biosteel sebagai satu bentuk transgenik," katanya.

Jika dilihat Spiderman menjadi superhero dengan satu gigitan labah-labah, pembangunan Biosteel merupakan gabungan pelbagai eksperimen.

Ia bermula dengan kejayaan penyelidik di Universiti Wyoming, Amerika Syarikat (AS) menemui dan mengasingkan gen sutera labah-labah pada 1998.

Segalanya bermula apabila Nexia mencipta versi Biosteel buatan manusia, sejenis sutera larut dalam air yang boleh ditenun menjadi fiber.

Pada 1999, Nexia cuba menyuntik gen sutera labah-labah terus ke dalam kambing tetapi hanya mendapat empat peratus kejayaan.

Dr. Costas berkata, kaedah transgenik terkini yang digunakan menghasilkan kadar kejayaan sehingga 100 peratus bagi menghasilkan Biosteel.

Pada tahun yang sama, Nexia berjaya menghasilkan kambing transgenik yang mempunyai gen sutera kambing yang berprestasi tinggi.

Mengapa Dr. Costas memilih kambing dan bukan haiwan lain?

"Kambing dipilih kerana keupayaan unik haiwan berkenaan membiak dan menyusukan anak pada usia muda," katanya.

Proses yang berbeza dengan pengklonan Dolly kerana ia melibatkan variasi teknologi pemindahan nuklear.

Jika dulu, saintis menggunakan sel dewasa tetapi kini mereka menggunakan sel fetus.

Proses bermula apabila gen sutera labah-labah disuntik ke dalam telur kambing sel tunggal yang kemudian diletakkan di dalam kambing yang sedang bunting.

Anak kambing yang lahir dan mempunyai satu gen tambahan bersama-sama dengan 70,000 gen lain dalam mekap genetik.

Kambing jantan berkenaan yang mengawan dengan kambing betina akan menghasilkan fetus kambing yang mengeluarkan rantaian protein sutera dalam kantung susunya.

Cecair protein akan diekstrak, ditulenkan dan dibekukan dalam pencair kimia termasuk aseton yang mengubah susu tadi kepada fiber yang dikenali sebagai Biosteel.

Jika dalam filem Spiderman membantu masyarakat tetapi kini Biosteel membantu meningkatkan taraf hidup dengan menghasilkan benang sutera besi yang kuat tetapi ringan.

Costas berkata terdapat 30,000 spesies labah-labah yang boleh menghasilkan lebih daripada satu jenis sutera.

Labah-labah kebun biasanya boleh menghasilkan enam jenis sutera yang berbeza bagi tujuan yang berlainan.

Sutera lain yang disasarkan adalah sutera bingkai yang digunakan sebagai bingkai untuk memerangkap mangsa dan mempunyai sehingga 200 peratus keupayaan regangan.

Ini menyediakan perlindungan balistik terhadap peluru dan sesuai digunakan sebagai jaket kalis peluru selain meningkatkan keupayaan komponen automotif dan aeroangkasa.

"Biosteel dilihat sebagai meningkatkan lagi perlindungan dalam rekaan tayar dan fiber optik selain digunakan bagi melapisi stesen angkasa, jambatan serta mengukuhkan bangunan besi," katanya.

Kajian juga menunjukkan Biosteel keserasian sutera labah-labah dengan tubuh manusia bagi membolehkan rekaan tendon dan ligamen buatan, pembinaan tisu, penyembuhan luka dan lapisan nipis biodegradasi bagi pembedahan mata dan otak.

Kajian mendapati bahan plastik biasanya ditolak oleh tubuh boleh digantikan dengan Biosteel.

Lawatan ke negara ini, kata Dr. Costas memberikan peluang untuk membina rangkaian bagi menghasilkan Biosteel menggunakan tanaman berbanding kambing.

"Kali ini kami ingin mencuba menggunakan kelapa sawit atau getah bagi menghasilkan Biosteel," katanya.

No comments:

Post a Comment