Wednesday, March 3, 2010

TANAMAN CILI JANA PULANGAN LUMAYAN

Tinggal gaji RM1,500, siswazah kutip RM40,000 tanam cili
26-04-2007 06:20:08 PM

PASIR PUTEH: Pengorbanan seorang siswazah yang sanggup berhenti kerja dengan gaji RM1,500 sebulan semata-mata ingin menceburi sektor pertanian tidak sia-sia apabila tanaman yang diusahakannya mula mengeluarkan hasil yang dijangka mencecah RM40,000.

Alimin Muhamed, 24, lepasan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur dan pernah bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta, berkata tanaman cilinya sebanyak 3,000 pokok yang diusahakan secara projek perintis Fertigasi bermula 18 Januari lepas kini mula memperoleh hasil peringkat pertama sebanyak RM3,000.

“Tidak mustahil dalam tempoh tiga bulan lagi saya akan mendapat hasil sebanyak RM40,000 sebaik sehaja kesemua cili habis dipetik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladangnya di Kampung Kuala Air Jernih, Bukit Awang di sini, hari ini.

Beliau berkata Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang yang menaja tanaman itu telah membeli hasilnya dengan harga RM2.40 sen sekilogram bagi keperluan Syarikat Nestle Bhd untuk mengeluarkan sos cili dan tomato bagi memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

Alimin berkata masalahnya sekarang beliau tidak mampu memungut tanaman berkenaan dua kali seminggu sebagai mana yang dikehendaki PPK secara bersendirian kerana pokoknya berbuah terlalu lebat dan di luar jangkaan.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau terpaksa mengupah penduduk kampung memetiknya dengan kadar upah 30 sen sekilogram.

Alimin berkata beliau juga terpaksa mengikat kebanyakan pokok itu pada batang anak kayu bagi mengelakkan tanaman itu tumbang akibat ditiup angin.

Dengan kejayaan tanaman itu, beliau bercadang menambah tanaman itu sehingga mencapai 10,000 pokok pada musim akan datang.

“Saya mahu melipatgandakan pendapatan dalam usaha saya ini bagi memberi galakan kepada penduduk kampung mengenai potensi sektor pertanian sekiranya diusahakan mengunakan teknologi moden,” katanya.

Beliau berkata melalui sistem fertigasi, pokok cili yang ditanam dalam polibeg ternyata memberi hasil yang cukup lumayan berbanding tanaman mengikut kaedah biasa. BERNAMA

No comments:

Post a Comment