Monday, March 8, 2010

AWANG GERGASI

TIMUR

ARKIB : 13/02/2010

Awang 'gergasi' teman setia Omar


Omar Abu Bakar duduk di antara lembu biasa sambil membelai lembu jantan gergasi miliknya, Awang di Kampung Paya Datu, Manir, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 12 Feb. - 'Awang' ialah seekor anak lembu baru berusia tiga tahun.Berlainan dengan anak lembu lain, Awang mendapat perhatian ramai kerana beratnya yang kini mencecah 1,500 kilogram (kg)!

Pada kebiasaannya, berat lembu dalam usia seperti Awang adalah antara 300 hingga 500 kilogram.

Lembu jenis Charolais Mega yang dimiliki oleh Omar Abu Bakar, 68, itu dibeli daripada seorang peraih lembu yang dipercayai memperoleh baka dari Thailand.

Ketika itu berat Awang yang dibeli pada Januari tahun lalu dengan harga RM4,200 hanya sekitar 500kg.

Bagaimanapun, Omar yang juga seorang petani berkata, dalam tempoh setahun berat badan Awang meningkat secara mendadak sehingga mencapai dua kali ganda berat asalnya.

Katanya, walaupun memiliki berat yang luar biasa, tidak sukar menjaga Awang.

''Awang perlu diberi makan rumput dan makanan bijirin tiga kali sehari termasuk memandikannya sekali sehari.

"Setiap hari Awang akan diberi minum sebanyak 20 liter air dan 30kg rumput segar serta 10kg bijirin sehari.

"Sebanyak RM200 perlu diperuntukkan untuk Awang setiap bulan bagi membeli makanan bijirin yang digemarinya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurut Omar, rumahnya sering dipenuhi pengunjung sama ada dari dalam atau luar negeri untuk melihat keunikan Awang yang dikatakan mempunyai saiz luar biasa berbeza dengan lembu yang dipelihara Omar dari jenis yang sama dan tempatan.

Dia memberitahu, anggaran panjang lembu tersebut adalah 2.8 meter (m) manakala tingginya pula kira-kira 1.5m.

Jelasnya, walaupun Awang bersaiz besar namun ia amat jinak dah mudah didekati termasuk kanak-kanak.

"Awang tidak banyak kerenah dan senang menjaganya, asalkan dapat makanan dan tidur yang cukup, Awang akan berkelakuan baik.

"Malah cucu saya amat gemar bermain di bawah perut lembu ini," jelasnya.

Omar berkata, sebelum ini terdapat seorang peraih ingin membeli Awang dengan menawarkan harga setinggi RM10,000 namun ketika itu dia baru sebulan membela Awang.

"Saya mengambil keputusan tidak menjual Awang ketika itu kerana baru menjaganya.

''Namun jika ada yang berminat untuk membeli Awang ketika ini, saya akan mempertimbangkannya," katanya yang turut memiliki 11 ekor lembu dari jenis sama.

Lembu jenis Charolais adalah lembu yang berasal dari Perancis dan memiliki tanduk pendek tetapi berbadan panjang serta hanya mempunyai dua warna sahaja iaitu putih atau putih krim.

Lembu tersebut dipercayai spesies yang cepat membesar dan boleh mencecah 2,500kg bagi jantan manakala betina mencecah 2,000kg.

Haiwan ini juga boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan cuaca serta mempunyai baka daging dan susu yang baik.

No comments:

Post a Comment