Friday, March 5, 2010

TERNAK KERBAU JANA PULANGAN LUMAYAN

Ternakan kerbau mampu hasil RM200,000 setahun
Berita Harian, 12 Mei 2003


PEKAN: Projek ternakan kerbau secara komersil yang diusahakan 40 penduduk Kampung Orang Asli Permatang Siput, Mukim Temai, dekat sini, mampu memberi pulangan lumayan antara RM120,000 hingga RM200,000 setahun, selepas tempoh lima tahun diternak.

Jangkaan pendapatan itu berasaskan kepada 70 peratus kadar kelahiran kerbau atau 28 ekor setahun, hasil pembiakan 43 kerbau induk yang diberi Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Pahang, selain 19 kerbau sedia ada milik penduduk terbabit.

Pengarah JPH negeri, Datuk Dr Mohd Azmi Zakaria, berkata projek ternakan kerbau secara komersil itu yang pertama membabitkan kampung Orang Asli di Pahang dan bakal menjadi contoh kepada projek lain.

Beliau berkata, kesungguhan penduduk terbabit menjayakan projek itu, menyebabkan JPH memberi kemudahan skim pinjaman ternakan bernilai RM100,000 selama lima tahun menerusi sumbangan 43 kerbau induk.

“Kita anggarkan selepas lima tahun diternak, 43 kerbau induk itu mampu menghasilkan 1,204 anak kerbau dan jumlahnya akan terus meningkat dari semasa ke semasa kerana penduduk sendiri sudah memiliki 19 kerbau sedia ada.

“Projek ini dijalankan secara berkumpulan dan mereka terbabit sudah menjalani kursus penjagaan haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Projek ternakan kerbau secara komersil di kampung Orang Asli itu mula dijalankan pada 1996 dengan modal perkongsian berjumlah RM40,000 untuk membeli kerbau dan membina kandang kurungan berpagar elektrik serta peralatan lain.

Projek ternakan komersil membabitkan 43 kerbau induk itu, akan dijalankan di Paya Jarau, Mukim Temai membabitkan kawasan seluas 182.8 hektar yang mampu menampung 300 ekor kerbau dalam satu masa.

Penyerahan 43 kerbau induk termasuk tiga kerbau jantan itu dilakukan Menteri Pertanian, Datuk Effendi Norwawi sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Mohd Azmi berkata, pelaksanaan projek itu selaras arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang meminta supaya tanah kosong dan berpaya dimanfaatkan bagi kegiatan ternakan komersil.

Katanya, kawasan semak yang terbiar boleh dijadikan padang ragut ternakan tetapi haiwan itu tidak dilepaskan bebas kerana kawasan perlu dipagar.

Sementara itu, ketua projek ternakan kerbau itu, Midun Tan,33, berkata pembabitan dalam kegiatan ternakan komersil ini adalah antara usaha masyarakat Orang Asli di situ untuk meningkatkan pendapatan.

Katanya, penduduk di situ sebelum ini hanya bergantung kepada hasil dusun dan menoreh getah tetapi sejak pokok getah ditebang, pendapatan harian mereka terjejas.

“Pada asalnya, kami berkongsi lima orang mengeluarkan modal kira-kira RM3,600 untuk membeli tiga kerbau dan dibiakkan sehingga menjadi 19 ekor yang bernilai kira-kira RM20,000.

“Dengan bantuan 43 induk kerbau ini, kami yakin mampu mengubah taraf hidup sekarang supaya lebih maju setanding masyarakat luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment